TIRA balik dulu, Mak Besah.”
Selamat bersalam dan letakkan bungkusan plastik warna merah muda berisi ikan haruan yang mak pesan dari Mak Besah ke dalam bakul motor, aku panjat atas motor dan hidupkan enjin. Mak Cik Besah yang berdiri di depan pintu dapur menganggukkan kepala.
“Yelah. Hati-hati bawak motor tu. Kamu tu bukan aku tak tahu. Pantang pegang motor. Boleh terbang motor arwah abah kamu tu kalau kamu yang bawak. Tak padan dengan badan kecil. Merempit mengalahkan budak jantan!” Aku gelak kuat. Dia kalau tak membahankan aku memang tak sah. Tapi aku tak terasa apa-apa pun. Seronok lagi adalah.
“Okey juga tu. Nanti Tira mintak Abang Ali mekanik kat simpang tu pasang sayap kat motor ni haa. Baru boleh terbang betul-betul. Tira boleh bawak Mak Besah dengan mak naik. Mesti syok kan naik motor terbang.”
Dia mencebik.
“Tak hingin aku. Nanti motor ke mana, aku ke mana. Silap-silap tersangkut badan aku ni kat kabel letrik. Hangus. Rentung. Aku ni sayang nyawa lagi Tira ooi.” Aku sambung gelak. Seronok mengusik dia. Mak Besah ni kawan baik mak aku di kampung ini. Sejak aku lahir memang aku dah biasa dengan dia. Sudah macam mak sendiri. Lagipun dia tak ada anak perempuan. Semua tiga orang anak lelaki dia dah berhijrah keluar dari kampung lepas masing-masing berkeluarga.
“Tira jalan dulu, Mak Besah.” Motor aku mula bergerak perlahan. Meninggalkan halaman rumahnya yang luas dan bersih.
“Kirim salam kat mak kamu.”
“Insya-ALLAH.” Aku membalas tanpa menoleh ke belakang.
“Balik terus. Jangan nak menyinggah mana- mana. Kamu tu bukan aku tak kenal.”
Ciss! Sempat lagi tu bagi pesanan penaja.
Melepasi pagar rumah Mak Besah, motor yang aku tunggang terus memecut. Nak kena sampai rumah cepat. Mak dah tunggu ikan haruan ni untuk disalai buat kak lang yang berpantang. Selebihnya mak nak buat gulai. Enjin motor yang sudah tua mula membelah jalan yang baru berturap tar baru. YB nak datang melawat katanya. Jalan kat kampung ni pagi-pagi memang lengang. Heaven bawak motor. Macam jalan ni aku yang punya. Angin pagi yang bertiup buat rambutku ikut berterbangan. Seronoknya bawak motor pagi-pagi ni sambil hirup udara kampung. Nyaman!
“Pin! Pin!”
Hesy. Siapa pula ni? Orang baru aje nak menikmati keseronokan menunggang motor di jalan yang lengang. Mengganggu aje laa!
“Pinnn!!!!”
Hoi! Sabarlah! Ingat aku pekak ke? Sedikit terkejut dengan bunyi yang menyergah telinga, Tangan hala motor ke kiri jalan. Tak nak halang kereta di belakang yang dah dua kali membunyikan hon. Aku perlahankan motor. Nak bagi laluan kenderaan di belakang. Haa jalan. Tadi nak sangat potong aku kan?
“Pin!!!! Pin!!!”
Aku ketap gigi. Apa hal yang kau pin..pin orang ni? Sawan ke? Nak jalan, jalan aje la! Kan aku dah ke tepi ni.
“Pin!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”
Kali ini bunyi hon yang dihumban kereta di belakang memang kuat. Terperanjat aku dibuatnya. Naik terus darah aku. Memang celaka betul. Kalau mak aku ada membonceng tadi mahu terjerit dia. Silap-silap melompat orang tua tu dari atas motor ni dek terkejut. Nak kena kereta belakang ni. Siapa la malaun yang tak ada kerja pin…pin ni. Ingat orang tak faham ke. Kan motor aku dah ke tepi. Jalan aje la. Besar sangat ke kereta kau sampai tak muat jalan.
Kepala toleh ke sebelah. Menyirap terus darah bila nampak muka dia. Al-Syaitonirrojim gemuk ni rupanya. Pagi-pagi buta dah patah selera aku pandang muka si badak ni. Tengok kereta yang dia bawak aku tau ini kereta mak dia. Aku memang cam kereta ni. Berlagak aje lebih tapi bawak kereta mak kau nak buat apa. Beli la kereta sendiri. Aku pusing balik ke depan dan lajukan motor. Malas nak tengok muka dia lama-lama. Boleh kena Parkinson nanti.
“Hoi bongok!”
Bongok dia panggil aku. Kurang ajar punya setan gemuk!
Aku perlahan kan motor. Nak saing dengan kereta si setan gemuk. Mata baling renung tajam.
“Siapa bongok? Cakap baik-baik sikit ek. Kau tu yang bongok la setan gemuk!” Terus aku pusing balik dan pandang depan. Memang menyirap aje darah kalau jumpa dia ni. Aku lajukan motor balik. Malas nak bersaing dengan dia. Keretanya ikut memecut. Tetap nak bersaing. Sengaja nak cari pasal dengan aku la dia ni!
“Jaga sikit mulut kau, Tira. Ingat kau tu lawa sangat?”
Aku cebik. Langsung tak gentar dengan muka bengang dia. Mampuslah. Kau yang kacau aku dulu siapa suruh. Memang mendapatlah.
“Bawak motor buruk jalan tepi laa. Tak pun, ikut jalan tanah merah. Sesuai sangat dengan motor kau tu. Ni nak jalan tengah-tengah. Sakit mata aku tengok motor buruk nak mampus kau ni. Menyemakkan mata aku aje.”
Rasa nak aje aku ganyang mulut puaka dia. “Siapa suruh kau tengok motor aku? Ada aku suruh? Ada!” Aku jegilkan mata.
“Bodoh!”
“Dah motor buruk kau yang tercongok tengah- tengah jalan ni. Aku tengok la. Kau tu la yang bodoh. Bodoh punya perempuan!”
Sedap aje dia kata aku perempuan bodoh. Celaka la mulut dia ni! Aku terus berhentikan motor. Dia ikut berhentikan kereta. Nak lawan? Tarak hal. Turun la kalau berani. Memang aku tendang telur kau. Biar mati pucuk terus!
Dia tayang muka berlagak. “Motor dah la buruk nak mampus. Ada hati nak tayang kat orang. Lepas tu jalan tengah-tengah jalan. Ingat lawa la tu.” Bibirnya dijuihkan. Mengejek. Eeei. Nak aje aku tonyoh bibir tebal dia yang legam tu.
“Hey, bongok. Suka hati aku la. Aku tak suruh pun kau tengok. Lagipun kalau aku nak bawak tepi ke. Tengah ke, hujung ke, pangkal ke aku punya suka la. Ingat ni jalan kau ke? Aku bayar cukai jalan tau tak? Nampak ni.” Aku tepuk kuat pelekat cukai jalan di depan motor.
“Kau tu ada bayar ke? Kereta pun mak kau yang punya. Berlagak aje lebih. Boleh blah la.”
“Apa hal aku nak bayar pula. Mak bapak aku kaya. Banyak duit. Tujuh keturunan pun tak habis makan. Bukan macam mak bapak kau. Miskin. Papa kedana. Melukut. Terpaksa la kau yang bayar. Kesiannya.” Dia baling cebik mengejek macam tadi.
Berbulu biji mata aku tengok muka gelap hitam dia. Muka dah la hodoh. Perangai dua kali ganda hodoh.
Aku memang pantang la orang sebut mak abah aku. Kecil besar aje aku tengok si setan gemuk badak berendam ni.
“Sekurang-kurangnya aku ni usaha sendiri cari duit. Bukan macam kau. Makan harta mak bapak. Lagi berganda-ganda kesian. Kesian juga mak bapak kau dapat anak tak boleh diharap satu sen pun macam kau ni kan. Elok mereput aje dari muka bumi. Tanah kubur pun tak sabar nak telan kau. ” Matanya mencerlung tajam.
“Kurang ajar kau, Tira. Nanti kau.”
Nampak jelas dia ketap gigi. Aku balas jongket bibir.
“Apa? Ingat aku takut ke? Boleh jalan laa. Kalau tak boleh jadi anak jantan, sila mereput. Bumi ni pun menyampah tengok manusia macam kau. Merosakkan alam sekitar aje.” Usai cakap aku terus pecut motor selaju-lajunya. Meninggalkan kereta hitam yang dipandunya jauh di belakang.
Sayup-sayup aku dengar jeritan memekik. Menyebut dan memaki. Aku senyum. Silap la kau nak cari gaduh dengan aku. Ni Tirana la!
MOTOR kapcai arwah abah menghampiri laman rumah. Aku perlahankan enjin. Nampak kereta baru Pak Lang Deris dah terparkir megah depan tangga rumah. Tadi anak. Ni bapaknya pula. Tak habis-habis kacau hidup aku. Ni tak ada lain la ni. Nak minta duit la tu! Tak faham bahasa betul la orang tua ni. Kan aku dah cakap tunggu. Aku sedang usahakan. Ingat duit tu macam daun kayu ke. Gugur bila kering. Lepas tu boleh kutip aje. Bangang betul!
Motor terus meluncur perlahan memasuki halaman. Kalau mak ikut aku pergi rumah Mak Besah tadi kan dah selamat. Tak payah nak menghadap muka orang tua sekor ni. Perangai sama menyakitkan hati macam anak dia. Motor makin perlahan. Aku matikan enjin motor. Telinga terus dengar suara nyaring pak lang dari atas rumah. Entah apalah yang dipekikkan tu. Tu la mak. Tadi orang ajak mak ikut, mak tak nak. Tidak, tak payah telinga mak tercemar dengar pekik suara pak lang.
Tadi lepas sarapan dengan mak, aku ke rumah Mak Besah. Mak suruh aku pergi ambil ikan haruan sungai yang dipesan. Nak salai untuk kak lang yang berpantang. Susah sungguh nak dapat haruan sungai sekarang. Mak tak nak yang dalam sangkar. Nak yang liar. Baru sedap daging ikan tu.
Dah nak masuk dua minggu lebih kak lang bersalin anak kedua. Baru hari ni rezeki ikan haruan tu datang. Dapatlah kak lang merasa. Aku ada tanya kat mak boleh ke makan sebab ada baca kat Internet orang beranak operate ni tak digalakkan makan. Mak cakap jangan makan terus lepas bersalin. Tu memang tak boleh. Mak cakap lagi boleh la makan sikit kalau teringin sangat. Tak boleh banyak dan kerap. Sesekali aje.
Sebelum pergi ambil ikan haruan, aku hantar dan jemput mak dari rumah kak lang. Mak siapkan tungku dan mandikan kak lang juga Nadirah, baby kak lang. Sebab kak lang bersalin ceasarean, mak akan hanya mula urut kak lang pada hari ke lima belas nanti. Mak cakap, orang bersalin ikut tingkap ni memang tak boleh urut awal. Kena pastikan luka tu sembuh dulu. Badan tu nak pakai lama. Kenalah ikut cara yang betul.
Kak Lang Teh Jannah kakak aku yang ketiga. Kami empat adik beradik. Semua perempuan. Mak dan arwah abah tak ada rezeki anak lelaki. Aku yang bongsu. Teh Nuur Tirana.
Nama aku memang lain sikit. Entahlah. Aku pun tak tau sebab apa. Spesial kut aku ni masa lahir dulu. Kata mak, arwah abah yang bubuh tambahan Nuur tu. Mak ikut aje. Kak Long Teh Mariah duduk di Labuan. Ikut suami dia yang kerja tentera. Ada tiga anak. Kak Ngah Teh Kamariah pula duduk kat Felda Palong di Gemas. Anak dia dah empat. Suami dia peneroka Felda kat situ.
Kak long dengan kak ngah memang duduk jauh, jadi jaranglah balik kampung tapi kami berempat ni sentiasa dekat sebab ada group WhatsApp. Kami akan riuh kat ‘rumah hijau’ tu. Ada aje cerita. Aku la yang paling kecoh. Dan sebab paling kecoh, aku la juga yang paling kerap kena bahan dengan dia orang. Lagi- lagi bila pak lang pinangkan aku untuk anak sulung dia, si Daud badak Al-Syaitonirrojim gemuk tu dulu. Memang teruk aku kena gelak…kena sakat.
Tapi aku mana boleh tak membalas. Mulut aku ni mana boleh nak bagi orang menang kan. Tak hingin aku dengan si badak tu. Mulut dah la berpuaka. Nanti dengan aku sekali kena rasuk puaka mulut dia tu.
Kak lang yang paling hampir duduk dengan mak walaupun tak sebumbung. Kak lang duduk dengan mak mentua dia. Sekampung dengan mak juga. Jadi dia tempat rujukan kami kalau nak tahu pasal mak.
Kalau ada hal-hal penting kat kampung, kak lang juga la jadi reporter atas talian. Melaporkan secara langsung. Aku ni hujung minggu aje dapat balik kampung tengok mak. Dari mula kerja lima tahun dulu memang aku jadikan rutin. Mesti balik. Bila pindah kerja ke Kuala Lumpur pun aku tetap juga balik kampung bila hujung minggu. Kecuali ada hal penting, aku akan cakap kat mak dan kak lang. Biar kak lang tengok-tengokkan mak.
Kak lang sangat beruntung. Dapat suami, lelaki yang baik sangat dan bertanggungjawab pada dia dan anak-anak. Rezeki kak lang. Mak mentua dia pun sayang betul kat kak lang dan layan dia dengan baik. Daripada dia beranakkan anak pertama dulu, mak mentua kak lang lah yang jaga dia masa berpantang. Mak pula akan pergi untuk mengurut dan bengkung kak lang. Rumah mak mentua kak lang tak jauh pun dari rumah kami. Jarak sebatang rokok aje bak kata arwah abah dulu.
Mak dulu bekas bidan kerajaan. Mak memang pandai mengurut. Tapi bila dah pencen ni, mak tak adalah nak terus jadi bidan dan tukang urut. Penat katanya. Hanya kalau untuk anak-anak dan kaum keluarga aje yang mak akan buat. Aku ni adalah menurun bakat mengurut daripada mak. Sikit-sikit tu bolehlah. Kalau tengah sesak boleh la aku jadi tukang urut bidan terjun!
Mak mentua kak lang dengan mak bukan orang lain. Biras. Kak lang kahwin dengan anak tunggal arwah Pak Ngah Jalal, Abang Hadi. Pak Ngah Jalal tu adik abah. Abang ipar aku tu anak tunggal. Kerja kampung. Dia usahakan kebun getah dan kelapa sawit peninggalan pak ngah. Juga kebun buah-buahan dari tanah yang dibeli dari duit hasil kebun getah dan kelapa sawit.
Sekarang ni dia tengah usahakan projek tanaman cili merah kat kebun getah dia tu. Kata dia cili merah ada harga yang baik di pasaran. Abang Hadi yang aku panggil abang lang ni gila rajin. Tak duduk diam. Tak pernahlah kalau aku singgah rumah kak lang nampak dia lepak-lepak. Nak tidur tengah hari lagi la tak pernah. Ada aje kerja dia buat cari duit. Yalah. Kerja sendiri. Malas jawabnya makan sabut la anak bini dia.
Cakap pasal ikan haruan yang aku ambil tadi, kak lang yang teringin sangat nak makan kata mak. Pak Harun, suami Mak Besah memancing kat sungai kampung seberang petang semalam. Tu yang dia telefon mak malam tadi pesan kat mak suruh datang ambil pagi ni. Dan aku la yang ditugaskan mak suruh pergi ambil. Aku juga nanti yang akan ditugaskan hantar haruan salai ni ke rumah mak mentua kak lang. Rezeki kau la, kak lang.
Telinga terus dihidangkan suara nyaring pak lang dari atas rumah. Aku ketap gigi. Orang tua ni memang mendapat dengan aku karang ni. Kau tunggu aku naik, pak lang!
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL AKU BUKAN KELIP KELIP (PENULIS: APRIL SNOW)