MOTOR yang aku tunggang memasuki halaman rumah mak ngah. Tak nampak Waja abang lang. Lori pickup dia aje yang ada terparkir kat hujung halaman. Keluar kut abang lang. Terus aku parkir motor kat bawah pokok jambu bertih yang lebat berbuah. Aku matikan enjin dan tarik kunci. Kepala dongak sikit pandang buah jambu yang memerah. Geram. Tangan capai sebiji dua dan sumbat dalam mulut. Rakus aku kunyah. Hurmmm. Masam- masam. Sedap. Aku capai sebiji lagi dan sumbat dalam mulut. Karang balik nak petik la. Nak bawak balik KL esok pagi. Aifa; rakan serumahku memang suka makan jambu ni. Ada la geng pencecah. Makan sorang-sorang mana syok. Tak ada feel.
Aku sumbat kunci motor dalam poket jeans. Keluarkan mangkuk tingkat berisi gulai dan haruan salai yang mak masak tadi dari dalam raga motor. Sempat aku toleh side mirror dan betulkan rambut yang berserabut tadi ditiup angin. Kaki menapak menuju ke pintu dapur yang separuh terbuka di sebelah atas. Aku kerling toleh tingkat atas. Nampak tingkap bilik kak lang terbuka. Mesti tengah tunggu lauk haruan salai mak. Aku ada hantar pesanan WhatsApp tadi. Kemain suka lagi dia. Siap suruh datang cepat. Aku jengah kepala ke dalam ruang dapur.
“Assalamualaikum. Mak ngah. Oo… mak ngah. Tira ni haa. Mak bagi gulai dengan haruan salai.” Aku tanggalkan selipar yang aku pakai dan terus tolak selak pintu daripada sebelah dalam. Tak ada nak tunggu mak ngah datang bukakan pintu. Memang dah biasa buat macam ni sejak kecil lagi. Rumah mak ngah dah macam rumah sendiri.
Melangkah masuk, hidung terhidu bau nangka yang cukup menusuk. Mesti abang lang petik buah nangka madu kat kebun dia ni. Nak hantar ke pusat pengumpulan FAMA la agaknya. Abang ipar aku memang ada tanam pokok nangka madu kat kebun dia.
“Waalaikumsalam. Masuklah, Tira. Mak ngah tengah kacau lauk atas dapur ni. Letak aje gulai tu atas meja makan.” Suara mak ngah nyaring membalas salam.
Suara dia memang kuat macam speaker tapi hati dia tak sekuat speaker. Hati tisu mak saudara aku ni. Tangkap sedih kalau tengok cerita melalak-lalak ni. Sama naik dengan mak aku. Entah apa-apa aje. Tengok drama pun boleh tangkap berkotak-kotak tisu. Aku siap usik mak dengan mak ngah nak hadiahkan dia orang tuala good morning. Jimat sikit. Tisu tu kan mahal.
Aku melangkah masuk dan selak pintu semula. Mangkuk tingkat aku letakkan atas meja makan macam yang mak ngah suruh. Kaki terus berjalan masuk ke ruang memasak yang ke dalam sedikit. Mak ngah yang menghadap dapur macam sedang mengacau sesuatu dalam kuali. Aku rapati mak ngah dari arah belakang. Kepala menjenguk. Nak tengok apa yang sedang dimasak. Bau masakan tu macam dah biasa kat hidung aku ni. Dan saat mata nampak apa yang ada dalam kuali aku dah terjerit kesukaan.
“Wah! Mak ngah masak sambal goreng biji nangka dengan ikan bilis garing.” Macam nak masuk kepala dalam kuali. Teruja punya pasal.
“Patutlah bau nangka semerbak aje tadi masa Tira masuk. Sedapnya. Nak rasa.” Selamba aku cekup sikit isi dalam kuali dan masukkan ke dalam mulut.
“Auchh! Panas… panas!” Tangan mengipas lidah tapi mulut terus mengunyah. Mak ngah memang handal masak lauk yang rare ni. Mak pun kalah dengan air tangan mak ngah. Dari kecik memang aku selalu suruh dia masakkan kalau musim buah nangka.
“Ya ALLAH budak bertuah ni. Sabar la kut ye pun Tira ooi. Aku ketuk dengan sudip tangan tu karang.” Mak ngah jentik perlahan pipi aku. Tak sakit pun. Marah-marah sayang aje mak saudara aku ni.
“Sedap aar, mak ngah. Mana boleh tahan. Menggoda sangat.” Aku jilat hujung jari. Pedas-pedas lemak manis. Mata terus melekat ke dalam kuali. Lama juga tak makan sambal goreng biji nangka ni.
“Melecur lidah tu baru padan muka kamu.” Mak ngah tutup suis dapur gas dan capai mangkuk kaca yang tersedia di sebelah dapur.
“Ala. Tak kisah. Sikit aje. Janji puas hati dapat cekup makan panas-panas. Mabeles woo.” Aku terus khusyuk perhatikan mak ngah mencedok sambal goreng biji nangka bersama ikan bilis. Ada chance la aku dapat bawak balik lauk ni karang. Boleh simpan bawak bekal ke KL esok.
“Menjawab nombor satu.”
“Teh Nuur Tirana memang satu aje dalam dunia ni, mak ngah. Mana ada dua tiga.” Aku lempar sengih.
“Kamu ni kan…” Dua jari mak ngah mencubit lembut pipiku.
“Mulut tu hesy. Plaster baru tau. Tak reti diam. Ada aje jawabnya.”
“Ala tak payah susah-susah cari plaster la mak ngah. Esok pagi Tira balik KL dah.”
“Kita tau ler awak balik kampung awak kat KL tu esok.” Bibir mak ngah hantar juih. Aku gelak. Dia memang suka melawak dengan aku.
“Tu yang kita masak sambal biji nangka ni untuk awak. Bolehlah awak bawak balik esok. Ni kan kesukaan awak. Kita tau.”
Dua tangan paut lehernya. Dan aku cium pipi mak ngah. “Tu yang Tira sayang mak ngah…muahh muahhh.”
Mak ngah sapu pipinya. “Hesy…geli aku. Melekat air liur. Gosok gigi ke tidak kamu ni tadi.”Aku gelak besar.
“Orang gosok la. Pagi semalam…”
“Ya rabbi. Muka aje lawa anak dara ni. Pengotor betul. Syohh…syoh kuman-kuman.” Sengaja ditolak muka aku. Makin kuat gelak aku dan cium sekali lagi pipi dia.
“Acah aje la. Orang gosok gigi tiga kali sehari tau…haaa.” Aku hembus nafas.
“Bau Colgate pun masih melekat lagi tau.” Tangannya naik mencubit hidungku.
“Nakal tak sudah-sudah. Dah. Tolong mak ngah capai mangkuk kecil kat rak pinggan tu.” Aku akur. Dua tangan yang memaut leher mak ngah terlerai. Kaki bergerak ke arah rak pinggan mangkuk dan capai mangkuk kaca kecil.
“Nah, mak ngah.” Aku perhati aje apa yang mak ngah buat.
Dua mangkuk berisi sambal goreng biji nangka bersama ikan bilis mak ngah bawa ke meja makan. Aku mengekor aje mak ngah dari belakang. Mak ngah letak kedua-duanya di atas meja.
“Yang dalam mangkuk besar ni kamu punya untuk bawa balik ke KL esok. Biar sejuk dulu. Karang mak ngah salinkan dalam tupperware.” Senyum aku dah selebar pintu dapur. Siap aku angkat mangkuk yang mak ngah cakap aku punya dan aku hidu. Hurmmm. Sedapnya. Semangkuk tu aku punya. Seminggu boleh la aku ulang makan nanti. Best.
“Ni mangkuk tingkat gulai dengan haruan salai yang mak kamu masak?” Mak ngah capai mangkuk tingkat yang aku bawa tadi.
“Ha’ah, mak ngah.” Mak ngah tanggalkan satu persatu bekas mangkuk tingkat.
“Sedap gulai haruan salai ni. Suka la Abang Hadi kamu ni karang.” Mak ngah hidu gulai yang masih suam-suam.
Senyum mak ngah melebar. Aku ikut tersenyum.
“Ha’ah. Mak memang bagi lebih sebab tau abang lang suka makan.” Mak ngah mengangguk.
“Dia memang hantu gulai ni. Dah. Kamu tolong mak ngah salinkan haruan salai untuk kak lang kamu.
Mak ngah sendukkan nasi dan lauk untuk dia. Dah waktu untuk dia makan ni.”
“Yes, madam.” Aku bergerak ke rak pinggan mangkuk semula.
“HUJUNG bulan ni?”
Tangan kak lang yang sedang menyuap nasi berlaukkan ikan haruan salai terhenti. Tak jadi dia suap nasi. Tergantung aje tangan dia.
“Kau janji dengan pak lang macam tu? Biar betul kau, Tira.” Statik muka dia tengok aku. Macam siaran TV kena pause aje dengan remote. Nak tergelak aku tengok muka dia.
“Ha’ah.” Aku jawab senafas. Nampak kak lang geleng kepala.
“Kau dah gila ke? Mana nak cekau duit banyak tu dalam masa dua minggu? Kenapa la kau pergi berjanji dengan pak lang cakap macam tu? Cari pasal la kau ni. Free aje nanti kena hamun dengan dia.” Bebel dia mengasak telinga.
Aku yang berbaring di tepi tilam sambil mencuit-cuit pipi gebu si comel Nadirah yang lena diulit mimpi angkat mata pandang kak lang. Biji mata melekat kat nasi yang masih tergantung kat tangan dia. Tak terasa kak lang marah aku. Mulut dia memang macam ni. Menurun daripada mak. Suka bebel.
“Makan, kak lang. Tak baik timbang nasi macam tu. Mak kalau nampak ni mahu kau kena bebel berjam-jam. Berlubang telinga.” Dia laju sumbat nasi ke dalam mulut. Tahu pula takut kalau aku sebut nama mak.
“Cari nahas sungguh la kau ni janji macam tu kat dia. Bukan kau tak tahu perangai pak lang tu macam mana.” Dengan mulut penuh dia sambung bebelan. Berpantang pun mulut tak reti nak rehat mak cik ni!
“Habis tu? Kak lang nak suruh aku diam aje tadah telinga dengar orang tua tu marah mak, sindir mak, tempik mak, herdik mak. Geram tau aku. Panas aje hati aku ni tengok dia buat mak macam tu. Mak tu biasa la. Diam aje. Mana reti melawan mulut. Terbakar betul aku tadi dengan perangai pak lang.”
“Hurm.” Kak lang lepas nafas sambil sambung suap nasi.
“Mak macam tu la. Kau bukan tak kenal mak.”
“Haa. Tahu pun kau. Habis takkan aku nak tengok dan biar aje orang tua tu buli mak.”
“Perang mulut la korang.” Kak lang suap ikan haruan salai. Selera sungguh dia aku tengok.
“Apa lagi. Memang perang la. Sama naik la suara aku dengan pak lang. Ketam mak pun naik sama panjat paha aku tapi aku tak peduli. Tahan jer perit kena kutil dengan mak. Geram punya pasal.” Kak lang ketawa halus.
“Sampai tahap dia dah tak boleh nak balas balik, dia balas dengan penampar kat pipi aku ni. Sakit giler tau, kak lang. Celaka betul orang tua.”
“Huk…huk…huk! Air…air!” Tangan kak lang menggagau capai gelas air suam. Aku sambar dan hulur kat dia.
“Pelan-pelan. Karang tercekik.” Gelas diletakkan semula selepas dua kali diteguk.
“Pak lang tampar kau? Dia tampar kau?” Terbeliak mata kak lang bila tengok aku angguk kepala.
“Setan betul.”
“Memang setan pun orang tua tu.”
“Lepas tu apa jadi lepas dia lempang kau?”
Aku lepas dengus kasar. “Makin menjadi la mulut dia bila mak suruh aku minta maaf sebab kurang ajar dengan dia. Benci aku tengok muka berlagak dia.”
“Laa…mak pun. Apasal buat macam tu.” Kak lang geleng kepala.
Aku hempas nafas. “Kau pun tau mak macam mana kan. Pantang dia kalau kita melawan cakap orang tua. Memang mendapatlah.”
“Kesian kau.”
Aku tarik nafas dalam-dalam. Tak salahkan mak pun. Mak tak salah. Semua mak kat dunia ni pun akan buat macam mak aku buat juga.
“Lepas tu apa jadi?” Kak lang sambung tanya sambil suap nasi yang sudah berbaki sedikit.
“Lepas tu sedap aje mulut dia kutuk aku. SPM nyawa-nyawa ikan la. Kerja kerani cabuk la. Duit dalam bank tak sampai dua ribu ada hati nak bayar hutang dia. Panas aje cuping ni.” Aku hala telunjuk ke telinga.
“Mendidih tau tak hati aku ni bila dia perli-perli aku.” Aku tepuk dada sendiri.
“Nak aje aku terajang dia tadi kalau tak fikirkan mak ada. Dasar mulut puaka punya orang tua.” Aku angkat kaki kanan yang bersarung jeans biru lusuh.
“Kaki aku ni pun lama dah tak tendang orang. Kalau kena tadi, senak juga la dia. Silap-silap terus koma. Baru padan muka dia.”
Kak lang tergelak. Kuat pula tu. Hesy, dia ni. Tak sedar ke dia dalam pantang. Dah la kena ikut tingkap sebab anak dia songsang. Aku laju pandang Nadirah. Nasib baik dia tak terkejut. Masih lena. Aku tepuk paha kak lang.
“Kau ni, kak lang. Jangan la ketawa galak sangat. Karang terbuka jahitan kau tu nahas tau tak?” Dia lepaskan ketawa yang bersisa. Sambung suap nasi yang tinggal tak sampai suku pinggan.
Ikan haruan selamat dah sekerat bahagian ekor masuk perut dia. Tadi lepas mak masak, terus dia suruh hantar ke rumah mak ngah. Mak cakap bagi kak lang makan dulu. Nanti dia nak menyusukan Nadirah. Mak dah siapkan bahagian kak lang. Sekerat aje. Tak boleh makan banyak. Asal jangan kempunan mak cakap. Selebihnya untuk mak ngah dan abang lang. Bukan main suka lagi mak ngah tadi dapat gulai ikan haruan campur belimbing buluh yang mak masak. Kesukaan abang lang yang kami semua tahu. Dua ekor boleh sekali hadap abang ipar aku tu kalau makan gulai haruan salai ni.
“Sekarang ni cuba kau cakap dengan aku mana kau nak dapat duit untuk tebus tanah arwah abah macam yang kau janji kat pak lang tu?” Kak lang letak semula pinggan dalam dulang yang mak ngah bawak tadi.
Dicapai gelas berisi air suam yang masih berbaki dan dibawa ke mulut. Aku bangun daripada baring. Mengengsot ke tingkap bilik kak lang yang terbuka. Aku sandarkan badan sambil berlunjur kaki. Sebelum kak lang tanya pun aku dah fikirkan penyelesaiannya. Dalam kepala memang ada nama dan muka Halim aje sekarang. Hanya dia harapan aku sekarang.
“Aku dah fikirkan pasal ni. Nanti aku mintak tolong kawan baik aku kat office. Dia banyak kaki. Bolehlah dia bagi jalan kat aku nak settlekan hal ni. Tahu la aku macam mana nanti nak buat.”
“Boleh ke dia tolong kau? Bukan sikit duit yang pak lang mintak. Dua ratus lima puluh ribu ringgit. Bukan dua ratus lima puluh hinggit.” Kak lang betulkan duduk. Macam mak, kak lang pun tunjuk muka risau. Aku pun risau juga. Tapi tak bolehlah nak tunjuk. Aku dah bagi janji kat pak lang. Macam mana pun aku mesti adakan duit tu hujung bulan ni!
Dan yang paling penting aku juga dah janji dengan arwah abah. Walau macam mana pun, tanah ni mesti aku dapatkan semula untuk mak. Ini amanah abah. Aku kena tunaikan.
“Kau janganlah nak berkerut sangat muka tu. Karang berkedut, lari laki kau nanti. Meraung kau, kak lang.” Aku gelak-gelak. Saja nak usik dia.
Aku tak nak fikiran dia runsing dalam keadaan dia masih awal berpantang ni. Mak cakap tak elok untuk kesihatan kalau ibu yang berpantang terlampau berfikir akan masalah. Boleh timbul masalah lain nanti. Bahaya. Aku tak nak kak lang susah hati. Biar aje aku yang pecah kepala fikir macam mana nak selesaikan hal hutang dengan pak lang.
“Tak ada maknanya laki aku nak lari. Kau tu jangan nak lari tajuk ek. Kita tengah bincang hal serius ni, Tira.” Kak lang lempar jeling halus.
Aku lepas keluhan. Perlahan.
“Aku akan cuba, kak lang. Tanggungjawab akukan.”
Memang aku tahu ni tanggungjawab aku. Nak harapkan kak long dan kak ngah, dia orang pun bukan bekerja. Harapkan duit daripada suami masing-masing.
Kak lang yang duduk setentang sambil berlunjur kaki pandang aku.
“Tanggungjawab kita semua empat beradik. Kalau tak dapat, tak apalah. Kau dah usaha. Kita tolak tepi kak long dengan kak ngah. Kita pun faham keadaan dia orang. Nanti aku bincang dengan abang lang kau. Dia ada cakap hari tu, kalau susah sangat, dia jualkan aje separuh kebun kelapa sawit dia tu. Janji dapat tebus balik tanah arwah abah. Payah kalau nak dapat balik kalau dah tergadai ke tangan orang lain.”
Jual tanah kebun?
“Eh, jangan-jangan.” Laju aku geleng kepala Tangan ikut naik dan bergoyang ke kiri dan kanan tanda tak setuju dengan cadangan kak lang. Gila apa nak jual tanah kebun laki dia.
“Jangan nak cari pasal sampai nak jual tanah lain pula. Itukan sumber rezeki kau anak-beranak. Apa ni. Tak-tak.” Kepala dan tangan saling membantah. “Aku tak setuju. Jangan nak buat benda mengarut.”
“Kau ni kan Ti…”
“Dah. Jangan nak degil.” Aku laju potong cakap kak lang. Tak nak bagi dia terus cakap hal jual kebun abang lang. Apa sekalipun aku takkan terima. Cukuplah tanah rumah kami yang tergadai.
“Kau doakan aku boleh selesaikan hal ni. Doakan kawan aku tu boleh tolong aku cari jalan selesaikan hal tanah arwah abah ni. Aku yakin dia akan tolong aku.” Kak lang pandang aku.
“Kalau kau dah kata macam tu, aku ikut aje. Tapi kalau tak dapat, kita kena ikut cara aku dengan abang lang kau untuk selamatkan tanah arwah abah tu.”
Aku angguk. Tapi jauh di sudut hati harap sangat Halim boleh tolong. Aku tak nak menyusahkan abang lang. Dah banyak sangat dia bantu kami sekeluarga sejak arwah abah meninggal. Nak harapkan pak lang, sokong bawak rebah la jawabnya!
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL AKU BUKAN KELIP KELIP (PENULIS: APRIL SNOW)