Beban Kasih Asmara – Bab 3

ZIYAD jarang bersarapan awal pagi. Paling awal Ziyad bersarapan pukul 10:00 pagi. Sebelum ke tempat kerja Uji akan bekalkan Ziyad air kopi yang disimpan dalam termos. Sejak awal perkenalan mereka Uji sudah tahu kebiasaan Ziyad yang satu ini. 

Pagi itu seperti biasa Uji hantar Ziyad sampai ke kereta. Setelah Ziyad letakkan termos dan barang- barang ke tempat duduk bahagian penumpang, Ziyad hampiri Uji semula. 

“Abang pergi kerja dulu. Tunggu abang nanti.” Ziyad cium pipi kiri. 

“Hati-hati,” pesan Uji. 

“Sayang pun hati-hati kat rumah.” 

Uji angguk lepas bersalam dengan Ziyad. 

Ziyad tersenyum sebelum masuk ke dalam kereta. Uji perhatikan saja Ziyad sehingga kereta yang dipandu Ziyad menghilang. 

“Abang pergi kerja dulu. Tunggu abang nanti.” Yaya mengajuk Ziyad. 

Cepat Uji toleh. Pandang kakak ipar yang masih memakai baju tidur. Rambut menggerbang.

Muka pula takut hendak tengok. Macam muka hantu. Sebiji! 

“Menyampah!” Kata Yaya lagi. 

“Gedik tak bertempat.” Datin Maimun juga tumpang menyampuk. Entah dari mana muncul dua beranak ini. Masa Ziyad nak pergi tadi tak ada pula mereka. Pasti dari tadi mereka mengintai Uji dan Ziyad. 

Uji pura-pura senyum. 

“Selamat pagi, mama, Kak Yaya.” 

Uji dicebik. Nak bermesra konon. Tak kuasa nak layan. 

“Uji masuk bilik dulu, mama, Kak Yaya.” Uji masih sopan. Adat menumpang rumah orang. Kena sopan dengan tuan rumah. 

“Tak tanya pun! Jom, mama! Yaya laparlah!” 

Yaya menarik tangan Datin Maimun masuk ke dalam rumah. Jangan mimpi dia nak ajak Uji sekali. Huh, perempuan miskin! 

 

“UJI!” 

Uji terduduk. Terkejut dengar suara orang terpekik-pekik memanggil namanya di luar bilik. Mata digosok. Dia tertidur rupanya. 

“Uji!” Suara Datin Maimun.

“Ya, mama.” 

Bergegas Uji buka pintu bilik. Datin Maimun tercegat di luar bilik sambil bercekak pinggang. 

“Buat apa lambat sangat buka pintu?” “Err, Uji tertidur tadi mama.” 

“Tidur aje kerja kau. Kau ingat kau mem besar kat rumah ni? Mem besar kat rumah ni aku dan Yaya aje. Sedar diri sikit. Kau tu menumpang kat sini.” 

Uji terkebil-kebil. Bangun tidur terus kena marah. Tertidur sekejap aje pun. Bukan dia tidur sampai dua tiga hari. 

“Tak payah buat muka sedih. Ingat aku kesian?” 

Uji tunduk. Dia tak minta dikasihani pun. Buat muka sedih pun tak. Biasalah orang baru bangun tidur memang muka macam ni. 

“Masakkan aku masak lemak pucuk ubi dengan ikan masin.” 

Lagi? 

Melihat Uji yang tak bergerak bahu Uji ditolak.

“Sekarang!” 

“Baik, mama!” Tergesa-gesa Uji turun lalu bergegas ke dapur. Tudung saji di atas meja makan diangkat. Lauk pauk penuh atas meja. 

“Makanan dah banyak macam ni pun suruh aku masak lagi.” Kepala yang tak gatal digaru-garu. 

Bukan Uji tak nak masak. Nanti jadi macam hari sebelum ini, Datin Maimun dan Yaya tak sentuh sikit pun air tangan Uji. Beria suruh masak, tapi tak dimakan. Membazir saja. 

“Masak ajelah. Dah orang suruh. Bukan duit aku beli bahan-bahan.” 

Uji angkat bahu. Tak buat nanti kena marah. Baik dia buat. Datin Maimun nak makan ke tak itu mak mentua dia punya pasal. 

Uji mengeluarkan bahan-bahan dalam peti ais. Dia seorang diri di dapur. Nina orang gaji Datin Maimun mungkin tengah berehat dalam bilik. 

“Uji!” 

Mujur tak jatuh barang di tangan. Kuat suara Datin Maimun melaung. Panggil elok-elok tak boleh ke? Uji tak pekak lagi. 

“Ya, mama!” Uji melaung juga.

“Cepat sikit masak. Aku lapar ni!” 

Mendengar begitu Uji lekas-lekas siapkan bahan-bahan. Dia main campak-campak saja dalam periuk. Dia kan hebat dalam bab memasak. 

Awal belasan tahun lagi dia dah diajar selok- belok di dapur. Setakat masak lemak pucuk ubi dan ikan masin, pejam mata pun dia boleh buat.


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI KOMBO JALINAN KASIH (PENULIS: NUEEN & AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *