“ABANG!”
Zira terduduk di katil. Marah, sedih dan geram datang serentak. Kalau Iqbal ada di hadapan mata sekarang ini, memang lunyai lelaki itu dia kerjakan. Sijil nikah yang masih baru itu Zira baca sekali lagi. Mengecil mata Zira melihat tarikh pernikahan yang tertulis di situ.
“Ya ALLAH! Kenapa aku tak perasan selama ni?” Zira mundar-mandir tanpa arah. Berkali-kali dia beristighfar untuk meredakan kemarahan yang sedang membuak di dalam hati. Namun usahanya itu seperti kurang berjaya. Detak jantungnya semakin laju setiap kali terbayang wajah Shifa dan Iqbal.
“Bangsat kau Shifa. Kenapa dengan laki aku? Kenapa?” Zira merentap cadar sekuat hati. Tiba-tiba rasa jijik melihat tempat tidur sendiri. Terbayang sesuatu yang terpaksa dikongsi bersama kawan baik yang paling dia percayai. Tidak sangka kawan baik itulah yang menjadi duri dalam daging.
“Perempuan sundal. Biadap!” Sijil nikah direnyuk kasar kemudian dicampak ke lantai.
“Apa salah aku?” Zira menangis hiba. Patutlah teringin sangat nak memunggah album lama hari ini. Rupa-rupanya TUHAN nak tunjukkan sesuatu.
“Tak cukup ke layanan yang aku bagi? Apa lagi yang dia nak?” Zira meluah rasa. Apa akan jadi selepas ini? Bagaimana dengan nasib anak-anak mereka yang masih kecil itu?
Zira masih tidak faham. Angin tak ada, ribut tak ada tiba-tiba dia dimadukan. Dengan kawan baik dia pula tu. Rasa-rasanya tak ada yang kurang dalam setiap layanannya kepada Iqbal selama ini. Sentiasa serba sempurna.
Zira bangun mengadap cermin. Tubuhnya masih langsing. Muka pun belum berkedut lagi. Kalau dia keluar tanpa anak-anak pasti ada yang fikir dia masih belum kahwin. Iqbal pun kadang-kadang cemburu bila ada lelaki lain yang menjamu mata melihat kecantikan Zira. Tapi kenapa Iqbal masih nak ‘buka cawangan lain’? Tak puas ke dengan yang satu ni?
“Dasar jantan celaka!” Zira menyumpah lagi. Memang takkan hilang marahnya selagi orang yang dimaki tak berada di depan mata.
Zira cuba menyorot kembali tingkah dan perangai Iqbal sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini. Memang tak ada yang pelik-pelik. Dia masih menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa. Setakat pulang lewat sekali-sekala tu memang ada. Tak semena-mena Zira ketawa. Ketawa bersama lelehan air mata yang membasahi pipi.
“Huh! Selama ni balik lambat tu sebab melayan isteri mudalah ya?” Terangguk-angguk kepala Zira. Pandai betul Iqbal menyimpan rahsia.
Ketawa makin kuat apabila teringatkan Shifa. Dia memang sudah biasa keluar masuk rumah Zira. Iqbal memang sangat maklum dengan keakraban mereka. Cara Shifa melayan anak-anak Zira juga dah macam anak-anak sendiri. Dia tak lokek dengan Dahlia dan Ratna. Setiap kali datang ada sajalah barang permainan untuk Dahlia dan Ratna.
“Kau fikir dengan barang-barang tu kau boleh beli jiwa anak-anak aku? Tak boleh! Kau dah ambil laki aku. Jangan harap kau dapat rampas anak-anak aku pula. Dahlia dan Ratna aku punya. Aku punya!” Zira bertempik kuat.
“Ibu…” Dahlia dan Ratna muncul di pintu bilik. Zira menerpa dan dipeluknya mereka berdua. Air matanya tumpah lagi.
“Ibu menangis ke?” tanya Dahlia.
“Mana ada. Mata masuk habuk. Sayang ibu tak?”
“Sayang.” Dahlia dan Ratna jawab serentak.
“Kalau sayang, jangan tinggalkan ibu tau. Ibu cuma ada kamu berdua aje.” Belakang tubuh anak-anaknya Zira usap beberapa kali. Walaupun tak faham apa-apa, Dahlia dan Ratna membalas pelukan Zira. Masing-masing senyum simpul apabila pipi mereka dicium. Makin sebak hati Zira apabila Ratna cuba mengeringkan pipinya yang basah.
“Sayang ibu,” ucap Ratna dengan suara pelatnya. Makin luruh hati Zira. Wajah suci anak-anaknya ditenung lama.
“Ibu pun sayang Ratna. Jangan tinggalkan ibu ya?”
“Ibu nak pergi mana?” Dahlia yang masih belum mengerti apa-apa menyoal.
“Tak pergi mana-mana sayang. Ibu cakap aje.” Zira cuba bertenang. Rahsia besar ini perlu disorokkan. Dahlia dan Ratna tak perlu tahu. Lengan baju dijadikan kain untuk mengeringkan pipi yang basah. Zira cuba menguntum senyum sebaik mungkin.
“Lia pergi main dengan Ratna kat depan ya. Ibu nak kemas bilik sekejap. Jangan kacau tau.” Zira lepaskan pelukan. Dahlia dan Ratna terus berlari ke ruang tamu. Cepat-cepat Zira kunci pintu bilik. Dia sambung menangis. Ditekupnya mulut dengan dua tangan. Takut anak-anak terdengar.
“Ya ALLAH. Kuatkanlah hati aku.” Zira menangis hiba. Tak dapat digambarkan betapa hancurnya hati perempuannya ketika ini.
“Kenapa abang sia-siakan kepercayaan Zira? Shifa. Tergamak kau ambil kesempatan atas persahabatan kita. Aku benci kau! Benci abang juga. Benci!” Zira menjerit sekuat hati. Dihantuk-hantuknya belakang kepala di pintu.
“Ibu…” Dahlia mengetuk pintu bilik.
Kelam-kabut Zira mengeringkan pipi. Nafas ditarik dalam-dalam untuk menghilangkan suara yang sengau.
“Ibu. Bukalah pintu ni.” Makin kuat ketukan di pintu. Sekuat laungan Dahlia di luar.
“Kan ibu dah cakap jangan kacau. Kejap lagi ibu keluarlah.”
“Abah telefon ni. Nak cakap tak?”
Tombol pintu sudah digenggam. Namun Zira masih teragak-agak. Patutkah dia menghamun Iqbal? Atau ada cara lain untuk mengajar Iqbal dan Shifa.
“Ibu cepatlah. Lia nak main ni. Nak cakap dengan abah ke tak?”
“Tak nak. Cakap dengan abah ibu tengah berehat dalam bilik. Sakit kepala.” Zira merebahkan badan ke katil. Dia menangis lagi. Tak sanggup dia memaki Iqbal. Marah macam mana pun Iqbal tetap suaminya. Hak untuk dihormati tetap milik Iqbal.
Lama Zira melayan rawan. Dia duduk di birai katil tatkala esakannya reda. Gambar perkahwinan dia dan Iqbal yang sudah berkecai dikutip. Senyum Iqbal dah tak nampak manis di mata Zira. Rasa macam Iqbal sedang mengejek kebodohan dirinya. Bingkai gambar dipeluk erat. Untuk kesekian kalinya air mata mengalir lagi. Tapi cepat-cepat disekanya dengan belakang tangan.
“Zira takkan menyerah kalah. Abang hanya untuk Zira dan anak-anak.”
Zira letak semula bingkai gambar di atas meja solek. Wajah yang serabai dirapikan. Bilik yang bersepah Zira kemas semula. Dia berhenti sekejap ketika mengutip sijil nikah yang sudah renyuk dikerjakan tadi.
“Aku nak tengok. Sampai bila kau orang nak sorokkan rahsia ni.” Zira kemam bibir. Seakan ada semangat baru yang sedang mengalir di seluruh urat sarafnya. Zira nekad untuk bertahan demi Dahlia dan Ratna. Apa pun terjadi dia takkan benarkan Iqbal mengambil harta dunia dan akhiratnya yang berdua ini.
Sijil nikah pasangan keparat itu disimpan semula. Zira menyeka air mata yang masih bersisa. Dia tak mahu menangis lagi. Zira tahu dia ada senjata yang kuat. Sampai masanya dia akan gunakan senjata itu untuk merebut kembali kasih Iqbal.
“Dahlia…” Zira buka pintu dan menjenguk ke ruang tamu. Dahlia yang dipanggil. Tapi Ratna pun berlari sama mendapatkan Zira.
“Tolong ambilkan plastik sampah dan penyapu kat dapur,” arah Zira. Dahlia dan Ratna berlari ke dapur.
Zira masuk semula ke bilik. Dia duduk di birai katil sementara menunggu Dahlia dan Ratna. Sampah-sarap yang sudah dikumpulkan Zira tenung lama. Kepalanya sedang ligat berfikir cara-cara nak pisahkan Shifa dan Iqbal.
“Ini Mak Cik Shifa kan ibu?” Dahlia menayang album lama yang telah Zira kumpulkan bersama timbunan sampah. Laju tangan Zira mengambil album gambar di tangan Dahlia. Tak perasan pula bila Dahlia dan Ratna masuk ke bilik.
“Buka plastik sampah tu Ratna,” arah Zira. Terkial-kial Ratna membuka plastik sampah. Lambat sangat, sudahnya Zira mengambil plastik sampah di tangan Ratna. Puas hatinya bila album gambar sudah berada di dalam plastik sampah.
“Kenapa ibu buang album tu?”
“Mana ada. Ibu nak simpan kat dalam stor. Banyak sangat barang kat dalam bilik ni. Lia bawa adik pergi mandi boleh? Dah petang ni. Kejap lagi abah balik.” Zira cuba mengalihkan perhatian Dahlia. Bersorak riang anak-anak Zira berlari ke bilik mandi.
Cepat-cepat Zira menyudahkan kerja. Kemudian dia bawa plastik sampah yang belum penuh ke belakang rumah. Ditimbunnya album gambar tadi bersama sampah-sarap lain dan daun-daun kering. Puas hati Zira apabila melihat api mula memakan sedikit demi sedikit album kenangan ketika belajar di kolej bersama Shifa dulu. Memang di situ tempat yang paling layak untuk nilai sebuah persahabatan yang dicurangi. Kalaulah Shifa tu pun boleh dibakar sekali lagi bagus. Perangai dia lebih busuk dari bau bangkai.
“Buah hati abang kat belakang ni rupanya. Patutlah bagi salam tak dengar.”
Zira menoleh.
“Eh, dah balik?” Zira relakan saja pipinya menerima kucupan Iqbal.
Memang itulah kebiasaan Iqbal setiap kali tiba di rumah. Tapi hari ni tak ada rasa berbunga-bunga pun di hati Zira. Rasa itu diganti dengan rasa pedih yang menyucuk tangkai jantung. Sekarang dah ada orang lain yang turut berkongsi rutin harian Iqbal. Itu yang Zira tak mahu. Layanan istimewa Iqbal hanya untuk dirinya. Bukan untuk dibahagi-bahagikan.
“Rasa-rasanya belum pukul enam lagi, kan? Kenapa balik awal hari ni?”
‘Tak pergi rumah isteri muda ke?’ Ayat itu hanya kedengaran di dalam hati Zira.
Tak boleh cepat sangat melatah. Dia nak tengok lagi Iqbal dan Shifa memainkan peranan masing-masing sebagai penipu.
“Lia kata Zira tak sihat. Tu yang abang balik awal ni.” Dahi Zira dirasa dengan belakang tangan.
“Tak demam pun,” ujar Iqbal.
“Memang tak demam. Sakit kepala aje.” Zira menolak perlahan tangan Iqbal. Kemudian kembali mengadap unggun api yang belum habis terbakar. Mata rasa panas.
Lakonan Iqbal nampak berkesan sangat. Kalau Zira tak tahu menahu hal Iqbal dan Shifa memang dah lama dia rasa terharu. Iqbal memang suami yang prihatin. Tapi bila dah jadi macam ni Zira rasa semua yang Iqbal lakukan hanyalah plastik semata-mata.
“Anak-anak mana?” tanya Iqbal.
“Mandi.” Hampir tak terkeluar suara Zira.
“Abang masuk dalam ya. Nak tengok anak-anak. Sayang dah mandi?” Iqbal mencucuk pinggang Zira. Nak bergurau-senda.
Zira memaksa diri mengukir senyum dan menahan tangan Iqbal dari terus menyucuk pinggangnya.
“Jom mandi sekali dengan anak-anak,” ajak Iqbal. Sekali lagi pipi Zira dicium.
“Tak naklah. Zira banyak kerja lagi ni. Abang pergi tengokkan budak-budak tu ya. Nanti Zira siapkan baju dia orang.” Zira menjauhi Iqbal. Sengaja dia buat-buat sibuk mencabut rumput di dalam pasu bunga.
“Kenapa ni? Macam tak ada mood aje?” Iqbal merenung Zira dari jauh.
“Kan dah cakap tadi Zira sakit kepala.” Cukup lembut Zira menutur kata. Tak mahu Iqbal tahu yang dia sedang berlakon.
“Dah makan ubat?” tanya Iqbal.
“Tak payahlah kut. Bukannya sakit sangat. Kejap-kejap lagi eloklah ni.”
“Ibu! Nak tuala!”
Tak payah disuruh. Dengan pantas Iqbal masuk ke dalam rumah. Sayu di hati Zira bertandang lagi bila terdengar suara Dahlia dan Ratna terjerit-jerit keriangan diusik Iqbal. Masih sama lagikah layanan Iqbal kepada anak-anak kalau dia dah ada zuriat bersama Shifa nanti?
GARA-GARA terbongkarnya rahsia yang tidak terduga petang tadi, hilang terus selera makan Zira. Melihat layanan Iqbal yang tidak berubah dimeja makan membuatkan hati Zira bertambah sakit. Seronok betul Iqbal berpura-pura. Kalau ikutkan rasa marah memang dah pinggan-pinggan di atas meja ini melayang ke muka Iqbal. Mujurlah akal waras Zira masih berfungsi. Dia masih mampu mengukir senyum manis untuk Iqbal. Cuma perasaan Zira saja yang sudah tawar.
“Sikitnya makan. Zira tengah diet ke?”
“Mana ada. Tak ada selera nak makan.”
“Sakit kepala lagi?”
“Hurmm…” Zira bawa pinggan ke dapur. Tak habis pun dia makan.
Kemudian terus masuk bilik. Emosi belum stabil. Mendengar suara Iqbal pun Zira rasa nak menangis.
Bilalah Iqbal nak berterus-terang? Makin Iqbal ambil berat, makin kesal hati Zira. Terbayang Iqbal melayan Shifa dengan cara yang sama. Atau mungkin lebih lagi. Benda barulah katakan. Mestilah nak ulit lebih sikit.
Ah! Sakitnya hati. Sudah tidak tertanggung rasa sakitnya.
“Zira…”
Dia pura-pura tidur. Macam dah tahu-tahu apa yang Iqbal mahu lakukan.
“Sayang…” Iqbal mengejutkan Zira sekali lagi. Zira buka mata sedikit. Iqbal sedang memegang gelas berisi air masak dan ubat sakit kepala.
“Makan ubat ya. Nanti abang picitkan kepala tu.”
“Tak payahlah. Dapat tidur nanti eloklah ni. Tak teruk mana pun.” Gila ke apa? Tak sakit kepala buat apa makan ubat? Zira cuba memalingkan badan. Tapi bahunya dipegang Iqbal.
“Janganlah macam tu. Takut melarat nanti. Mari sini.” Iqbal menyelak selimut dan membangunkan Zira. Ubat sakit kepala disuap ke mulut Zira kemudian dia suakan air masak.
“Kan bagus macam tu.” Iqbal baringkan Zira dan selimutkan semula tubuh isterinya. Kemudian dia keluar menghantar gelas yang sudah kosong. Zira campak selimut dan cepat-cepat ke tingkap. Ubat sakit kepala yang disorokkan di bawah lidah dia ludah ke luar. Kemudian dia melompat naik ke katil semula. Lakonan diteruskan lagi.
Tak lama kemudian Iqbal masuk semula dan terus memanjat katil. Kepala Zira dipicit perlahan. Zira pejam mata. Seronok dimanjakan begitu. Tapi tak semena-mena air mata mengalir di pipi. Shifa muncul di ruang mata. Tangan Iqbal ditolak perlahan.
“Kenapa?” tanya Iqbal.
“Tak ada apa-apa. Abang picit kuat sangat.” Zira lap air mata dengan hujung selimut. Mujur dia membelakangkan Iqbal. Tak nampaklah pipi Zira yang sudah basah.
“Maaf. Abang tak perasan tadi.” Iqbal letak semula tangan di kepala Zira. Kali ini lebih lembut. Zira pejam mata semula. Tapi di dalam selimut dia sedang meramas cadar sekuat hati. Marahnya pada Iqbal tetap tak mahu surut.
“Abah.” Ratna berlari masuk dan terus naik ke katil. Dahlia pun masuk ke bilik tak lama kemudian.
“Shhh. Jangan bising. Ibu sakit kepala.” Iqbal beri ruang pada anak-anak di tengah-tengah katil.
“Nak tolong.” Dahlia duduk di hujung kaki Zira. Ratna pula memicit tangan. Iqbal masih ditempat yang sama. Hanya mengusap-usap kepala Zira sambil memerhatikan anak-anaknya.
“Ibu, nak susu.” Ratna menggoncang-goncang badan Zira.
“Eh, jangan kacau ibu. Biar abah buatkan. Jom.” Iqbal mendukung Ratna turun dari katil. Makin sebak hati Zira. Layanan baik Iqbal terhadap anak-anak buat Zira semakin tidak dapat menerima hakikat yang dia sudah dimadukan. Di mana silapnya hingga tergamak Iqbal membahagi-bahagikan kasih sayangnya dengan perempuan lain?
Zira tarik selimut menutup muka. Terhenjut-henjut badannya menahan esakan. Puas ditahan tapi dia tidak kuat. Tidak pernah dia rasa sesedih ini. Terkilan sangat sebab kepercayaannya disalah guna.
“Ibu menangis ke?” Dahlia meninjau dari belakang. Zira berpaling sekejap dan menarik Dahlia ke dalam pelukan. Mereka berbaring di dalam satu selimut.
“Ibu sakit sayang. Sakit sangat. Tak tahan. Sebab itulah ibu menangis. Kesian tak?”
“Kesian ibu.” Dahlia mengusap-usap tangan Zira yang sedang memeluk tubuhnya. Zira senyum bersama pipi yang basah lencun. Tak lama kemudian Ratna masuk menyertai mereka berdua.
“Hurm, abah nak tidur mana ni?” Iqbal menggaru kepala. Kecil hati juga sebab tak dapat menyelit. Katil dah penuh dengan mereka bertiga. Zira langsung tak menoleh. Pura-pura tidur.
“Zira…” Iqbal menarik perlahan hujung kaki Zira. Zira berdeham perlahan. Tapi masih tidak menoleh. Sakit kepala sangatlah konon.
“Abang duduk kat luar ya. Kalau anak-anak dah tidur nanti panggil abang. Nanti abang alihkan.”
“Hurm…”
Tidurlah terus di luar tu. Lepas ini Zira dan anak-anak kena belajar tidur bertiga sahaja tanpa abang.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL ANDAI KIAMBANG TAK BERTAUT (PENULIS: LISHAEHA)