UNGKU NA’IL leka dengan tabletnya. Dua orang pelanggannya tadi sudah pun pulang tidak lama selepas hujan teduh. Dia seperti sedang membaca sesuatu dengan khusyuk.
Ilyana dan Dian lalu-lalang di sebelahnya beberapa kali pun Ungku Na’il tidak perasan. Dian sempat intai sekali, dia lihat Ungku Na’il sedang melihat gambar seseorang, perempuan!
Dian kenal wanita dalam gambar tadi. Biarpun hanya dengan sekali pandang tapi Dian amat kenal gambar itu kerana gambar itu turut dapat dilihat di laman Facebooknya kerana dimuat-naik oleh salah seorang ahli keluarga mereka.
Nada Sorfina Syed Nassir.
Siapa yang tidak kenal Nada Sorfina? Selagi mereka berkait dalam keluarga besar ini, tiada siapa yang akan dapat melupakan Nada Sorfina.
Kisahnya sedih, terlalu sedih untuk seseorang yang kini sendirian. Entah di mana Nada, Dian juga tidak pasti. Bila Dian dapat tahu Nada yang dipanggil Kak Nada itu tinggal di Amerika, dia cuba jejaki Nada di sana namun tidak berhasil. Nada seperti menghapuskan jejaknya supaya tidak dapat dicari sesiapa.
Nada dan Ungku Na’il pernah bertunang namun Nada memutuskan ikatan pertunangan mereka dan berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Armin Khairudeen lelaki kacukan Jawa – Pakistan.
Namun sayang jodoh Nada dengan Armin tidak panjang. Selepas bercerai, Nada seolah-olah menjauhkan dirinya yang memang sudah sedia terasing dari keluarga di sebelah arwah ayahnya.
Apabila ibunya meninggal dunia, Nada benar-benar bawa diri, jauh dari semua orang di sini. Nada terus hilang tanpa ada seorang pun tahu di mana dia sekarang, entah hidup entah mati.
Dian kembali duduk di sofa kegemarannya dan membuka Facebook. Dia turut berkongsi rasa hiba yang menghuni hati Ungku Na’il ketika ini. Dian boleh agak daripada raut wajahnya yang keruh.
Semua orang rindu pada Nada, kalau keluarga dekat tidak rindu pada Nada tapi Dian yang hanya bergelar dua-tiga pupu dengan Nada amat merasai kehilangannya. Dian rasa sedih tiap kali melintas di hadapan rumah lama keluarga arwah Uncle Nassir. Kalau dahulu ketika arwah Auntie Ria masih ada, dia kerap ke situ dengan mama untuk menghantar dan mengambil tempahan baju.
Sulaman tangan arwah Auntie Ria sangat halus dan kemas. Baju kurung Dian, tidak sempurna kalau tidak diperincikan dengan sulaman dan hiasan manik, biar ringkas rekaannya namun nampak mewah.
Simple and classy, kata Auntie Ria dahulu.
Apa khabar Nada Sorfina binti Syed Nassir? Keluarga di sini amat rindukan Nada. Kalau ada sesiapa yang terserempak dengan Nada, harap dapatlah pujuk dia pulang ke sini. Nenda sudah uzur benar dan ingin berjumpa dengan Nada sebelum dia menutup mata.
Air mata Dian pula yang meleleh membaca status Sharifah Qistina.
Na’il Ismail Ali The odds may be against you and obstacles may be in front of you but I am sure that ALLAH will guide you and keep you safe Nada Sorfina. Amin.
Helena Ariff Amin Ya Rabb. I think that she’s in LA. Uncle ada terserempak dengan Nada di LAX tahun lepas unfortunately they are in separate rows during immigration clearance.
Qistina Kamarudin Uncle jumpa Nada kat LAX?
Helena Ariff Ya, masa uncle dengan Jim pergi sana tahun sudah. Nada ada kat row for US Citizen. Laju aje clearance, Jim pun tak sempat nak kejar. Tahulah LAX tu besar mana.
Dian Daim Khadra pun pernah kata dia nampak Kak Nada kat LAX. Since she’s in LA why don’t we ask her to find Kak Nada? @KhadraIIbrahim we need your assistance.
Ungku Na’il memandang ke arah Dian dan kala itu juga Dian turut memandang padanya. Dian tahu Ungku Na’il sudah membaca komen yang baharu sahaja dipos pada status Sharifah Qistina. Apakah dia masih menyimpan perasaan pada Nada?
Dian senyum. Hanya itu sahaja yang mampu dia sumbangkan pada Ungku Na’il andai dia rasa hiba dan rindu pada Nada Sorfina.
Semua orang yang hidup di dunia ini ada buat salah dan bagi Dian kalau menentukan jalan hidup sendiri itu salah sepertimana yang dilakukan Nada, Dian tidak setuju. Bahagia atau tidak bukan urusan sesiapa kerana Dian percaya jodoh pertemuan itu telah tertulis sejak azali lagi. Semuanya sudah tersusun dengan sempurna.
Do you still love her Abang Nail?
Tanya Dian sendiri.
Ting! Ting!
Waktu kerja jangan main Facebook nanti gaji kena potong
Tiba-tiba sahaja Diana menerima mesej pada iPad mini yang dipegangnya. Dian letak telefon bimbitnya di atas meja dan diambil pula tablet kecil itu dan mulai menaip.
Sibuklah kau ni Illy, orang tengah feeling ni.
Nak feeling balik rumah
Okay. Bye-bye!
Dian lihat jam. Sekejap lagi pasti akan kedengaran azan Maghrib dari Masjid India. Hujan-hujan begini memang waktu syahdu bagi insan yang sedang bercinta apatah lagi bagi yang pernah putus tunang seperti Ungku Na’il, sampaikan waktu berlalu pun tidak disedari.
Sudah bertahun-tahun sendiri, biarpun selalu dilihat dengan perempuan namun tidak pernah dengar cerita Ungku Na’il mahu mendirikan rumah tangga, sedangkan ayahnya sudah berkahwin tiga kali!
Dian perlu bersiap untuk solat sebelum menggantikan Ilyana di kaunter. Muk yang sudah kosong dan piring yang ada saki-baki kerak kek keju diletakkan dalam dulang dan kemudiannya Dian bawa ke belakang untuk dicuci.
“I bayar sekali dengan apa yang Dian makan hari ini.” Beritahu Ungku Na’il pada Ilyana.
“Murah rezeki you Ku, selalu belanja Dian.” Sambut Ilyana.
Setiap kali Ungku Na’il datang ke Cafedily dia pasti akan tanya Dian makan apa, sudah bayar ke belum dan kalau belum ketika itu jugalah dia akan ‘belanja’ Dian dan bila Dian tanya siapa yang belanja, Ilyana terpaksa tutup mulut kerana memegang amanah Ungku Na’il.
Ilyana tidak pasti apakah tujuan sebenar Ungku Na’il beria mahu membayar apa yang Dian makan di kafe ini sedangkan Dian boleh makan dengan percuma kalau dia mahu.
“Amin.”
“Tapi dia dah ada buah hati tau Ku, I harap you tidak terlalu mengharap pada Dian.” Beritahu Ilyana terus-terang. Dia tidak mahu ada sesiapa yang kecewa, sudah-sudahlah dia dengar berita sedih, Ilyana mahu dengar cerita gembira sahaja sekarang ini.
“I tahu dia dah ada buah hati tapi belanja aje tak salah kan?”
“Kalau macam tu belanjalah I sekali.”
“Boleh, you punya masuk buku 555 dulu.”
“Makan mana boleh hutang Ku.”
“I jarang nampak you makan sepanjang I duduk kat kafe ni sebab tu I cakap masuk buku 555 dulu.” Ucap Ungku Na’il.
“I makan sikit pun gemuk takut nak makan selalu lainlah macam Dian, dia telan naga pun tetap kurus.”
Ungku Na’il ketawa. Dia pelik dengan orang perempuan, tidak gemuk pun mengaku gemuk. Di mata Ungku Na’il kalau gemuk itu seperti Melissa McCarthy.
Ilyana tidak gemuk langsung tapi kalau Ilyana membandingkan dirinya dengan Dian, dia hanya berat beberapa kilogram sahaja daripada Dian. Gemuk? Langsung tidak.
“Kirim salam kat Dian. I nak solat kat masjid lepas tu terus balik.”
“Awal lagi ni Ku.” Bukankah tadi Ungku Na’il kata dia mahu temankan Dian? Dia merajukkah? Biasanya kafe sampai nak tutup, Ungku Na’il masih lagi melepak di sini sama ada sendirian atau ditemani rakan.
“Esok kerjalah.”
“Iyalah Ku, esok kan hari Isnin.” Balas Ilyana.
Ingin juga dia tahu apakah Dian akan tercari-cari kelibat Ungku Na’il atau Dian langsung tidak peduli atau mungkin tidak sedar yang Ungku Na’il sudah pulang?
Kalau Dian tidak peduli, maka betullah Dian tidak punya secebis perasaan langsung pada Ungku Na’il tapi kalau dia tercari-cari, bermakna adalah peluang untuk Ungku Na’il.
Ilyana bukan tidak suka pada Danny cuma semakin lama Danny mengheret hubungannya dengan Dian, Ilyana semakin tawar hati. Lelaki yang baik akan segera menikahi wanita yang dia cinta. Itu prinsip Ilyana, tiada kompromi.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7 • BAB 8 • BAB 9 • BAB 10
BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)