MEJA makan itu taklah besar mana. Boleh muat untuk lapan orang saja. Ahli keluarga dalam rumah ini pun tak ramai mana. Uji tak tahu kenapa dia perlu duduk jauh sangat dari Datin Maimun dan Yaya. Nak ambil lauk pun susah. Sudahnya lepas Uji letakkan beberapa sudu kuah masak lemak yang dia sendiri masak dan seketul ikan goreng, Uji tak bangun-bangun lagi.
Uji makan dalam diam. Muka tunduk pandang pinggan. Nasi yang berkuah rasa kering. Seksa sungguh duduk kat situ. Rasa macam tengah makan dekat medan perang.
“Eww, uwek!”
Uji angkat muka. Tengok muka Yaya yang tengah berkerut. Apasal?
“Siapa masak lauk ni?”
Tukang masak nama Nina bergegas ke meja makan. Mengintai makanan yang diluahkan ke dalam pinggan Yaya.
“Bukan saya masak ini, cik.”
Mata kerling Uji.
Lauk dia masak ke? Dah dua tiga suap masuk dalam mulut, rasanya boleh tahan. Seelok rasa.
“Habis tu siapa masak?”
“Err…” Serba salah Nina nak beritahu.
“Uji!”
Uji terus berdiri. Terkejut kena sergah dengan Datin Maimun.
“Sini kau!”
Tergesa-gesa Uji ke tempat Datin Maimun.
“Kau masak lauk ni kan?”
“Ya, mama.” Uji cuak.
“Kenapa mama?”
“Kenapa kau tanya? Kau nak bagi aku penyakit darah tinggi ke? Masin yang amat?”
“Masin? Uji dah cuba sikit tadi sebelum tutup api. Tak masin.”
“Amboi, melawan!” Yaya menyampuk!
“Dia nak kata kita tipulah tu. Dasar perempuan pungut! Tak sedar diri menumpang. Masak pun tak pandai. Apa yang Ziyad pandang kat kau ni pun aku tak tahu. Muka kampung. Badan busuk. Huh, tak ada kelas langsung! Tengok muka pun aku geli.”
Amboi, bahasa Yaya. Kurang ajarnya!
Muka kampung tu okeylah, Uji mengaku. Badan busuk tu tipu sungguh. Tak pernah Uji biarkan badannya busuk. Dia paling menjaga kebersihan. Dia pastikan dia mandi sebelum solat subuh. Kalau rajin pukul 10:00 pagi dia mandi lagi.
“Pandai menjawab dah kau sekarang. Baru dua bulan duduk kat sini dah berlagak!” Bukan mulut saja yang bergerak tangan Datin Maimun turut menampar belakang Uji.
Uji berkerut menahan sakit.
“Nina, ambilkan aku garam!”
“Hah, nak buat apa Datin?”
“Eh, kau pun nak kena juga ke? Dah orang suruh ambil tu ambil ajelah.”
Nina berlari masuk ke dapur. Keluar membawa bekas berisi garam.
Datin Maimun membuka bekas garam. Beberapa sudu garam diambil lalu dimasukkan ke dalam mangkuk gulai yang dimasak Uji.
“Kau makan lauk ni sampai habis. Kau yang masak, kan?”
Uji terbeliak! Tambah garam bersudu manalah tak masin.
“Makan sekarang!” Tempik Datin Maimun.
“Tapi, mama…” Uji nak bangkang. Takkan dia nak makan lauk yang sengaja dimasinkan?
“Sekarang aku kata!”
Datin Maimun tarik bahu Uji kasar. Sikit lagi muka Uji nak tersembam kena mangkuk gulai. Nak tak nak Uji terpaksa ambil sudu dalam mangkuk gulai. Dicicip sedikit. Masin! Nak termuntah rasanya.
“Makan cepat! Hirup kuah tu sampai habis.”
Kerja gila!
“Mama…”
Uji minta simpati. Bukan sikit-sikit masin gulai, kuah dah rasa garam. Hilang rasa lemak gulai.
“Kau tunggu apa lagi? Nak aku suapkan ke?”
Uji angkat mangkuk gulai. Dihirup secepat yang boleh. Terbatuk-batuk menelan kuah gulai yang rasa perit di tekak. Air mata meleleh. Saat dia mencapai gelas air kosong di atas meja, gelas itu ditolak Yaya sehingga berderai di atas lantai.
“Ops, tak sengaja!”
Yaya dan Datin Maimun ketawa berdekah- dekah.
“Dah, berhambus! Menyampah pula aku tengok muka kau. Nak makan pun tak lalu.” Halau Datin Maimun.
“Sebelum pergi jangan lupa sapu kaca ni!” Arah Yaya.
Uji hanya mampu ketap gigi. Nak marah rasa tak guna. Sedar diri menumpang.
Masuk ke dapur, Nina sudah menunggu Uji. Diberikan penyapu dan penyodok kepada Uji. Kasihan dengan nasib Uji. Nak buat macam mana? Dia pun menumpang juga. Lagi teruk daripada Uji, dia hanya pembantu rumah.
TAK CUKUP dengan kejadian dipaksa hirup kuah masin, Uji disuruh membasuh bilik air dalam bilik Yaya. Makin menjadi-jadi perangai kakak ipar dan mentua Uji. Tak sampai sehari ditinggalkan Ziyad, Uji sudah dibuli teruk.
Kalau Uji mementingkan diri sendiri, memang dah lama Uji mengadu pada Ziyad. Dari hari pertama lagi dia dibuli. Uji tak nak jadi pengadu domba. Tak nak keruhkan hubungan Ziyad dan Datin Maimun yang semakin buruk sejak Ziyad tetap mahu Uji jadi isterinya.
Uji mengeluh. Tak tahu nak sental bahagian mana lagi. Bilik air sedia berkilat.
Uji faham Yaya hanya mahu membulinya. Sebab itu Yaya suruh juga dia bersihkan bilik air yang sedia bersih.
Susah bila orang dah tak suka. Buat apa pun tak kena di mata.
“Curi tulang!”
Uji baru nak angkat muka, tiba-tiba muka dia dibaling sehelai kain. Busuk tercium di hidung. Bila dah tengok kain, baru tahu Yaya baling kain lap dari dapur. Gigih Yaya angkut kain kotor naik ke biliknya. Memang tak ada kerja sungguh.
“Kau jangan nak curi tulang sangat. Lepas kau dah siap bersihkan bilik air aku, kau lipat kain baju aku atas katil kat luar tu. Aku dengan mama nak keluar beli barang. Kau jangan jejak kaki keluar walau seinci pun dari pagar rumah ni. Kalau aku tahu kau keluar, siaplah kau aku kerjakan. Nanti aku beritahu Ziyad kau keluar menggatal dengan jantan lain. Kau kena ingat sikit. Macam mana pun kau tu orang luar. Isteri yang bila-bila masa saja boleh Ziyad ceraikan bila dia dah jemu. Kami ni ahli keluarga dia. Dia mesti lebih percayakan kami daripada kau yang tak tahu asal usul tu.”
Uji hanya mendengar. Memandang Yaya keluar dari bilik dengan muka tak berperasaan.
Dia yang ada mak bapak dikata tak tahu asal usul. Bukannya dia lahir dari pokok buluh betung.
Dia bukan peduli sangat dengan apa yang Yaya kata. Dia yakin Ziyad percayakan dia. Kalau Ziyad tak percaya Ziyad takkan ajak dia kahwin.
Dia bukan apa. Malas nak bergaduh. Nanti kalau melawan panjang pula cerita. Dia nak kurangkan beban Ziyad. Tak nak Ziyad susah hati.
Setakat buat kerja kemas-kemas macam ni apalah sangat. Bukan dia tak pernah buat kerja rumah.
“Dah macam Cinderella nasib aku ni.”
Uji nampak muka sendiri dalam cermin.
“Tak berapa nak cantik sangat muka ni. Kalau cantik macam anak patung boleh aku berlagak jadi macam Cinderella.”
Uji gelak mengekek. Perasan jadi Cinderella pula.
Dia meneruskan kerja yang disuruh Yaya dengan senang hati. Disebabkan Datin Maimun dan Yaya tak ada, boleh dia buat kerja sambil menyanyi dan menari. Kurang sikit stres.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI KOMBO JALINAN KASIH (PENULIS: NUEEN & AK RAFFHAN)