Beban Kasih Asmara – Bab 5

MUKA Uji diperhatikan Ziyad. Uji nampak penat. Macam seharian ini banyak betul kerja yang Uji buat. 

“Kenapa muka monyok?” Ziyad cuit bahu Uji.

Malam ni Uji pakai baju tidur dari kain satin. Bahu Uji terdedah dua-dua belah. Seksi. Ziyad ingat baju tidur satin ini dia yang hadiahkan untuk Uji. Boleh dikatakan yang seksi-seksi semua hadiah daripada Ziyad. 

Uji peluk lengan Ziyad. 

“Tak ada monyoklah. Uji macam biasa aje.”

“Muka Uji nampak letih.” 

Memang dia letih pun. Tak sempat berehat langsung. Dia berhenti buat kerja bila Datin Maimun terjerit-jerit beritahu Ziyad dah balik. Tahu pun takut! 

“Ye ke?” Uji pegang kedua-dua belah pipinya.

“Uji banyak sangat tidur hari ni kut. Badan jadi lemau.” 

“Banyak tidur?”

Uji angguk. 

“Kenapa? Uji tak sihat ke?” Dahi Uji dipegang dengan belakang tangan. Tak panas, tak sejuk. 

“Uji sihat. Entahlah. Hari ni Uji malas betul. Rasa nak tidur aje.” 

“Uji makan tak tadi?” 

Teringat masak lemak yang masin mencucuk tekak. Lepas dipaksa makan masak lemak, Uji tak makan lagi selepas itu. Selera makan hilang. 

“Makan.” 

“Bila?”

“Petang tadi.” 

“Tadi kata tidur aje hari ni?” 

“Tidur… Tapi tak adalah tidur tak bangun- bangun. Tadi Uji sambut abang kat muka pintu kan? Uji makan sebelum itu.” 

Takut juga Ziyad tak percaya. Nanti banyak soalan Ziyad. Uji bukan pandai sangat menipu. Tak pasal-pasal kantoi pasal perbuatan Datin Maimun dan Yaya yang suka membulinya. Janganlah Ziyad tahu. Cukuplah masalah yang ada. Uji tak nak tambahkan lagi. 

“Sayang penat tak?”

“Tak.” 

“Mengantuk tak?”

“Tak.” 

Banyaknya soalan. Gabung sekali tak boleh ke?

“Hurm…” 

Ziyad dah mula menyenggol Uji. Bibir merayap di tengkuk Uji. Uji gigit bibir. Takut terjerit bila Ziyad benamkan muka lebih dalam di tengkuknya. 

Dua belah tangan Uji memaut pinggang Ziyad. Lutut dah lemah longlai. Sebelah tali baju tidur satin melorot dari bahu Uji. 

Nafas Uji dan Ziyad sama-sama berat. Mata Uji terpejam saat Ziyad satukan bibir mereka. Lama, sampai mereka sama-sama hilang nafas. 

“Abang rindu sayang.” 

Hari-hari jumpa pun rindu? 

“Uji pun rindu abang.” Dia pun rasa yang sama! Setiap masa rindu. Depan mata pun rindu. 

Tangan Uji dan Ziyad sama duduk tak diam. Dua bulan jadi isteri Ziyad Uji semakin bijak mengikut permainan Ziyad. Malu-malu Uji bukakan baju Ziyad. Jari runcing Uji bermain-main di dada Ziyad yang bidang. Terpejam-pejam mata Ziyad. 

Ziyad mengeluh dadanya disentuh bibir ranum Uji. Beberapa minit membiarkan Uji meneroka badannya Ziyad pula ambil alih. Belum habis seluruh baju Uji ditanggalkan, mata Uji terpejam semula. 

Menerima dengan penuh bahagia nikmat yang diberikan Ziyad. 

 

“MAMA!” 

Datin Maimun yang disergah Yaya hampir mencium pintu. Nasib baik tak kena. 

“Mama buat apa?” 

Pelik Yaya tengok Datin Maimun depan bilik Ziyad yang tertutup rapat. Lampu pun dah padam. 

“Mama mengendap ke?” 

“Hesy!” Datin Maimun menjegil.

“Ingat mama tak ada kerja lain?” 

“Habis tu yang mama terintai-intai? Nak jumpa Ziyad ke?” 

Datin Maimun betulkan baju. Buat-buat tak dengar soalan Yaya. 

Mereka berdua turun ke ruang tamu. Sampai di ruang tamu baru Datin Maimun perasan pakaian Yaya macam orang nak keluar. 

“Yaya nak keluar ke?”

“Ha’ah, mama.” 

“Nak pergi mana?”

“Keluar dengan kawan.” 

“Keluar apa malam-malam macam ni? Duduk kat rumah ajelah. Temankan mama.” 

“Awal lagilah, mama. Tak naklah Yaya duduk kat rumah. Kalau mama bosan, mama ajaklah kawan mama keluar. Takpun panggil Ziyad dalam bilik tu. Ajak sembang.” 

“Ziyad dah tidur.” 

“Mama pun tidurlah juga.”

“Yaya…” 

Datin Maimun pegang lengan Yaya. Kalau boleh dia tak nak Yaya keluar. Semakin kerap Yaya bermalam di luar. Dia risau kalau Yaya tertangkap. Mana dia nak letak muka? 

Lagi satu perangai pelik Datin Maimun. Bukan risaukan keselamatan Yaya tapi risau Yaya malukan dia. 

“Yaya tu perempuan. Tak elok keluar malam selalu.” 

“Mama, tolonglah. Yaya dah besar. Mama tak boleh larang Yaya keluar.” 

“Mama bukan nak halang Yaya keluar. Tapi dah malam sangat ni. Esok ajelah keluar.” 

Macam ini kata tak halang? Dari tadi banyak alasan. Yaya bukan budak kecil. Kena dengar semua arahan Datin Maimun. 

“Yaya dah janji dengan kawan Yaya.”

“Batalkan. Beritahu dia Yaya tak jadi keluar.” 

Yaya tolak perlahan tangan Datin Maimun di lengannya. Dia dah mula rimas. Nak marah dengan perbuatan Datin Maimun. 

“Maaf, mama. Yaya kena keluar juga.”

“Yaya…” 

“Yaya dah besarlah, mama. Jangan pilih kasih boleh tak? Kalau dengan Ziyad mama tak kisah dia buat apa pun, kenapa bila dengan Yaya semua tak boleh?” 

Marah, tapi Yaya cuba kawal suara. Seboleh mungkin dia tak mahu biadap. Bukan takut Datin Maimun marahkan dirinya. Cuma Datin Maimun lubuk duit Yaya. Tak bolehlah nak berkeras sangat. 

“Mama tak pernah pilih kasih. Ziyad tu lelaki.” 

Penipu! Ingat Yaya percaya? Sebab Ziyad lelakilah Datin Maimun sayang Ziyad lebih. 

“Ah, sudahlah mama. Bosanlah Yaya. Yaya nak keluar ni. Jangan banyak cakap boleh tak? Rimas Yaya dengar.” 

Yaya terpaksa naik suara. Buat penat cakap elok-elok. Dia dah lambat nak jumpa Aidil. 

Malam ini malam untuk dia dan Aidil berpesta. Habiskan duit bersuka ria dengan kawan-kawan mereka yang lain. 

“Ya…” 

Yaya angkat tangan. 

“Mama! Jangan sampai Yaya kurang ajar dengan mama. Sementara mood Yaya elok lagi ni baik mama beri Yaya laluan. Kalau Yaya sakit hati nanti, Yaya tinggalkan aje mama kat rumah ini. Mama duduklah dengan menantu mama yang miskin tu. Baru padan muka mama.” 

Barulah Datin Maimun berundur perlahan- lahan. Tahu takut kena tinggal. 

“Okey, mama. Yaya pergi dulu.” Pipi Datin Maimun dicium. Bukan susah pun nak bagi Datin Maimun dengar cakap dia. Ugut sikit saja, gerenti Datin Maimun takut. 

Bukan Yaya tak tahu sejak arwah Datuk Mahfuz meninggal dunia, dia seorang yang diharapkan dapat menemani mama di rumah. Nak harapkan Ziyad? Ziyad dengan dunia Ziyad yang sentiasa ada Uji. Apa sangat nak dibandingkan dengan perempuan tua macam Datin Maimun. 

Huh! Melenggang Yaya tinggalkan rumah. Di depan pagar kereta Aidil sudah sedia menunggu. Masa untuk berparti! 

Datin Maimun hanya mampu pandang pemergian Yaya. Nak berkeras dia risau Yaya tinggalkan rumah. Dia tidak mahu hidup kesepian. Hanya Yaya yang diharapkan dapat menemaninya. 

Yaya anak perempuan. Tak sama dengan Ziyad. Macam mana pun anak perempuan perlu jaga diri lebih daripada anak lelaki. 


PROLOG • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI KOMBO JALINAN KASIH (PENULIS: NUEEN & AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *