Andai Kiambang Tak Bertaut – Bab 4

“PANAS lagi ke badan Ratna?” Iqbal menggoncang botol susu yang baru dibasuh kemudian disuap ke mulut Ratna.

“Dah kurang sikit. Tapi dah tak muntah.”

“Selesema Lia dah okey?” Iqbal menoleh pada Dahlia yang sedang bermain dengan anak patung di tepi pintu.

“Baru nak kering. Tapi dia tak nak makan. Menyusu pun sikit sangat.” Zira menayangkan botol susu Dahlia yang masih penuh. Rasa-rasanya itu susu yang dibancuh tengah hari tadi.

“Sayang letak kat situ dulu. Kejap lagi abang pujuk dia habiskan susu tu.”

Iqbal mengusap kepala Ratna. Dahlia dan Ratna jarang sakit. Tapi kalau sekali dah kena memang lambat nak sembuh. Sebab itulah Iqbal tak senang duduk. Kalau tengah sakit masing-masing nak melekap saja dengan Iqbal. Menyesal pula Iqbal bawa mereka berdua ke taman permainan semalam. Terlupa yang Dahlia ada semput. Tak pasal-pasal kena ambil gas malam tadi. Sudahnya hari ini Ratna demam semula. Dahlia pula kena selsema.

“Abang nak air?”

“Boleh juga.”

Zira ke dapur membancuh kopi untuk Iqbal. Petang-petang begini makan biskut kering cicah kopi memang kena sangat lawannya. Dia dah puas berehat semalam. Kasihan pula melihat Iqbal berjaga sepanjang malam menjaga Ratna dan Dahlia. Marah tu memanglah marah. Kalau ikutkan Zira pun bersalah juga. Nak balas dendam punya pasal disuruhnya Iqbal melayan anak-anak makan ais krim dan bermain di taman. Puaslah hati Zira sekarang melihat Iqbal berada di rumah sepanjang hari. Tapi suasana rumah suram dan muram. Keceriaan rumah mereka pudar bila kedua-dua puteri kesayangan tidak berapa sihat.

“Assalamualaikum.”

Terjatuh sudu di tangan Zira. Macam dia kenal suara itu. Dan rasa-rasanya dia memang tak salah orang. Mana ada perempuan lain yang pernah datang ke rumah ini melainkan betina itu.

“Ibu, Mak Cik Shifa datang!” Dahlia melaung di halaman rumah.

Zira meninjau dari tingkap dapur. Dahlia sedang berpelukan dengan Shifa. Suka sangat dibawakan barang permainan.

‘Huh! Budak-budak bolehlah kau gula-gula. Dengan aku? Jangan harap!’

Zira pandang air kopi di dalam teko. Kemudian meninjau ke luar lagi. Sakitnya mata melihat Shifa sedang mengagah Ratna yang terlentok di bahu Iqbal. Zira capai bekas kopi. Geram punya pasal dia tambah beberapa sudu lagi serbuk kopi ke dalam teko. Kemudian dibawanya teko dan beberapa biji cawan ke depan. Tak kuasa nak guna dulang. Malas nak melayan tetamu yang tidak diundang.

Zira atur lagi langkah perlahan dan lebih berhati-hati.

“Janganlah. Budak-budak tengok ni.”

Zira berhenti di tepi pintu. Cepat-cepat dia bersembunyi di sebalik langsir. Mahu mendengar lagi perbualan keduanya.

“Biarlah. Saya nak cium Ratna. Alang-alang dah cium anak nak jugalah cium abahnya.” Shifa ketawa gatal.

“Hish! Janganlah. Nampak kat Zira nanti. Mampus kita.” Keras suara Iqbal. Tapi masih dalam keadaan terkawal.

“Apa pula mampus? Eloklah dia nampak.”

“Shifa! Jangan degil boleh tak?”

“Saya rindu…” Shifa merengek manja. Tangan mengusap kepala Ratna. Tapi mata merenung Iqbal.

“Bukan di sini. Please…” Iqbal merayu. Takut betul kalau Zira tiba-tiba muncul. Shifa memang tak faham bahasa. Makin ditegah makin seronok pula dia menggesel-gesel. Terkelip-kelip mata Dahlia melihat tingkah Shifa. Macam kucing miang.

Menggigil tangan Zira. Rasa macam nak simbah kopi panas ni ke muka Shifa. Pedih telinga mendengar ketawa gatal si perampas itu.

Zira meninjau sedikit. Beria-ia Iqbal menepis tangan Shifa yang sedang berlingkar di lengannya. Matanya tertinjau-tinjau ke dalam rumah. Takut Zira nampaklah tu. Padahal memang Zira dah nampak. Tinggal nak mengamuk saja belum sampai masanya lagi.

“Kita beritahu Zira hari ni ya?” Shifa bagi cadangan.

“Jangan!”

“Habis tu bila lagi? Saya tak peduli. Hari ni saya akan beritahu Zira.”

“Nak beritahu apa?” Zira muncul. Shifa menjauhi Iqbal. Teko di tangan Zira diambil untuk menutup rasa gelabah.

“Aku belum sempat duduk lagi, kopi dah terhidang. Dahsyatlah kau ni.” Shifa cuba alihkan perhatian Zira.

“Abang Iqbal yang nak minum.” Zira menjawab pendek. Tengah berusaha mengawal bicara. Takut terkeluar kata-kata sinis. Tak seronoklah kalau cepat sangat nak mengamuk. ‘Cacing-cacing’ belum kepanasan lagi.

“Dia datang nak jenguk budak-budak ni.” Iqbal duduk di sebelah Zira.

Dia jegil mata pada Shifa sebagai tanda amaran. Shifa buat-buat tak nampak. Dia sudah nekad. Apa jadi sekali pun dia tetap nak beritahu Zira perkara sebenar.

“Kau ni teruk betul tau. Dengar anak-anak aku sakit baru sibuk nak datang. Kenapa dah lama tak nampak muka? Kau tengah sibuk bercinta ke?” ‘Memang tengah sibuk, kan? Bercinta dengan laki aku.’ Zira buat muka selamba. Puas hati dapat menyindir.

“Siapalah yang nak kat aku ni? Kau pun sama juga. Kenapa dah lama tak call aku?”

“Aku sibuk dengan rumah tanggalah Shifa. Uruskan suami dan anak-anak. Kerja tak habis-habis dari celik mata sampailah nak tidur. Dapat peluang berehat memang tak fikir apa-apa dah. Baik aku tidur.” Zira ketawa. Tak ikhlas pun. Sekadar nak menceriakan suasana.

“Kau tak nak kerja balik ke? Sayang ada kelulusan, sudahnya duduk kat rumah aje. Tak rasa rugi ke?” Shifa mengerling Iqbal. Masih mencari peluang nak beritahu Zira.

“Kau kena kahwin dulu Shifa. Baru tahu rugi ke tak berkorban untuk suami dan anak-anak. Lagi pun macam-macam hal dah sekarang. Kalau ambil pembantu rumah pun tak boleh nak harapkan dia seratus peratus. Nanti bukan setakat dia jaga rumah dan anak-anak. Silap-silap hari bulan suami kita pun dijaganya.” Zira ketawa-ketawa. Sengaja.

Rasa macam ada unggun api tengah marak menyala di depan Shifa. Berbahang muka. Tapi dia senyum juga. Dia bukan pembantu rumah. Jadi tak berapa nak kena sangatlah sindiran Zira tu.

“Tadi kau cakap ada benda nak beritahu. Apa dia?”

Shifa pandang Iqbal. Zira pun sama. Iqbal jongket kening.

“Kenapa pandang sini pulak?” Walaupun tengah menggelabah tapi Iqbal masih berlagak biasa.

“Entah. Dah Shifa pandang abang. Zira pun pandanglah juga.” Zira gelak. Suka sangat tengok muka serba-salah mangkuk ayun berdua ni.

“Macam ni Zira.” Shifa berhenti sekejap.

“Eh, kejap. Lupa pulak nak ambil biskut. Dahlia! Tolong ibu ambil tin biskut kat dapur.” Zira melaung kuat. Terhenjut bahu Shifa dan Iqbal.

Sengaja Zira buat macam tu. Amaran pertama buat mereka berdua. Itu baru suara. Belum tengok lagi Zira bertukar jadi raksasa.

“Amboi kau. Panggil anak dah macam guru besar pencen. Terkejut aku,” seloroh Shifa.

Zira senyum lebar. Kopi dituang ke dalam cawan. Hanya untuk Shifa dan Iqbal. Satu cawan lagi dibiarkan kosong.

“Minumlah dulu. Aku tak tahu kau nak datang. Kalau tidak boleh buat kuih talam.”

‘Kuih talam tu memang sesuai dengan kau Shifa.’ Zira hulur cawan yang tidak beralas pada Shifa. Dan satu lagi untuk Iqbal.

“Tak payah susah-susah. Aku datang ni bukannya nak makan. Aku nak jenguk budak-budak ni aje. Macam mana boleh demam ni?” Panjang tangan Shifa menjangkau pipi Ratna.

“Biasalah budak-budak nak membesar. Tapi itulah. Setiap kali demam mesti masing-masing meragam. Tengok ajelah Ratna tu. Dari semalam tak nak berenggang langsung dengan Iqbal. Mujurlah anak sendiri. Kalau tak cemburu juga aku. Dua puluh empat jam nak melekap aje. Dah macam pasangan kekasih.”

“Apalah kau ni? Dengan anak sendiri pun nak cemburu?” Shifa menegur. Cawan kopi yang sudah suam masih belum disisip. Otak masih ligat mencari ayat yang sesuai untuk memulakan cerita.

“Tak banyak sikit pun kena juga ada perasaan cemburu tu Shifa. Biar dia tahu batas-batas pergaulannya dengan orang tua. Lebih-lebih lagi anak perempuan dengan bapak dia. Kalau dari awal dibiarkan, lama-lama nanti minatnya lebih menjurus kepada lelaki yang sebaya dengan bapak dia. Itu yang kita dengar macam-macam hal sekarang ni. Anak dara kahwin dengan lelaki umur enam puluh tahun lah. Yang jadi perempuan simpanan. Yang jadi isteri nombor dua, tiga, empat dan lima pun ada.” Zira menepuk meja. Seronok pula dapat membebel panjang-panjang.

“Apa sayang cakap ni? Anak-anak kita tak macam tu lah. Abang akan pastikan Dahlia dan Ratna menjadi anak-anak yang baik dan tahu berfikir mana baik dan buruknya sesuatu perkara.”

Iqbal mengusap belakang tubuh Ratna. Agak kurang senang dengan cara Zira bercakap. Macam tengah cari gaduh.

“Zira bagi contoh ajelah. Zira pun tak nak anak-anak Zira jadi macam tu. Kalau dah tak ada sangat lelaki yang nak kat dia orang nanti, Zira lebih rela anak-anak Zira jadi andartu daripada berkongsi kasih dengan orang lain.”

“Ibu! Mana tin biskutnya? Kakak tak jumpa pun.” Laungan Dahlia berjaya menghentikan perbualan yang semakin hangat.

“Ada kat atas meja tu. Hish, budak ni cari dengan tangan ke apa?” Zira bangun dan tinggalkan Shifa dan Iqbal. Teleng kepala Iqbal melihat Zira masuk ke dalam rumah.

“Kenapa Zira cakap macam tu? Dia dah tahu rahsia kita ke?” Shifa meluahkan rasa tak puas hati.

“Hish! Tak mungkinlah. Dia tengah penat tu. Malam tadi tak cukup tidur menjaga budak berdua ni.”

Shifa menjuih bibir. Tak suka bila Iqbal menyebelahi Zira. Makin tak suka bila kedatangannya disambut dingin.

“Saya nak letak Ratna kat dalam kejap. Awak minumlah dulu.”

“Boleh tak awak layan saya sekejap? Jangan sibuk sangat dengan anak awak tu. Macam dia sorang aje yang ada anak. Orang lain tu pun ada anak juga. Tapi saya tengok tak adalah over protective sangat macam awak. Menyampah betul!”

“Orang lain tu dia punya pasallah. Saya dengan cara saya. Awak belum ada anak. Belum tahu lagi perangai awak tu nanti macam mana. Jadi tak payah nak cakap lebih-lebih.” Iqbal jegil mata. Kalau bab lain mungkin dia boleh bertolak-ansur. Tapi kalau bab anak, jangan ada sesiapa yang nak cuba-cuba mengajarnya.

“Duduklah sekejap. Saya nak berbual-bual dengan awak.” Suara Shifa sudah tidak sekeras tadi. Sebenarnya dia kesunyian. Sudah dua hari Iqbal tak datang ke rumah. Dia mana ada kawan-kawan lain. Yang ada pun cuma Nisa. Itu pun bukannya rapat sangat.

“Budak ni tak berapa sihat. Luar ni berhabuk. Tak pasal-pasal kena masuk gas lagi nanti. Duduklah sekejap. Nanti saya keluar balik.”

“Jangan cuba mengelak Iqbal. Duduk!” Shifa menyergah. Tajam matanya merenung Iqbal. Iqbal pun sama. Dia turutkan saja kehendak Shifa semata-mata tidak mahu kekecohan berlaku. Kalau bukan di rumah sendiri memang takkan dipedulikan Shifa. Perangai mengada-adanya semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

“Minumlah air tu. Dah sejuk nanti tak sedap pula,” ujar Iqbal.

Shifa masih seperti tadi. Tak beralih matanya ketika menyua cawan ke bibir.

“Uwek! Pahitnya. Zira tak bubuh gula ke?” Berkerut-kerut dahi Shifa. Memang sangat pahit. Melekat di lidah pahitnya. Iqbal mengangkat cawan dan menyisip sedikit. Muka dia pun lebih kurang sama macam Shifa.

“Patutlah awak cari lain. Buat air pun dia tak pandai. Macam ni ke Zira jaga awak selama ni?” Shifa ambil kesempatan. Inilah masa yang paling sesuai untuk meracuni fikiran Iqbal.

“Selalu tu okey aje.”

“Huh! Nak lagi bela isteri dia tu.” Terjuih bibir Shifa. Cawan disua lagi. Tapi bila teringat rasa pahit tadi, Shifa letak balik cawan di atas meja.

“Minum ajelah. Jangan beritahu Zira. Kecik hati pula karang.”

“Eleh! Hati dia awak nak jaga. Hati saya ni awak biarkan remuk redam. Tak adil betul. Lain kali kalau tak reti berlaku adil jangan menggatal sangat nak beristeri banyak!”

Iqbal senyum sinis. Sengaja menambahkan kemarahan Shifa. Sudahlah datang tak diundang. Nak cari pasal pula. Kena halau nanti baru padan muka.

“Saya dah cakap dulu, jangan letak harapan yang terlampau tinggi untuk perkahwinan ni. Saya dah ada Zira. Kami dah cukup bahagia dengan anak-anak ni. Tapi awak yang beria-ia ajak saya kahwin. Tak kesah walau kena beralah. Sekarang ni kenapa nak marah-marah? Bukan ini ke yang awak nak? Awak dah dapat saya. Tapi saya bukan untuk awak seorang. Apa-apa hal yang nombor satu mesti didahulukan. Faham?”

Shifa menepuk meja. Ringan saja tangan nak menyimbah kopi pahit ke muka Iqbal. Namun tiba-tiba reaksi wajah Shifa berubah tenang. Zira keluar semula bersama tin biskut.

“La, tak minum lagi ke? Nah biskut. Cicah dengan kopi sedap ni.” Zira letak tin biskut di atas meja. Tak kuasa nak letak dalam pinggan. Malas nak cuci pinggan.

“Dah tak ada pinggan ke?” Iqbal menegur. Zira tak menjawab. Senyum saja. Ratna diambil dari dukungan Iqbal.

“Zira. Gula kat rumah kau dah habis ke? Pahit betul kopi ni.” Berani betul Shifa menegur. Manalah tahu kalau-kalau memang Zira terlupa nak bubuh gula.

“Pahit ke? Memang aku tak letak gula. Aku gantikan dengan madu. Saja nak cuba sebab pernah terbaca dalam Facebook boleh gantikan gula dengan madu untuk bancuh minuman. Maaflah kalau tak sedap. Duduk kejap ya. Aku nak letak Ratna kat dalam.”Zira masuk ke dalam sekali lagi.

Shifa dan Iqbal berpandangan sesama sendiri. Lain macam betul cara Zira bercakap. Madu tu manis. Tapi kenapa masih rasa pahit bila dicampurkan dengan kopi? Lebih kurang macam bermadu ke? Dengar macam manis tapi sebenarnya sangat pahit untuk ditelan.

“Zira macam perli saya aje.”

“Tak adalah. Dia tak tahu apa-apa pun. Kalau dia dah tahu jangan haraplah kita boleh duduk-duduk macam ni. Macamlah awak tak kenal Zira tu, kan?” Iqbal mendengus. Rimas betul. Shifa tak habis-habis nak mencari salah Zira. Nak dihalau tak sampai hati. Merajuk nanti dah satu kerja pula nak kena pujuk.

“Nak ke mana tu?” Shifa menegur.

“Nak masuk dalam. Malas nak bergaduh lagi dengan awak.”

“Sampai hati tinggalkan saya sorang-sorang kat luar n. Okey, okey. Saya minta maaf. Saya tak sepatutnya cakap macam tu tadi.”

“Bukan macam tu. Selalunya kalau awak datang sini pernah ke saya berbual-bual dengan awak? Jarang-jarang, kan? Zira cuma tahu hubungan kita ni antara bos dan pekerja. Tapi awak tetap kawan baik dia. Buat macam biasa ajelah.” Iqbal bangun. Shifa pun bangun juga.

“Beranilah awak masuk dalam. Nanti betul-betul saya bocorkan rahsia kita.” Shifa kembali seperti tadi. Memang dasar tak faham bahasa.

Iqbal genggam buku lima. Kalau di depan matanya sekarang ni kucing kurap memang dah lama dia di halau. Tak suka betullah main ugut-ugut ni.

“Duduk,” arah Shifa. Macam dia pula yang jadi tuan rumah. Dia pun turut berdiri sambil berpeluk tubuh. Masing-masing dah macam patung cendana. Main tenung-tenung pula.

“Awak ni memang nak makan penampar saya agaknya. Awak buat macam ni, nampak sangat yang awak ni macam perempuan murahan tau. Elok-elok saya nak sayang awak jadi makin meluat pulak.”

Hati Shifa bagai disiat-siat. Ralat betul Shifa dengan perangai Iqbal. Kalau di pejabat bukan main manis lagi mulut memujuk rayu. Bila di rumah sendiri tiba-tiba jadi bacul. Kalau macam ini sampai bila nasib Shifa akan terbela? Dia pun nak merasa juga kebahagiaan dalam sebuah perkahwinan.

“Dah nak balik ke?” Zira menegur. Dia dah menyaksikan drama sebabak mereka berdua tadi. Sengaja dia lambat-lambat keluar. Dalam hati sedang bersorak gembira. Kemenangan sedang berpihak pada Zira lagi.

“Baliklah. Malas nak ganggu korang anak-beranak.” Shifa bersalam dengan Zira. Tapi mata mengerling Iqbal ketika dia berlaga pipi dengan Zira.

‘Memang kau dah mengganggu pun. Eloklah tu berambus cepat!’ Hati Zira menyumpah.

“Eh, kau belum beritahu lagi apa yang kau nak cakap tadi.”

Shifa tercengang. Ingatkan Zira dah lupa.

“Err, apa aku nak cakap tadi ya?” Shifa berdolak-dalih.

“Mana aku tahu. Kau nak kahwin ke?”

“Hish! Ke situ pulak.” Bahu Zira dilepuk. Shifa ketawa kuat.

‘Gila ke nak kahwin. Laki kita tu aku nak campak mana?’

“Aku pun dah lupalah apa aku nak cakap. Nanti kalau dah ingat aku beritahu kau. Balik dulu ya. Jumpa kat opis esok Encik Iqbal.” Shifa terus masuk dalam kereta. Tak berani nak tengok muka Zira.

Iqbal pun dah masuk ke dalam rumah. Kasihan juga dengan Shifa. Tapi nak buat macam mana? Dia tak sanggup berperang dengan Zira. Iqbal sayangkan Zira dan anak-anak sepenuh hati.

Shifa? Shifa pun Iqbal sayang juga. Tapi kalau Zira dan Shifa diletakkan di dalam rumah yang tengah terbakar, pilihan Iqbal tetap Zira. Jadi faham-fahamlah bagaimana kedudukan Shifa di hati Iqbal. Ada tak ada pun sama sahaja.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL ANDAI KIAMBANG TAK BERTAUT (PENULIS: LISHAEHA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *