Aku Bukan Kelip Kelip – Bab 2

KU parkirkan motor di sebelah kereta baru pak lang. Tubuh melonjak ke bawah untuk turun dari motor. Mata melirik. Memerhatikan kereta baru dia. Berkilat. Plastik yang balut kusyen tempat duduk pun tak ditanggalkan lagi. Bibir mencebik. Nak tayang la tu dia baru beli kereta. Bukannya orang kampung ni tak kenal perangai berlagak adik arwah abah yang sorang ni. Orang banyak duit boleh la beli kereta bayar cash.

Tapi kalau beli dengan duit haram nak buat apa. Memang takkan berkat kalau sumpah seranah orang bertong-tong. Silap-silap terjun parit kereta dia nanti. Bukan mendoakan tapi itulah kenyataan. Haram tu takkan baik kesudahannya.

Kepala dongak ke atas memandang pintu yang ternganga. Dengar suara orang berbual dari ruang tamu. Suara pak lang kuat bergema. Nyaring. Mesti dia marah mak lagi. Hangin betul la aku dengan orang tua ni.

Tak faham bahasa ke? Kan aku dah kata aku ni sedang kumpul duit. Ingat kita orang saja-saja tak nak bayar ke? Sabarlah!

Aku capai plastik berisi ikan haruan dari dalam bakul motor. Langkah menapak mendekati tangga. Selipar jepun yang tersarung di kaki aku tanggalkan. Kaki mula mendaki anak tangga kayu untuk naik ke serambi dengan plastik berisi sepuluh ekor ikan haruan yang dah siap Mak Besah siangkan. Nasib baik dia tolong siangkan. Dah ringan sikit kerja aku. Aku tinggalkan nak bersih dan asamkan aje nanti. Lepas tu baru lah boleh salai atas dapur arang. Sedapnya.

Aku dah siap belah kelapa awal pagi tadi. Tiga biji aku belah. Kelapa kat belakang yang aku ambil. Rendah aje pokoknya. Arwah abah yang tanam kat belakang rumah. Ada tiga batang. Semua rendang- rendang. Boleh petik dengan tangan aje. Jenis kelapa matang. Kejap lagi nak kukur. Memang itu kerja aku kalau di rumah. Mak serahkan kat aku sebab aku kira pantas juga mengukur berbanding kakak-kakakku yang lain.

Belimbing buluh yang tengah lebat berbuah kat kebun kecil mak di belakang rumah aku petik nanti. Ambil buah yang sedang-sedang. Tengah sedap masam orang cakap. Telan liur aku bayangkan gulai lemak cili api ikan haruan salai campur belimbing buluh. Mak punya gulai memang berpeluh mata hidung masa makan. Itu yang kick. Dua pinggan nasi tetap selamat masuk dalam perut.

“Aku ni pegang janji kau, kak long. Banyak kali dah kau anak beranak minta tangguh. Bertahun dah aku bagi tempoh. Tangguh sampai bila lagi?! Sampai aku masuk kubur macam abang long ke?” Pedas sinis Pak Lang Deris. Aku yang baru jengah ruang tamu ni ikut berdesing dengar. Baru lima tahun tunggu dah meroyan. Macam dah tunggu lima puluh tahun. Dulu janji dengan arwah abah aku lain. Sekarang dah cakap lain. Dasar lidah bercabang-cabang. Kalah biawak. Nak aje sembur dia balik cakap macam tu. Ingat kita orang saja-saja ke mintak tangguh? Ingat aku sengaja tak nak bayar ke? Dah duit tak cukup lagi. Nak buat macam mana! Ingat sikit ke yang pak lang nak tu? Berganda- ganda dari yang abah pinjam dulu. Takkan nak suruh pergi rompak bank pula. Bongok la orang tua penamak ni! Patutlah dapat anak pun bongok macam dia.

“Kak long tahu janji kak long tu, Deris. Kak long sedar tu. Kak long ingat. Kak long dengan anak-anak tengah usahakan. Tolonglah bagi kak long sikit lagi masa. Kak long mintak sangat ihsan kamu, Deris. Tolonglah. Kami ni bukannya orang berduit macam kamu. Banyak yang kamu mintak tu. Tolonglah, Deris. Kak long merayu sangat pada kamu.” Lirih suara mak buat pilu di hati ikut merintih.

Sampai hati pak lang buat kami macam ni. Tanah dan rumah ni kan milik arwah abah…abang kandung pak lang sendiri! Tergamak dia buat abah macam ni. Kalaulah abah masih hidup, mesti dia sangat sedih dengan apa yang pak lang dah buat.

Aku sudah tegak di depan pintu. Memerhati pak lang yang duduk membelakangkan pintu. Aku kerling plastik ikan haruan yang dijinjit. Ringan aje tangan nak lemparkan plastik ni ke muka pak lang. Sakit betul hati aku dengan perangai dia.

“Dah. Jangan nak banyak cakap! Aku tak mahu dengar lagi alasan bodoh kak long tu!!!” Tempik pak lang begitu mengejutkan.

Aku tarik nafas. Mata mencari mak. Menitis air mata mak diherdik. Aku ketap gigi.

Celaka punya orang tua. Kau tempik mak aku ye. Tunggu kau!

“Aku tak kira, kak long. Aku dah tak nak dengar janji-janji air liur kau anak beranak. Aku nak juga duit tu hujung bulan ni. Kalau tak ada, tanah tapak rumah ni dengan rumah ni sekali aku jual. Aku dah ada pembeli. Kau faham-faham aje la apa yang kau kena buat. Takkan nak suruh aku bentangkan karpet merah pula baru kau anak beranak nak angkat kaki.” Mak sapu mata dengan hujung baju kurung. Sedih dengan perlian pak lang.

Rasa nak ayunkan aje plastik berisi ikan haruan yang aku jinjit ke muka pak lang. Biar dia mandi dengan hanyir darah ikan haruan. Geram. Sakit hati tengok perangai kurang ajar pak lang. Dari muda sampai ke tua, tak sudah-sudah dengan perangai tamak!

“Mak saya memang dah tua. Tapi dia belum pekak lagi. Mak saya faham bahasa. Tak perlu pak lang nak herdik-herdik dan perli-perli macam budak- budak.” Mak angkat muka bila dengar suara aku yang tiba-tiba masuk dalam perbualan. Pak lang ikut pusing pandang ke belakang.

“Jadi tetamu tak diundang ni tolong jaga sikit perangai. Saya ni baran juga kalau nak tahu. Jangan sampai ada yang kena humban ke bawah dari tingkap pula.”

Besar mata mak. Itu tanda marah dan tak suka. Mak memang macam tu. Tak suka anak-anak dia kurang ajar dengan orang yang lebih tua. Memang mulut kena sepit dengan penyepit baju. Aku la yang selalu kena sejak kecil sebab aku ni kaki melawan. Tapi kali ni aku memang berniat ke situ. Dengan orang tua

AKU BUKAN KELIP-KELIP

19

yang sorang ni, kurang ajar tu perlu untuk ajar dia makna adab sopan. Tajam mata pak lang memanah.

Ingat aku takut? Silap orang la, pak lang. Aku menapak perlahan. Keadaan senyap seketika. Kaki mendekati kerusi rotan di ruang tamu. Tubuh berlabuh di kusyen kerusi di sebelah mak.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.” Mak yang jawab. Pak lang jangan harap. Haram nak jawab. Berat sangat nak balas. TUHAN tarik suara tu nanti baru padan dengan muka. Mesti bengang kena smash dengan aku. Buku tebu jangan digigit. Patah gigi nanti, pak lang. Kena buat implan pula nanti. Tapi tak apa kut. Pak lang kan kaya. Apa ada hal sebatang gigi kena bayar puluh ribu kan.

“Pagi-pagi dah bertandang kat rumah buruk kami ni ada jemputan istimewa ke, pak lang? Ke… tak sabar nak tagih hutang?”

Saja aku perli dia. Lantaklah kalau dia nak marah. Menyampah tengok muka tak malu dia. Macam tak reti nak sabar. Dah tak berduit sangat ke? Tu, kereta yang menjalar kat bawah mana dapat duit? Beli kereta baru mestilah banyak duit kan? Sengaja nak menyusahkan aku sekeluarga. Bukan aku tak tahu dia nak duit cepat tu pasal apa. Kak lang cakap dalam group WhatsApp dua minggu lepas yang majlis nikah anak sulung pak lang, si Daud setan gemuk perasan bagus tu tinggal tiga bulan lebih aje lagi.

Kalau ikut perkiraan suntuk dah ni. Banyak duit yang dia perlu. Itu ini perlu dibayar. Dia bukan tak ada duit sebenarnya. Dia sengaja tak nak guna duit sendiri. Nak guna duit yang diperas daripada kami. Dasar manusia hati syaitan. Aku harap dia dapat balasan satu hari nanti sebab aniaya kami sekeluarga.

Katanya majlis si Daud tu nanti paling grand dalam kampung ni. Blah la. Grand tapi guna duit mak bapak nak buat apa. Bodoh punya jantan. Muka tak malu. Siapa la yang malang dapat laki macam ni. Nasib baiklah mak tolak pinangan pak lang untuk satukan aku dengan si badak berendam tu. Tak hingin aku nak berlakikan jantan macam tu.

Kata kak lang, pak lang tu nak duit cepat sebab nak bayar macam-macam. Malu la dia kalau lambat bayar. Dia kan orang kaya kat kampung ni. Tu yang mendesak mak aku tak sudah-sudah. Nak bayar pendahuluan itu ini kata kak lang. Pendahuluan kenalah hulur tanda jadi. Takkan nak bayar dengan air liur pula. Zaman sekarang ni janji air liur dah tak laku. Bukan macam dulu-dulu. Orang percaya janji mulut ni. Macam pegang pada tali yang diikat pada kerbau. Sekarang ni tak main janji air liur ni. Kena ada kontrak. Atas kertas lagi. Siap bertanda tangan. Yang ada duit tu siap pasang peguam. Untuk langkah keselamatan kalau kena kencing!

Aku masih pandang muka pak lang. Ini semua kes nak tunjuk lagak la. Orang ada kedudukan kat kampung macam dia kena la jaga gengsi. Kena jaga air muka. Orang bukan tak kenal dia Idris Sani menantu bekas tok ketua. Nama arwah bapak mentua dia yang kaya-raya berharta tu kena dijaga. Takkan nak buat majlis cincai aje. Malulah. Nanti jadi bahan ketawa orang kampung. Itu majlis kahwin anak sulung dia. Haruslah buat besar-besaran.

Paling aku ketawa terguling-guling baca kutukan selamba kak lang. Kakak aku yang sorang tu boleh tahan mulut dia kalau mengutuk. Samalah naik dengan aku. Kak long dengan kak ngah baik sikit la daripada kami berdua yang memang selalu kena cubit dengan mak dek mulut jahat kami.

Kata kak lang, mesti cuping telinga pak lang makin nipis dek bebelan bini dia Mak Lang Marlia yang hari-hari mendesak dia menuntut janji daripada mak aku. Silap-silap tertanggal nanti cuping telinga dia dek panasnya suara bini dia tu memetir. Aku memang anti dengan bini pak lang tu. Spesies berlagak. Pandang sengkek kat orang mentang-mentang dia anak orang kaya. Mulut macam puaka kena sumpah. Sepadan la laki bini tu.

“Mulut kau ni dari kecik memang suka menyakitkan hati orang kan? Entah apalah nasib Abang Din dapat anak macam kau ni.” Pak lang balas dengan ayat perli. Bengang kena sedas dengan aku tadi tak habis lagi.

Dia kalau nak perli mesti akan petik nama arwah abah sama. Sakit betul hati dengar. Celopar aku ni tak ada kena mengena dengan abah pun. Nak cover malu la tu sebab dah setepek aku bagi kat muka dia. Nasiblah. Jegil mata mak hinggap ke muka. Aku balas tayang riak tak bersalah. Tira menyampah la mak tengok muka dia. Jari-jemari mak spontan singgah di paha. Fuh! Peritnya. Tapi aku buat muka selamba. Tahan sakit yang hinggap walaupun boleh rasa berdenyut kat paha. Semua pasal geram dan sakit hati pada pak lang.

“Cakap dengan orang tua tak reti nak hormat. Abah kau ajar kau macam ni ke?” Pak lang terus baling rasa tak puas hati. Diseret lagi nama arwah abah.

Kalau tak fikirkan mak ada, memang aku maki dia kaw-kaw. Apa kes nak babitkan abah aku pula. Eei, orang tua tak sedar diri ni. Bila nak lupus dari muka bumi agaknya.

“Tira…” Suara mak buat aku laju berpaling. “Minta maaf pada pak lang. Jangan cakap macam tu dengan orang tua. Kan mak dah pesan.”

Berkerut muka aku. Apa ni mak? Apasal pula Tira yang kena nak minta maaf? Orang tua ni yang kurang ajar dulu. Dia kurang ajar dengan mak. Mak tu kan lagi tua daripada dia. Tahu yang aku tak setuju, mata mak bagi isyarat veto. Itu tanda aku kena ikut. Tiada bantahan. Geramnya. Aku berkalih ke depan. Nampak pak lang tayang senyum sinis.

Aku tarik nafas.

“Maaf, pak lang.” Lafaz yang tak aku rela ucapkan meluncur perlahan dari kotak suara.

Dia terus tarik senyum sinis. Makin lebar. Arrghhhhh!!! Bencinya aku tengok muka berlagak pak lang. Rasa nak pijak-pijak muka dia.

“Budak bandar macam ni la perangai. Tak reti hormat orang tua. Bahasa kurang ajar. Baru kerja cabuk dah berlagak melangit. Perangai tak semenggah!”

Aku genggam erat dua tangan. Menahan geram dan marah. Tadah aje telinga dengan perlian dia. Kau tu yang perangai tak semenggah! Kurang ajar! Apa punya bapak saudara pun aku tak tahulah. Mengambil kesempatan daripada kesempitan kami anak-beranak. Aku doa biar kau hidup tak senang sebab aniaya aku sekeluarga. Kesian arwah abah ada adik macam ni. Sanggup menipu darah daging sendiri sebab duit. Gelap mata sebab harta. Tanah sekangkang monyet ni pun nak digadaikannya. Memang celaka punya manusia!

“Aku ni bukan tak nak bayar, Deris. Tapi kau tau la aku ni mana la ada harta lain yang nak digadaikan untuk tebus tanah ni. Nak harap pencen aku tu berapa la sangat yang dapat sebulan.” Mak sambung bicara yang terputus dek kemunculanku tadi. Nak aje aku cakap dengan mak sudah-sudahlah merayu. Tak guna. Kita ada maruah. Jangan biar dipijak-pijak. Cukup-cukup la. Manusia macam pak lang ni memang tak ada hati perut. Hidup dia berkiblat duit dan harta.

“Tak ada tapi-tapi lagi. Dah cukup masa aku bagi. Jangan nak bagi alasan bodoh. Dari sejak abang long meninggal aku bagi tempoh…tak juga berbayar!”

Alasan bodoh otak kau la! Ringan aje tangan nak tampar-tampar aje mulut celopar dia.

“Aku dah tak nak dengar semua tu, kak long. Yang aku tahu, kau bayar duit yang aku mintak hujung minggu depan. Kalau tak bayar juga, kau anak-beranak keluar dari rumah ni. Sila berhambus. Angkut semua kain baju dan barang-barang kau. Aku nak jual tanah dan rumah ni sekali!” Tempik pak lang bergema untuk kesekian kalinya.

Aku ketap gigi sekuat hati. Kurang ajar punya orang tua! Dasar keparat.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL AKU BUKAN KELIP KELIP (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *