PAGI-PAGI lagi Shifa dah bangun. Kemas rumah, hias bilik tidur dan bersiap-siap nak masak tengah hari. Anginnya baik hari ini. Iqbal nak datang. Berbaloi juga merajuk sepanjang hari semalam. Tak tentu arah Iqbal dibuatnya. Shifa tahu Iqbal sedang berbelah bahagi. Sebab itulah dengan mudah sahaja dia mengambil kesempatan.
“Iqbal suka makan ketam. Jadi hari ni aku nak masak ketam bercili telur asin, sayur capcai dan sup cendawan. Pencuci mulut? Hurm, tak payahlah. Cuci dengan mulut aku aje nanti.” Shifa gelak gatal. Bukan main seronok lagi dia. Manakan tidak? Sejak empat bulan jadi isteri orang, inilah kali pertama dia memasak untuk Iqbal.
Shifa akan buktikan pada Iqbal yang dia pun pandai masak. Kalau ikutkan, masa zaman belajar dulu dia yang mengajar Zira memasak. Kalau masakan Zira Iqbal boleh hadam, apatah lagi masakan dia.
Perasaan Shifa mula berbunga-bunga.
“Awalnya sampai.”
Shifa baru saja selesai memasak ketika loceng pintu berbunyi. Tak sempat-sempat Iqbal nak masuk ke rumah, Shifa lebih dulu menerkam dan memeluk leher Iqbal.
“Kut ya pun bagilah saya masuk dulu.” Iqbal ketawa senang.
“Rindu tau.” Shifa masih mencium pipi Iqbal. Rindu sangat-sangat. Hari ni dia takkan lepaskan Iqbal. Sesiapa pun tak boleh mengganggu mereka berdua hari ini.
“Awak ni main terkam aje. Kalau orang lain tadi macam mana?”
“Siapa lagi yang tahu saya tinggal di kondo ni selain daripada awak?”
Iqbal senyum. Mata menyorot tubuh Shifa yang cuma berkemeja labuh betul-betul paras bawah punggung.
“Kenapa pakai baju saya?”
“Saja.”
“Saja ke rindu?”
“Dah tahu kenapa tanya?”
Shifa senyum manis. Bahagia sangat menerima kucupan di bibir. Bila bibir Iqbal merayap ke tempat lain Shifa menolak lembut.
“Nantilah. Kita makan dulu ya.”
“Awak beli apa hari ni?”
“Beli? Saya masak tau.” Shifa bangun. Sengaja dia berlenggang-lengguk ke dapur. Tahu mata Iqbal sedang memandang punggung montoknya.
“Ratna dah sihat?” tanya Shifa sambil menyenduk ketam bercili telur asin ke dalam pinggan besar.
“Dia dah sihat. Abah dia yang rasa macam nak demam ni.” Iqbal ketawa nakal bila tangannya menepuk punggung Shifa. Abah dia demam gatal nak bergomol. Itu sebenarnya.
Shifa pula memang sengaja buat Iqbal penasaran. Sekejap dia melayan, kemudian sambung menghidang makanan. Tiga jenis hidangan ambil masa dekat sejam. Manakan tidak? Sambil menghidang sambil menggomol Iqbal, bilanya nak selesai?
“Kita makan kejap-kejap lagi boleh tak? Saya kenyang lagi ni.” Iqbal mengusap perut sendiri.
“Lah, kenapa tak cakap tadi. Saya dah siap hidang ni. Tak sedaplah nak makan kalau dah sejuk.”
“Zira buat sarapan berat kat rumah tadi. Lagipun awal lagi nak makan tengah hari. Kalau makan ‘benda lain’ boleh tak?” Iqbal tayang senyum gatal lagi.
“Awak ni. Balik-balik itu.” Shifa hentak kaki tak puas hati. Tak ada benda lain ke yang Iqbal fikir? Macam tak pernah dapat pula dengan Zira.
“Habis tu awak nak apa sayang? Nak bawa awak jalan-jalan pun tak boleh juga. Awak faham kan?” Iqbal memeluk Shifa dari belakang. Senang sangat nak pujuk. Belai lebih-lebih sikit, hilanglah marah Shifa.
“Tak kesahlah kalau tak dapat jalan-jalan pun. Saya nak awak luangkan masa dengan saya aje hari ni. Tak boleh terima atau buat panggilan dengan sesiapa pun.”
“Amboi! Ganasnya syarat tu.”
Shifa berpaling. Iqbal masih merangkul pinggangnya. Tangan Shifa merayap ke dalam poket seluar Iqbal. Tiba-tiba tubuh Iqbal ditolak. Shifa tayang telefon bimbit Iqbal yang berjaya diambil. Kemudian dia berlari ke ruang tamu.
“Hei! Awak buat apa ni? Bagi balik telefon tu.”
“Tak boleh! Hari ni telefon ni dinyahaktif. Siapa-siapa pun tak boleh ganggu kita.”
Kejar-mengejar berlaku. Shifa menjerit suka. Bersungguh-sungguh dia melarikan diri daripada Iqbal. Kalaulah telefon tu boleh dibaling ke luar tingkap memang dah lama Shifa buat macam tu. Tapi bimbang pula kalau angin Iqbal berubah nanti. Jadi baik jangan cari pasal.
“Sayang, janganlah macam ni. Kalau ada panggilan penting nanti macam mana?” Iqbal berhenti di belakang sofa. Kemengahan.
“Saya tak peduli. Dalam seminggu saya minta satu hari ni aje. Saya pun isteri awak tau. Tolong jangan pertikaikan hak saya.”
“Kan saya dah ada kat sini. Awak buatlah apa yang awak nak. Tapi telefon ni tak boleh di off kan. Nanti Zira fikir yang bukan-bukan pula nanti.”
“Dia dah tahu ke?” Hilang senyum Shifa. Tiba-tiba rasa berdebar.
“Belum. Jadi sebelum dia tahu baik awak bagi telefon tu. Bahaya kalau tersalah jawab telefon tu nanti.” Iqbal hulur tangan.
Shifa masih teragak-agak. Iqbal jegil mata. Shifa beralah. Semasa dia serahkan telefon tubuhnya ditarik sekali. Bibirnya dapat upah lagi daripada Iqbal.
“Sayang pergi mandi dulu ya. Dah bau bawang.” Iqbal menyuruh. Pipi Shifa diusap lembut.
“Tak nak mandikan ke?” tanya Shifa sambil melangkah ke bilik. Berharap sangat Iqbal faham apa yang dia inginkan.
“Mandilah dulu. Lepas ni nanti baru saya mandikan. Pakai wangi-wangi tau. ” Sekali lagi tangan Iqbal menampar lembut punggung Shifa. Kuat tawa Iqbal bila Shifa mendengus kasar. Merajuk sajalah yang Shifa tahu. Tak apa. Kena ‘pujuk’ nanti baiklah tu.
IQBAL membelek telefon sementara menunggu Shifa mandi. Tangan gatal nak menelefon Zira. Tiba-tiba rasa tak sedap hati. Semasa dia keluar rumah tadi Ratna merengek nak ikut sekali. Badan dia pun masih tak berapa sihat lagi. Tapi kalau bercakap nanti takut Shifa terdengar pula.
‘Kalau Zira tak call maknanya tak ada apa-apalah tu.’ Iqbal sedapkan hati sendiri.
Dia tekan remote control. Tak ada rancangan yang menarik perhatiannya. Dia bangun menjengah meja makan. Iqbal senyum-senyum sendiri. Teringat Zira di rumah. Lauk yang Shifa sediakan hampir sama dengan lauk yang selalu Zira sediakan. Disuanya sedikit isi ketam ke mulut. Berkerut-kerut muka Iqbal ketika merasa hasil pertama daripada air tangan Shifa.
“Kenapa buat muka macam tu? Tak sedap ke?” Shifa menegur. Dia baru selesai mandi. Niat dihati nak tayang baju tidur seksi. Terasa hati juga bila tengok reaksi Iqbal.
“Bukan tak sedap. Tapi kalau awak selalu masak mesti makin sedap.” Pandai pula Iqbal berkias. Padahal memang tak sedap pun. Masin!
“Cakap ajelah masakan Zira lebih hebat dari saya.” Meleret-leret suara Shifa. Angin merajuk bertiup lagi. Dia menonong masuk ke bilik. Iqbal menurut dari belakang dan terus didukungnya Shifa ke katil. Terjerit-jerit Shifa minta dilepaskan.
“Turunkan saya. Pergilah kat isteri awak yang hebat tu.” Shifa pura-pura marah. Walhal sangat suka sebab dah berjaya mendapat perhatian Iqbal.
“Dua-dua pun sama hebat. Dia hebat kat dapur. Awak hebat di atas katil.” Iqbal mengekek ketawa. Pinggang Shifa dipeluk. Tak bagi peluang langsung untuk Shifa bercakap. Baju tidur yang dipakai di siang hari dah tak melekat ditubuh. Shifa hanyut di dalam belaian Iqbal.
“TELEFON berbunyilah.” Iqbal leraikan pelukan. Matanya terarah ke pintu bilik yang terbuka. Shifa juga turut menelinga. Betul. Memang telefon bimbit Iqbal sedang berbunyi.
“Biarlah dulu. Nanti-nanti boleh jawab.” Shifa kembali memeluk leher Iqbal.
“Tak boleh sayang. Takut ada hal kecemasan.”
“Kut ya pun ‘selesaikanlah’ dulu.” Shifa merengek manja.
“Sekejap aje. Nanti saya masuk balik.” Iqbal turun dari katil. Apa-apa hal kena jawab telefon dulu.
Shifa kemam bibir. Selimut ditarik menutup tubuh yang terdedah. Sauh belum berlabuh. Pelayaran tak sempat bermula pun lagi. Shifa dah macam ikan yang tak cukup air. Terkebil-kebil sorang-sorang di atas katil.
Iqbal terus menjawab panggilan.
“Abang. Tadi Ratna pengsan. Badan dia panas balik. Dari tadi asyik muntah-muntah. Zira tak tahu nak buat macam mana lagi ni.” Suara Zira kedengaran sangat cemas membuatkan perasaan Iqbal jadi tidak tentu arah.
“Ya ALLAH. Dah sapu minyak angin?”
“Dah. Cepatlah balik bang. Zira risau ni. Perut dia kosong sejak tadi. Muntah pun dah tak keluar apa-apa.”
Iqbal mundar-mandir. Nak balik ke tak? Masih ada hati lagi nak sambung balik ‘kerja’ yang terbantut tadi.
“Zira bawa dia pergi klinik dulu. Kejap lagi abang balik.”
“Macam mana saya nak memandu? Dia langsung tak nak berenggang ni. Nak berdukung aje.” Suara Zira dah macam orang menangis. Kalau dah macam tu gayanya pasti keadaan sangat mencemaskan di rumah sana.
“Yalah, abang balik sekarang.” Panggilan di tamatkan.
Iqbal masuk semula ke bilik. Tanpa menghiraukan Shifa yang masih terdampar di atas katil, dia masuk ke bilik air. Tak sampai lima minit dia sudah selesai membersihkan diri.
“Boleh kita sambung balik?” Shifa senyum menggoda. Selimut dibuang semula ke bawah.
“Sorry sayang. Saya kena balik,” ujar Iqbal. Dia mengutip semua pakaiannya yang berselerakan di lantai.
“Balik? Sekarang?”
Iqbal hanya mengangguk.
“Makan dulu ya? Saya panaskan balik lauk-lauk tu.”
“Tak payahlah kut. Lambat pula nanti,” ujar Iqbal. Pakaian dirapikan. Rambut disikat sama seperti keadaan dia keluar dari rumah sana tadi.
“Makanlah dulu. Penat saya masak.” Shifa turun dari katil. Cardigan disarung ke tubuh. Dia ingin ke dapur untuk memanaskan semula lauk-pauk tadi. Tapi Iqbal menghalang. Kedua-dua bahu Shifa dipegang erat.
“Macam ni. Awak simpan semua lauk-lauk tu dalam peti sejuk. Nanti bila-bila saya datang sini awak panaskan balik. Maaf sangat-sangat. Zira perlukan saya sekarang.” Dahi Shifa dicium.
“Tapi saya pun perlukan awak.” Shifa ambil kesempatan. Pinggang Iqbal dipeluk erat. Muka sengaja digesel-gesel ke dada Iqbal.
“Shifa. Tolonglah faham keadaan saya. Ratna tengah sakit. Takkan saya nak biarkan pula?” Iqbal menolak tubuh Shifa. Agak kasar sehingga nyaris-nyaris Shifa terduduk di katil.
“Zira kan pandai bawa kereta. Please Iqbal. Saya tak nak tinggal sorang-sorang hari ni.”
Shifa berlari mengikut Iqbal keluar dari bilik tidur. Badannya terhadang di pintu rumah. Tak bagi Iqbal keluar. Air mata sudah membasahi pipi.
“Awak pergilah jalan-jalan. Window shopping ke. Saya dah bagi kad kredit, kan?”
“Saya tak nak kad kredit. Saya nak awak!”
Iqbal tersentak. Tak pernah dia melihat Shifa begitu agresif.
“Sampai bila nak sorok-sorok macam ni? Saya dah penat! Saya ni isteri awak juga tau. Bukan perempuan simpanan.”
Iqbal angkat tangan. Mujur Shifa mengelak. Kalau tidak percuma saja dapat pelempang.
“Maaf. Saya balik dulu.” Iqbal terpaksa menggunakan sedikit kekerasan. Tubuh Shifa ditarik menjauhi pintu. Cepat-cepat Iqbal menyarung kasut berkejar ke pintu lif.
“Iqbal.” Shifa berlari ke pintu.
“Iqbal!”
Iqbal hanya memandang dari jauh sementara menanti pintu lif terbuka. Shifa terduduk di lantai. Harapan untuk menghabiskan masa bersama Iqbal hari ini hanya tinggal harapan. Menangislah macam mana pun Iqbal tetap dengan keputusannya.
“Kalau awak takut, biar saya yang beritahu Zira.” Shifa masih berusaha menahan Iqbal.
“Jangan cari pasal. Pergi masuk! Nanti saya telefon awak.” Iqbal terus masuk ke dalam lif. Meninggalkan Shifa yang masih terduduk di lantai.
“Iqbal. Baliklah sini. Saya nak awak…”
Pintu rumah berkunci ketika Iqbal tiba di rumah. Hati semakin cemas apabila Zira tak dapat dihubungi. Kereta Zira masih di dalam garaj. Tapi tuan punya kereta tak ada pula di dalam rumah. Ke mana pula Zira dan anak-anak pergi?
“Abah!”
Tercangak-cangak Iqbal mencari suara yang memanggilnya. Lega sedikit bila melihat Hazmal, jiran sebelah rumah sedang memimpin Dahlia keluar.
“Abah. Tadi kan, adik dengan ibu naik van neno neno.” Tak sabar-sabar Dahlia nak bercerita.
“Zira bawa Ratna ke hospital.” Hazmal melengkapkan lagi cerita Dahlia.
“Ya ALLAH! Kenapa sampai ke hospital pula ni?” Iqbal meraup muka. Kalau terpaksa dikejarkan ke hospital, pasti agak teruk juga keadaan Ratna.
“Ratna pengsan. Kami tak tahu nak buat apa. Aku yang telefon ambulans tadi.”
“Ya ALLAH anak abah.” Lemah lutut Iqbal mendengar cerita ringkas Hazmal.
“Abah. Nak tengok adik,” rayu Dahlia. Luluh hati Iqbal melihat mata Dahlia yang kemerah-merahan. Walaupun masih kecil Dahlia sudah faham erti kasih sayang.
“Pergilah hospital. Kalau kau nak, aku boleh hantarkan.” Hazmal menawarkan bantuan.
“Terima kasih Mal. Aku cuba pandu perlahan-lahan nanti.” Iqbal menolak tawaran Hazmal dengan baik.
“Betul ke ni? Dahlia tinggal dengan pak cik dulu ya?”
“Tak nak! Nak ikut abah. Lia nak tengok adik. Abah, Lia tak nak tinggal. Nak tengok adik.” Hanya itu yang diulang-ulang Dahlia sejak tadi.
Iqbal mendukung Dahlia. Bahunya menjadi tempat Dahlia melepaskan tangisannya yang masih belum reda.
“Tak apalah Mal. Biar aku bawa dia. Dia ni kalau menangis memang susah nak berhenti. Susah kau nak kawal dia nanti.” Sekali lagi Iqbal terpaksa menolak pertolongan Hazmal.
Iqbal terus membawa Dahlia masuk ke dalam kereta sebaik sahaja bersalam dengan Hazmal. Dia sendiri pun tidak sabar nak melihat keadaan Ratna. Berkali-kali dia cuba hubungi Zira. Namun sehingga sekarang semua panggilannya masih tidak berjaya.
“Jawablah telefon tu Zira.” Iqbal merungut. Hati yang sedang risau bertambah-tambah risau apabila semua panggilan Iqbal masuk ke dalam peti suara. Iqbal cuba bertenang sekejap. Cuba memikirkan cara lain untuk mencari Zira di hospital nanti.
“Mungkin adik masih di bilik kecemasan, kan Lia?” Iqbal menyedapkan hati sendiri. Dahlia jongket bahu. Tak faham dengan apa yang Iqbal katakan.
“Telefon pintar Iqbal berbunyi ketika dia masih berusaha menghubungi Zira.
“Aduh! Apa lagi yang betina ni nak?” Iqbal mendengus kasar. Bukan panggilan dari Shifa yang ditunggu.
“Ya Shifa nak apa lagi?” Iqbal cuba mengawal suara. Walhal rasa macam nak menjerit sekuat hati.
“Lepas tengok Ratna nanti datang sini balik ya?”
Iqbal menarik nafas dalam-dalam. Kalau Dahlia tak ada bersamanya memang dah lama dia bertempik. Tak faham bahasa betullah Shifa ni.
“Tengoklah kalau sempat nanti. Saya dalam perjalanan ke hospital ni.”
“Ha? Ratna masuk hospital ke?”
“Tak tahu lagi. Saya belum tengok lagi keadaan dia. Nanti apa-apa hal saya bagitau.” Iqbal terus matikan panggilan. Risau kalau Zira tak dapat menghubunginya nanti.
“Ibu ke abah?” tanya Dahlia.
“Bukan.”
“Lia nak ibu. Lia nak main dengan Ratna.” Dahlia teresak-esak.
“Kita nak pergi tengok dia oranglah ni. Jangan menangis ya. Kejap lagi dah boleh jumpa Ratna.” Iqbal cuba menenangkan Dahlia. Sebak hatinya melihat Dahlia. Dia tak pernah berenggang dengan adiknya melainkan ketika pergi ke tadika. Pasti dia pun sedang risau dengan keadaan Ratna.
“ITU ibu kan abah?” Lurus telunjuk Dahlia menuding ke barisan kerusi yang terletak di Zon Hijau. Berkejar Dahlia mendapatkan Zira yang sedang melambai-lambai.
“Ratna mana ibu?” tanya Dahlia.
“Ratna tengah tidur kat dalam,” jawab Zira sambil membetulkan rambut Dahlia yang berjuntai di dahi.
“”Kenapa biarkan dia sorang-sorang kat dalam tu? Doktor cakap apa?” tanya Iqbal kurang sabar. Nak marah pun ya juga. Masakan anak kecil berumur dua tahun dibiarkan berseorangan di dalam sana?
“Zira baru aje keluar. Ambil udara segar sekejap. Pening bau hospital. Lagi pun dia tengah tidur. Doktor pun ramai kat dalam tu. Kalau ada apa-apa hal nanti dia akan panggil. Tak teruk mana pun keadaan Ratna tu. Masuk air aje dalam sebotol. Lepas tu ambil gas. Doktor kata tadi tak perlu masuk wad pun. Cuma terima rawatan pesakit luar.”
Iqbal agak berpuas hati dengan penerangan Zira. Tapi dia akan lebih lega kalau dapat melihat sendiri keadaan Ratna.
“Abang nak masuk tengok dia kejap. Sayang temankan Dahlia kejap ya.”
Iqbal meninggalkan Zira dan Dahlia di ruang menunggu. Air mata lelakinya hampir mengalir tatkala melihat Ratna terbaring lesu di atas katil. Terngiang-ngiang tangisan anak kecil itu ketika Iqbal keluar dari rumah pagi tadi. Rasa menyesal pula meninggalkan Ratna.
Bukannya Iqbal tak tahu kalau tengah sakit, anak-anaknya lebih manja dengan Iqbal. Gara-gara nak menggatal dengan Shifa, Iqbal lupa kebiasaan yang satu ini. Mujur tak ada apa-apa yang serius berlaku pada Ratna.
“Encik penjaga pesakit ni ke?” Seorang doktor menegur Iqbal.
“Ya. Saya bapa pesakit ni. Nama saya Iqbal.”
“Okey Encik Iqbal. Saya dah periksa keadaan adik Ratna. Demam dah berkurangan sikit. Galakkan dia mandi dan minum air masak lebih kerap. Yang lain-lain saya rasa tak ada apa-apa. Nanti saya bagi senarai ubat. Encik boleh ambil di farmasi.”
“Anak saya dah boleh balik ke doktor?” tanya Iqbal. Macam tak percaya sekejap sangat sesi rawatan yang dijalankan.
“Ya. Dah boleh balik.” Doktor muda itu senyum dan beredar ke katil sebelah.
Iqbal melihat Ratna yang masih lena. Lega kerana tak perlu menunggu lama. Bolehlah dia ke rumah Shifa semula kejap lagi.
“Ratna. Bangun sayang. Nak balik tak?” Iqbal mengusap kepala Ratna. Pipi anak kecil itu dikucup dengan penuh rasa kasih. Ratna terjaga. Berkali-kali dia menggosok mata. Mungkin tak percaya Iqbal sedang berada di depannya sekarang.
“Abah!” Ratna terus menerpa. Hilang mengantuknya sebaik sahaja Iqbal mendukungnya. Semakin riang anak kecil itu apabila melihat Dahlia sedang menunggunya di luar. Sekali tengok dah tak macam orang sakit.
“Kita pergi ambil ubat dulu. Lepas tu kita balik rumah. Berehat kat rumah pula,” ujar Iqbal.
“Boleh tak Zira tunggu dalam kereta aje? Makin pening pula kepala ni. Zira tak tahanlah bau hospital. Lagi nak masuk ke farmasi tu. Silap-silap haribulan Zira pula yang masuk wad nanti.”
“Pergilah. Hidupkan enjin kereta sekali.” Iqbal menyerahkan kunci kereta. Ratna tak mahu berenggang dengan Iqbal. Jadi terpaksalah Iqbal membawa Ratna sekali ke farmasi untuk mengambil ubat. Dahlia pula menemani Zira di dalam kereta.
“HELO sayang. Tengah buat apa tu?” Iqbal menghubungi Shifa sementara menunggu giliran mengambil ubat.
“Tengah makan sorang-sorang. Ada suami pun macam tak ada suami.”
Iqbal hanya mampu tersenyum tawar. Dah tahu pasti Shifa akan ambil peluang untuk merajuk. Modal itu sajalah yang dia ada. Dan Iqbal juga tahu bagaimana nak menghilangkan rajuk Shifa. Bukannya susah sangat. Takkan itu pun nak diajar?
“Teruk betullah awak ni. Awak masak semua tu untuk saya, kan? Kenapa awak makan sorang-sorang? Berdosa tau tak tunggu suami.”
“Eleh! Berdosa konon. Yang si suami tu meninggalkan isteri tak dikira berdosa pulak.”
“Itu lain. Kena tengok juga isteri macam mana dan nombor berapa yang ditinggalkan. Kena ingat juga satu perkara. Sayang anak ditangan-tangankan, sayang isteri ditinggal-tinggalkan. Jadi saya tinggalkan awak tu bukannya sebab saya benci tau. Saya sayang. Bila selalu ditinggalkan, barulah ada rasa rindu.”
“Yalah tu. Betul ke nak saya simpankan lauk ni?” Suara Shifa dah tak sekeras tadi.
“Betullah. ‘Lauk’ yang tengah bercakap tu pun tolong simpan tenaga juga ya. Nak sambung balik ‘siaran tergendala’ tadi.” Iqbal mengekek ketawa.
“Gatal! Dahlah. Cepat sikit tau. Hati-hati memandu.” Bukan main lembut lagi Shifa menitip pesan.
“Baik sayang. Jumpa kejap lagi ya. Muah!” Iqbal tamatkan panggilan. Dia senyum-senyum sendiri tatkala memadamkan nama Shifa dari senarai rekod panggilan. Hidup mesti pandai. Pandai makan pandailah simpan. Punyalah seronok sampai tak perasan Ratna sedang memerhatikan tingkahnya. Tapi apalah yang anak kecil itu faham. Nak bercakap pun tak berapa pandai lagi. Pandang sajalah abahnya tengah buang tebiat.
Ratna masih tidak mahu melepaskan Iqbal walaupun sudah berada di dalam kereta. Puas Zira memujuk. Ratna tetap berdegil mahu duduk di pangkuan Iqbal. Erat sungguh dia memeluk leher Iqbal. Kuat betul raungan Ratna apabila Iqbal cuba menyerahkannya pada Zira.
“Okey, okey. Ratna duduk diam-diam tau. Jangan gerak-gerak. Nanti polis tangkap.” Akhirnya Iqbal terpaksa mengalah.
Untuk minit-minit terawal kepala Ratna masih elok terlentok di dada Iqbal. Tak lama kemudian Ratna berdiri. Bahu Iqbal pula dijadikan tempat merebahkan kepala. Tapi tangannya cuba menggapai Dahlia yang duduk di belakang.
“Duduk diam-diam Ratna. Abah bawa kereta tu.” Zira menegur. Geram juga dengan Iqbal. Tak pandai bertegas langsung dengan anak-anak. Manja tak bertempat. Tak pasal-pasal menyusahkan diri sendiri.
“Adoi, adoi. Mata Kak Lia sakit. Ratna, tiup cepat.” Dahlia pula berdiri di belakang kerusi Iqbal. Bukan main riang lagi masing-masing bergurau-senda. Mula-mula main tiup-tiup mata. Kemudian tiup telinga. Sampaikan telinga Iqbal pun menjadi objek permainan dia orang.
“Auch! Gelilah.” Iqbal mengusik anak-anaknya. Terkekek-kekek masing-masing ketawa. Dahlia menarik kolar baju kemeja T Iqbal. Tak semena-mena leher Iqbal digaru laju.
“Aduh! Gelilah Lia. Macam mana abah nak bawa kereta ni?” Ratna sudah beralih ke belakang. Sama-sama dengan Dahlia menggaru leher Iqbal.
“Ibu, nanti balik sapu ubat kat leher abah tau. Banyaknya nyamuk gigit. Tengok ni.” Dahlia masih menggaru leher sebelah kiri Iqbal.
Zira hanya menoleh sekilas. Tapi Iqbal rasa darahnya seakan kering serta-merta. Baru teringat bekas-bekas ‘gigitan cinta’ yang Shifa tinggalkan. Cepat-cepat dia menutup semula leher yang terdedah. Tapi Dahlia dan Ratna masih ingin bergurau. Kolar baju Iqbal ditarik lagi.
“Abah nak memandu ni. Duduk diam-diam!”
Hilang terus gelak tawa Dahlia dan Ratna. Ratna tersengguk-sengguk menahan tangis. Terkejut kena tempik dengan Iqbal. Dahlia memeluk Ratna. Dia juga terkejut dengan tindakan spontan Iqbal. Tapi dia lebih tenang dari Ratna.
“Abah ni jahatlah. Lia dengan Ratna nak tolong garukan leher. Itu pun nak marah.”
Iqbal kemam bibir. ‘Mampus aku kalau Zira tahu ni.’
Stereng kereta dipegang kemas-kemas. Berharap sangat agar Zira tak masuk campur. Mujurlah dah sampai ke rumah. Zira terus keluar dari kereta tanpa banyak soal. Iqbal bukakan pintu untuk Dahlia dan Ratna. Tapi masing-masing tak mahu keluar. Masih merajuk dengan Iqbal.
“Marilah keluar. Lia bawa Ratna berehat ya. Dia kan baru balik hospital.”
“Tak nak kawan abah!” Dahlia dan Ratna keluar dari kereta melalui pintu yang satu lagi. Merajuk benar nampaknya.
Iqbal menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Takkan senang hatinya nak ke rumah Shifa kalau anak-anak masih begitu. Iqbal masuk mencari Dahlia dan Ratna. Dia bukannya sengaja nak tinggikan suara. Tapi kalau dia tak buat begitu bocorlah rahsia besarnya nanti.
“Lia, Ratna.” Iqbal mencari mereka berdua di bilik permainan. Tak ada pun mereka di situ.
Iqbal ke bilik utama. Dahlia dan Ratna berada di atas katil bersama Zira. Masing-masing membelakangkan Iqbal kecuali Zira. Iqbal beri isyarat supaya baring diam-diam. Dia nak memulakan sesi memujuk anak-anak. Perlahan-lahan Iqbal memanjat naik ke katil. Nak tergelak dia melihat Dahlia dan Ratna yang pura-pura tidur. Zira pun sedang menahan tawa. Pandai pula anak-anak daranya memancing perhatian Iqbal.
“Huargh! Mana budak-budak yang merajuk tu? Mari sini abah nak geletek sampai pengsan!” Tangan Iqbal mencucuk-cucuk pinggang Dahlia dan Ratna.
Serta-merta bilik tidur utama riuh-rendah dengan tawa riang Dahlia dan Ratna. Berjaya juga Iqbal memujuk cinta-cinta hatinya. Tapi ada seorang lagi yang nampak kurang manis sedikit senyumnya.
“Sayang tak sihat ke? Senyap aje dari tadi.”
“Masih pening kepala lagi. Abang ambil alih kerja Zira kejap boleh tak? Rasa macam nak berbaring aje hari ni.”
“Pergilah mandi. Basahkan kepala. Berpanas tadi kut. Sebab itu sakit kepala.” Iqbal memicit kepala Zira. Dalam hati ada rasa kecewa. Nampak gayanya memang terpaksa batalkan lagi perjumpaan dengan Shifa petang ini. Merajuk baliklah buah hati di ‘cawangan kedua’ tu nanti.
“Abah nak ais krim.” Dahlia menggoyang-goyangkan kaki Iqbal. Seperti biasa, Ratna pun turut bersekongkol bersama Dahlia. Makin lama makin kuat rengekan masing-masing.
“Abang bawalah budak-budak ni keluar. Makan ais krim kat taman permainan pun okey juga. Biar Ratna tu berpeluh sikit. Tapi kalau panas sangat jangan biarkan dia berjemur pula.”
“Yeay!!! Pergi taman. Yeay, yeay! Pergi taman.”
Iqbal belum beri sebarang persetujuan pun. Tapi Dahlia dan Ratna dah bersorak dahulu. Zira menarik tangan Iqbal dan dikucup lembut. Renungan redupnya seolah-olah mengucapkan terima kasih kepada Iqbal.
“Jangan lupa kunci pintu tau,” pesan Zira ketika Iqbal melangkah keluar dari bilik.
Zira bangun memerhatikan Iqbal dan anak-anak melalui tingkap. Tak semena-mena air matanya mengalir. Bukan sedih. Tapi marah dan geram. Dia dah nampak kesan-kesan ‘gigitan cinta’ di leher Iqbal.
“Kurang ajar! Anak kau tengah sakit kat rumah. Kau boleh berseronok-seronok kat sana. Sekarang kau jagalah budak-budak tu. Jangan haraplah nak melekap aje dengan isteri muda kau!” Hati Zira penuh dengan dendam. Tahulah apa dia nak buat selepas ini.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL ANDAI KIAMBANG TAK BERTAUT (PENULIS: LISHAEHA)