SELEPAS memarkir kereta di tempat letak kereta di tingkat 2 sebuah kompleks beli belah, Ziyad terus mengajak Uji masuk ke dalam kompleks. Tangan Uji tak dilepaskan. Dipimpin ke mana saja mereka melangkah.
“Kita buat apa kat sini, abang?”
Ziyad berhenti tak jauh dari eskalator. Muka Uji dipandang.
“Jam atau emas?”
“Uji tak faham.”
Tiba-tiba tanya macam tu. Mana Uji nak faham.
“Uji suka jam atau emas?”
Cakap biar terang. Kan senang Uji nak jawab.
“Kenapa?”
“Jawab ajelah abang tanya.”
“Jam.”
“Kenapa Uji suka jam?”
“Sebab masa lebih berharga. Kalau hilang tak boleh ganti. Emas boleh beli bila-bila masa.”
Ziyad terangguk-angguk. Logik jawapan Uji. Dia harap Uji akan jawab Uji sukakan emas. Dia sudah merancang hendak belikan barang kemas untuk Uji. Sewaktu mereka bercinta Uji sering menolak apabila dia mahu membelikan sesuatu yang mahal.
Barang kemas di badan Uji sekarang hadiah hantaran sewaktu perkahwinan. Kalau boleh dia nak belikan lebih lagi. Dia mampu. Walaupun tak ada niat nak penuhkan barang kemas di badan Uji sebanyak emas mami jarum, sekurang-kurangnya nampaklah juga Uji memakai perhiasan.
Mereka terus berjalan sehingga sampai di hadapan sebuah kedai emas. Memandangkan Uji pilih jam, Ziyad terpaksa tukar rancangan. Dia akan belikan sesuatu yang disukai Uji, bukan yang dia sendiri suka.
Kening Uji terus terangkat bila Ziyad berhenti pula di hadapan sebuah kedai jam. Nak buat apa kat sini? Ziyad nak beli jam ke? Tak cukup ke jam tangan Ziyad yang berlambak-lambak kat rumah tu? Bukan Ziyad boleh pakai semua sekali gus. Nak tegur bukan duit dia. Lagipun dia faham Ziyad memang suka menyimpan koleksi jam.
“Abang nak beli jam lagi?”
“Selamat datang, Encik Ziyad.”
Tak sempat Ziyad jawab soalan Uji, seorang lelaki yang memakai baju seragam kedai menghampiri mereka. Badan dibongkokkan sedikit dan mereka disapa dengan begitu hormat. Nampak gayanya Ziyad memang kerap ke kedai ini. Boleh agak daripada cara layanan mereka.
Ziyad membawa Uji ke deretan jam yang terdapat dalam sebuah almari kaca.
Jam perempuan. Ziyad nak beli jam untuk dia ke?
“Pilihlah yang mana Uji suka.” Betul pun sangkaan Uji!
“Untuk Uji?” Soalan Ziyad tadi sebab ini ke?
“Ya, sayang. Untuk Uji.”
“Eh, Uji dah ada jam. Buat apa membazir? Uji tak nak.”
Uji tak mahu. Dia tak perlukan jam baru. Jam yang ada ini elok lagi. Jam ini pun Ziyad yang hadiahkan dua tahun lepas. Dia nak tolak, tapi disebabkan Ziyad bagi sebagai hadiah hari jadi terpaksa Uji terima juga.
“Erm, boleh tinggalkan kami sekejap? Isteri saya nak tengok-tengok dulu. Dah jumpa yang berkenan baru kami panggil.”
Lelaki itu mengangguk. Buat-buat tak dengar ayat Uji yang mengatakan tidak memerlukan jam baru. Bukan urusan dia. Kalau Tuan Ziyad dah datang kedai mereka, dia yakin Tuan Ziyad tidak akan keluar dengan tangan kosong. Tak pernah perkara itu terjadi sepanjang Tuan Ziyad jadi pelanggan tetap kedai jam ini.
“Mana ada membazir, sayang. Abang beli untuk Uji. Takkan pernah membazir kalau untuk Uji.”
“Tapi, jam Uji…”
Ziyad tarik tangan kiri Uji. Jam tangan yang melilit di pergelangan tangan Uji pantas dibuka. Uji tak sempat halang bila Ziyad masukkan jam itu ke dalam poket seluar Ziyad.
“Sekarang Uji dah tak ada jam. Jam ni abang simpan.”
Alamak! Dah tak ada pilihan. Pandai betul Ziyad main taktik.
“Bolehlah, sayang. Jangan tolak pemberian abang. Abang nak sangat belikan sesuatu untuk sayang. Abang nak terbang jauh lagi tiga hari ni. Kalau apa-apa jadi pada abang, dan Uji tak tunaikan hasrat…”
“Abang!” Uji cubit perut Ziyad. Geram bila Ziyad merepek sampai ke situ. Lagipun Singapura dengan Malaysia bukan jauh mana. Kecoh saja Ziyad.
“Tak sukalah abang cakap macam tu.” “Kalau tak suka, Uji kena pilih satu jam.”
Uji jeling Ziyad. Geram nak cubit Ziyad lagi. Ziyad tak mengaduh pun. Macam tak sakit aje kena cubit dengan Uji.
“Okeylah. Uji pilih satu.”
“Macam nilah isteri abang. Mendengar kata.” Dah kena ugut. Terpaksalah Uji dengar juga!
Uji melihat satu persatu jam di dalam almari kaca. Mak, oii! Juling mata Uji mengintai harga setiap jam. Beribu harganya. Mahal gila! Rasa tak berbaloi langsung beli jam semahal itu.
Uji telan air liur. Tak ada ke jam tangan murah kat sini? Seganlah dia nak pakai jam tangan mahal. Nanti orang kata dia berlagak pula. Mentang- mentang kahwin dengan anak orang kaya. Padahal dia miskin aje pun. Tumpang senang suami kaya.
Dia faham Ziyad kaya! Tapi perlu ke beli jam harga sampai beribu? Tak takut kena rompak ke? Kalau Ziyad tak takut, Uji takut!
“Ada yang Uji berkenan?”
“Errr…”
Ziyad dah faham perangai Uji. Dia tahu Uji risau tengok harga jam yang mahal. Alang-alang membeli, dia akan belikan yang terbaik untuk Uji.
“Jangan tengok harga sayang. Abang mampu. Lainlah kalau abang tak mampu. Lepas ni kena bergolok gadai sebab belikan Uji jam. Harta abang ni kalau tak dihabiskan untuk isteri abang, untuk siapa lagi abang nak habiskan? Abang bukan ada isteri lain. Uji sorang aje isteri abang.”
“Abang…” Uji ketap gigi. Tak senonoh betul gurauan Ziyad. Tadi pasal mati, sekarang pasal beristeri lebih pula. Saja nak buat hati Uji libang-libu.
“Hurm, cepatlah pilih. Abang janji isteri abang Uji sorang aje. Tak adanya abang nak kahwin dua tiga. Abang lelaki yang setia.”
Uji percayakan Ziyad.
“Tak sukalah abang bergurau macam tu.”
“Okey, maaf. Abang tak gurau dah macam tu.” “Okey, Uji maafkan. Lain kali abang gurau macam tu abang tidur kat luar.”
Uji tarik muka. “Sampai hati, sayang.”
“Abang lagi sampai hati.”
Ziyad ketawa-ketawa tengok muka Uji masam. Muka merajuk Uji comel betul. Rasa macam nak cium Uji sekarang juga. Tambah bila muncung Uji semakin panjang. Uji, Uji, menguji keimanan dia betullah.
“Hai, cinta hati abang ni! Lambat sangatlah!”
Ziyad menggeleng. Nak alihkan fikirannya yang sedang nakal, tangannya melambai pekerja yang menyambut mereka tadi.
“Ya, Encik Ziyad.”
“Ambilkan jam yang itu.”
Ziyad menunjukkan sebuah jam tangan berwarna light pink. Di tepi kepala jam dihiasi batu permata yang berkilauan.
Uji yang baru menerima jam itu terus terkejut. Tertelan air liur bila melihat tag harga pada jam itu. Harga jam boleh buat belanja dia setahun.
“Cantik, kan?”
Uji angguk. Takkan tak cantik. Harga pun cantik.
“Bungkuskan jam ni untuk isteri saya.”
Ziyad senyum. Kad kredit dihulurkan. Mata Uji berpinar-pinar. Tak mampu nak kata tak bila Ziyad lemparkan senyum semanis gula. Pipinya merona serentak dengan bibir Ziyad yang mendarat di pipinya.
Alahai, malunya! Dalam kedai jam pun Ziyad terlebih romantik. Saja nak ambil hati Uji yang tengah melayang-layang seperti mana duit Ziyad sedang melayang masuk ke akaun tauke kedai jam.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI KOMBO JALINAN KASIH (PENULIS: NUEEN & AK RAFFHAN)