Kompang dipalu, pengantin baru
Duduk bersanding, tersipu malu
Kompang dipalu, pengantin malu
Moga bahagia, ke anak cucu
Kami doakan moga berkekalan
Selamat sejahtera hingga akhir zaman
BERGEMA lagu Kompang Dipalu di seluruh dewan di sebuah hotel bertaraf lima bintang. Majlis perkahwinan yang diadakan di dewan itu disambut dengan begitu gilang gemilang. Serba mewah dan jemputan sangat ramai. Maklumlah pengantin lelaki anak orang kaya dan ternama.
Datuk pengantin lelaki memiliki sebuah syarikat yang menjalankan pelbagai perniagaan. Syarikat yang begitu besar dan memiliki beberapa buah cawangan di seluruh negara. Bukan hanya terkenal di dalam negara Malaysia malah turut terkenal di luar negara. Lantaran itu majlis cucu kesayangan disambut dengan meriah. Pengantin perempuan walaupun hanya berasal dari keluarga biasa namun tetap diraikan dengan meriah.
Pasangan pengantin masih di atas pelamin. Menyambut ramai kehadiran tetamu yang menepung tawar. Kedua-dua pengantin tersenyum lebar walaupun sebenarnya pipi mereka sudah lama berasa kebas kerana banyak tersenyum.
Uji pandang Ziyad yang berpeluh di sebelahnya. Macam nak tarik Ziyad turun pelamin. Nak ajak Ziyad makan di mana-mana meja yang kosong. Makan beradap tadi berapa suap sangat mereka makan. Perutnya yang dah biasa makan banyak langsung tak rasa kenyang.
“Kenapa, sayang?” Ziyad berbisik di telinga.
Muka Uji nampak berubah. Mata Uji meliar ke bawah pelamin. Macam ada hal lain yang lebih mengujakan Uji selain bersanding di sebelahnya.
“Uji lapar,” rengek Uji berbisik. Dia sudah tak tahan. Alang-alang Ziyad tanya, biar dia terus terang.
Bukan main-main laparnya. Makan orang pun boleh ni.
Banyak sungguh aturan nak masuk dalam keluarga Ziyad. Sebelum kahwin kena buat itu, buat ini. Nak naik pelamin kena kurus, tak boleh makan banyak-banyak.
Bukan dia gemuk pun nak kena kawal makan bagai. Makanlah setong makanan pun takkan gemuk. Saja Datin Maimun nak dera dia. Bukan dia tak tahu mama Ziyad tak suka dia jadi isteri Ziyad. Bila bagi macam-macam syarat, mungkin dia fikir Uji akan tarik diri. Datin Maimum tak tahu Ziyad adalah cinta matinya. Aci kerat 15 pun dia takkan tinggalkan Ziyad. Kecuali kalau Ziyad yang dah tak nak dia.
Lantaklah dengan Datin Maimun. Dia nak kahwin dengan Ziyad. Yang penting Ziyad cinta. Nanti pandai-pandailah dia lembutkan hati keluarga Ziyad dengan sifatnya yang manja.
“Sabar kejap ya, sayang. Tak lama dah ni.” “Tak lama tu berapa lama?”
“Tak lama dah.” “Berapa?”
“Lagi dua tiga jam.”
Lagi dua tiga jam tak lama Ziyad kata? Aduh! Matilah dia. Kalau perut dia tiba-tiba berbunyi dan satu dewan dengar…
Kruk! Ops, dia baru sebut!
Pengapit di sebelah tahan ketawa. Nasib baiklah mereka di atas pelamin saja yang dengar bunyi perut Uji.
Ziyad tersenyum-senyum. Lucu. Nak gelak tapi mereka atas pelamin. Sempat dia jeling Uji. Muka Uji berkerut-kerut. Tak tahu nak gelak ke nangis.
Tak sampai sehari jadi isteri Ziyad dia dah malukan diri sendiri. Sadis!
“MAMA dah ikhlas ke?” “Ikhlas apa?”
“Ziyad kahwin dengan Uji.”
Ikhlas tak ikhlas, rela tak rela Ziyad dah kahwin pun dengan Uji.
Puas dia berkeras, Ziyad tetap dengan keputusan untuk mengahwini Uji. Dia ingat Ziyad akan ikut cakapnya, tapi dia kalah bila Tan Sri Hamid turut menyokong keputusan Ziyad.
Tak guna betul!
Dia patut dapat menantu yang lebih baik. Sekurang-kurangnya anak konglomerat, anak datuk, tak pun anak menteri di jabatan kerajaan. Uji bukan anak orang berpangkat. Mak ayah pun dah tak ada. Ada pun nenek yang dah tua. Tak boleh harap langsung. Malu dia!
“Mama malu ke?” “Mestilah malu.”
“Yaya pun malu. Tadi masa lalu dekat meja VIP Yaya dengar Datin Normah kutuk keluarga kita. Dia cakap Uji tak padan dengan Ziyad. Dahlah miskin, tak berapa cantik pula tu. Entah apa yang Ziyad suka sangat dengan Uji tu.”
Dua beranak itu memandang ke pelamin. Menjuih bila melihat Uji dan Ziyad saling merenung dan tersenyum-senyum. Gedik bukan main.
“Ziyad tu bodoh. Mama nak kenalkan dia dengan anak kawan mama. Dia tak nak. Dia gila-gila kan juga budak Uji tu. Sakit betul hati mama.”
Pertama kali Ziyad bawa balik Uji ke rumah dia dah beritahu Ziyad dia tak sukakan Uji. Ziyad buat bodoh aje.
“Ziyad tu buta.”
“Memang pun!”
“Habis tu Ziyad dah kahwin dengan Uji. Nak buat macam mana lagi?”
Yaya mengeluh. Dia pun tak rela beriparkan Uji. Malu!
“Tengoklah nanti. Tahulah apa mama nak buat.”
“Mama ada rancangan ke?” “Tunggu ajelah.”
Dalam kepala Datin Maimun dah tersusun banyak rancangan. Tinggal nak dijalankan saja.
Direnung tajam mempelai di pelamin. Dia takkan biarkan Ziyad dan Uji bahagia. Pasangan itu harus dipisahkan segera!
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI KOMBO JALINAN KASIH (PENULIS: NUEEN & AK RAFFHAN)