Aku Bukan Kelip Kelip – Bab 4

PAK LANG DERIS atau nama sebenarnya Idris Sani adik arwah abah yang ketiga. Arwah abah ada empat adik beradik.

Arwah abah, Nordin anak yang sulung, arwah Pak Ngah Jalil, Pak Lang Deris dan arwah Mak Su Hamimah. Mak su meninggal awal. Masa umur lima tahun sebab demam panas.

Dan pak lang bernasib baik sebab dapat mentua kaya dan berharta. Kahwin pula dengan anak tunggal tok ketua kampung, tentulah bangga. Semua harta peninggalan mentua dia dapatlah secara tak langsung sebab isteri dia, Mak Lang Maria pewaris tunggal. Tapi pak lang jadi lupa diri dan sombong sampaikan abang kandung sendiri pun dia sanggup tipu. Walhal aku ingat lagi arwah abah pernah kata dulu, dia cagar geran tapak rumah ni pada pak lang untuk sementara aje. Ada duit nanti dia akan bayar jumlah yang dia pinjam. Kalau tak sempat, kami adik-beradik yang akan bayar. Pak lang setuju dengan syarat abah.

Arwah abah pinjam seratus ribu dari pak lang pun untuk tanggung kos pembedahan jantung berlubang dan rawatan susulan Ziyad; anak kedua kak ngah enam tahun dulu. Kak long, kak ngah dan suami masing-masing dapat kumpul lima belas ribu aje masa tu. Kak lang masa tu belum kahwin lagi tapi dah bertunang. Abang Hadi bagi sepuluh ribu kat kami. Itu aje yang dia mampu masa tu sebab hasil kebun dia tak menjadi sangat.

Aku pula masa tu baru aje habis SPM. Memang tak dapat nak sumbang apa-apa. Tapi abah memang berfikiran jauh. Walaupun kos dan rawatan susulan cuma seratus ribu, tambah dengan duit yang terkumpul memang lebih dari cukup, abah cakap baik ada simpanan. Mana tau kalau nak pakai duit lagi. Tak adalah kelam-kabut. Sebab tu dia pinjam jumlah macam tu. Pak lang jangan haraplah. Sesen pun tak hulur!

Kalaulah arwah abah masih hidup, mesti dia sedih dengan perbuatan pak lang. Arwah abah mesti tak sangka pak lang tergamak memeras dengan berganda bayaran yang kena dibayar untuk tebus balik tanah yang dah tercagar. Duit boleh buat manusia hilang kemanusiaan. Hubungan adik-beradik boleh terputus sebab duit!

Dia terus senyap dan turun ke serambi. Aku dan mak ikut dari belakang. Mak lempar jeling padaku. Sah la lepas ni kena leter dengan mak sebab mulut lancang aku tadi.

Mak memang pantang anak-anak dia kurang ajar dengan orang tua. Dan aku memanglah satu- satunya anak mak yang selalu sangat langgar pantang dia. Aku tak kisah kalau kena bebel dengan mak fasal ni. Janji hati aku puas dapat tembak pak lang kaw-kaw. Dia tampar aku tadi kan? Haa mendapat la dia tamparan yang lagi power daripada aku. Tamparan yang buat terkunci terus mulut lancang dia tu. Padan muka!

Pak lang menuruni anak tangga untuk ke bawah. Aku dan mak hanya berdiri di palang serambi perhatikan dia dari atas rumah.

Pak lang toleh pandang aku. Tajam mata dia tenung aku. Eleh. Ingat aku takut ke? Boleh blah la. Telunjuk dia lurus menuding kat aku. Aku tayang muka selamba.

“Baik. Aku tunggu hujung bulan ni. Tak dapat duit tu, kau dengan mak kau berhambus dari rumah ni. Ingat, Tira!” Dia terus masuk dalam kereta dan tarik pintu kereta Vios hitam berkilat yang baru dibeli. Bergema enjin Vios dan tayarnya mendesit kuat membelah halaman.

Aku cebik. Sengaja nak tayang la tu tekan minyak kuat-kuat. Macamlah aku hairan. Vios aje pun!

“Aduhhh!”

Cubitan ketam separa maut tangan mak singgah di lengan. Berkerut muka. Ini puntalan kali ke berapa ek? Tak terkira dah. Denyut kat paha tak surut lagi, mak tambah pula denyutan kat lengan kanan.

Tangan kiri naik menggosok lengan kanan yang menjinjit plastik ikan haruan tadi. Lebam memang confirmed tapi berapa luas jajahan lebam ni aku kena selak la tengok karang.

“Sakit la mak. Lebam biru satu badan Tira hari ni. Nak mohon cuti sakit la hari ni. Tak payah tolong mak masak. Sakit paha dan sakit lengan kena virus ketam.

“Boleh ek?” Mak baling jeling. Aku balas sengih tak bersalah.

“Banyak kali kan pesan. Jangan melawan cakap orang tua. Apasal la kamu ni suka sangat melawan cakap mak. Tak faham la mak dengan kamu ni, Tira.”

Aku tarik muncung. Bebola mata terhumban ke jalan tar di depan pintu pagar rumah. Vios pak lang dah lama lesap daripada pandangan.

Sah sambil dia pandu kereta sambil maki aku berbakul-bakul. Bukan aku tak kenal perangai buruk pak lang.

“Kita ni biar miskin harta, jangan miskin adab.”

Macam biasa, smash di jaring mak mesti masuk gelanggang aku.

“Pak lang tu yang mulakan la, mak. Bukan Tira. Bukan salah Tira seratus peratus. Mulut dia tu yang celopar.” Aku bagi hujah bela diri.

“Mak tak kira siapa yang mula. Tak baik kan cakap kurang ajar macam tadi kat orang tua. Pak lang tu tua daripada kamu.”

Aku cebik. Tua mua. Tira tak kira mak.

Bantahan yang bergema dalam hati.

“Habis takkan kita nak mengalah aje setiap kali dia buat macam tadi tu. Dia yang kurang ajar dulu. Mak pun tengok tadi kan? Berlagak nak mam…” Aku kemam bibir bila jeling mak singgah di mata.

“Itu dia. Mak tak campur. Kamu tu anak mak. Jangan nak membantah. Dengar cakap mak. Mak cakap jangan maknanya jangan buat. Dengar ke tidak ni?”

“Fuh.” Aku hembus nafas dengan juihan bibir.

“Yelah…yelah. Orang dengar. Orang salah. Maaf zahir batin, mak. Selamat hari raya.” Aku capai tangan mak dan cium.

Balasannya bahu aku kena tampar dengan mak. Mengilai ketawa aku. Pecah gelak mak.

“Suka main-main budak bertuah ni la.” Aku sambung gelak. Mak geleng kepala.

“Tira…” Mak terus pandang aku.

“Emm.” Mak masih diam pandang aku. Macam berfikir. Aku elus bahu mak.

“Kenapa mak pandang Tira macam tu? Tau la Tira ni lawa giler…” Aku gelak halus. Saja nak usik mak. Bagi dia ceria sikit. Tak nak dia masih terbawa-bawa kesedihan tadi.

“Ish, budak ni. Ke situ pula dia.”

“Dah tu mak asyik pandang aje kat Tira.” Aku pusing-pusingkan muka. Sengaja nak kendurkan risau mak. Aku tahu apa yang ada dalam kepala mak sekarang.

“Mana kamu nak dapat duit tu? Bukan sikit. Yang kamu pergi berjanji dengan dia macam tu buat apa. Kamu bukan tak tau perangai dia. Biar mak pujuk pak lang kamu tu lagi. Dia tengah marah tu. Nanti dah sejuk mungkin dia akan ubah fikiran.” Aku goyangkan tangan depan mata mak.

“Tak ada maknanya mak. Dah.” Aku geleng kepala.

“Tak payahlah nak pujuk-pujuk orang tua tu.” Aku memang dah masak sangat perangai orang tua penamak tu.

“Nanti dia hamun mak lagi macam tadi. Panas tau hati Tira ni. Karang Tira pula yang balas maki dia sampai dia koma.”

“Hesy. Kamu ni.” Mak pulas perut aku.

“Ouch! Sakit mak.” Aku kemam bibir. Tahan perit cubitan mak. Mak ni aku syak memang kembar ketam batu. Tu yang kalau menyepit boleh demam dibuatnya.

“Tadi baru janji kan tak nak melawan.” Aku lepas nafas.

Mak…mak. Pasal mak baik sangat la Tira yang kena melawan orang tua kutuk tu. Kalau tak, mahu suara mak yang dipijak-pijak dek sombong lagak pak lang.

“Mak tu risau kalau kamu tak dapat duit tu hujung bulan ni macam mana?”

Aku senyum manis. Risau pasal ni rupanya. “Insya-ALLAH. Tahulah Tira nak usahakan dari mana. Mak jangan risau.”

Dalam kepala aku sekarang hanya nampak Halim aje. Harap sangat dia boleh tolong aku. Kalau tak memang mati berdiri la aku jawabnya.

“Macam mana nak usaha duit banyak macam tu? Bukan sikit tau tak?” Berkerut muka mak fikir janji aku pada pak lang tadi.

“Nanti Tira tanya bos Tira kalau dia boleh tolong atau carikan caranya. Mak janganlah berkerut muka macam tu.” Aku bagi alasan nak redakan gundah mak.

Kesian dia yang risau fikir rumah dan tanah peninggalan arwah abah yang berkemungkinan berpindah milik pada pak lang.

“Nak ke dia tolong kamu? Banyak duitnya tu, Tira.” Mak masih tak puas hati. Aku faham perasaan mak. Tanah dan rumah ni peninggalan arwah abah untuk mak dan kami semua.

“Insya-ALLAH. Dah la mak. Toksah risau.” Aku elus bahu mak.

Kesian tengok muka mak. Risau kalau tanah dan rumah ni dilelong pak lang. Habislah nanti tanda akhir peninggalan arwah abah hilang daripada pegangan kami.

Plastik yang aku jinjit dari tadi aku hulur kat mak.

“Mak Besah kirim salam.”

“Waalaikumsalam.” Mak sambut. Perlahan.

Tapi muka masih berkerut risau.

Sah tak percaya dengan cakap aku tadi. Aku elus bahu mak.

“Mak tak payahlah buat muka macam tu. Tahulah Tira nak uruskan. Jangan risau. Dahlah. Jom kita masak. Lama mak tak masak lemak cili padi ikan haruan dengan belimbing. Dua ekor kita salai untuk kak lang. Yang baki lagi mak gulai. Boleh bagi mak ngah sikit. Abang lang suka ni mak. Tapi Tira cop dua ekor. Yang paling besar tau mak. Sekor makan siang. Sekor makan malam. Ngee.” Aku tayang sengih lebar. Mak cubit lembut pipi aku.

“Hesy. Anak dara apa ni makan ikan sampai dua ekor. Orang lelaki kalau tengok takut nak buat kamu ni bini. Kuat makan. Tak merasa la mak nak dapat menantu bongsu.”

Bibirku menjuih. “Eleh. Tak kahwin pun tak apa. Kalau takat ikan dua ekor pun tak mampu bagi bini makan nak berkira bagai baik jangan berbini. Kahwin aje dengan kambing. Jimat. Makan rumput dengan lalang aje. Kan senang. Jimat duit.”

“Mulut tu ada aje nak membalas. Eloklah cakap macam tu. Tak dengar tadi apa pak lang kata pasal kamu.” Mak cubit lagi pipi aku. Aku cebik sambil sapu pipi dengan tapak tangan.

“Betul apa Tira cakap, mak. Pak lang tu aje yang tak boleh nak terima. Dia aje yang betul. Menyampah.” Mak lepas nafas. Mesti dah kehabisan idea nak balas cakap aku. Selalu mak macam ni la. Malas nak melayan mulut pop corn aku. Aku tepuk-tepuk bahu mak. “Tak apa. Mak jangan risau pasal jodoh Tira. Nanti Tira cari tauke ikan jadi menantu mak ek. Bukan setakat dua ekor aje, dua kapal ikan pun dia mampu bagi anak mak ni makan tau. Dengan mak sekali dengan satu kampung boleh tumpang makan.” Aku sengih lepas tu gelak-gelak. Mak geleng kepala. “Menjawab nombor satu

kamu tu. Ada aje jawapan dia. Asyik nak menang aje. Tak berubah perangai. Dari kecik sampai ke besar. Jangan dah kahwin nanti buat perangai macam ni. Lari nanti laki kamu baru padan.” Mak terus bebel sambil melangkah masuk ke dalam. Mestilah nak menang mak. Siapa la pula nak kalah. Aku jawab dalam hati. Tak berani balas depan- depan. Nanti harus kena ketam lagi dengan mak. Dah la nak mohon cuti sakit tak dapat. Kaki melangkah masuk. Mak sebut laki tadi kan. Hurm. Kalau nak jadi laki aku kena la terima pakej dengan mulut aku yang terlebih ramah ni sekali. Ingat ada ke manusia yang sempurna kat dunia ni. Mana ada. Kerat kepala la. Nak yang macam tu, alamat mereput la kau tak berbini. Dan aku pun tak hingin jantan yang perasan nak cari bini perfect. Perfect la sangat. Silap-silap, defect yang kau dapat. Padan muka!

“Dah kamu petik belimbing kat belakang tu,

Tira?”

“Jap lagi Tira gi petik, mak. Nak tutup pintu ni dulu. Karang masuk pula malaun sesat dalam rumah kita ni.” Aku rapatkan pintu yang memisahkan serambi dan ruang tamu. Selak kat atas dan bawah pintu aku tolak.

Usai kunci pintu aku hala langkah laju ke arah dapur. Misi kukur kelapa dengan petik belimbing buluh sedang menanti.

Okey. Jom masak, Tira.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL AKU BUKAN KELIP KELIP (PENULIS: APRIL SNOW)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *