0

Andai Kiambang Tak Bertaut – Bab 2

ZIRA sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi di dapur. Iqbal pula dah siap menyarung stoking di ruang tamu. Kena cepat keluar hari ini sebab dah ada janji dengan Shifa. Sebelum capai kunci kereta Iqbal mencari Zira di dapur. Kena ambil hati isteri pertama dulu. Takut kalau-kalau Zira mengesyaki sesuatu nanti.

“Sayang. Abang pergi dulu ya.” Air kopi yang belum sempat dibawa keluar Iqbal sisip sedikit. Kemudian dia mencium pipi Zira. Yang ni memang wajib dibuat. Rasa lain sangat kalau sehari tak cium pipi cinta hati.

“Awalnya nak keluar. Tak tunggu sarapan dulu?” tanya Zira sambil mengisi mangkuk nasi dengan nasi goreng.

“Ada mesyuarat pagi ni. Takut tersangkut dalam traffic jam nanti.” Iqbal memberikan alasan.

“Oh..” balas Zira sepatah. Setakat ini dia masih berjaya sembunyikan segala rasa.

Iqbal sudah ke ruang tamu semula ketika Zira menoleh.

Zira melihat jam dinding. Nasi goreng kampung yang baru siap dia letak di atas meja. Piring berisi hirisan timun menyusul kemudian. Kalau Iqbal mahu memang sempat sangat dia jamah sarapan tu dulu. Dia bos. Dulu-dulu tu boleh saja masuk lambat. Macamlah Zira tak tahu yang Iqbal nak bersarapan dengan Shifa.

“Sedapnya bau.” Iqbal telan air liur. Dia tengok jam tangan. Kemudian tengok Zira.

“Tak nak jamah dulu?” Sengaja Zira letakkan nasi goreng kampung ke dalam pinggan.

“Boleh jugalah.” Iqbal menarik kerusi. Zira senyum bila Iqbal mula menyuap. Dah lima tahun bersama Iqbal. Zira dah faham sangat dengan kehendak perut suaminya. Tak ada istilah menjamah. Mana boleh tahan kalau yang terhidang itu adalah makanan kegemaran. Sedar tak sedar dua kali juga Iqbal menambah.

“Sedapnya sayang. Dah sendat perut abang ni. Macam dah makan tengah hari,” puji Iqbal. Dah nak masuk kali yang ketiga Iqbal menambah. Dia sendawa panjang. Pinggan dah kosong. Tapi tekak macam belum puas. Sementara Zira ke dapur, Iqbal menceduk sesudu lagi nasi goreng di dalam bekas. Terus masuk ke mulut. Tak cukup sesudu, Iqbal ambil sesudu lagi.

“Amboi! Kalau ya pun sedap takkan makan dalam mangkuk nasi tu terus? Baik abang bawa kuali tu aje ke depan.” Zira senyum. Tapi dalam hati rasa macam nak telangkupkan mangkuk nasi tu ke kepala Iqbal.

Iqbal tersenyum suka. Kantoi pula dengan Zira. Makin suka bila melihat bekas makanan di tangan Zira.

“Rasa-rasanya bekas Zira tu takkan sempat sampai ke pejabat. Silap-silap dalam kereta lagi dah habis. Abang kalau nasi goreng kampung buatan Zira memang tak boleh nak menolak. Sedapnya sampai tak boleh berhenti makan.

“Bekal ni bukan untuk abanglah.”

Senyum Iqbal hilang.

“Habis tu untuk siapa?”

‘Untuk isteri muda sayalah.’ Zira senyum mendengar kata hati sendiri. Menyampah pun ya bila Iqbal tanya macam tu. Macamlah baru hari ini dia kirimkan makanan untuk Shifa.

“Untuk kawan baik sayalah. Nanti abang bagi Shifa ya. Dia suka makan nasi goreng kampung ni,” ujar Zira. Hati makin sakit melihat wajah tenang Iqbal. Tak ternampak langsung muka gelabah Iqbal bila nama Shifa disebut.

“Oh, siapkan bekal untuk Shifa aje. Untuk abang mana?” Iqbal pura-pura merajuk.

‘Cemburu konon! Entah-entah sampai pejabat nanti bekal ni kau buang dalam tong sampah. Makan dengan isteri muda lagi seronok, kan? Benda baru. Masih seronok lagilah nak diulit.’ Zira senyum dengan kata hati sendiri. Susahnya nak buang fikiran negatif bila hati tengah marah

“Takkanlah bos nak bawa bekal makanan ke pejabat? Buat malu aje.” Meleret suara Zira menutur kata.

“Eh, nak malu apa? Isteri abang yang siapkan. Tak ada sebab nak malu.”

“Yalah tu.” Zira menjuih bibir. ‘Kalau pasal beli jiwa dengan ayat macam lori gula tumpah, serah aje lah pada kau. Dasar jantan lidah bercabang!’

Zira menemankan Iqbal hingga ke kereta. Rutin hariannya masih tak berubah. Tetapi hari ini Zira rasa lain sangat. Seperti sudah hilang segala kemanisan dalam segala perbuatan Iqbal. Namun sebaik mungkin Zira mengawal diri. Dia tidak mahu Iqbal syak yang rahsianya sudah diketahui oleh Zira.

“Abang jangan lupa bagi bekal tu pada Shifa. Cakap dengan dia saya minta maaf. Dah lama sangat tak masakkan sesuatu yang istimewa untuk dia.”

“Ala.. sayang dah bekalkan nasi goreng ni untuk dia pun dah cukup bagus.”

Sakitnya hati Zira.

“Hari ini abang balik lambat sikit tau. Tak tahu kerja abang habis pukul berapa,” ujar Iqbal sebaik sahaja pintu kereta ditutup.

‘Cakap ajelah yang awak tu nak melayan isteri muda. Tak payahlah bagi alasan bodoh!’

Zira senyum. Tak henti-henti lagi hatinya menyumpah-nyumpah. Mujurlah iman masih kuat. Kalau tidak memang dah di ‘mandrem’ nasi goreng tadi. Biar Shifa benci pada Iqbal. Tak pun terus hilang ingatan.

“Kirim salam Shifa ya. Dah lama dia tak datang sini.”

“Ada projek baru masuk. Masing-masing tengah sibuk kat pejabat tu. Shifa pun ada cakap dah lama tak jenguk budak-budak ni. Insya-ALLAH nanti abang sampaikan salam Zira. Abang dah lambat ni. Pergi dulu ya.” Pipi Zira diusap perlahan sebelum tingkap kereta dinaikkan.

“Pandai betul kau ‘kencing’ aku ya? Pergi mabuklah dengan kau punya sibuk. Sibuk menggatal!” Zira merungut sambil melambai-lambai pada Iqbal. Senyum masih lebar sehinggalah kereta Iqbal lenyap dari pandangan. Bila pintu rumah ditutup, Zira pejam mata rapat-rapat dan tarik nafas dalam-dalam. Sampai bila dia boleh bertahan dengan lakonan Iqbal?

 

“SELAMAT PAGI Encik Iqbal.” Shifa menegur ramah.

“Selamat pagi.” Iqbal senyum dan bagi isyarat pada Shifa untuk masuk ke bilik. Shifa mengangguk laju.

Buku catatan dan pen diambil. Buat syarat sahaja. Shifa buat muka serius ketika berselisih dengan pekerja-pekerja lain. Sebaik sahaja masuk ke bilik Iqbal, raut wajahnya terus berubah.

“Selamat pagi sayang,” ucap Shifa lebih manja dari tadi.

“Selamat pagi. Lawanya hari ni.” Iqbal memuji.

Shifa ketawa perlahan. Tangan melingkar di leher Iqbal. ‘Upah’ diberi kepada Iqbal sebagai balasan kerana memujinya.

“Kenapa ada rasa ikan bilis?” Shifa senyum nakal. Sekali lagi bibirnya mendarat di ulas bibir Iqbal.

“Hurm, rasa kopi pun ya juga.” Shifa masih seperti tadi. Dia duduk di riba Iqbal. Kesan gincu dibibir Iqbal dia bersihkan. Hilang rindunya dapat melihat Iqbal hari ini.

“Zira ada kirimkan awak sesuatu.” Iqbal mengeluarkan bekas makanan di dalam beg kertas. Ketika penutup bekas makanan dibuka, Shifa sambung ketawa lagi.

“Patutlah ada rasa ikan bilis. Buah hati saya ni makan nasi goreng kampung rupanya.” Shifa tunduk sedikit untuk menghidu bau nasi goreng. Sambil menghidu aroma nasi goreng kampung, sambil menggoda Iqbal. Dia yakin pakaian yang dikenakan mampu menarik perhatian Iqbal. Lelaki mana yang tak suka melihat benda-benda yang indah, kan?

Bekas makanan ditutup semula. Nak tutup bekas makanan pun sampai terliuk lentuk tubuh Shifa. Seperti yang dia mahukan, tubuhnya ditarik kembali untuk duduk semula di ribaan Iqbal. Sekali lagi aktiviti pernafasan mulut ke mulut berlangsung. Agak lama dan semakin melarat ke tempat lain.

“Kita sambung kat rumah ya. Tak syoklah kalau buat kat sini.” Shifa menolak kepala Iqbal yang tenggelam di dadanya. Sikit-sikit cukuplah. Kalau dilayan memang tak siap kerja-kerja yang lain nanti.

“Nasi goreng ni memang untuk saya?” tanya Shifa sambil mengenakan semula butang blaus yang dibuka oleh Iqbal.

“Yalah. Selalunya memang dia kirimkan makanan untuk awak.”

Jawapan Iqbal buat Shifa rasa lain macam. Dah lama sangat Zira tak kirimkan apa-apa. Ketika dia dan Iqbal sedang berusaha menyorokkan status sebenar, tiba-tiba sahaja Zira bermurah hati mengirimkan makanan buat Shifa. Adakah Zira dah tahu rahsia mereka berdua?

“Zira tak tanya apa-apa?”

Iqbal menggeleng. “Dia cuma kirim salam. Dia kata dah lama awak tak pergi sana.”

Shifa mengangguk faham. Penutup bekas nasi goreng kampung dibuka sekali lagi. Memang nampak menyelerakan. Tapi Shifa masih waswas. Hilang senyumnya apabila memikirkan perkara-perkara yang mungkin Zira lakukan terhadapnya.

“Selamat ke kalau saya makan ni? Manalah tahu kan?”

“Shifa…” Iqbal menjeling tajam. Kurang senang isterinya di serkap jarang.

“Saya cuma berhati-hati aje.” Shifa membela diri.

Iqbal kemam bibir. Sekarang Zira masih belum tahu kebenarannya. Kalau dia tahu dia dimadukan tak mustahil apa yang dibimbangkan oleh Shifa menjadi kenyataan. Perempuan mana yang suka dimadukan? Silap-silap haribulan Iqbal pun boleh diracunnya.

“Kita sarapan kat luar ya. Saya belum makan lagi ni…” Shifa mengurut bahu Iqbal dari belakang. Iqbal pegang tangan Shifa dan menggeleng perlahan.

“Saya dah makan kat rumah tadi. Tiga kali tambah. Dah tak ada ruang nak isi.”

“Okey kalau macam tu temankan saya. Tak nak makan pun tak apa.”

“Malaslah. Saya nak masuk meeting kejap lagi ni.”

“Bolehlah sayang. Sekejap aje.” Shifa merengek. Dari bahu tangannya melurut ke dada Iqbal.

“Sudah-sudahlah tu. Kita sambung kat rumah nanti ya.” Iqbal mengucup tangan Shifa sebelum dia bangun mengambil fail di almari. Namun ketika dia berpaling, Shifa menyembam muka di dada Iqbal.

“Tolonglah temankan saya sekejap.” Jemari Shifa menjalar di dada Iqbal.

“Shifa. Kita kat pejabat ni. Tolong jaga perangai tu sikit.” Iqbal berkeras sedikit.

“Ala, kita dah halal tau.” Shifa tarik muka. Dia pergi ke sofa dan menghenyak punggung di situ.

“Itu saya tahu. Tapi orang-orang kat pejabat ni semuanya kenal Zira. Saya tak nak dia tahu pasal kita dari mulut orang lain.”

Iqbal menyemak fail yang diambil tadi. Shifa masih tak berganjak. Ikutkan hati nak saja dia menjamah bekal yang Zira kirimkan. Tapi dia masih tidak yakin. Macam mana kalau andaiannya betul?

“Apa kata awak keluar dulu. Saya nak buat kerja ni. Awak pun mesti ada kerja, kan?”

“Saya lapar…” Shifa merengek manja.

“Makan ajelah nasi goreng tu. Tak ada apa-apalah. Saya dah makan tadi. Tak mati pun.”

“Sampai hati awak, kan? Saya ni tak makan dari malam tadi tau. Ingatkan nak bersarapan dengan awak pagi ni. Tahu-tahu dah kenyang makan kat rumah.”

Iqbal angkat muka. Shifa berpaling ke tempat lain. Kalau berbalas tenung takut air matanya tumpah.

“Tengah hari nanti kita makan sama-sama ya.” Iqbal cuba memujuk.

Shifa buat-buat tak dengar. Terasa hati sangat-sangat. Sejak jadi isteri Iqbal, sikit sangat kemanisan yang dia rasai. Tak ada istilah malam pertama. Macam mana nak ada malam pertama kalau Iqbal tak pernah bermalam pun di rumah Shifa? Siang hari boleh dikira Malam Pertama ke?

“Kalau saya tak makan tadi takut Zira fikir yang bukan-bukan nanti. Saya tak pernah pergi kerja dengan perut kosong. Awak pun tahu kan?”

“Yalah. Tahulah Zira tu isteri yang baik. Pandai jaga perut suami. Siapalah saya ni…”

“Awak pun isteri saya juga.”

“Huh! Isteri pada nama aje. Air tangan saya awak tak pernah rasa pun.”

Iqbal tolak fail ke tepi. “Mari sini,” arah Iqbal. Shifa tenung Iqbal. Berjaya juga dia menarik perhatian lelaki itu.

“Marilah sini sayang.” Iqbal menepuk-nepuk peha sendiri. Shifa mendengus kasar dan hampiri Iqbal. Iqbal memangku Shifa dan pinggang isteri keduanya itu dipeluk erat.

“Tengah hari ni kita balik rumah ya?”

“Buat apa?”

“Macam-macam kita boleh buat.” Iqbal senyum nakal. Shifa mencemik. Faham sangat apa yang Iqbal nak. Balik-balik ‘itu’.

“Boleh. Tapi dengan syarat, malam ni tidur sana.”

“Sana mana?” Iqbal buat-buat tak faham.

“Rumah sayalah! Awak ni…” Shifa merengek manja sambil memukul bahu Iqbal. Berharap sangat agar permintaannya dipenuhi kali ini. Nak juga merasa suasana malam bersama Iqbal.

“Lepas meeting ni kita keluar. Beli barang dapur sikit. Saya nak awak masak. Kita makan tengah hari kat rumah.”

“Betul ni?”

Iqbal mengangguk. Shifa mencium kedua belah pipi Iqbal. Suka sangat. Dapat juga dia tunjukkan kemahiran memasak pada Iqbal nanti.

“Tidur sana ya?”

“Err.. yang tu kita bincang kat rumah nanti ya.”

Shifa tarik muka. Dia bangun. Tapi cepat-cepat Iqbal menarik Shifa duduk semula di atas pangkuannya. Kedua-dua tangannya memegang pipi Shifa. Dikucup bibir Shifa yang memuncung. Shifa menolak. Iqbal kucup lagi. Kali ni dipegangnya kepala Shifa, tak bagi melawan. Shifa reda. Kalau jual mahal sangat takut Iqbal langsung tak nak ke rumahnya pula nanti.

Pintu pejabat Iqbal diketuk. Kelam-kabut Shifa bangun dan merapikan pakaian. Gincu yang melekat di bibir Iqbal dibersihkan. Kemudian Shifa bergegas ke pintu. Bekas nasi goreng pemberian Zira dibawanya sekali.

“Dah?” tanya Shifa.

“Dah,” jawab Iqbal. Iqbal berdeham beberapa kali. Nak redakan perasaan gemuruh.

“Tengah hari nanti ya.” Shifa mengingatkan kemudian terus buka pintu. Dia senyum sikit semasa melihat orang kanan Iqbal sedang berdiri di depan pintu.

“Selamat pagi Encik Farid,” ucap Shifa kemudian menonong keluar bila sapaannya tidak berjawab. Agak kurang senang dengan pandangan orang kanan Iqbal.

“Amboi! Tak habis lagi ke mood pengantin baru?”

Iqbal menjegil.

“Cakap tu tak boleh kuat lagi ke? Biar satu pejabat ni dengar.”

Farid tersengih. Tak ada niat pun nak malukan Iqbal. Sekadar bergurau. Walaupun bergurau masih ada rasa terkilan di sudut hati Farid. Terkilan kerana gadis pertama yang berjaya mencairkan hati lelakinya lebih berminat dengan suami orang. Paling haru apabila Farid sendiri yang menguruskan pernikahan gadis idamannya dengan Iqbal. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Hati memang dah sedia kecewa. Makin kecewa kerana terpaksa melihat si dia berkongsi kasih. Geram betul Farid dengan tindakan bodoh Shifa. Tapi nak buat macam mana lagi? Dah dia yang pilih untuk hidup begitu. Lantak dialah!

“Zira dah tahu?” tanya Farid.

“Belum. Ni yang buat aku pening ni,” luah Iqbal lemah.

“Sendiri yang cari penyakit. Nasiblah…”

“Zira tak ada masalah. Shifa tu, hari-hari merengek nak aku tidur rumah dia. Naik rimas aku tau.”

“Aik, baru empat bulan dah rimas? Ini baru sikit tau. Ada banyak benda lagi yang kau kena hadap. Silap-silap haribulan mahu botak kepala kau melayan kerenah mereka berdua nanti.”

Iqbal meraup muka. Apa yang Farid cakap semuanya betul. Rasa menyesal pula melayan rayuan-rayuan Shifa dulu. Tapi apa boleh buat? Dia lelaki. Kalau hari-hari mengadap benda cantik, iman siapa yang tidak goyah?

“Bila kau nak beritahu Zira?” tanya Farid.

“Kalau tak beritahu salah tak?”

“Kenapa tak nak beritahu? Takut?”

“Bukan takut. Aku tak nak lukakan hati dia.”

“Kau ni kelakarlah. Apa yang kau buat ni dah pun melukakan hati Zira.”

“Setakat hari ni dia masih layan aku elok-elok. Sebab itulah aku tak sanggup nak beritahu dia.”

Farid menghembus nafas kasar. Dia rapatkan dada ke meja.

“Bangkai gajah, walau ditutup macam mana sekali pun. Lambat-laun akan terhidu juga.”

Iqbal senyum kelat. Berdesing telinga mendengar peribahasa itu. Meja diketuk-ketuk dengan hujung pen.

“Kalau aku beritahu, aku takut aku akan hilang salah seorang,” luah Iqbal.

“Bagi ajelah Shifa tu kat aku.”

“Farid!”

Farid gelak dan angkat dua tangan. “ Sorry, gurau aje.”

Iqbal tersandar semula. Farid bukannya membantu. Sebaliknya makin mengusutkan lagi fikiran Iqbal. Lama Iqbal merenung siling sambil memikirkan nasib dia dan Shifa selepas ini. Punyalah berfikir sampaikan tak terdengar langsung bunyi telefon.

“Iqbal!” Farid menyergah.

Iqbal tergamam. Tegak duduknya merenung Farid.

“Apa?”

“Telefon berbunyi tu. Tak nak jawab ke?” Farid menuding pada telefon bimbit yang masih bergetar di atas meja.

Iqbal melihat dengan ekor mata sahaja nama yang tertera di skrin. Namun tak semena-mena dia terbangun. Iqbal pandang Farid. Tiba-tiba rasa tak sedap hati.

“Zira.” Iqbal tunjuk skrin telefon pada Farid.

“Jawablah. Mana tahu kut ada hal penting.”

Iqbal melonggarkan ikatan tali leher. Belum apa-apa lagi dahi dah berpeluh-peluh.

“Helo.”

“Helo abang. Tengah hari ni abang sibuk tak?”

“Tak tahu lagi kenapa?”

“Abang tolong jemput Dahlia di tadika nanti boleh tak? Zira nak pergi klinik.”

“Pergi klinik? Zira tak sihat ke?” Iqbal makin tidak keruan. Dia tak boleh dengar perkataan klinik atau hospital. Cukup risau kalau ada yang kurang sihat dalam keluarganya.

“Bukan Zira. Ratna ni. Badan dia panas. Tak nak makan langsung dari pagi tadi. Asal masuk makanan aje mesti keluar balik. Badan pun dah lembik.”

“Ya ALLAH! Ratna muntah-muntah? Abang balik sekarang.”

“Eh, tak payahlah. Zira boleh uruskan dia. Tak teruk mana pun. Abang tolong jemput Dahlia aje. Zira takut lama sangat kat klinik nanti. Okeylah Zira nak memandu ni. Bye.”

            Iqbal masih mundar-mandir melihat telefon bimbit yang sudah senyap. Dia pandang Farid. Dia yakin Farid dah dengar perbualannya tadi.

“Pergilah balik. Aku boleh uruskan meeting nanti,” ujar Farid.

“Tapi aku dah janji dengan Shifa nak makan tengah hari dengan dia.”

“Dia lagi penting atau anak-anak kau?” Farid tinggi suara .

Iqbal terdiam. Lama dia merenung Farid. Hati berbelah bagi. Kalau dia keluar dengan Shifa, siapa yang nak jemput Dahlia di tadika nanti? Kalau dia jemput Dahlia, pasti Shifa akan merajuk. Sudah banyak kali juga Iqbal mungkir janji.

‘Ah! Yang merajuk tu boleh dipujuk. Anak lagi penting.’

“Kalau ada apa-apa hal kau telefon aku ya,” pesan Iqbal. Sempat juga dia menepuk bahu Farid sebelum bergegas keluar. Punyalah nak cepat hinggakan tak perasan pula Shifa sedang mengejar hingga ke pintu lif.

“Iqbal!”

Iqbal menoleh. Shifa jongket kening. Tak faham kenapa Iqbal nampak kelam-kabut.

“Saya nak balik rumah. Ratna tak sihat.” Iqbal menekan butang lif berulang-kali.

“Tak jadilah rancangan kita tadi?”

Iqbal tenung Shifa. Sehingga pintu lif terbuka, dia tak cakap apa-apa pun. Takkanlah benda macam tu pun Shifa tak boleh fikir?

Sorry sayang. Nanti saya call awak ya.”

Iqbal sentuh sedikit pipi Shifa sebelum pintu lif tertutup semula. Serba salah juga kerana terpaksa tinggalkan Shifa dengan cara macam tu.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL ANDAI KIAMBANG TAK BERTAUT (PENULIS: LISHAEHA)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *