Bukan Kisah Cinta – Bab 10

KOTAK jam tangan diletakkan di atas mejanya. Dibiarkan kotak itu ternganga dan Dian melihat jarum jam berputar mengubah saat menjadi minit. Danny beri hadiah jam tangan tahun ini, apakah dia memang mahu Dian menghitung waktu menunggu kepulangannya?

Oh Danny jangan dera aku begini.

Kalau pun tidak dapat bertentang mata, asalkan dapat dengar suara atau paling tidak pun dapat berbalas SMS dengan Danny sudah sangat memadai buat Dian, yang penting bagi Dian, dia tahu Danny selamat tapi bila Danny diam begini, mulalah segala yang kurang enak terbentang dalam fikiran Dian.

“Cantik jam.” Tegur Hafiz yang berhenti menolak troli bermuatan kotak-kotak berisi kertas A4 untuk dibawa ke bilik cetak. Pengurus Perolehan yang ringan tulang itu antara mereka yang rapat dengan Dian sejak dia bekerja di syarikat ini lima tahun yang lalu.

“Apek kasi ehh?” tanya Hafiz. Dian tidak pernah bercerita tentang pekerjaan Danny kepada orang lain kecuali Ilyana dan Sofia. Orang lain tidak perlu tahu siapa Danny.

“Haaa apek cokia kasi.”

“Mampu ekk apek cokia beli jam mahal macam ni?”

“Mampulah kut siang malam berkebun, tanam sayur, tanam ubi dapatlah hasil boleh la beli jam tangan yang tak berapa nak mahal sangat ni.” Kata Dian.

“Daniel Wellington tu kau kata tak mahal Dian? Kalau tak ada enam-tujuh ratus, tak dapat beli jam tu Dian. Lainlah kalau apek kau kasi jam Petaling Street.” Sebut Hafiz. Jam Daniel Wellington memang nampak ‘murah’ dengan gaya klasik dan ringkas namun jenama yang berasal dari Uppsala, Sweden ini merupakan fenomena baru dalam peragaan dan stail muda-mudi.

Dian memang mengidam Daniel Wellington bersebab dan apabila Danny tanya Dian mahu hadiah apa untuk hadiah ulang tahunnya kali ini laju sahaja dia menyebut nama Daniel Wellington, mujur Danny tahu Dian bukan mengidam boyfriend baharu. Dian mengidam segala yang yang initial D. D for Dian, D for Danny.

“Setahun sekali lepas bayar cukai pendapatan, adalah baki sikit untung jual sayur, mampulah dia belikan hadiah tapi mungkin juga dia beli kat Petaling Street, siapalah yang tahu kan?”

“Tak kisahlah beli kat mana pun asalkan boleh tengok waktu. Hah, cakap fasal jam ni aku dah nak kena gerak ni, dah lambat.”

“Eh kau nak gerak ke mana? Takkan dengan kau sekali pindah ikut bos?” soal Dian. Pelik sangat kalau Hafiz pula yang ikut Syed Ali pindah ke HQ.

“Taklah aku cuma tolong hantarkan stok kertas ni ke Finance aje, bukan aku nak pindah ikut bos sekali, apa aku nak buat kat sana lagipun kat sana tak bestlah secretary kat sana tak hot macam yang kat sini.”

“Haaaa hot sangatlah.”

“Kau memang hot Dian, that’s fact. Okay got to go, by the way happy belated birthday Tengku Dian Zahara.”

“Oitt tu Tengku Dian Zahara mana pula tu?”

Hafiz tersengih. Dia suka-suka sahaja menambah gelaran Tengku tadi.

“We have different direction and strategies. Syarikat ini semakin membesar dan maju Dian, permintaan terhadap sistem sekuriti semakin hari semakin banyak dan kita tidak mampu memenuhi permintaan jika kita tidak meningkatkan pengeluaran dan untuk tujuan itu kita perlu berpindah ke tempat yang lebih besar. Saya akan pulang ke HQ sehingga proses pembinaan kilang baharu siap dan kemudian saya akan berpindah ke sana.” Kata Syed Ali, bekas bos Dian lebih enam bulan yang lalu ketika kilang baharu untuk Rapids mula dibina.

Dian faham. Bukannya dia tidak baca laporan Profit and Loss, dia tahu untung rugi syarikat, dia tahu turun naik syarikat dan dia tahu juga ‘jangka hayat’ syarikat melalui forecast report yang ditelitinya setiap minggu. Sejak peristiwa 11 September, seluruh dunia diselubungi ketakutan maha hebat dan mengambil langkah drastik untuk meningkatkan sistem sekuriti pada kesemua pintu masuk negara masing-masing. CEO syarikat yang berpangkalan di Los Angeles pasti senyum lebar sejak itu dan mungkin juga sudah menambah koleksi Ferrari merahnya.

“Awak perlu pilih sama ada mahu ikut saya balik ke HQ dan kemudian pindah ke Nusajaya atau kekal di sini.” Kata Syed Ali dahulu.

Dan hari ini, di sini Dian seperti kucing tidak bertuan, keseorangan menunggu Haji Lokman yang sepatutnya sudah pulang dari pejabat MIDA menguruskan surat sokongan ke atas permohonan tambahan pas pegawai dagang.

Dian kebosanan, tidak ada lagi rutin pagi ketika dia bekerja untuk Syed Ali. Dia tidak perlu membancuh Cafe21 kurang satu inci memenuhi mug Syed Ali. Dian juga sudah tidak perlu menapis semua bahan bacaan buat Syed Ali. Ya, semua e-mel Syed Ali (yang berkaitan dengan kerja sahaja) dibaca oleh Dian dan mana-mana yang tidak berkaitan seperti minta derma untuk majalah sekian-sekian kelab dan pertubuhan, iklan dalam direktori sekian-sekian penerbitan akan diserahkan kepada pengurus yang berkenaan.

Hari ini Dian mahu bersenang-lenang tetapi fikirannya masih lagi dihantui rasa bimbang. Ke manalah agaknya Danny pergi. Rasa ingin tahu Dian meluap-luap dan kalau boleh dia mahu tanya Ketua Polis Negara ke mana buah hatinya ditugaskan, apakah keselamatannya terjamin semasa dia mempertaruhkan nyawanya menjaga keamanan Malaysia?

Aduhai Dian, Auntie Delia sudah berpesan, jangan bimbangkan Danny. Apa yang kau risaukan sangat ni?

Tepu. Fikirkan tak ada kerja yang hendak dibuat, fikirkan Danny yang tidak menghubunginya sejak dua hari lepas, Dian rasa serba tidak kena. Dian sudah biasa sibuk, paginya selalu padat dengan mengatur mesyuarat adhoc Syed Ali dengan pengurus-pengurus jabatan.

Ikut kata Vice President of Worldwide Operations yang menghubungi Dian dua minggu lalu, Dian akan diserapkan ke Jabatan Sumber Manusia sepertimana yang Dian pohon. Namun sehingga Syed Ali berpindah Jumaat sudah, Dian masih belum menerima sebarang surat tawaran atau surat pertukaran jawatan daripada Jabatan Sumber Manusia.

Dian rasa menyesal pula bertembung dengan GM pagi tadi. Selalunya GM tidak ringan mulut bertegur sapa dengan Dian (dia merasakan yang GM tidak suka padanya kerana Dian tidak suka diperbodohkan, dalam erti kata lain Dian degil) tetapi pagi tadi mahu pula dia menegur Dian ketika mereka sama-sama menuruni tangga mahu ke lobi.

“I heard that you will stay with Flexi.”

“Yeah that’s true.”

“I want you to lead the Document Control.”

“Errr… but I was assigned to work with HR, this is what I have agreed with Paul and Matt earlier.”

“Paul and Matt?”

“Yahh Matt wants me to stay with Flexi business and he has agree with Paul to locate me in HR to assist Haji Lokman.” Tegas Dian. GM ini ingat aku main-mainkah? Sebelum aku buat keputusan tak mahu ikut Syed Ali, pastinya aku sudah secured jawatan apa aku nak sandang kat sini, gumam Dian dalam hati.

“I want you to work in DC, they needed you more than HR as they have some communication breakdown and your communication skills and experience which I believe will help them to sort out daily issues.”

Dian pertikaikan pendapat peribadi GM. Dian tidak mahu ke Document Control dan apa kena mengena sebuah seksyen yang mengawal dokumen dengan kemahiran berkomunikasi?

“See you later, we need to discuss further.”

Dian boleh sahaja tanya pada Paul tetapi dia tidak berbuat demikian. Dalam pejabat ini terlalu banyak konflik dan politik. Orang ini tidak suka orang itu, orang itu tidak boleh bekerja dengan orang ini dan Dian tidak mahu jadi orang itu atau orang ini, dia hanya mahu jadi Dian yang bekerja dengan profesional tanpa mengambil kira sama ada orang itu suka atau tidak padanya. Kerja itu amanah, harus dilakukan sepertimana yang dituntut.

GM nak jumpa kau.

5 minutes. Aku nak baca doa tolak bala dulu

Bacakan untuk aku sekali!

 

Dian mengeluh membaca mesej yang dia terima daripada Nora, pembantu GM di Yahoo Messenger. Ingat pula GM mahu jumpa Dian hari ini untuk berbincang tentang perpindahannya ke DC secara rasmi.

Langkahnya longlai menuju ke bilik GM. Biar apapun isu antara mereka berdua, Dian tetap hormat dan patuh pada setiap arahan dan keperluan GM termasuklah membantu perkara peribadi setiap kali dia diperlukan. Dian tidak pernah mengeluh namun sebaliknya berbangga dengan diri sendiri kerana mampu mengenepikan emosi dan memberikan hasil kerja yang terbaik untuk ketua nombor dua dalam kilang besar ini.

Dian lihat ada orang lain dalam bilik GM. Dia sudah diperkenalkan pagi tadi oleh Haji Lokman tetapi Dian lupa namanya.

“Have a seat Dian, this is our new Quality Manager, Armin.”

Dian dan Armin saling bertukar ucapan, helo dan hai. Dian kenal Armin. Dia Armin Khairudeen, bekas suami Kak Nada! Namun Dian bijak mengawal rasa ingin bertanya pada Armin dan Dian yakin Armin juga masih mengenali Dian kerana Dianlah gadis bunga merangkap maid of honor pada Nada Sorfina ketika mereka berkahwin dulu.

“She’s a secretary to Syed Ali but he’s now no longer with Flexi but I want Dian to continue her routine as a secretary taking care of administration and at the same time she is going to work with you in Document Control.”

Armin Khairudeen mengangguk. Hari pertama bekerja tidak banyak yang dia tahu tentang perjalanan operasi kilang ini. Armin cuma tanya berapa persen waktu yang diperuntukkan untuk Dian bekerja sebagai DC Officer, bagi Dian soalan itu relevan juga.

“Forty percent.”

Mereka dibenarkan keluar apabila masing-masing faham dengan tugasan yang diamanahkan. Dian rasa tidak terpikul dan dia mahu segera lari dari situ. Dian mahu berbincang dengan Danny dan keluarganya, mungkin mereka ada pendapat lain yang boleh membantu Dian menjernihkan fikirannya yang kini keruh.

Armin memanggil Dian ke biliknya dan Dian menurut langkah Armin dan mengunci bibirnya rapat-rapat biarpun sebenarnya dia sudah tidak betah untuk bertahan daripada bertanyakan soalan tentang Nada Sorfina.

“Duduklah kenapa berdiri?” soal Armin pabila melihat Dian tercegat di hadapannya.

“Saya selesa berdiri bila cakap dengan ketua saya.”

“Tapi saya pula lebih selesa kalau awak duduk.” Balas Armin.

Dian tidak mahu tunjuk degil di hadapan Armin, bekas sepupunya ini. Kerusi ditarik dengan cermat dan Dian duduk sebagaimana disuruh.

“Sebelum you tanya I soalan, I nak tanya you soalan dulu boleh?” menderu sahaja pertanyaan itu keluar dari bibir Dian.

“Tanyalah.”

“You tak kenal I ke?”

Armin diam sejenak. Mungkin sedang mengingati semula atau mungkin sedang cari alasan untuk tidak mengaku dia mengenali Dian, mungkin juga kerana dia cuba melupakan Kak Nada jadi tiada keperluan untuk dia mengaku mengenali Dian.

“ Sepupu Nada kan?”

“Terima kasih kerana masih kenal saya.”

“Mestilah saya ingat.”

“Kak Nada kat mana sekarang? Lama saya tak dengar berita tentang dia. Macam dah lima tahun Kak Nada tak balik beraya dengan kami kat sini.” Beritahu Dian. Lima tahun sejak Auntie Ria meninggal dunia dan selama itulah Dian tidak pernah dengar khabar berita tentang Nada. Bercakap tentang Nada Dian langsung lupa tentang Danny. Dian pernah berkata yang tidak ada seorang pun diantara mereka yang mampu melalui ujian seperti Nada, dibuang keluarga ayahnya, bercerai ketika usia perkahwinan masih terlalu muda, kematian ibu yang dia kasihi ketika dia tidak punya siapa-siapa. Dian bersimpati namun tiada apa yang Dian dapat lakukan untuk meringankan ujian Nada.

“Kali terakhir saya jumpa Nada ketika hari pengebumian mak mentua saya, hari itu pun saya terpaksa pulang awal. Saya perlu terbang ke Germany ketika itu dan berkursus di sana selama tiga bulan.” Terang Armin.

Patutlah. Selama ini Dian fikir Armin tidak berhati perut, langsung tidak menunggu Nada, temankan Nada sehari dua, biarpun mereka sudah bercerai ketika itu namun setidak-tidaknya wajarlah kalau Armin menjengah barang sejam dua, bukan bertunggu-tangga tidur di rumah arwah Uncle Nassir yang gedung itu.

“Saya minta maaflah sebab selama ini saya salah sangka.”

“Tak mengapa, saya pun bersalah juga kerana tidak menunda jadual saya terbang ke Munich pada masa itu, langsung tidak terfikir kalau-kalau Nada masih memerlukan saya pada ketika itu atau setidak-tidaknya saya menunjukkan yang saya masih ambil berat tentang dia.”

Lantas Dian terfikir, apakah mungkin sebab itu juga Kak Nada pergi jauh membawa hatinya yang lara kerana tiada siapa-siapa di sini yang mengambil berat tentangnya lagi. Nenek Kak Nada, yang juga ibu saudara kepada ayah Dian memang sudah lama memulaukan Nada, sejak Nada memutuskan pertunangannya dengan Ungku Na’il. Kaum keluarga belah arwah Uncle Nassir turut sama bersekutu dengan Sharifah Aminah dalam kempen memulaukan Auntie Ria dan Nada Sorfina, seingat Dian konflik keluarga itu bermula sejak Dian kecil lagi dan kerap Dian mendengar ayahnya mengeluh tiap kali isu keluarga ini dibangkitkan.

Bagi Dian, dia tidak perlu turut serta dalam kempen nenek saudaranya itu kerana dia tidak punya sebab untuk memulaukan Kak Nada yang cantik itu, orangnya genit dan pandai pula, selalu cemerlang dalam peperiksaan sampaikan mama turut memuji dan menyuruh Dian mencontohi Kak Nada.

Nada Sorfina memang lain daripada cucu-cucu Sharifah Aminah yang lain, dia istimewa kerana dia seorang sahaja yang tidak bergelar Sharifah malah arwah Uncle Nassir turut menggugurkan gelaran Syed dalam sijil kelahiran Kak Nada, hanya tertulis namanya sebagai Nada Sorfina Nassir di atas sijil kelahiran, kad pengenalan dan passport antarabangsanya. Menurut mama, arwah Uncle Nassir kata Nada bukan orang Malaysia, dia tidak perlu berbin atau binti macam orang Melayu, cukup orang tahu kenal dia Melayu melalui namanya, rupanya dan yang penting Nada diasuh untuk menutup aurat sejak kecil.

“Tak sangka boleh jumpa awak kat sini.”

“Kak Nada kat mana sekarang, you tahu?” potong Dian dengan soalan yang dia harap Armin ada jawapannya.

“Saya pun tak tahu kat mana dia sekarang, dah lama tak dengar apa-apa berita tentang Nada. Facebook pun dia tak ada, akaun Instagram pun saya rasa dia tak ada.” Beritahu Armin.

“You dah kahwin semulakah?” tanya Dian, biarpun tidak perlu soalan itu ditanyakan pada Armin namun lelaki itu mendiamkan diri. Dian anggap jawapannya sudah berkahwin dan mungkin sebab itulah juga dia tidak lagi perlu fikirkan tentang Nada. Ah! Dian asyik fikir yang bukan-bukan.

“Saya harap kita boleh bekerjasama biar apa pun hubungan keluarga yang pernah wujud antara kita.” Sebut Armin.

“Insya-ALLAH Encik Armin.” Balas Dian, dengan memanggil Armin, Encik Armin, Dian harap mereka telah bersetuju dengan batas hubungan professional mereka ini.

“Thank you Dian.”

Hilang hendak bercerita tentang kerja, mereka asyik bercerita tentang Nada pula. Mungkin ada hikmahnya Dian dipertemukan dengan Armin Khairudeen petang ini, hikmah yang pertama Dian tidak fikirkan tentang Danny setakat ini kerana otaknya sibuk mengimbas semula kenangan bersama Nada dan menganalisis keberangkalian di mana Nada berada ketika ini namun sebenarnya Dian jadi nujum yang sedang meramal nasib yang menimpa Nada sedang dia jauh dari keluarga sekarang ini.

“I rasa semua ini salah I sebab ambil lewa dan tidak pedulikan keperluan Nada semasa I menjadi suaminya. I lebih pentingkan kerja daripada Nada. I lupa yang Nada perlukan perhatian sebab dalam dunia dia yang kecil itu hanya ada Nada dan ibunya dan mereka selalu bersama. Bila berkahwin, I putuskan untuk tidak tinggal serumah dengan mentua kerana mahu berdikari tapi pada masa yang sama I gagal luangkan masa untuk bersama Nada dan seringkali dia ditinggalkan sendirian di rumah.”

Dian mendengar dengan tekun. Selama ini dia tidak tahu punca Nada dan Armin berpisah. Hampir semua orang tidak tahu sebab musabab mereka bercerai kerana sebelum itu mereka berdua dilihat sebagai pasangan muda yang bahagia.

“Perkara dah lepas Encik Armin, tidak perlulah kita nak salahkan sesiapa kerana saya percaya setiap yang terjadi itu pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Kita sama-sama doakan agar Kak Nada sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat ALLAH. Semoga ALLAH berikan dia kekuatan untuk menempuh hari-hari mendatang dikala dia jauh daripada keluarga.

“By the way esok pagi I tak masuk ofis sebab ada briefing kat Sofitel. Walaupun GM dah putuskan untuk I teruskan kerja I macam biasa and at the same time bantu you kat DC tapi I tetap berminat untuk pergi briefing by Labor Department and Immigration walaupun I tak jadi masuk HR.” Beritahu Dian.

“Kenapa you tetap nak pergi?”

“Selain daripada menambah pengetahuan, saya saja suka-suka nak jalan-jalan cuci mata.” Telus jawapan yang diberikan Dian.

Biarpun hajatnya untuk ke HR sebagaimana yang dipersetujui oleh pengurusan korporat terbantut di tengah jalan namun Dian tetap tidak membantah apabila diputuskan untuk dia kekal sebagai setiausaha dan sekaligus menjadi DC Officer. Dian akan cuba bertahan selagi dia mampu, jika bertahan di sini bukan pilihan yang terbaik untuknya, Dian pasti membantu Ilyana di kafe akan menjadi pilihan yang paling selamat untuknya.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *