Bukan Kisah Cinta – Bab 1

DUDUK di tepi tingkap ketika hari hujan sambil membaca novel karya Mary Balogh berjudul A Summer to Remember ditemani secawan kopi panas dan sehiris American Cheesecake, Dian rasa seperti berada dalam sebuah kafe kecil di Rochester, New York yang pernah dia singgahi beberapa tahun yang lalu bersama Ilham Muhammad, Danny Richardson dan Min Zahia setahun sebelum Abang Ilham dan Kak Min terpaksa meletakkan noktah dan memutuskan percintaan mereka dengan tidak sepenuh rela.

Dian tidak sepenuh khusyuk dengan pembacaannya tetapi dia sedang sibuk mengimbas kenangan lama. Waktu hujan dan dingin begini merupakan waktu-waktu dimana segala yang sentimental mula menjelma. Ketika hujanlah kita akan selalu terkenang seseorang yang jauh atau mungkin yang menjauhkan diri.

Dian akui dia sebenarnya sedang rindu pada waktu-waktu gembira yang mereka nikmati berempat di beberapa daerah di upstate New York yang indah. Kalaulah dapat diulangi semula percutian yang penuh dengan kenangan itu, alangkah indahnya tetapi Dian sedar semuanya kini sudah berubah, Abang Ilham dan Kak Min sudah lama mengelak untuk tidak bertembung di mana-mana manakala Dian dan Danny pula jarang ada masa untuk bersama apatah lagi sejak Danny ditukarkan bertugas di Kuala Lumpur setahun yang lalu.

Bercakap tentang hubungannya dengan Danny Richardson, ada terselit rasa bimbang dalam hati Dian. Mungkinkah hubungan yang sudah terjalin bertahun-tahun ini akan menerima nasib yang sama seperti abangnya? Kisah cintanya yang panjang dengan lelaki bukan seagama dengannya ini menuntut tolenrasi yang amat besar, menuntut korban waktu yang sudah tidak terhitung lagi sehinggalah tahun demi tahun berlalu tanpa mereka jumpa petanda bilakah waktu yang sesuai untuk mereka berdua menjadi halal.

“Urghh…” keluh Dian, lelah rasanya apabila berfikir tentang masa depan yang tidak dapat dijangka. Buku tebal berwarna hijau itu diletakkan di atas meja dan muk berisi air kopi yang masih hangat diangkat dan dihirup perlahan.

Duduk di kafe ini sambil membaca buku sungguh menenangkan jiwa. Dian cuba isi waktu semaksimum yang mungkin dengan berada di luar rumah, setiap hari dia pasti akan ke kafe yang diusahakan bersama teman baiknya, Ilyana, sampaikan nenek perli Dian, sudah bertunggu-tangga di kafe macam orang tidak ada rumah. Bagi Dian, lebih baik duduk di kafe daripada dia terpaksa mendengar nenek dan mama bergabung idea mencari jodoh yang sesuai untuknya.

Ada enam orang pelanggan dalam kafe kecil itu, termasuk dirinya yang turut membayar harga secawan kopi dan sehiris kek buatan kakak Ilyana, Min Zahia. Ada dua orang pelanggan yang sedang berdiri di hadapan rak buku, mungkin sedang mencari bahan bacaan. Dalam kafe ini, mereka turut menyediakan perkhidmatan menyewa buku selain daripada menjual buku-buku baharu karya penulis tempatan. Dian dan Ilyana menggunakan ruang yang ada semaksimum mungkin, mereka mahu sebuah kafe yang mesra pembaca dan mengajak seramai mungkin pelanggan untuk sama-sama mencintai buku dan menghargai ilmu yang terkandung di dalamnya.

 

 

UMURNYA sudah 29 tahun tetapi masih bujang manakala Danny Richardson, lelaki yang memenuhi sebahagian ruang hatinya itu sudah hampir sebaya Ilham. Danny, berketurunan Baba Melaka namun datuk dari sebelah bapanya berbangsa Inggeris. Bertugas sebagai anggota polis di Kuala Lumpur, Danny tentunya sibuk dan tidak punya banyak masa. Ada waktunya ketika sedang bercuti dia dipanggil bertugas, Danny terpaksa bergegas pulang ke ibukota. Baru hendak menyusun mukadimah tentang hidup berdua dan memulakan keluarga, pasti ada sahaja sebab yang memaksa mereka untuk menangguhkannya.

Mama dan nenek Dian sudah lama risau biarpun telah berkali-kali diingatkan jodoh untuk Dian telah ditetapkan TUHAN, mama dan nenek usah bimbang sampai masanya nanti kahwinlah Dian tetapi ibu mana yang boleh duduk diam selagi anak perempuannya belum selamat diijabkabulkan.

Berkahwin cepat atau lambat bukan penentu bahagia, Dian yakin dia akan bertemu jodoh dengan insan yang mengasihinya dan lelaki itu semestinya seseorang yang telah berjaya menambat hatinya sehingga dia jatuh cinta.

Dian tidak mahu jadi seperti Ilham. Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain dan kemudian masih cintakan kekasih lama yang tidak pernah dia tinggalkan. Sekarang Ilham mahu berkahwin lagi satu dan bikin semua orang pening kepala!

Bagi Dian dia yakin jodohnya sudah ditentukan ALLAH. Dian akan bertahan selama yang dia mampu, selagi dia boleh menepis dan menangkis semua cubaan mengatur jodoh yang tidak pernah jemu diatur oleh nenek, mama dan ibu-ibu saudaranya yang lain. Dian akan berkahwin bila waktunya sampai namun mama dan nenek kata jodoh itu datang apabila kita berusaha untuk mendekatkan diri kita dengan jodoh dan kalau tiada usaha mungkin jodoh tunggu kita, kita pula dok menunggu jodoh, tunggu punya tunggu, lama-lama melepas.

Momokkan nenek dan mama itu tidak cukup untuk menakutkan Dian, sebaliknya Dian semakin menghargai usia hubungannya dengan Danny yang sudah mencapai umur matang. Amat matang sebenarnya atau dalam istilah lain sudah lama ranum. Dian dan Danny sudah saling berkompromi tentang jarak yang memisahkan mereka, juga waktu yang selalu cemburu apabila mereka bersama. Siapa free, dialah yang akan datang menjenguk jika kedua-duanya sibuk mereka akan usahakan sampai ketemu waktu yang sesuai.

Someone needs to make the first move, kata Ungku Khadijah minggu lalu. Nenek Dian itu tidak pernah lelah bercakap fasal jodoh untuk Dian. Bagi Ungku Khadijah umur Dian sudah terlalu lanjut untuk terus membujang. Ungku Khadijah kata lagi, sepatutnya Dian sudah beranak-pinak dan bilangan cicitnya juga sudah sepatutnya bertambah tapi Dian setia sungguh menunggu buah hati sejak zaman sekolah menengah itu masuk meminangnya sedangkan nenek dan mama punya berjela-jela senarai calon suami yang difikirkan sesuai buat Dian.

Kalau mama dan nenek sibuk mengatur rancangan, Dian juga turut punya pelan mengelakkkan diri dan pelan paling ampuh ketika ini ialah sibukkan diri dan kurangkan masa di rumah. Dian bijak mencari alasan untuk mengelak daripada ditala dengan soalan yang tidak mampu dia jawab. Dian sanggup menghabiskan masanya berjam-jam di kafe ini. Selepas tamat waktu pejabat, Dian akan bergegas ke mari untuk membantu Ilyana. Dian pulang ke rumah lewat malam dan keluar ke pejabat tatkala mama dan neneknya sedang sibuk dengan urusan pagi. Dian penat berbahas menolak usul-usul mama dan neneknya.

Dewasa ini hanya ada satu nama sahaja yang kerap disebut nenek dan mama pula seakan bersetuju dengan cadangan nenek. Pelbagai kata-kata pujian yang nenek sebut tentang lelaki tersebut, orangnya kacaklah, padan dengan Dian, orangnya bertanggungjawab menjaga ibunya dan kata nenek lagi lelaki yang menjaga ibunya adalah lelaki yang penyayang dan akan menjadi suami yang baik.

Dan kerana itulah Dian lebih banyak meluangkan masa di kafe ini. Dia tidak perlu memikirkan tentang agenda mama dan neneknya. Dian tidak mahu himpun rasa bersalah kerana selalu membantah usul mama dan nenek sekaligus Dian tidak mahu wujud pakatan mengkhianati perasaannya terhadap Danny. Biar apa pun yang mama dan nenek cadangkan, Dian masih belum lelah untuk mengingatkan mereka betapa Dian percaya akan tiba masanya nanti, Danny akan memeluk Islam dan menikahinya tetapi kalau acapkali diracun dengan calon suami mithali, Dian bimbang juga dia akan termakan pujuk rayu dua wanita kesayangannya itu. Biarlah dia menghabiskan sebahagian harinya di sini sungguh berbaloi walaupun dia kepenatan.

Bau kopi yang baru dibru, buku-buku yang tersusun kemas di rak menenangkan Dian dan kalau suruh dia tidur di sini pun Dian sanggup kerana kafe ini asasnya dibina dengan kasih dan sayang Dian dan Danny Richardson yang banyak membantu merealisasikan impian Dian dan sahabat karibnya, Ilyana untuk memulakan perniagaan sendiri.

Sofa kuning di tepi tingkap ini sudah menjadi ‘milik’ Dian sejak ia diletakkan di situ. Malah Ilyana kata Dian sanggup hilang pelanggan dengan meletakkan tanda reserved di meja itu walhal pemandangan di luar kafe bukanlah cantik sangat, hanya deretan kedai tua dan pejalan kaki tetapi Ilyana lihat cara Dian memandang ke luar tingkap gaya Perancis itu seperti ada sesuatu yang indah di luar sana.

Lot kedai dua tingkat ini sebenarnya milik keluarga Danny dan sudah agak lama dibiarkan tidak berpenghuni setelah penyewa terakhir keluar beberapa tahun yang lalu. Usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan kegemilangan kawasan perniagaan yang telah wujud sebelum Perang Dunia Kedua telah memberi peluang kepada usahawan muda seperti Dian dan Ilyana untuk memulakan perniagaan mereka di sini. Bangunan dua tingkat yang telah usang dimamah waktu itu dibaik pulih dan diberikan wajah baru yang lebih elegan, sesuai dengan konsep kafe mereka yang menerapkan ciri-ciri minimalis gaya Scandinavian.

“Kenapa kita mesti buka kafe di sini Dian?” soal Ilyana ketika mereka mula mencari lokasi kafe mereka dua tahun yang lalu.

“Aku selalu terbayang betapa sibuknya kawasan ini dahulu and we should bring back the glory of this part of town. Kau ingat lagi tak masa kita kecil dulu, nenek aku selalu bawa kita sarapan kat Hwa Mui kopitiam depan tu. Lepas sarapan nenek aku ajak kita pergi kedai emas kat Jalan Trus, lepas tu masuk kedai karpet kat sebelah kedai emas tu sebelum kita makan tengah hari kat restoran Kerala Kari Kepala Ikan kat jalan tepi laut tu. Ingat tak? This is the heart of Johor Bahru. The old face of Johor.” Dian nak sebut ancient sebenarnya tetapi nanti Ilyana akan tanya berapa ribu tahun?

Dian dan Ilyana mencari sebuah kedai yang kecil sahaja sehinggalah Danny beritahu keluarganya memiliki dua unit bangunan rumah kedai di situ. Satu masih ada penyewa dan satu unit lagi sudah beberapa tahun dibiarkan kosong setelah penyewa terakhirnya keluar lewat tahun 90an. Zaman kemelesetan ekonomi, ramai orang terpaksa menyerah kalah pada kehendak pasaran yang tidak menentu dan kurang memberangsangkan. Dian bagai orang mengantuk disorongkan bantal, dia memang sudah lama jatuh cinta pada tempat yang sarat dengan kisah hidupnya sejak dia kecil lagi. This particular part of town always mesmerize, attractive and relavance throughout the years, tulis Dian kepada Datuk Bandar suatu masa dahulu apabila ada ura-ura mahu merobohkan deretan kedai-kedai lama di jalan utama menghadap Pulau Singapura di bahagian paling selatan negeri jauhar ini. Hujah Dian lagi, Rom dibangunkan bersama sejarahnya dan tidak wujud Itali hari ini malah tidak ada sesiapa pun akan percaya akan kehebatan empayar Rom jika kota purba itu dirobohkan semata-mata mahu memberi laluan kepada pembangunan. Sedangkan menara di Pisa yang condong pun dipulihara, inikan pula kedai-kedai lama yang masih kukuh berdiri, kedai-kedai yang banyak menyimpan sejarah pembentukan dan pembangunan negeri ini.

“Refill ma’am?” tanya Ilyana. Lihat mata Dian yang dibesarkan, Ilyana senyum. Sejak tadi Ilyana perhatikan Dian berangan bukannya membaca buku tapi asyik memandang keluar tingkap seolah-olah sedang menanti seseorang.

“No, thank you.” Balas Dian.

“Eh orang nak refill kopi free pun tak nak.” Kata Ilyana, teko kaca berisi air kopi diletakkan di atas meja dan kemudian dia menarik kerusi.

Refill apanya kalau air kopi ni tak luak.”

“Macam mana nak luak kalau kau minum seteguk lepas tu berangan ajelah yang lebih. Asyik pandang ke luar tingkap, aku tengok tak ada apa pun yang lalu.” Kata Ilyana.

“Mana ada aku berangan. Kopi aku ni masih panas, aku mana reti minum kopi panas.” Dian membela dirinya, biarpun dia sedar dia memang sudah tertangkap mengelamun memandang tingkap.

“Oh lupa pula tadi aku tak letak straw ekk. Kau kan tak akan minum air kalau tak ada straw.” Usik Ilyana.

“Itulah kau, servis tak bagus.” Usik Dian.

“Lain kali kalau kau pergi Starbucks minta straw lebih sebab kat kafe ni tak ada straw warna hijau yang kau nak tu.” Sebut Ilyana bersahaja, memang itu pun tabiat Dian sebenarnya, tiap kali ke Starbucks, Dian akan minta penyedut minuman lebih daripada satu.

Ilyana menjuihkan bibirnya ke arah pelanggan yang sedang makan, minum dan ada yang sedang membaca. Hujan sedang lebat, tiada pelanggan baharu yang perlu diladeni mereka berdua.

“Apa yang best sangat kau pandang ke luar tingkap ni Dian?”

“Ini tingkap inspirasi aku, pandang ke luar tingkap ni macam kau dapat pandang jauh beribu batu dari sini.” Balas Dian.

Jawapan Dian itu buat Ilyana ketawa besar. Pelanggan yang sedang khusyuk dengan aktiviti masing-masing berpaling ke arah mereka berdua.

“Ini french window kan? Bukan tingkap Doraemon kan? Aku ingat kau leka pandang tingkap ni sebab kau boleh nampak Paris dari sini… haha….” Ilyana sambung ketawa.

Dian menyimpul senyum, dia tahu dia sudah terlajak hanyut berangan tadi sampai sesat ke upstate New York kemudian pulang ke Johor Bahru pada era selepas Merdeka sebelum dia dikejutkan Ilyana yang mahu menambah kopinya yang masih penuh.

“Buku Mary Balogh ni tak sedapkah? Aku tengok kau macam terkulat-kulat nak habiskan satu buku, dah dua hari kau pegang ke sana sini. Beralih muka surat.”

“Sedap tak sedap mesti kena bacalah, sebelum kita sewa kat orang kita bacalah dulu, nanti senang kita nak beri ulasan kalau penyewa kita tanya. Yang kau sibuk tanya aku ni, kau dah tak ada buku nak dibacakah Illy?” Yang sebenarnya Dian mahu menghabiskan bacaannya.

“Sebelum kau sampai tengah hari tadi, aku dah habis mengaji Dian. Semua buku SEP yang kau beli kat Barnes and Noble enam bulan lepas aku dah khatam dan sudah buat review notes manalah tahu kalau aku tak ingat jalan ceritanya nanti, dan yang paling penting sekali kalau kau tak ada kerja, kau tolong taipkan reviu aku tu ya. Aku dah siap letak bintang sekali, senang pembaca nak pilih.”

“Baiklah Cik Min Ilyana, dah memang kerja saya menaip reviu semua buku kan? Tapi perlukah kau sebut Barnes and Noble tu? Bukankah buku-buku yang aku beli tu merata tempat aku borong, kat Payless pun ada.”

“Memanglah merata tempat kau beli buku-buku tu tapi SEP tu the whole collection kau borong masa kau pergi LA tahun lepas.”

“South Bay to be exact.” Sebut Dian lagi.

“Apa-apa ajelah, South Bay ke, North Bay ke, West Bay ke tapi kau suka ke sana macam pergi Danga Bay aje kan, lima tahun Khadra duduk LA tu aku rasa kaulah yang paling kerap ke sana. Kau ada sorok harta karun ehh kat LA?” usik Ilyana.

Dian senyum. Dia terbang ke sana bukan hanya mahu berjumpa dengan Khadra seorang sahaja. Dian ke sana atas sebab yang diklasifikasikan sebagai terlalu peribadi.

“Bestlah pergi Cali dan kalau aku nak relaks bila dah tua nanti aku rasa aku mahu tinggal di Inverness, tak jadi nak pindah Alaska. Inverness tu best gila, rumah depan teluk, masuk bilik air nampak laut, kat meja makan pun nampak laut, buka pintu rumah pun nampak laut dan yang paling penting hari-hari boleh mandi laut.”

“Itu aje kau kata best? Kat Stulang Laut pun kau boleh mandi laut tiap harilah.” Bantah Ilyana, kenapa perlu sampai ke Inverness untuk mandi laut, bukankah rumah Dian juga sekarang ini sudah dekat dengan laut?

“Pemandangan tu yang tak sama dengan kat sinilah. Inverness tu macam bila kau dah jejak kaki kat sana, kau terus rasa tak mahu balik.” Sambung Dian mengukuhkan pendapatnya. Pantai Stulang itu bukannya tidak cantik tetapi apalah yang indah untuk dilihat kalau nun di seberang sana yang ada hanyalah cerobong asap bandar industri negara jiran. Apatah lagi Pantai Stulang itu sudah tercemar airnya!

“Kalau setakat laut tu best lagi Montana, ada gunung-ganang, langit biru yang luas, tasik dan sungai lagi. Sebelah pula tu dengan Kanada.”

“Mana kau tahu best?”

“Jodi Picoult tulis dalam My Sister’s Keeper.”

“Huk aloh! Ingat kau tengok filem Hannah Montana ke apa, baca buku JP rupanya. Ermm cakap fasal Montana, aku teringat kat Ku Helen, dia pernah beritahu aku, namanya diambil sempena nama sebuah bandar di Montana, Helena. Arwah moyang dia yang beri nama tu sebab great-great-great ancestor Ku Helen berasal dari Helena.” Cerita Dian.

“Mak cik, Hannah Montana tu tak ada kena mengena kut dengan Montana. Dalam filem tu kampung Miley a.k.a Hannah Montana tu kat Tennessee la. Tennessee tu dengan Montana punyalah jauh siap berbeza zon waktu.” Terang Ilyana.

“Ohhh aku ingatkan nama Hannah Montana tu sempena dengan nama negeri Montana tu. Tak ada kena mengena rupanya, yang ada sangkut paut dengan Montana cuma Ku Helen ajelah ya?” Balas Dian.

“Cakap fasal Ku Helen lama tak jumpa Ku Helen. Sihat auntie kau tu?”

“Dia bukan auntie aku la, saudara jauh aje. Aku pun macam dah dua tiga bulan tak jumpa Ku Helen, asyik sibuk ke sini aje dah tak sempat nak ikut mak aku menjengah ke Rumah Nur.” Terang Dian pula. Tunku Helena itu saudara jauh di sebelah ibu Dian namun hubungan mereka jadi akrab dan dekat kerana keluarga mereka selalu bertemu dalam majlis-majlis keraian yang dianjurkan dikalangan keluarga.

“Aku pun dah lama tak ke Rumah Nur, biasanya kan aku ke sana ikut kau. Kalau kau pun tak pergi, aku pun tak pergilah. Segan nak menempel kat tempat saudara-mara kau kalau kau tak ada.” Kata Ilyana pula.

“Nak segan apa pula Illy? Rumah Nur tu kan rumah anak yatim, bukan clubhouse tempat kerabat VVIP melepak. Terbuka pada umum sepanjang masa, bila-bila aje kita boleh ke sana tapi walaupun rumah anak yatim tu tak pernah tutup kita tetap juga culas nak datang menjengah kan?

Apa kata nanti kita buat small gathering nak tak kat sana? Kita buat pertandingan membaca, kita siapkan hadiah sekali. Nanti aku telefon Kak Tasha, dia mesti suka dengan idea aku ni.” Ligat sahaja otak Dian berfikir, sepantas bibirnya melontarkan buah fikirannya.

“Baru cerita fasal sedara-mara kau, panjang umur seorang lagi dah sampai Dian.” Sebut Ilyana.

“Siapaaaa….”


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *