DIAN sayang mahu melepaskan tugasnya namun hatinya turut berat untuk mengikut Syed Ali berpindah. Dian sudah lama mahu meloloskan diri daripada bersubahat dengan Syed Ali. Dia tidak mahu hitung dosa Syed Ali sedangkan dosa subahatnya menempah bilik-bilik hotel untuk Syed Ali entah diampunkan ALLAH entah tidak. Mungkin bukan salah Syed Ali seorang andai dia kaki perempuan, mungkin salah perempuan juga yang tergoda dengan nafsu, pangkat dan wang ringgit.
Kadang-kala isteri Syed Ali menelefon ke pejabat bertanya pada Dian tentang jadual suaminya yang tidak melekat di rumah. Dian simpati namun tiada apa yang dapat dia lakukan walaupun hatinya meronta-ronta mahu membela nasib wanita itu.
Sebahagian hatinya rasa lega apabila disuruh memilih namun tetap ada ruang yang penuh dengan pertanyaan sampai memberat difikirannya, kenapalah agaknya Syed Ali menyuruh dia memilih sedangkan Dian tidak ada masalah dengan Syed Ali atau mungkin ada orang yang menyuruh Syed Ali ‘melepaskan’ Dian secara senyap-senyap dan untuk itu Dian diminta untuk membuat keputusan sendiri? Dian tahu hubungannya dengan kekasih gelap Syed Ali tidak begitu lancar. Perempuan itu lebih bossy daripada Syed Ali dan Dian menyampah.
“Kenapa aku disuruh pilih ya? Bukankah ke mana dia pergi aku perlu ikut dia, bukankah namanya seorang setiausaha itu harus ikut bos ke mana sahaja atau dia tak mahu aku ikut dia lagi, dia sudah ada pilihan lain atau girlfriend dia tak mahu aku turut berpindah bersama-sama ketuaku?”
“I am gonna lead the security business in the headquarters, it’s very new and competitive. Lotsa opportunities for both company.”
Dian faham biarpun sebenarnya Dian rasa Syed Ali ada matlamat peribadi dan menerima peluang itu untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi. Dian tahu Syed Ali mengidam jawatan Naib Presiden yang bakal kosong apabila lelaki British yang sudah capai umur wajib pencen itu pulang ke negara asalnya untuk bersara.
Pencapaian Syed Ali memang Dian sifatkan sebagai terlalu peribadi dan pentingkan diri, masakan tidak Syed Ali tidak peduli dengan rungutan pekerja dengan melengah-lengahkan kenaikan gaji malah lebih teruk lagi Syed Ali bekukan beberapa kekosongan jawatan dan memaksa pekerja membuat kerja lebih daripada yang sepatutnya. Beberapa orang pengurus ada mengadu pada Dian, Syed Ali terlalu berkira untuk meluluskan bajet yang memang sudah sedia ada untuk mereka guna, banyak kali Dian terpaksa telan apabila ada pengurus berkata, “HQ nampak Ali pandai uruskan kewangan, pandai kawal bajet tapi kalau HQ tahu kita kat sini dibuat macam lembu, aku tak tahulah berapa lama lagi Ali Setan tu kerja kat sini.”
“Kita ni masih nak kerja kat sini, malas nak panjangkan aduan sampai ke HQ sana, kalau dia orang ambil tindakan tak apa juga takut silap hari bulan kita yang kena tendang.”
Dian hanya mampu menasihati mereka dan meminta mereka berdoa, berdoalah banyak-banyak manalah tahu nanti awak semua dapat MD baharu. Nah! Betul TUHAN sudah makbulkan kata-kata Dian, Syed Ali sudah dipanggil pulang ke HQ.
Dian tidak mahu masuk campur dalam pakatan menjatuhkan sesiapa kerana bagi Dian, untuk sampai ke puncak, setiap orang perlu berusaha sendiri dan kalau kita berlumba ke puncak dengan menjatuhkan orang lain (biarpun orang itu buat jahat) kita bukan sahaja menjatuhkan satu orang tetapi silap haribulan lebih ramai lagi yang akan terheret sama kerana masing-masing juga sedang sibuk mengejar puncak impian, beratur menunggu giliran seperti pendaki yang mahu menawan puncak Everest.
Kalau satu jatuh, dia akan menarik yang lain untuk sama-sama jatuh. Dan yang paling Dian tidak suka, Syed Ali itu ketuanya, sebagai seorang setiausaha, segala maklumat rahsia Syed Ali ada ditangannya, Dian punya pilihan untuk tidak membuka aib sesiapa, Dian tahu semua ini urusan TUHAN, biarlah DIA sahaja yang menentukan bila masa yang sesuai untuk Syed Ali menerima hukuman atas kezaliman yang dia lakukan.
“Dian, makan jangan berangan.” Tegur Danny. Dian senyum. Betullah kepalanya sedang sarat memikirkan ke mana dia akan pergi selepas ini, dia belum beri keputusan rasmi kepada Syed Ali. Hatinya berat tinggalkan Syed Ali namun Dian juga tidak pasti apakah ada ruang untuknya di sini jika dia tidak ikut Syed Ali?
“Tak habis lagi fikir nak kerja dengan siapa? Kalau susah sangat hendak memilih, you berhenti kerja dan ikut I ke KL aje.”
Sudah dua kali Danny beri hint hari ini. Dalam kereta tadi dia suruh Dian berhenti kerja dan jadi isterinya, di kafe ini pula Danny mengajak Dian mengikutnya ke Kuala Lumpur.
“Ikut you tu macam senang sangatkan? Kafe I macam mana? Illy macam mana? I ni ada famili Dan, mana boleh sesuka hati ikut you. Lagilah kalau nenek tahu I pindah ke KL semata-mata nak ikut you, matilah I kena kerjakan dengan nenek I nanti. Silap-silap dia hambat I dengan parang keliling Stulang nanti.” Akhirnya Dian bersuara
“Nenek you tak ada pistol ke?” usik Danny. Senyumnya menguntum, kelakarlah Dian ni, ingat cerita filem Melayu dahulukala agaknya perambat orang guna parang? Zaman sekarang orang sudah berhenti kejar-mengejar, mereka serang hendap dan tembak terus, tak sempat nak lari.
“Dan, I am serious.” Tegas Dian. Dia Melayu dan yang paling penting dia beragama Islam, mana boleh pakai taram sahaja, ikutkan nafsu dan turutkan hati sampai tergadai maruah diri dan agama. Keluarga tidak boleh dibelakangkan.
Dian senyap lagi. Acapkali bila Danny buka cerita fasal kahwin, Dian akan senyap. Adakalanya Danny keliru, Dian sayang padanya atau tidak. Namun apabila Danny sedar Dian tentunya malu apabila dia merancang masa depan mereka tanpa sesuatu yang pasti, sama seperti berjanji kosong tanpa ada niat untuk menunaikannya.
“Dian, nanti I jumpa famili you okay?” pujuk Danny.
“Jumpa famili I untuk apa? Uncle, auntie, nenek, saya nak bawa Dian kerja di KL, macam tu? Nanti mak I ingat you nak jual I kat KL tu.”
Danny ketawa besar bila Dian kata begitu.
“You ni terlebih tengok drama Yusof Haslam ehh?” tanya Danny. Dia ulang lagi, dia anggota keselamatan yang memikul tanggungjawab menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat terutama yang bernama Dian Zahara binti Mohd. Daim yang sedang duduk di hadapannya ini.
“I tahulah Dian, takkan I nak bawa you macam tu aje.”
“Thank you Dan tapi you kena mengadap nenek I dulu tau. Nenek I yang paling susah sekali nak dipujuk. Dah ikut cakap nenek, mama tentunya akan ikut telunjuk nenek juga.”
Ungku Khadijah bukan tak suka pada Danny, dia suka sekali senyuman Danny yang manis dan matanya yang mengecil bila ketawa. Nenek layan Danny dengan baik tiap kali Danny berkunjung ke rumah tetapi nenek tetap dengan kebimbangannya yang menghalang Dian untuk memasang impian untuk menjadi suri hidup lelaki separuh Baba Melaka dan separuh mat saleh ini.
Dian perempuan, berat tugas untuk membimbing saudara baharu untuk menjadi nakhoda dalam pelayaran mengikut lunas-lunas Islam. Nenek bimbang Dian tidak mampu pikul tugas itu. Danny baik tetapi dia sudah berpuluh tahun terbiasa dengan budaya dan cara hidupnya, mahukah dia tinggalkan semua itu untuk Dian? Bila dia peluk agama kita kerana cinta pada kita, Ungku Khadijah bimbang bila cinta dia pada kita pudar, cintanya pada agama kita juga pudar.
“Aik senyap lagi. You okey ke tidak ni Dian?”
“Okeylah.”
Dian sayang Danny, kalau hatinya tidak sungguh-sungguh kasih pada lelaki ini pastinya dia ikutkan sahaja kemahuan nenek tetapi untuk bertanya sendiri pada Danny bilakah hubungan ini akan menjadi halal, Dian belum mempunyai kekuatan. Berkahwin bukan perkara mudah, lihat sahaja apa yang sedang berlaku dalam rumah tangga Ilham dan ia sungguh menakutkan Dian.
“Dian, kenapa asyik mengelamun aje ni? Ingatkan siapa?”
“Ingat you.”
“I ada depan mata you ni Dian.”
“I tahu you ada depan mata I, I nampak Dan tapi entahlah kenapa I rasa rindu pula.”
“Hurmm I minta maaf kalau I kurang luangkan masa untuk you Dian, susah sikit sejak kena pindah balik ke KL tapi kalau you dekat dengan I kan lebih senang.”
“Apa yang senang Dan? Senang kita nak dating?”
“I tahu apa yang you fikir Dian, jangan risaukan fasal itu ya. Bila masanya sesuai nanti I akan ajak mommy pergi merisik dan meminang you. Lepas tu kita nikah, lepas tu kita boleh duduk serumah.”
“Tapi you belum…”
“Insya-ALLAH.” Jawab Danny pendek dan padat.
“Dan, I serius ni.”
Danny tahu Dian serius. Danny cukup faham dengan maksud Dian cuma dia masih menunggu masa yang sesuai untuk masuk meminang Dian dan berkahwin dengannya. Siapalah yang tidak sayang pada hubungan yang berlanjutan sejak zaman persekolahan, Danny juga mahu hubungan ini dihalalkan dengan secepatnya namun masih ada perkara yang perlu didahulukannya sebelum dia menamatkan zaman bujang.
Lihat Dian terkulat-kulat mahu menghabiskan club sandwich Danny tahu apa yang memberat difikirannya. Ilham ada beritahu tentang niat nenek dan mamanya mahu menjodohkan Dian dengan seseorang yang telah pun merisik Dian sebulan yang lalu.
Kalau boleh dia juga mahu segala-galanya dipercepatkan tapi Danny sedang berkejaran dengan waktu dan apa yang sedang dia usahakan ini juga demi masa depan mereka berdua. Danny hanya mampu berharap Dian dapat bersabar dan mempertahankan hubungan mereka berdua sehingga diijabkabulkan nanti.
Danny sudah meminta Ilham untuk turut membantunya. Ilham lebih mengenali Danny dan pastinya dia berupaya untuk meyakinkan kedua orang-tuanya termasuk nenek mereka, Ungku Khadijah.
“Dian bila Danny ada jadi kenyang ehh?” usik Ilyana sambil lalu.
“Dia kenyang berfikirlah Illy.” Balas Danny.
Ilyana sudah masak dengan perangai Dian, mukanya muram sahaja apabila dia keluar dengan Danny kerana selepas itu Dian tidak tahu bilakah lagi dia akan berpeluang untuk keluar bersama lagi. Dian yang manja itu kalau boleh mahu Danny ada dua puluh empat jam di depan matanya. Usaha Dian memujuk Danny agar berhenti dari PDRM masih belum berhasil.
Menurut perjanjian mereka, Danny akan berhenti setelah mereka berkahwin dan akan menumpukan sepenuh perhatian pada keluarga. Nampak gayanya memang tak ada harapanlah Dian mahu lihat Danny pencen awal kerana dia sendiri pun tidak tahu bilakah mereka akan berkahwin. Perkara paling penting sekali pun Danny belum laksanakan lagi – mengucap dua kalimah Syahadah.
“Dear, finish your sandwich please then I’ll send you back to office.”
Bila terpaksa berpisah dengan Danny untuk sementara waktu bagai terpaksa bercerai nyawa dari badan, semakin panjang muncung Dian. Berbeza pula kalau Danny dapat cuti lama sedikit, wajah Dian pasti berseri-seri macam pelangi di kaki langit.
Danny biarkan Dian di meja menghabiskan sandwichnya sementara dia ke kaunter membayar bil mereka.
“Kesian dia Dan, cepat-cepatlah kahwin.”
“Insya-ALLAH, Illy doakanlah ya.” Sebut Danny.
Ilyana gumam dalam hati, matsaleh celup ini ikut suka dia aje ucap insya-ALLAH.
“Jangan tahu sebut aje Dan, kena tunaikan sekali baru seiring dengan maksud ucapan tu.” Ilyana mengingatkan.
“Insya-ALLAH jadi.” Kata Danny lagi.
“Ramai yang hendakkan Dian tu Dan tapi dia hendakkan you seorang. Kalau you lambat I takut you yang melepas nanti. You tahu kan, bagi perempuan yang belum pernah berkahwin, ayahnya berhak mengahwinkan dia tanpa perlu mendapat persetujuan tuan punya badan.” Beritahu Ilyana.
Danny mengangguk. Dia faham. Dia juga belajar Pengajian Islam di sekolah dahulu. Ilyana angkat tangan ketika dia perasan Dian sedang memandang ke arahnya.
“Nikah cepat-cepat ya, lagi cepat lagi baik.” Pesan Ilyana lagi ketika memulangkan wang baki kepada Danny.
Dian tahu pasti ada sesuatu yang telah diadukan Ilyana pada Danny. Senyum Ilyana itu semacam sahaja. Banyak akal sungguh Ilyana, entah apa-apa sahajalah agaknya yang telah dia laporkan pada Danny.
“Borak panjang nampak?”
“Jealous?”
“I am not jealous but suspicious.”
“I dengan Illy borak panjang pun you tetap tak habiskan sandwich you. Kalau tak habis, tapau bawa pergi ofis, nanti boleh sambung makan.”
“I tak ada seleralah Dan.”
“You memang selalu macam ni kan?”
“You pun dah faham kan Dan?”
“Kita tanya dia, dia tanya kita balik. Tapaulah sandwich tu, I tunggu you kat kereta ya.” Ucap Danny.
“Okay nanti jumpa you kat kereta, ermm in five minutes.”
Dian bawa piring berisi baki sandwich yang masih belum diusik ke tempat Ilyana berdiri.
“Please keep this for later okay, I’ll be back in the evening.” Beritahu Dian pada Ilyana, alang-alang tiada selera makan, biarlah disimpan sahaja baki sandwichnya itu di kafe ini sahaja, kalau dibawa pulang ke pejabat belum tentu Dian akan menghabiskannya.
“Tunggu kau balik kafe ni tak tahu pukul berapa, elok aku makan habiskan sandwich sedap ni.” Balas Ilyana pula. Terlebih sedap sebenarnya sandwich itu kerana Dian lebihkan keju dan turkey bacon.
“Aku datanglah lepas kerja nanti tapi kalau kau nak habiskan, makan ajelah.” Beritahu Dian.
“Ehh Danny balik JB ni takkanlah kau tak sambung berendut lepas kerja?”
“Kalau aku nak berendut pun aku berendut kat sini jek Cik Minah.” Beritahu Dian. Sejak buka kafe, di sinilah tempat dia tidur, dating, makan dan mandi.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7 • BAB 8 • BAB 9 • BAB 10
BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)