Aku Bukan Kelip Kelip – Bab 3

PAK LANG tak ada hak nak halau kami!” Tubuh terus bangkit daripada duduk. Tangan kanan ikut beraksi. Menuding telunjuk ke muka pak lang. Mak tarik tangan aku yang menuding ke arah pak lang. Aku akur. Jatuhkan tangan ke sisi. Mak tarik lagi tangan aku. Nak aku duduk. Tapi kali ini aku tak endah. Terus batukan diri.

Aku tak peduli. Tetap tegak menentang muka pak lang yang masih duduk si kerusi. Menggigil seluruh badan. Bukan sebab takut. Tapi itu tindak balas tubuh sebab aku sedang sangat marah sekarang. Rasa nak meletup. Dah tak boleh tahan dengan orang tua keparat ni. Dia dah melampau!

Matanya merah menyala. Gigi diketap. Tersentak barangkali. Marah bila pekikan suaraku yang membantah kata-katanya tadi bergema. Pergi mampus dengan marah dia. Pergi jahanam dengan hormat pada orang lebih tua.

Orang tua di depan ini yang harus diajar makna hormat pada orang lain. Degup jantung berlari kencang. Dada ikut turun naik. Amarah terus membadai membuak-buak. Ya. Marahku pada dia sudah tak terbendung.

Senang-senang dia nak suruh aku dengan mak berhambus dari rumah ni. Dia ingat senang-senang boleh rampas hak yang satu ni dari kami. Jangan harap! Langkah mayat aku dulu.

“Siapa cakap aku tak ada hak? Cakap. Siapa? Kau?” Telunjuknya tegak memanah tepat ke mukaku. Jegil mata tuanya tersembul.

Kalaulah aku punya kuasa memang aku korek biji mata dia. Tak guna ada mata tapi buta.

“Tanah dan rumah ni dah jadi milik aku. Aku!” Sebelah tangannya megah menepuk dada. Nafasku mendengus. Sakit hati melihat lagak pak lang.

“Abang Din dah serahkan pada aku. Abah kau yang dah mampus tu dah jual pada aku. Faham? Bodoh!”

Aku tunduk seketika. Mencuri nafas. Perlahan- lahan angkat kepala. Dia melempar jeling. Aku angkat telunjuk semula. Tepat ke muka dia.

“Selagi hidup, rumah ni tetap rumah abah Tira!

Tanah tapak rumah ni milik abah Tira!” “Kepala hotak kau!”

“Pak lang tu yang tak ada otak!” Jeritku tersembur.

“Tira, sudah.”

“Dasar bodoh!”

“Yang bodoh tu pak lang! Bodoh nak mampus!”

“Kurang ajar!”

“Pak lang tu yang kena diajar!”

“Sudah, Tira!” Jerit mak tidak mampu mengekang amarahku.

Aku dah tak peduli. Kali ini aku akan lawan pak lang habis-habisan.

Tegak tubuhnya dari kerusi. Saling bertentang mata denganku. Tajam matanya merenung. Telunjuknya naik ke mukaku. Aku balas tenung dia. Aku tak takut. Langsung tidak!

“Kau ingat aku siapa?”

“Lintah darat. Penipu. Pembelit. Pembohong. Penindas. Makan duit haram. Makan harta anak yatim. Bakal ahli neraka.”

“Pang!!!!!”

Tersasar sedikit tubuhku ke belakang dek penangan pelempang pak lang. Nasib baik kaki dapat stabilkan tubuh. Tidak, mahu aku jatuh terduduk. Tapak tangan kanan memanjat naik ke pipi. Mengusap kulit muka yang terasa perit. Terasa panas. Aku pandang muka pak lang.

Gelombang nafas turun naik. Sakitnya hati bila tengok muka dia. Berani tangan dia naik ke mukaku. Seumur hidup abah tak pernah tangannya naik menyentuh aku dan adik beradik yang lain. Mengingati hal itu makin meluap-luap amarahku pada pak lang. Gigi yang aku ketap saling berlaga. Ikut sama meraikan amukan perasaanku saat ini.

“Duduk!” Mak tarik tanganku. Aku berpaling. Melontar riak enggan. Aku takkan kalah dengan pak lang. Takkan! Dia yang mulakan semua ini. Kenapa aku yang kena mengalah pula?

Mak tahu tak hati Tira sakit sangat sekarang? Berani dia tampar Tira, mak! Mak dan abah tak pernah pun buat macam tu kat Tira. Isyarat mata mak yang cukup tajam buat aku terpaksa menurut arahan dan perintah. Tubuh terhenyak kuat di kerusi bersama rasa tak puas hati yang masih bermaharajalela. Dengus bengang terhumban dari kerongkong.

“Kak long minta maaf, Deris. Budak-budak memang cepat panas. Tira ni memang suka melawan. Kamu pun kenal perangai dia dari kecik memang macam tu.”

Aku kerling tak puas hati kat mak.

Kenapa nak minta maaf pula? Tira tak salah la, mak. Nak aje aku jerit kat mak cakap orang tua tak sedar diri ni yang cari pasal dulu! Arghhhh! Sakitnya hati. Dah la pipi masih terasa sengal lagi. Bertambah-tambah sakit jadinya.

Pak lang hempas kasar tubuhnya semula ke kerusi bersama kerlingan tajam. Telunjuk dihalakan pada mak. Memang celaka orang tua ni. Tak umpamakan langsung mak aku ni isteri arwah abang sulung dia. Kalau aku ni bela hantu memang aku suruh hantu tu cekik dia. Biar mampus!

“Ajar anak kau yang sorang ni, kak long. Kalau kau dah tak tahu nak ajar anak kau sendiri…biar aku yang ajar. Tahu la aku macam mana nak ajar si Tira ni. Budak kurang ajar macam ni kalau terus dibiarkan dengan perangai buruk nanti memalukan keluarga. Nama aku pun terbabit sama nanti. Aku ni orang terhormat kat kampung ni. Aku tak nak nama aku jadi busuk dek perangai tak senonoh anak dara kau ni.”

Sedap aje dia mengata aku. Kau tu yang perangai buruk laa! Aku sumpah dia mati kena panah dengan petir. Biar hangus terbakar. Macamlah perangai anak-anak dia tu cantik sangat. Macam syaitonirrojim adalah!

“Deris, kak long tau kami ni dah langgar janji tapi…”

“Tapi apa? Nak mintak tempoh lagi?”

Petir suara dia buat mak tersentak. Tangan mak urut dada. Aku ikut urut dada mak. Mahu menenangkan mak yang terkejut kena tempik suara keras pak lang yang macam tali gantung yang menjerut leher. Jeling tajam aku humban pada pak lang. Rasa nak terajang aje dia. Setan betul dia ni. Cakap suruh orang hormat orang tua pandai. Tapi kau reti nak hormat orang yang lebih tua ke? Kau sedar tak kau bercakap dengan siapa haa? Mak aku ni kak ipar kau tau tak? Ingat adik-adik kau ke boleh kau tengking herdik!

“Deris…kau pun tahu kan kak lo…”

“Tak boleh! Jangan harap aku nak bagi muka lagi pada korang anak beranak!”

Ayat mak laju dicantas pak lang. Langsung tak beri peluang. Tangannya digoyang laju dengan suara yang terlantun kuat. Aku tengok mak. Nampak mak telan liur. Kesiannya mak aku.

“Deris…tolonglah. Jangan buat macam ni. Ni kan tanah dan rumah abang long kamu. Dia bina rumah ni dengan tulang kudrat dia sendiri. Kamu tergamak ke buat macam tu. Kesian la kat kak long ni, Deris. Kak long dah tua. Mana lagi kak long nak pergi kalau kamu ambil tanah dan rumah ni. Rumah ni aje la harta yang arwah tinggalkan untuk kak long anak beranak. Kami ni tak kaya macam kamu. Tolonglah pertimbangkan keadaan kak long ni, Deris.”

Pedihnya hati aku dengar kata-kata dan rayuan mak. Dalam masa yang sama, hati aku tambah sakit dan geram pandang muka pak lang. Tahu sangat hasrat dia dari dulu yang memang nak sungguh tanah dan rumah peninggalan arwah abah ini. Rumah dan tanah tepi jalan. Siapa tak nak. Bila arwah abah tawarkan nak cagar tanah tapak rumah ni untuk dapatkan pinjaman duit, terus aje dia setuju. Ibarat bulan jatuh ke riba la tawaran tu. Sekarang ni dia dapat tawaran harga tinggi daripada pembeli, tu yang dia mendesak tak sudah-sudah. Menekan kami. Rugilah kalau dia lepaskan. Dan hasrat tu hampir jadi kenyataan sebab dia tahu aku sekeluarga takkan mampu nak sediakan duit sebanyak yang dia mahu. Memang bangsat la sedara macam ni. Tergamak makan harta anak yatim macam kami.

“Aku tak ki…”

“Saya akan bayar duit tu hujung bulan ni.” Suara aku kuat memintas kata-kata pak lang.

Mak pandang aku. Terkelip-kelip.

Tak percaya. Aku sendiri pun tak percaya apa yang aku cakap. Ikut suka mulut aje. Tapi hati dah tak tahan sangat. Geram nak mampus dengan perangai pak lang kat mak aku. Pak lang cekak pinggang pandang aku. Aku pun ikut balas pandang dia. Apa? Ingat aku takut? Kirim salam laa!

“Muka kau nak bayar hutang ni?” Riak mencemuh jelas terpampang di wajah pak lang. Nada menengking darinya menghentam telinga. Memang kurang ajar betul la adik arwah abah yang sorang ni. Kepalanya tergeleng-geleng bersama ketawa sinis yang membakar cupingku. Celaka betul!

“Ada banyak duit ke muka macam kau ni? Diri sendiri pun tak lepas.” Bibirnya menjuih. Mencebik. Bahunya ikut terangkat-angkat dek geli hati. Hatiku ikut hangat. Bangsat betul aku di mata pak lang. Ingat aku ni tak ada duit simpanan ke? Tiap-tiap bulan aku tetap simpan dalam bank walaupun cuma lima puluh ringgit!

“Eh, Tira. Kau ingat aku ni buta?”

Pak lang memang buta pun. Buta hati!

“Bukan aku tak tau kau tu kerja apa kat Kuala Lumpur sana. Kerani cabuk aje pun! Makan sorang pun tercekik, ada hati nak bayar hutang arwah abah kau kat aku. Kau ingat dua ratus lima puluh ribu tu sikit ke haa? Dua ribu pun belum tentu kau ada dalam bank. Jangan nak kelentong aku la, Tira.”

Pak lang ada access ke akaun bank, Tira Pak lang dah tengok ke berapa duit simpanan, Tira? Ada ke? Nak aje aku jerit kat dia macam tu tapi mulut aku tahan daripada memuntahkan kata-kata tu kat dia. Yang penting nak elak jeling mak dan ketam tangan mak berjalan lagi kat paha. Aku rasa arwah nenek patut bedung sekali mulut pak lang masa dia kecik-kecik dulu. Baru dia tahu beradab sikit kalau bercakap. Berlapik bila berkata-kata. Jangan nak semberono aje. Waima haiwan pun boleh terasa kalau dimarahi, ini kan pula manusia.

“Setakat kerani buruk macam kau, usah berangan cakap setinggi langit. Kau ingat aku ni bangang apa. Jangan nak bodoh-bodohkan aku. Kau tu sekolah takat mana aje pun. SPM pun nyawa-nyawa ikan. Nasib baik tak melingkup.”

Okey. Yang nak kutuk aku punya SPM nyawa- nyawa ikan tu apa hal? Mulut jahat aku ni ada hadnya juga. Kalau dah melampau, aku tak kira la kau siapa hatta bapa saudara sekalipun. Balas tetap balas. Janji hati aku puas!

“Nyawa-nyawa ikan pun, lulus juga. Tak la macam anak-anak pak lang. Melingkup semuanya. Sijil pun tak ada. Jangan nak mengata anak orang sangat. Kata anak sendiri dulu.” Tajam jelingan dia. Mampuslah. Kau kutuk aku tak beringat. Ketam mak naik spontan. Fuh! Gila perit. Muka nak berkerut tapi aku tahan. Tak nak tunjuk kat pak lang.

“Memang la kau lulus. Lulus takat kerja cabuk aje. Layak sangat dengan muka macam kau.”

Apa hal yang sebut muka aku ni? Muka aku dah kenapa? Main kasar orang tua ni. Baik!

“Muka macam saya kenapa pak lang? Muka lawa kan? Saya tau muka saya memang lawa. Pak lang baru tau ke. Saya dah lama tau.” Aku gelak. Sengaja nak bagi dia terbakar.

“Sebab muka saya lawa la yang layak jadi kerani syarikat besar. Itu berjuta kali lebih baik dari jadi menantu pak lang.” Aku hulur cebik.

“Hurm. Maaflah ye. Tak terliur saya. Apa kelas jadi isteri si Daud yang SPM pun terlingkup. Kurang- kurang bakal suami saya mestilah lulusan universiti. Baru padan dengan muka saya yang lawa gila ni.” Merah padam muka pak lang. Padan muka kau. Silap orang la kau nak cari gaduh.

“Lagi satu kan pak lang, jadi kerani cabuk pun, tak pernah lagi saya mengemis mintak beras, mintak nasi dengan pak lang. Ada ke, pak lang? Sebiji pun tak ada kan?” Aku depa sedikit tubuh ke depan. Seraut wajahnya aku tenung.

“Kami memang miskin tapi kami bukan pengemis. Arwah abah tak pernah ajar kami mengemis lagi-lagi dengan keluarga sendiri.” Aku nampak pak lang ketap gigi. Marah la tu. Peduli apa aku!

“Seumur hidup ni seingat sayalah belum lagi saya bawak tempurung mintak beras kat rumah pak lang. Arwah abah dan mak bagi saya cukup makan. Tak perlu nak meminta-minta. Lagi-lagi dari orang macam pak lang. Dah kerja ni lagilah tak perlu saya nak mintak sedekah kat pak lang. Saya mampu cari makan sendiri dan bagi mak saya makan. Saya takkan biar mak saya tak makan dan mengemis.” Aku paling pandang mak. Nampak mata mak basah. Aku senyum. Tapi hati aku terasa nak menangis sama.

“Gaji saya memang sikit, tapi alhamdulillah cukup. Belum pernah saya dan mak kebulur lagi. Rezeki ni biar sikit tapi berkat, pak lang. Menggunung pun duit tapi hasil daripada menipu menindas orang buat apa. Lagi-lagi darah daging sendiri. Jadi bahan bakar api neraka aje nanti semua tu. Mati nanti jadi bahan kutukan orang sampai kiamat.” Aku tutup hujahku dengan kesimpulan paling sadis sekali. Mohon terasa ye, pak lang.

Satu cubitan tangan kanan mak hinggap di paha. Fuh. Berapi sungguh jari-jari tua mak. Rasa nak menyeringai tapi aku tahan. Perit gila. Bisa tak boleh nak cakap. Aku gigit bibir kuat-kuat tahan sakit. Dah berapa kali lah paha aku kena serang dengan cubitan berapi mak hari ini. Sah lebam biru paha aku. Aduh. Berdenyut aku rasa.

Mak kalau marah memang macam ni. Mulut tak bercakap tapi tangan dia yang pantas berjalan. Tapi aku tak kisah. Sakit dan lebam cubitan ni dua tiga hari nanti hilanglah. Janji aku puas dapat kenakan pak lang. Padan dengan muka berlagak dia. Mentang-mentang hidup senang, boleh suka-suka aje nak hina orang. Orang lain bolehlah. Aku jangan!

Mata nampak rahang pak lang bergerak-gerak menahan marah. Aku tunggu dia balas balik apa yang aku cakap. Tapi bila dia lempar jeling seraya mendengus kuat dan terus bangun menapak ke arah palang pintu, aku gelak kuat dalam hati. Memang dia takkan mampu nak balas. Dah memang betul pun apa yang aku cakap tadi. Dia memang kaki penipu. Satu kampung tahu. Dasar manusia tak ada hati perut. Dengan abang sendiri pun sanggup menipu.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL AKU BUKAN KELIP KELIP (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *