Bukan Kisah Cinta – Bab 5

DANNY datang dengan seragam birunya. Kecoh satu pejabat, ada anggota polis mahu menangkap Dian. Cepat betul berita palsu tersebar. Pengawal keselamatan ini pun satu hal, asal ada polis hendak jumpa seseorang terus sahaja buat rumusan polis mahu tangkap orang, ingat polis ini tak ada kerja lain selain daripada tangkap orang agaknya. Polis pun manusia biasa, ada naluri hendak berkawan dengan orang lain, ada keinginan terhadap sesuatu. Danny pun satu, hendak bergurau tak kena tempat, janganlah disakat pengawal keselamatan yang lurus itu.

Aduh Danny, Danny….

“Dan, this is does not surprise me at all.” Marah Dian.

Danny tersengih. Bukan selalu dapat menyakat Dian begini.

“Lain kali jangan datang ofis I dengan uniform you, boleh jadi huru-hara orang satu kilang ni bergosip nanti tau.” Tegas Dian, dia tidak suka orang bercakap tentang dirinya apatah lagi sesuatu yang bersifat peribadi seperti ini.

“You malu ehh boyfriend you polis?”

“Bukan malulah, I bangga dengan kerjaya yang you pilih, jaga keselamatan dan keamanan negara tapi you tahulah I tak suka kalau orang tanya I macam-macam terutamanya hal peribadi.” Terang Dian dengan lembut. Dia tidak pernah malu menerima Danny dalam hidupnya cuma dia kurang gemar bercerita tentang cinta yang belum pasti ke mana arah tujunya.

“Kebetulan tadi lepas I habis bagi ceramah kat sekolah, on my way nak balik ke rumah I singgahlah ofis you dulu.”

Danny dijemput untuk berkongsi dengan para pelajar tentang kerjayanya sebagai anggota polis sempena minggu kerjaya di sekolah lamanya itu, Sekolah Menengah Aminuddin Baki.

“I suka sangat you buat surprise visit kat ofis I ni tapi janganlah datang dengan uniform biru you ni. Tukarlah dulu uniform tu, nasib baik pak cik sekuriti tu tak ada sakit jantung tau, kalau tidak satu hal lagi orang pakai uniform putih pula datang.” Sambung Dian lagi.

“Kira okaylah tu, sambung buat hari kerjaya kat kilang ini pula.” Gurau Danny.

Dian memilih kawan untuk dia kongsikan tentang kehidupan peribadinya terutamanya dengan rakan-rakan sepejabat. Dian tidak suka orang tahu dia berkawan dengan anggota polis. Dia letih mendengar orang bercerita perkara-perkara negatif yang melibatkan polis terutamanya rasuah.

Kalaulah Dian tidak kenal sebelum Danny menjadi anggota polis, tentu dia juga tidak mahu didekati anggota polis. Penatlah nak menangkis segala tohmahan dan umpatan orang ni, kerana seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit. Dan betul juga Dian tidak suka dengan keputusan Danny untuk menyertai PDRM. Perkara yang paling Dian takutkan sekali, menerima berita yang tidak baik tentang Danny dan setiap kali perkara itu terlintas difikirannya, Dian segera beristighfar minta dijauhkan segala yang buruk daripada menimpa Danny.

“Nampak tu orang-orang yang berdiri kat guard post dok meneropong kita? Habislah kecoh satu kilang ni karang.”

“Hai salahkah jadi polis?”

“Jadi polis pun tak salah tapi you tu tak salah ke ni singgah ofis I dengan pakai uniform macam ni? Bukan you dalam tugas ke sekarang ni?” tanya Dian, dia pandang Danny dari atas kepalanya sehingga kasut Danny yang hitam berkilat.

Tuan Inspektor yang gagah perkasa ini memerlukan sokongan moral daripada Dian, setiap hari, setiap waktu. Setiap kali, pada hujung pertemuan mereka, Danny pasti akan meminta Dian mendoakan keselamatannya. Dian tidak pernah gagal untuk memanjatkan doa pada ALLAH mohon dipelihara buah hatinya itu dan dijauhi daripada segala malapetaka dan bahaya.

“I ingat nak pakai baju biasa aje tadi tapi pihak sekolah kata kalau pakai seragam polis, para pelajar lebih bersemangat bila dengar kita bercakap tentang kerjaya sebagai anggota polis. Lagipun sebenarnya hari ini I cuti dan bukan dalam tugas.” Terang Danny pada Dian.

Memandangkan malam ni I dah nak balik ke KL semula jadi I ingat nak ajak you keluar makan. You boleh keluar kan?” sambung Danny lagi.

“Nak keluar makan sekarangkah?”

“Sekaranglah, lunch dulu dan malam karang sebelum I balik KL, kita dinner dengan mommy pula.” Beritahu Danny.

Setiap kali pulang ke Johor Bahru, tidak kiralah sama ada sekejap atau pun lama, Danny akan memastikan mereka bertiga akan duduk semeja. Sebenarnya bukan susah pun untuk ibunya menerima Dian kerana dia tidak pernah meletakkan syarat dengan siapa Danny perlu berkawan. Hubungan mereka tidak dibantah sesiapa cuma belum tiba masanya untuk mereka melangkah ke alam perkahwinan, biarpun kalau ikutkan umur masing-masing sudah masuk fasa wajib mendirikan rumah tangga. Danny yakin bahagianya dengan Dian dan Dian pula berpegang dengan kata-kata kalau jodoh tidak ke mana.

“Hurmm kejap ehh. I naik atas ambil beg I dulu. You tunggu kat sini.”

“Alah tak payah naik semulalah, pergi macam ini aje tak perlu bawa beg tak bolehkah?”

“Dan, mana boleh keluar berjalan tak bawa IC?”

“Dian, you cakap dengan pegawai polislah sekarang ni, you lupa ehh?”

“Jadi kalau I keluar dengan polis maknanya I boleh langgar ajelah undang-undang ikut suka I?” soal Dian.

“Hisyyy banyak cakap.”

“Undang-undang dibuat untuk kita patuhi, dah… you tunggu sini sekejap.”

Dian menyuruh Danny duduk di lobi sementara dia berlari memanjat tangga ke tingkat dua. Excited sangat nak keluar makan tengahari dengan abang polis! Kali terakhir dia keluar makan dengan Danny (ketika waktu kerja) pada tahun lepas, bulan Jun. Lamanya!

Beberapa pasang mata meliar melihat Dian berjalan beriringan dengan seorang anggota polis berpangkat inspektor menuju ke kereta, sebuah Range Rover keluaran tahun 2002. Dian sudah siap dengan soalan kalau-kalau ada yang bertanya padanya nanti, kereta besar itu bukan Danny punya, itu kereta mendiang ayahnya.

Uncle Albert Richardson meninggal dunia dalam kemalangan udara di Pahang, helikopter yang dinaikinya terhempas di hutan tebal berdekatan Janda Baik. Gaji anggota polis seperti Danny manalah mampu hendak beli Range Rover ini, dia hanya ada sebuah motorsikal sahaja, Ducati Monster 796 buatan Itali. Danny kata untuk apa beli kereta, kerana dia ke sana dan ke mari dengan kereta polis. Di luar waktu bertugas, Danny jarang keluar rumah dan kalau ada waktu lapang dia akan pulang ke JB. Memecut superbike katanya adalah pilihan terbaik untuk cepat sampai ke selatan tanahair. Danny Richardson, semuanya yang dia suka adalah perkara yang membimbangkan Dian.

“Sudah berapa lama kita tak keluar makan Dian?”

“Entah, I dah tak ingatlah Dan.”

“Takkanlah tak ingat. Bulan lepas I balik JB, kita keluar kan?”

“Ada ehh?”

“Eeee ada laaaaaaah! Lepas you dera I jadi tukang cuci kat kafe, you kata selagi tak habis cuci pinggan tak boleh keluar makan tu, you lupa?”

Dian tersengih. Dia sengaja buat-buat lupa, masakan dia tidak ingat, keluar sebulan sekali dengan Danny sudah menjadi acara wajib bagi mereka berdua. Danny perlu pulang ke JB untuk bertemu dengan ibunya sekaligus untuk keluar dating dengan buah hatinya, Dian Zahara.

Pintu Range Rover dibukakan untuk Dian, hati senang sekali dapat jumpa dengan sang puteri dambaan jiwa. Danny dan Dian berbalas senyum. Alahai, mereka nampak manis dan bahagia berdua.

“Masuk kereta terus berangan ni kenapa?” tanya Danny apabila dia lihat Dian termenung.

“I ni sebenarnya bengang ada bingung pun ada. I bengang sebab bos I suruh I pilih untuk ikut dia pindah ke HQ atau I stay kat branch ni dan dia cuma bagi I dua minggu untuk buat keputusan dan semalam sepatutnya I dah beritahu dia keputusan I.” Terang Dian.

“Kenapa kena pilih? Kenapa tak ikut dia aje?” tanya Danny.

Macam pelik bunyinya apabila Dian tidak mengikut Syed Ali berpindah. Danny memproses masalah Dian dalam kepalanya, kenapa Dian perlu memilih, kenapa Dian tidak ikut sahaja bosnya berpindah.

“I tanya dia juga kenapa I kena pilih, kenapa dia tak angkut aje I sekali ikut dia pindah tapi Syed Ali kata memilih di mana I mahu bekerja adalah hak prerogatif I. Mungkin dia tahu I ramai kawan di kat sini dan kalau I ikut dia pindah mungkin I tak ada kawan, mungkin I akan mati kutu tapi bila I fikir semula, mengambil sudut yang baik bila diberi pilihan macam ni, baik sungguh Syed Ali kerana memberikan I peluang untuk buat keputusan sendiri.” Ulas Dian.

“Dah tu you nak ikut dia atau tidak?” tanya Danny.

“I sebenarnya berbelah bahagi nak ikut dia atau tidak. I suka kerja dengan Syed Ali tu, sebagai seorang ketua, dia ketua yang sangat baik tapi orang keliling dia tu yang I kurang gemar. I missed the old team, my ex-boss before Syed Ali dan masa tu tak ada sesiapa pun yang berani himpit-himpit my ex-boss. Biasalah orang kita, kalau mat saleh kita tak berani nak himpit tapi kalau bos itu sebangsa dengan kita mulalah kita buat baik, cucuk sana-sini. I tak boleh kerja dalam environment yang macam tu Dan. I nak ikut Syed Ali pindah tapi bila ditimbang balik, hati I lebih berat untuk memilih nak kerja kat sini tapi I sayang nak tinggalkan pulak team-mate I yang lain, I suka ikut Syed Ali balik ke HQ, I suka kerja I yang challenging, kena pantas, kena efisyen dan selalu sibuk. You tahu kan I suka sibuk untuk isi masa lapang I supaya I tak fikir fasal you aje tapi…”

Danny senyum. Dia yang ajar Dian untuk menyibukkan diri supaya tidak fikir yang bukan-bukan, ragu-ragu tak tentu hala dan kemudian sedih.

“Tapi apa sayang?”

“Sejak girlfriend Syed Ali masuk kerja kat syarikat ni, dia suka mengarah I buat itu dan ini macam dia bos walhal kerja-kerja yang dia suruh I buat tu kebanyakannya kerja personal dia, print kad jemputan open houselah, design kad ucapanlah, design menu kateringlah, kerja yang memang tak ada kena mengena dengan kerja, you tahu kan Dan I tak suka buat kerja yang bukan kerja I. I tak suka betul dengan perempuan bossy tu.” Luah Dian panjang lebar.

“Habis tu apa keputusan you?”

“I rasa macam nak kekal kat sini tapi entahlah Dan, I sendiri tak pasti lagi sebab kalau I pilih untuk stay kat branch ni, mungkin I akan buat kerja lain, bukan jadi PA lagi sebab kat sini tak ada bos besar macam Syed Ali yang perlukan PA.” Terang Dian.

Dia ikut Syed Ali ke sini dan bantu Syed Ali menyiasat kerugian yang dialami cawangan ini tiga suku tahun berturut-turut dan diam-diam, Dian dan Syed Ali sudah hampir dua tahun di Taman Teknologi ini.

Sukarnya untuk Dian buat keputusan sama seperti seorang anak terpaksa memilih untuk ikut ibu atau ayah apabila mereka bercerai.

“Kalau you tak ikut bos you, habis tu you nak kerja apa kat sini? Dah ada kerja lain?”

Dian geleng kepala. Dia suka ketuanya, lelaki itu baik hati walaupun agak garang tetapi dengan Dian, lelaki berketurunan separuh Punjab separuh Melayu-Arab itu agak kendur sedikit. Dian pandai mengambil hatinya.

“I tak berapa suka orang-orang disekelilinginya, I tak boleh kerja dengan orang kaki bodek, kaki ampu, kaki hasut, kaki tidur…”

“Banyaknya kaki, yang kerja dengan bos you tu alien atau X-Men?”

“Heeeeee… I seriuslah Dan.”

“I pun, habis tu dah banyak sangat kaki yang you sebut, I pun tanyalah.”

“Tapi kan Dan I sebenarnya kecil hati juga dengan dia, kenapa dia tanya I nak ikut dia atau tidak, kenapa dia tak bawa aje I ikut dia balik HQ. Syed Ali ini pun satu hal tau.”

“Dia pun tahu kut yang you juga berat hati nak ikut dia.”

“Agaknyalah.”

Kepala Dian sudah berat dengan pelbagai persoalan yang tidak terjawab, kenapa mesti dia disuruh memilih, kenapa tak suruh dia ikut sahaja mereka balik semula ke ibu pejabat yang berjiran dengan lapangan golf milik warga Singapura.

“Nak makan apa Dian?”

“Ha? Apa Dan?”

“Nak makan apa? I tanya you nak makan apa.” Ulang Danny. Dia pandang wajah Dian, bagai ada sesuatu yang menganggu fikirannya.

“Dan, kita makan di Cafedily nak tak? Kesian Illy sorang-sorang kat sana.”

“Boleh juga. Dan kalau you kesiankan Illy, tak payah pening fikir fasal kerja. You berhenti aje dan tolong Illy di kafe.” Cadang Danny pula.

“I memang nak berhenti kerja tapi bukan sekarang. Financially unstable, duit simpanan I dah I laburkan kat kafe tu, baki dalam akaun bank pun tinggal seciput aje. Walaupun Illy mengadu tak cukup kakitangan tapi I rasa buat masa sekarang ni salah seorang kena kerja juga in case kalau ada apa-apa berlaku. Ini kena tunggu kafe tu mendapat pulangan modal barulah boleh fikir nak berhenti kerja atau tidak.” Balas Dian.

Buat masa ini, kafe diuruskan oleh Ilyana dengan bantuan dua orang pekerja dapur. Dian pula akan ke kafe setiap hari selepas waktu pejabat, selaju yang boleh Dian meredah Lebuhraya EDL menuju ke pusat bandaraya.

Walaupun Ilyana mengadu tidak cukup dua tangan dan kalau boleh dia mahu ada lagi sepasang tangan namun mereka bersetuju untuk tidak menambah pekerja. Min Zahia juga selalu ke kafe membantu apa yang patut, selain menyediakan pelbagai jenis kek untuk dijual, manakala Ilham pun turut sama menghulur tangan apabila diperlukan dan pastinya Dian dan Ilyana akan menguruskan jadual pembantu tanpa gaji mereka itu agar tidak bertembung. Mereka berdua sedia maklum, ada banyak hati yang perlu dijaga bukan kafe sahaja yang perlu diuruskan.

“Berniaga kena serius, baru boleh sukses. Macam mana nak buka cawangan Cafedily kalau takut-takut macam ini? Sudahlah waktu operasi kafe you mengalahkan kelab dangdut, 8 pagi sampai 2 pagi tu.” Usik Danny.

Dian senyum. Sebenarnya sebelum ini waktu perniagaan kafe mereka bermula pada jam 2 petang namun berikutan permintaan daripada pelanggan yang mencadangkan agar waktu menjual nasi lemak seawal waktu sarapan pagi. Biarpun Dian kurang bersetuju kerana tidak mahu lari daripada konsep asal kafe kecil itu – bukan warung nasi lemak namun permintaan para pelanggan tidak rugi ditunaikan.

“Mujur you tak datang raid kat kafe I kan?”

“Selagi you patuh pada undang-undang, tak ada sebab untuk I buat serbuan ke atas premis you.” Tutur Danny sambil mengerling pada cermin sisi. Ada sebuah kereta warna biru di belakang mereka yang sedang cuba memotong.

“Dan…” panggil Dian dengan lembut dan sedikit meleret.

“Ya Dian.” Sahut Danny, panjang dia menyebut nama si buah hati.

“You pinjam dialog IGP dalam sidang akhbar ehh.” Sindir Dian.

“Dah terbiasalah.” Jawab Danny pendek. Dia mengerling lagi pada cermin sisi dan kemudian melihat cermin pandang belakang dengan sekilas lalu.

Anyway Dian, tolong jangan berputus asa dan jangan buat kerja sekerat sana, sekerat sini. Cuba fokus pada satu-satu perkara dalam satu masa, jangan semua you nak buat tapi akhirnya nanti tak ada satu pun yang sempurna.” Sambung Danny lagi.

“Insya-ALLAH, kalau kafe dah stabil nanti I berhenti kerja dan fokus pada kafe aje.” Janji Dian sambil menatap raut wajah yang tenang milik lelaki yang sedang memandu di sebelahnya kini. Dimata Dian Danny tidak lagi berupa lelaki Cina, dimata Dian, Danny ini sudah Melayu sepertinya apatah lagi dengan kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu, malah adakalanya Dian lupa yang teman lelakinya itu bukan Melayu.

“Berhenti kerja dan jadi wife I.”

Ayat itu buat Dian terkedu, dia berpaling ke tingkap dan menyorokkan rasa segan yang sedang membakar pipinya. Mereka jarang bercakap tentang kahwin dan Dian perempuan Melayu yang pemalu, untuk dia memulakan topik kahwin adalah mustahil apatah perkahwinan itu nanti menuntut bakal suaminya meninggalkan kepercayaannya.

Biarpun Danny bukanlah penganut yang warak, malah hampir tidak pernah Dian dengar Danny ke gereja namun Dian tetap menghormati perbezaan agama antara mereka, lagi pun dalam Islam tiada paksaan. Dian tidak mahu paksa Danny untuk mengucap dua kalimah syahadah, Dian mahu Danny terima Islam kerana cintanya terhadap agama suci ini bukan kerana cintanya pada seorang perempuan Melayu.

“Berapa ribu lagi yang you perlukan untuk stabilkan kewangan you?” tanya Danny, memecah sunyi setelah Dian kekagetan.

“Dian, dengar tak I tanya tadi?” Ulang Danny sekali lagi.

“Satu juta ringgit.” Jawab Dian dengan matanya terkebil-kebil. Menyedari jawapan spontan yang diberikannya itu terlalu berlebihan, Dian tersenyum. Manalah nak cekau sejuta, bisnes kafe dapat seratus ribu ringgit pun sudah mewah, bukan buka stesen minyak yang memerlukan suntikan modal tambahan sampai sejuta ringgit.

“Satu juta aje? Sikit jek tu.” Balas Danny.

“Satu juta jek. Sikit jekkkk.” Ajuk Dian.

Danny tersenyum, dia suka lihat Dian menarik muka masam kerana bibirnya jadi cemberut dan mengecil, Dian nampak lebih comel.

“Iyalah orang kaya macam you memanglah cakap sejuta tu sikit. You jadi polis pun sebab nak isi masa lapang kan?” perli Dian.

“Ya, jadi polis tu untuk isi masa lapang aje sebab full-time I buat kerja lain.” Balas Danny.

“Kerja apa?” soal Dian. Kalau soalan itu disampaikan dalam bentuk teks, tentu banyak tanda soal dibelakang apa yang disebutnya itu.

Danny tidak segera membalas pertanyaan Dian itu kerana dia perlu fokus untuk mengundurkan keretanya. Stereng dipusingkan beberapa kali sehingga kereta berada pada sudut yang betul dan diparkir lurus dalam petak kuning.

“Tak tahukah? Sudah bertahun I buat kerja tu.” Balas Danny, main acah-acah pula dia. Dian angkat bahu, sungguh dia tidak tahu. Danny pula membuka pintu dan turun dari kereta. Dian turut turun dari kereta kerana dia tidak tahu jawapan kepada soalannya sendiri. Soalan berbolak-balik, sesi soal menyoal itu perlu ditangguhkan kerana mereka perlu mengisi perut yang sedang berkeroncong sekarang ini.

“Betul tak tahu apa kerja full-time I?”

“Tak tahu Dan, I fikir jadi polis itulah pekerjaan you yang sebenarnya, I tak tahu pula you ada kerja lain. Mana boleh polis ada dua kerja, salah kan?”

“Tak salahlah kalau my full-time job tu jadi boyfriend you.”

Dian senyum lagi. Senang hatinya bila Danny berkata begitu, terasa dirinya sangat penting pada Danny.

“Fokus ya, nanti I tolong tambahkan mana yang tak cukup tu.”

“Thank you Dan.”

Suntikan semangat daripada Danny tidak cukup kuat. Dian masih tetap dengan pendiriannya, dia mahu bekerja selagi dia mampu bertahan di situ dan dia suka hidup sibuk dan kelam-kabut begini.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *