ILYANA memerhati Dian yang duduk diam di kaunter sambil membaca buku. Tidak habis-habis dengan bukunya. Itulah Dian kalau sudah dapat buku, alamatnya memang tidak lepas langsung. Sambil mengemas meja dan menyusun semula kerusi, Ilyana berulang-kali mencuba untuk mencuping perbualan Ungku Na’il dengan dua orang wanita di hadapannya. Ilyana perasan, Ungku Na’il telah beberapa kali mengalih perhatiannya, mencuri pandang pada Dian sambil menerangkan sesuatu di skrin komputer ribanya kepada prospeknya.
Ilyana pelik, Dian seperti orang yang tidak ada perasaan langsung, tidak seperti dirinya yang tidak senang duduk meneropong Ungku Na’il, macam-macam helah yang dilakukan Ilyana semata-mata mahu mencuri dengar perbualan Ungku Na’il dengan perempuan-perempuan itu, sekejap lap meja, sekejap susun kerusi, nanti dia betulkan pasu bunga di atas meja tetapi semuanya terpusat di meja berdekatan Ungku Na’il sahaja.
“Welcome. Selamat datang.” Sebut Dian.
Ilyana menoleh ke pintu. Tiada sesiapa yang masuk. Dian ketawa. Ilyana bergegas ke kaunter.
“Kau cakap dengan siapa?” tanya Ilyana.
“Illy, aku nampak tau apa kau buat. Stop it yah. Jangan sampai Ungku Na’il pula perasan kau mencuping orang berbual. Kepoh sangat ni kenapa ekk apa yang kau nak selidik?” tanya Dian
“Alah Dian aku cuma nak pastikan yang dia cakap hal bisnes bukan jual minyak.” Balas Ilyana selamba.
“Kalau dia nak jual minyak pun apa kena mengena dengan kita? Yang penting dia bawa masuk pelanggan dan bayar apa yang mereka makan.” Bisik Dian.
“Untuk kebaikan kau juga Dian.” Kata Ilyana lagi.
“Kebaikan apa?” tanya Dian.
“Tak ada apa-apa.” Ilyana senyum.
“Illy, can I have one more macchiato, triple shot ya.”
“Extra paper Nail.” Gurau Ilyana, dia beralih ke belakang untuk menyediakan Caffe Macchiato yang diminta Ungku Na’il. Berbaloi Ilyana bekerja di Starbucks selama tiga bulan semata-mata mahu mempelajari cara-cara menyediakan pelbagai minuman berasaskan kopi. Senang kata semua menu air kopi, coklat dan teh yang ada di Starbucks telah ditanam dalam otak Ilyana yang cerdas itu.
“Write it in my bill.”
“Right away…” balas Dian. Dia menulis sesuatu di atas kertas warna kuning. Dian senyum. Mungkin dengan menyuruh Ilyana menyediakan secawan kopi dapat menjauhkannya daripada mencuping perbualan Ungku Na’il. Bijaknya Ungku Na’il. Pandainya Dian membuat andaian.
“Ungku Na’il, nak panas ke sejuk?” tanya Ilyana.
“Panas, less foam yah, thank you Illy.”
“Mengada sedara kau ni Dian. Aku letak buih aje karang dalam cawan dia baru dia tahu.” Adu Ilyana dengan berbisik. Dian senyum, tadi ketika dia menyuruh Ilyana memasukkan kulit lemon ke dalam minuman Ungku Na’il, bukan main lagi Ilyana menghalang, sekarang dia pula yang mahu mendengki pelanggan tetap mereka itu.
“Buat ajelah Illy, pelanggan kan sentiasa betul.”
“Macchiato is about perfect shot and perfect froth.” Beritahu Ilyana. Bagi Dian, Macchiato mestilah rasa ‘Macchiato’ pahit espresso dan rasa lemak susu segar yang distim dan tidak boleh rasa Mocha Praline pula dan dia serahkan kepada yang berkemahiran seperti Ilyana untuk membuatnya, yang penting bagi Dian, semuanya sedap.
“Iya aku tahu, dah pergi buat kopi cepat. Buat dua, aku pun nak satu, triple shot jugak. Buih lebih si buaya tu kau letak aje dalam cawan aku.”
“Kau memang sayang Na’il tu kan?”
“Gila kau tak sayang, tiga pupu aku tu, our blood is thicker than water tau, even thicker than your froth.” Dian kenyit mata.
Dian tidak punya rasa untuk menyayangi sesiapa selain daripada Danny Richardson. Biarpun hubungan mereka berdua sudah berlanjutan bertahun-tahun dan seperti tiada berpenghujung namun Dian bahagia. Biar mama dan nenek selalu bertanya bila Danny akan menukar agamanya, bila Danny akan masuk meminang Dian, umur Dian sudah lanjut perlu segera berkahwin namun semua peringatan itu seolah-olah tidak mendatangkan kesan pada Dian.
Apa yang ditunggu pada Danny Richardson? Hanya Dian seorang sahaja yang tahu.
Macchiato sudah siap disediakan. Ilyana letak di hadapan Dian.
“Nah, tolong aku serve saudara tiga pupu blood is thicker than water kau tu.”
“Elok sangat!” Dian menarik kertas kuning yang telah ditulis nota untuk Ungku Na’il tadi dan dilipat dua, kemudian disisipkan di tepi coaster.
“Kertas apa tu?” tanya Ilyana.
“Hal keluargalah, sibuk aje tau. ”
“Menyampah!”
Dian senyum. Dulang diangkat dan dibawa ke meja Ungku Na’il. Dengan ramah Dian bertanya kalau-kalau dua orang prospek Ungku Na’il mahu tambahan air atau apa-apa yang boleh dikunyah.
“Kebetulan you tanya, I pun rasa macam nak mengunyah. Ada apa-apa yang simple dan tak comot bila dimakan tak Dian ?” tanya Ungku Na’il bagi pihak pelanggannya.
“Tortilla chips. Nak?” tanya Dian tapi sebelum itu dia rasa macam nak hempuk Ungku Na’il dengan dulang air tadi. Kalau tak mahu comot, tak payah makan langsung. Minum air sahaja cukup, itu pun boleh jadi comot juga kalau tertumpah.
“Lay’s ada tak?” soal Ungku Na’il. Dian geleng kepala. Yang tak ada itulah diminta, kan Dian sudah beritahu apa yang ada.
“Cicah apa?” banyak soal pelanggan Dian yang seorang ini.
“Special dip. I buat sendiri.” Dian telan air liur.
Sebut tortilla, terus dia teringatkan huevos rancheros, sarapan pagi yang disediakan oleh Khadra, sepupunya. Bilalah agaknya dia dapat bercuti ke LA lagi bertemu dengan Khadra yang tinggal dan bekerja di sana. Dian juga sudah terliur teringatkan koktel ketam yang manis rasanya dan ikan salmon yang mereka panggang di belakang rumah Khadra yang berlandskapkan Manhattan Beach dan Lautan Pasifik.
“Sedap tak?” usik Ungku Na’il. Dia dapat tangkap Dian sedang berangan.
“Mestilah sedap, rasanya macam roasted sesame dressing tu dicampur dengan sos Bolognese.” Terang Dian. Ungku Na’il angguk sahaja, dia percaya apa yang Dian sajikan pasti sedap. Dah sudah selalu sangat dia merasai air tangan Dian dan Ungku Na’il masih belum jemu ke mari.
“Bolehlah, make it enough for three of us ya.”
Dian pantas sahaja mencatit dalam iPad mininya, terus sampai pesanan itu pada Ilyana yang sedang duduk di kaunter memeriksa sesuatu dan memasukkan pesanan tambahan itu ke dalam sistem komputer mereka.
“Aik tambah tortilla chips aje? Client dah beli insurans tu belanjalah yang mahal sikit.” Sebut Ilyana ketika Dian sampai di kaunter.
“Itu pun dia tanya tau, apa makanan yang tak comot. Mentang-mentanglah depan dia tu awek lawa, nak jaga gengsilah tu.”
“Tak mahu comot masa makan, buka mulut luas-luas kendian potong kecil-kecil, lagi kecil daripada hujung garfu, tak pun guna camca teh aje.” Tambah Ilyana.
“Dah cukuplah merepek tu, karang melalut entah ke mana. Illy, aku ingat nak tambah menu sarapan pagilah Illy, hujung minggu macam ini kan ramai orang, kita perlukan lebih banyak pilihan.” Cadang Dian.
“Kau nak tambah apa?”
“Huevos rancheros.”
“Apa tu? Kalau pelik sangat aku takut tak laku nanti, almaklumlah kita semua ni orang Melayu, orang Malaysia, sarapan pagi makan nasi lemak, lontong, bihun goreng, tosei, roti canai, huevos rancheros tu apa kebenda?”
“Mexican breakfast.” Jawab Dian sambil menelan air liur. Sebenarnya Dian ada rahsia yang dia simpan tentang huevos rancheros. Dian memesan menu itu setelah dia yakin dan pasti tiada sebarang unsur daging yang tidak disembelih dalam menu itu namun apabila sarapan pagi itu dihantar ke biliknya dan Dian menikmati hidangan enak itu sehingga hampir separuh skillet barulah Dian sedar, huevos rancheros itu bukan hanya sekadar hidangan telur mata dan kacang panggang sahaja tetapi turut dimasak bersama dengan daging kisar dan turut dilapisi kepingan bakon.
Itulah Dian, makan sambil membaca, apa yang masuk dalam mulutnya dia tidak sedar.
Insiden sarapan pagi di Hotel Marriott di Sunset Boulevard itu akan diingatinya sampai bila-bila dan Dian tidak berani cerita pada sesiapa termasuklah Khadra sendiri. Kalau cerita itu sampai ke pengetahuan mama dan neneknya, tentu berjam-jam Dian diceramah oleh kedua mereka.
Huevos rancheros merupakan sarapan klasik orang Mexico, tortilla jagung dihidang bersama dengan telur goreng mata (atau scrambled) dan juga salsa ranchera, lebih sedap bila ditambah dengan turkey bacon dan kacang panggang. Hidangan yang lengkap dan pastinya menyelerakan!
Dan bahana insiden sarapan pagi itu, Dian mengajak Khadra untuk sama-sama cuba menyediakan heuvos rancheros versi halal. Mudah sahaja untuk menyediakannya, Dian masak sekali kacang panggang dan corned beef sebagai ramuan utama hidangan ini. Kemudian goreng turkey bacon dengan sedikit minyak dan selepas itu goreng pula telur mata dengan minyak yang sama.
Dian lebih suka heuvos rancherosnya dihidangkan dalam kuali kecil (skillet) dan tortila disusun lapis demi lapisan berselang-seli dengan lapisan turkey bacon dan kacang panggang – Marriott’s style.
“Amboi siap telan air liur, aku baru aje tanya dah telan air liur?” soal Ilyana. Sedap sungguh agaknya sampaikan Dian telan air liur.
“Dian, sedap tak?”
“Googlelah nanti kau tahu sedap atau tidak.” Suruh Dian. Huevos rancheros memang sedap dan sesuai untuk orang yang tidak tahan pedas. Dian rasa resepi olahannya lebih sedap daripada yang dia makan di Marriott dahulu. Dian yakin lebih sedap, berulang-ulang kali dia menyakinkan dirinya kerana Dian tidak mahu memberi sebarang pendapat tentang rasa daging yang tidak disembelih dan yang paling Dian gerunkan, kalau rasa sedap itu datang daripada bacon strip!
“Sedap ke tidak ni? Terkebil-kebil biji mata tu kenapa?” tanya Ilyana lagi.
Ilyana curious sangat, kalau sedap dia ingin juga mencuba kalau rasanya tidak kena dengan seleranya, cuba sekali aje cukuplah. Tekaknya memang tekak Melayu bukan macam Dian, semua dia boleh telan.
“Kau ni suka buat orang mengidam nak makan tau. Kalau kempunan macam mana?”
“Jilat tapak tangan!”
“Aku rasa kita boleh tambah menu ni bila kita dah siapkan bilik-bilik kat atas tu, manalah tahu kalau ada mat saleh sesat nak tidur kat sini, tidaklah dia mati kelaparan kan?” cadang Ilyana yang tidak mahu menolak mentah-mentah idea Dian.
“Brilliant Illy! Tapi projek bed and breakfast kita tu masih terbengkalai, kena tunggu cuti panjang baru boleh renovate bilik-bilik kat atas tu. Paling tidak kena ada sejuta tu nak renovate tingkat atas.” Gurau Dian.
“Gila kau sampai sejuta, itu nak buat rumah banglo bukan hostel!”
Ting! Loceng dapur berbunyi tanda makanan yang dipesan sudah siap dan perlu dihantar ke meja pelanggan dengan segera. Giliran Dian untuk menyambung tugas. ALLAH, tortilla chips untuk Ungku Na’il rupanya, terus terbit rasa malas hendak berjalan. Ilyana sudah melarikan diri, dia sudah sedia maklum Dian pasti akan mengelak kalau disuruh menghantar pesanan Ungku Na’il.
Semangkuk tortilla chips dengan sos pencicah sudah disiapkan dan dibawa ke meja pelanggan. Dian letak mangkuk seramik berwarna putih itu dengan cermat.
“Dian, sekejap.” Panggil Ungku Na’il, lain macam cara Ungku Na’il melontarkan suaranya. Kemudian dia menepuk kusyen di sebelahnya, meminta Dian duduk.
“I tak nak beli insurans you Nail, I dah ada beli dengan Ilyana.” Sebut Dian dalam nada bergurau. Dia tetap berdiri di tepi meja. Ungku Na’il kenyit mata.
“I nak kenalkan you dengan client I ni la, bukan nak suruh you beli insurans I. By the way lepas ni you tukar guna insurans I tau. Hurmmm Hana, Zila kenalkan ini Dian Zahara cousin saya, dia co-owner kafe ini dan insya-ALLAH, dia bakal tunang saya.” Beria sungguh Ungku Na’il bercakap tentang hubungannya dengan Dian di hadapan pelanggan mereka.
“Lawa… Bila bertunang Na’il?”
Dian tidak jadi marah bila dipuji.
“Ohhh sudah ada buah hati rupanya.”
Ungku Na’il mengangguk, mengiyakan kenyataan bahawa dia sudah punya buah hati dan Dian Zahara memang lawa orangnya. Dian pula keliru. Pertama, dia tidak tahu yang mana satu Hana dan yang mana satu pula Zila. Kedua, atas dasar apa Ungku Na’il memperkenalkan dirinya sebagai bakal tunang?
“Insya-ALLAH bertunang hujung minggu depan dan nikah sebelum cuti sekolah nanti.” Sebut Ungku Na’il selamba. Tercekik Dian mendengarnya, bagai ada batu kerikil tersekat dalam tekaknya sekarang ini.
Drama apa pula yang sedang dimainkan Ungku Na’il sekarang ini? Kenapa perlu berbohong dengan pelanggan?
“Tahniah ya Dian, Ku.”
“Terima kasih.”
Dian senyum. Dia pasti ada sebab mengapa Ungku Na’il memperkenalkan Dian sebagai bakal tunangannya. Dian cuba untuk tidak menyimpan apa-apa rasa pelik dalam hatinya.
“Nail, I busy kita sambung nanti ya. Good luck Nail!”
“Thanks dear. Nanti I tolong you bersihkan kitchen ya.”
“Aaaaa so sweet of you. Thanks Nail!”
Ilyana memerhati dari kaunternya, laksana taukeh besar mengintai pekerjanya mengular tetapi Ilyana bukan begitu.
“Dia mengurat kau ehh?” soal Ilyana sebaik sahaja Dian menghampirinya.
“Danny aku nak campak mana?”
“Habis tu tadi bukan main mesra nampak?”
“Na’il tu mabuk agaknya. Kau bubuh apa dalam kopi dia tadi?”
“Kenapaaaaaa? Dia melalut apa dengan kau? Aku bubuh kopi dengan susu ajelah, macamlah kau tak tahu nak buat Macchiato?” tanya Ilyana, agak cemas. Benarkah Ungku Na’il mabuk?
“Tak ada apa-apalah Illy, dia tengah ting tong agaknya kut.”
Dian tinggalkan dulang di atas kaunter dan kembali semula ke sofa kesukaannya dan mula menyelak kembali karya Mary Balogh.
Hujan di luar belum mahu berhenti dan kadang-kala bertambah lebat, sementara belum ada pelanggan baharu, Dian mencuri waktu untuk tenggelam dalam dunia yang dicipta sang penulis yang berasal dari Swansea, Wales itu.
Novel A Summer To Remember itu tanda mata yang Dian beli ketika dia bercuti di selatan California tahun lalu dan belum berkesempatan untuk membacanya. Dian suka California, kalau boleh dia ingin selalu ke sana. Di situ matahari sentiasa bersinar terang namun udaranya tetap dingin. Langitnya membiru selalu, bandarayanya bersih dan tersusun.
Benarlah kata Khadra, bandar South Bay itu seperti Johor Bahru, yang berbeza hanya cuacanya sahaja. South Bay bandar pesisir Lautan Pasifik hampir menyamai tempat tinggal keluarga mereka di sini, di pantai Stulang Laut. Patutlah Khadra enggan pulang, kerana dia sudah jumpa kembar Stulang Laut di Manhattan Beach!
Biarpun Dian beranggap perbandingan yang dibuat Khadra itu tidak setara kerana South Bay bukan Johor Bahru dan Johor Bahru langsung tidak sama dengan South Bay, yang hampir sama hanyalah rumah Khadra di South Bay mengadap Lautan Pasifik sementara rumah keluarganya di sini mengadap Selat Tebrau yang tenang, namun Dian akui dia amat suka ke sana dan kalau boleh Dian mahu tinggal di sana terus. Bandaraya yang bersih, tiada sampah langsung dan tidak ada lalang tumbuh di tepi jalan, tidak ada semak-samun.
South Bay ditadbir dengan baik dan tersusun. Tentunya sebuah perbandaran yang baik memerlukan warga yang baik untuk menjaganya dan itulah yang kurang di Johor Bahru atau mana-mana tempat di Malaysia ini.
Warga bertamadun versus warga tidak bertamadun, susah untuk jalan seiring. Buang sampah merata-rata, tandas awam menjijikkan, lalang tumbuh meliar bak padi di sawahi tapi sayang tak boleh dituai.
Ahh Dian digamit rindu, dia rindukan udara dingin di California. Dia rindukan saat dia dan Khadra meronda kota besar itu pada dinihari. Sudah Khadra beritahu musim panas di sini sejuk tetapi Dian berdegil, dia tetap keluar dengan hanya memakai blouse kain kapas yang nipis. Gasaklah kau menggigil kesejukkan.
Isyyy, Dian berangan lagi. Kali ini Ungku Na’il pula yang tertangkap Dian sedang senyum sendiri. Ungku Na’il balas senyum Dian yang kosong itu, senyum tak ada makna kerana Dian sedang berangan. Dahsyat betul penangan buku Mary Balogh sampai ke New York kemudian ke California Dian berangan.
“Best juga kalau ada drama bertunang olok-olok lepas itu jatuh cinta betul-betul.” Kata Dian sendiri. Dia senyum lagi, sudah terpengaruh dengan tulisan Mary Balogh. Dian tidak sedar Ilyana sedang tajam memerhati. Ungku Na’il masih lagi mencuri pandang.
“Apalah nak jadi dengan kawan aku yang seorang ni. Ada boyfriend macam tak ada, jauh selalu. Yang ada dok mengintai depan mata ini pula dia tak suka. Dian, Dian…” kata Ilyana sendiri.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7 • BAB 8 • BAB 9 • BAB 10
BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)