Andai Kiambang Tak Bertaut – Bab 5

HARI ni Iqbal datang awal ke pejabat. Cadangnya nak memujuk Shifa. Dia tak lena tidur mengenangkan perang mulut yang berlaku di rumahnya semalam. Kalau boleh dia tak mahu menyakitkan hati Shifa. Tapi semalam Shifa dah melangkau batas kesabaran Iqbal. Sekali-sekala Shifa perlu diajar untuk berpijak di bumi nyata. Dia perlu sedar kedudukannya sebagai isteri kedua. Hak dan keistimewaannya tetap tidak sama seperti Zira.

“Shifa tak sampai lagi ke Nisa?”

“Macam belum lagi. Dia pergi mana Encik Iqbal?”

“Eh, saya tanya awak. Boleh pula awak tanya saya balik. Awak yang duduk sebelah meja dia, kan?”

“Saya ingatkan Encik Iqbal tahu. Saya duduk sebelah meja dia aje. Bukannya serumah.”

Iqbal terdiam. Baru teringat Nisa adalah ‘penasihat tak bertauliah’ bagi pihak Shifa. Tak pasal-pasal dah kena sindir. Padan muka!

“Tak apalah. Kalau dia datang nanti suruh dia jumpa saya.” Iqbal menonong masuk ke bilik. Kalau dia tunggu lagi pasti akan kena sedas lagi.

‘Huh! Kalau tak disuruh pun isteri muda awak tu mesti tergedik-gedik nak jumpa awak juga Encik Iqbal oi!’ Nisa menggerutu dalam hati.

Kalaulah dia ada kuasa magis, mahu saja dia menendang punggung Iqbal dari jauh. Hilang hormatnya pada lelaki yang suka main kayu tiga ini.

“Dia merajuk ke pasal semalam?” Iqbal bersoal-jawab sendiri.

Iqbal tak senang duduk. Shifa tak pernah ponteng kerja. Kalau dia lambat sekali pun pasti Iqbal akan diberitahu. Hati makin resah. Telefon Shifa tidak aktif. Iqbal keluar semula dan pergi ke bilik Farid. Dia yakin kehilangan Shifa ada kena-mengena dengan insiden semalam.

“Farid, kau tolong handle meeting hari ini boleh tak?”

“Eh, aku ada breakfast meeting kejap lagi. Kenapa? Anak kau sakit lagi ke?”

“Alamak! Macam mana ni?” Iqbal tepuk dahi.

Dia takkan senang hati selagi tak tahu apa-apa perkhabaran mengenai Shifa. Pelbagai perkara negatif dia fikirkan. Macam mana kalau Shifa ke rumahnya dan membocorkan rahsia mereka berdua? Lagi pun semalam Shifa balik dalam keadaan marah. Tak mustahil kalau dia buat begitu.

“Apa masalah kau ni?” tanya Farid. Dah banyak kali Iqbal membatalkan mesyuarat di saat-saat akhir. Sekali-sekala bolehlah ditolong. Kalau dah selalu-selalu sangat itu dah ambil kesempatan namanya.

“Shifa. Dia tak masuk lagi. Dah banyak kali aku telefon dia tak dapat-dapat,” ujar Iqbal lemah.

“Kau dah tanya Nisa?”

“Dah. Tapi tak pasal-pasal aku yang kena balik. Faham-faham ajelah mulut setiausaha kesayangan kau tu.” Iqbal mendengus geram.

“Dia cakap apa?”

“Dia cakap, saya duduk sebelah meja dia aje. Bukannya serumah. Huh! Serabut betul!”

Farid ketawa. Kelakar melihat Iqbal meniru gaya dan suara Nisa. Memang dari awal Nisa menentang keras perbuatan Iqbal dan Shifa. Mujurlah Nisa bukan jenis yang suka menjaja cerita orang. Dia lebih suka buat hal sendiri. Tapi sekali-sekala kena ‘sembur’ dengan kata-kata sinis Nisa rasa berapi juga telinga.

“Kau bergaduh ke dengan Shifa? Semalam ada jumpa dia tak?”

“Ada. Dia datang ke rumah melawat anak-anak aku. Tapi ada krisis sikit semalam. Tu yang aku risau Farid. Dia balik dalam keadaan marah. Aku takut dia buat perkara yang bukan-bukan.”

“Dia bergaduh dengan Zira ke?” Farid masih bertanya.

“Bukan dengan Zira. Dia buat perangai dengan aku. Aduh! Mana aku nak cari dia ni Farid. Aku rasa dia memang tengah merajuk dengan akulah.”

Iqbal meraup muka berkali-kali. Kemudian dia mundar-mandir di sekeliling bilik. Nampak sangat yang dia sedang resah. Kalau Shifa bunuh diri itu tak berapa teruk sangat. Iqbal takut Shifa bocorkan rahsia. Sekiranya perkara itu terjadi, kesannya lebih teruk dari bunuh diri.

“Aku rasa tak ada apa-apa tu. Habis meeting nanti kau pergilah tengok dia kat rumah.”

“Kalau dia ada kat rumah. Kalau tak ada aku nak cari kat mana?” Iqbal tertinggi suara. Geram kerana Farid tak mahu bekerjasama kali ini.

“Eh, yang kau nak tinggikan suara ni kenapa? Kalau kau rasa urusan peribadi kau lebih penting, pergilah. Lepas tu nanti jangan salahkan aku kalau syarikat ni dah tak ada projek. Sebab kau lebih sibuk menguruskan projek sendiri.” Farid bangun. Bengang juga ditengking tak tentu pasal.

“Farid, Farid. Aku minta maaf. Farid, tunggulah!” Iqbal mengejar Farid. Dia mendepang tangan, menghalang Farid keluar dari bilik.

“Tepilah! Aku tak ada masa nak masalah rumah tangga kau.”

“Janganlah macam tu Farid. Aku tertinggi suara tadi.” Iqbal menarik Farid ke sofa. Farid menepis kasar tangan Iqbal sebelum menghenyak punggung.

“Aku minta maaf. Aku tak ada niat nak marah kau. Aku takut kalau Shifa buat perkara yang bukan-bukan. Kebelakangan ni dia asyik suruh aku berterus-terang dengan Zira. Aku risau kalau-kalau dia pergi jumpa Zira tanpa pengetahuan aku. Maaf ya.” Iqbal menepuk-nepuk bahu Farid. Senyumnya langsung tak menjadi. Dia terduduk di kerusi. Tak tahu macam mana lagi nak cakap pada Farid yang dia betul-betul tak sengaja. Fikirannya bercelaru.

“Encik Iqbal. Wakil dari Teo Kwan Kwee dah sampai.”

Iqbal melihat interkom di meja Farid. Kemudian pada Farid.

“Pandai pula Nisa cari aku kat sini,” ujar Iqbal.

“Mestilah dia tahu. Aku dengan dia kan sama aje. Tali barut kau dengan Shifa.” Farid senyum sinis. Iqbal terkena lagi.

Farid mengemas mejanya dan sudah bersedia nak keluar. Tapi Iqbal masih duduk di situ. Tak ada hati nak masuk mesyuarat

“Farid. Memang tak boleh tolong ke?” Iqbal masih memujuk.

Farid angkat dua tangan dan menggeleng.

“Maaf sangat-sangat. Kali ni memang tak boleh. Kalau aku terlepas projek besar ni tak tahu lagi bila boleh dapat. Kau pun sama. Layan wakil Teo Kwan Kwee tu elok-elok. Rugi besar kita kalau terlepas dua-dua projek ni. Kau pun tahu kan?” Farid pergi ke pintu dan membukanya luas-luas.

Dengan berat hati Iqbal bangun. Nampaknya memang tak ada jalan lain. Kena masuk mesyuarat juga. Kerja tetap kerja.

 

“MACAM MANA dengan keputusan perbincangan kita?”

“Kami tetap dengan keputusan yang sudah dibuat. Harga yang kami bagi dah cukup murah. Take it or leave it.” Iqbal melonggarkan ikatan tali leher. Sudah satu jam berbincang. Kata putus masih belum dimeterai. Kesabaran Iqbal semakin nipis. Dia dah tak sabar nak keluar mencari Shifa.

“Apa kata kalau kita buka proposal baru? Kali ini win win situation. Produk kami adalah yang terbaik. Macam tak relevanlah dengan sebut harga yang Encik Iqbal nak. Keadaan ekonomi sekarang tak menentu. Lagi pun ini bukan kali pertama kita bekerjasama. Encik Iqbal faham, kan?” Mr. Yap, wakil dari Teo Kwan Kwee masih berusaha memujuk.

“Itu saya tahu. Tapi…”

Pintu bilik mesyuarat diketuk. Shifa muncul. Semua mata terarah padanya. Iqbal duduk tegak. Terus ringan rasa kepala. Orang yang dicari sudah berada di depan mata.

“Encik Iqbal. Boleh saya jumpa sekejap.” Shifa tak nampak macam orang sakit. Cara dia merenung Iqbal pun tak nampak sedih. Nampak teruja dan tak sabar-sabar.

“Tunggu di pejabat saya,” arah Iqbal. Suara saja tegas. Padahal dah tak sabar-sabar nak tahu ke mana Shifa pergi sepanjang pagi ini.

“Err, Mr. Yap. Saya rasa kita kena tangguhkan dulu perbincangan ni. Awak balik dan berbincang semula dengan bos awak. Rugi kalau awak tolak tawaran kami sebab masih ramai lagi yang nak projek ni. Okey? Kalau dah ada keputusan just give us a call.” Buru-buru Iqbal berjabat tangan dengan Mr. Yap. Kemudian dia keluar meninggalkan yang lain-lain.

“Bos you sudah sombonglah sekarang.” Mr.Yap meluahkan rasa tak puas hati.

“Sekarang dia sudah banyak busy kan? Saya mahu ajak minum-minum pun sudah tak ada masa.” Pelanggan tetap Iqbal & Farid Construction Sdn Bhd itu mengomel lagi. Agak kesal juga hati Mr.Yap dengan layanan dingin Iqbal.

‘Macam mana nak ada masa kalau dah sibuk melayan isteri muda?’

Nisa senyum. Tak perlu komen apa-apa. Dia cuma makan gaji saja di sini. Nisa iringi Mr. Yap dan pembantunya keluar dari bilik mesyuarat. Sejak kebelakangan ini makin banyak mesyuarat yang tertunda. Iqbal semakin hilang fokus. Semuanya gara-gara Shifa. Samalah juga dengan Shifa. Suka hati dia saja nak kerja atau nak bercuti. Mentang-mentanglah isteri bos. Dia buat pejabat ni macam ada bagi share pada dia. Kerap juga Nisa menggantikan tempat Shifa semasa mesyuarat. Lama-lama nanti tak mustahil semua pelanggan tetap syarikat ini akan beralih arah.

 

“AWAK pergi mana ni? Risau saya tau.” Iqbal terus menyoal Shifa sebaik sahaja masuk ke pejabat.

“Oh, tahu pula risau bila saya tak ada. Semalam bukan main garang lagi.” Shifa masih senyum simpul. Tak nampak pula tanda-tanda yang dia masih marah.

“Awak merajuk ya?”

“Yalah. Sebab itulah malas nak masuk pejabat. Lagi pun orang tu bukannya kesah pun kalau saya tak masuk kerja, kan?” Senyum Shifa semakin lebar. Seronok betul dapat menyindir Iqbal.

Iqbal mengunci pintu bilik. Hari ini dia tidak akan mengadakan sesi memujuk. Sudah sampai masanya dia bertegas dengan Shifa. Kalau tidak nanti Shifa akan pijak kepala.

“Cuba cakap betul-betul. Awak ke mana tadi? Awak jumpa Zira ya?”

“Eee! Tak kuasalah nak mengadap muka madu saya tu.”

“Habis tu awak ke mana?” Iqbal bercekak pinggang. Panas pula hatinya melihat muka mengada-ada Shifa. Kalau bukan merajuk, ke mana pula Shifa merayap tadi?

“Saya pergi klinik tadi,” jawab Shifa perlahan.

Serta-merta karakter Iqbal berubah. Hilang muka garang terpamer pula wajah risau. Dia mendekati Shifa dan menelek tubuh isteri keduanya itu dari atas ke bawah.

“Kenapa sayang? Awak tak sihat ke?” Iqbal mendudukkan Shifa ke sofa. Belakang tapak tangan melekap di dahi Shifa.

“Memang tak sihat. Tapi bukan kat situ.” Shifa menarik tangan Iqbal yang masih melekap di dahi lalu dibawa ke perut.

“Kat sini.” Shifa berbisik manja.

Iqbal terlopong. Shifa mengangguk perlahan. Lebar senyumnya bila Iqbal merenung tangan sendiri yang masih melekap di perut Shifa.

“Cirit birit ke?” Iqbal cuba menidakkan perkara yang sedang berlegar di kepalanya.

“Awak ni. Takkan tak perasan?” Peha Iqbal di pukul manja. Shifa merebahkan kepalanya di situ. Tangan Iqbal diletakkan semula di atas perut.

“Sejak bulan lepas kita tak pernah ‘cuti main’ tau. Jadi inilah hasilnya.” Shifa meredupkan mata. Apa yang dia inginkan sudah pun menjadi kenyataan. Kejutannya menjadi. Seronok dia melihat muka terkejut Iqbal.

“Betul ke ni?”

“Betullah sayang? Apa ingat saya tak subur ke? Kalau Zira boleh mengandung saya pun boleh tau. Kejap.” Shifa bangun dan mengambil kad imbasan dan alat ujian kehamilan di dalam beg tangan.

Iqbal tersandar lemah. Walaupun lega kerana Shifa tidak membocorkan rahsia mereka pada Zira, namun ini juga bukan berita gembira buat Iqbal. Ini bala namanya.

“Macam mana boleh ‘lekat’? Awak makan ubat kan?”

“Memanglah. Terlebih subur kut. Sebab itulah senang ‘lekat’.” Shifa ketawa manja. Patutlah dia rasa tak sedap badan kebelakangan ini. Nak dapat orang baru rupanya.

“Dah berapa bulan?”

“Baru dua minggu.”

“Baru lagi. Nasib baik…”

Shifa pandang Iqbal. Terasa hati sedikit bila Iqbal mencampak kad imbasan dan pregnancy test ke atas meja. Makin hairan tatkala Iqbal meraup muka berkali-kali.

“Memang saya punya ke?” Iqbal menjuih mulut ke perut Shifa.

“Tak baiklah awak ni. Mestilah awak punya.” Shifa menampar lengan Iqbal. Makin tersinggung dengan kata-kata Iqbal. Apa Iqbal fikir dia perempuan sundal ke?

“Awak nak ke budak ni?”

“Eh, mestilah nak. Ini bukan anak haram tau. Saya isteri awak yang sah.” Shifa memeluk perut sendiri. Terkejut sangat. Tak sangka Iqbal akan tanya begitu.

“Shh! Perlahanlah sikit suara tu.” Iqbal jegil mata.

Perut Shifa ditenung. Tangan Shifa yang masih melindungi perut Iqbal tarik perlahan. Dikucupnya berkali-kali tangan Shifa sebelum didakap erat.

“Saya sayang awak. Tapi buat masa ni saya rasa kita lebih bahagia tanpa ‘dia’. Awak faham kan?”

Shifa merentap kasar tangannya. Dia menjauhi Iqbal. Kejutan yang dijangkakan akan menggembirakan Iqbal nampaknya tersasar jauh. Shifa faham. Iqbal mahu dia gugurkan kandungan ini.

“Selain Farid dan Nisa, tak ada seorang pun manusia di pejabat ni yang tahu status kita berdua. Sebelum perut awak makin besar, baik kita buat sesuatu.”

“Iqbal!”

“Shh! Dengar dulu saya cakap ni sayang.” Iqbal cuba memeluk Shifa.

“Saya tak nak dengar apa-apa. Saya nak anak ni.” Shifa menolak Iqbal. Pipinya sudah basah dengan air mata. Dia capai beg tangan dan berlari ke pintu.

“Kalau awak simpan budak tu awak takkan jumpa saya lagi.”

Tak jadi Shifa memulas tombol pintu. Lemah kakinya mendengar kata dua Iqbal. Nyaris-nyaris lagi dia terduduk di karpet. Mujur Iqbal sempat menyambut tubuhnya.

“Anak ni tak salah Iqbal. Kenapa awak kejam sangat?” Shifa menangis hiba. Dada Iqbal ditumbuk-tumbuk. Iqbal biarkan Shifa melepaskan perasaan. Apa jadi sekali pun dia tidak akan membenarkan Shifa menyimpan kandungan itu. Dia masih sayangkan Zira. Perasaan Zira lebih penting ketika ini.

“Saya nak jadi isteri yang sempurna untuk awak Iqbal. Tolonglah. Benarkan saya simpan anak ni. Anak kita Iqbal.”

“Awak dah cukup sempurna sayang. Saya bukan tak bagi awak mengandung. Tapi bukan sekarang. Kita banyak masa lagi. Saya tak puas lagi nak membahagiakan awak.”

“Saya akan lebih bahagia kalau dapat bagi zuriat untuk awak.” Shifa menggoncang-goncang tubuh Iqbal. Apa lagi akalnya untuk mempertahankan benih yang baru dua minggu bercambah di dalam rahimnya ini?

“Sayang. Kita dah selesa macam ni. Kalau ada anak nanti kita tak bebas nak ke mana-mana. Masa Dahlia dan Ratna demam, berapa hari saya tak keluar rumah? Tengok Zira. Bila saya ajak keluar jalan-jalan ada sajalah alasannya. Anak-anak tak boleh tidur lewatlah. Takut anak meragamlah. Sampaikan nak layan saya pun tak ada masa. Setiap kali saya ‘minta’, dia asyik menolak aje. Alasannya penat jaga anak. Awak nak macam tu ke?”

Makin erat pelukan Iqbal. Berharap sangat Shifa termakan kata-katanya. Anak bukan tujuan utama dia menikahi Shifa. Dia cuma ingin menghalalkan perhubungan mereka. Kalau nak anak, dengan Zira pun boleh.

“Kalau awak nak juga simpan ‘dia’, jangan salahkan saya kalau tak dapat jaga awak masa dalam pantang nanti. Siang bolehlah saya tengok-tengokkan. Malam macam mana?”

Tangisan Shifa semakin perlahan. Iqbal masih memeluk erat tubuh Shifa. Dia takkan puas hati selagi Shifa tak bersetuju untuk membuang kandungan itu. Kepalanya sedang ligat menyusun pelbagai alasan dan contoh-contoh bodoh yang mungkin boleh mempengaruhi fikiran Shifa.

“Saya tak sanggup tengok awak morning sickness nanti sayang. Seksa awak tahu tak? Kalau saya selalu ada dengan awak tak apa juga. Lagi satu, saya takut Zira apa-apakan awak kalau dia tahu yang awak dah mengandung. Kita kahwin senyap-senyap dah satu hal. Sekarang awak mengandung pula. Mati kita berdua dia kerjakan nanti.”

Shifa keringkan pipi dengan belakang tapak tangan. Dia angkat muka. Matanya masih berair. Sedu-sedannya juga masih kedengaran. Iqbal mengucup dahi Shifa. Agak lama. Shifa menangis lagi. Tangan Iqbal kembali memeluk tubuh Shifa dengan erat.

“Saya bawa awak ke klinik yang terbaik. Tak kisahlah mahal macam mana pun. Lepas tu ambil cuti dua minggu. Bergaji.”

Shifa senyum kelat. Agak lumayan juga tawaran Iqbal. Tapi dia masih berat hati. Tak terlintas langsung di fikirannya Iqbal sanggup membunuh zuriat sendiri. Pelukan Iqbal dileraikan. Shifa mengambil kad imbasan dan alat ujian kehamilan di atas meja. Bergetar bibirnya menahan sebak yang tak mahu pergi.

“Bagi sini benda tu.”

“Jangan Iqbal. Please. Sekurang-kurangnya bagilah saya simpan kad imbasan dan ujian kehamilan ni untuk kenang-kenangan.” Shifa menyembunyikan di belakang badan.

“Jadi awak setuju?” Iqbal mahukan kepastian.

“Sekali ini saja tau. Tapi dengan satu syarat.”

“Apa sajalah sayang. Asalkan awak jangan simpan budak tu.” Iqbal menghela nafas lega.

Mintalah bulan dan bintang sekali pun. Iqbal tak kesah. Lepas ini dia akan lebih berhati-hati. Mungkin kena pakai kondom lepas ni. Ubat-ubatan ni bukannya boleh percaya sangat.

“Saya akan ikut cakap awak. Tapi saya nak awak beritahu Zira tentang kita lepas saya ‘cuci’ budak ni.”

“Boleh, tak ada masalah.” Iqbal mendepang tangan. Nampak sangat bersedia dengan syarat yang Shifa kenakan.

“Betul?” Shifa tak percaya. Dia kenal sangat dengan perangai Iqbal yang suka berbolak-balik.

“Betul sayang. Awak nak saya junjung Al-Quran ke?” Iqbal angkat tangan kanan, macam orang angkat sumpah. Sebelah tangan lagi menarik kepala Shifa rapat ke dadanya.

“Saya pun dah letih hidup macam pelarian. Kita akan jumpa Zira lepas awak sihat nanti. Sekarang kita ke klinik. Okey?” Iqbal bangunkan Shifa. Dihadiahkan Shifa kucupan yang agak lama di bibir. Sekelip mata sahaja Shifa terbuai-buai. Lupa perkara sedih yang berlaku tadi.

“Hari ni macam mana? Saya ni dikira sudah bercuti atau masih bekerja?” tanya Shifa.

“Tak apa. Saya bayar awak gaji penuh. Isteri bos, kan? Cuti pun macam kerja. Kerja pun macam cuti, kan?” Iqbal mencuit hidung Shifa.

Kasihan Shifa. Hari ini dia masuk pejabat hanya untuk diperbodoh-bodohkan oleh Iqbal. Begitulah jadinya kalau cinta dan hubungan yang dijalinkan atas dasar nafsu dan kebendaan.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL ANDAI KIAMBANG TAK BERTAUT (PENULIS: LISHAEHA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *