OFIS senyap sunyi. Belum pun jam lima petang tetapi banyak meja yang sudah kosong, mentang-mentanglah hari ini hari Jumaat.
Dian kesunyian. Dia belek telefon bimbitnya, membaca mesej yang diterimanya lima minit yang lalu. Kalaulah Dian tahu Danny terpaksa pulang ke Kuala Lumpur petang ini juga, Dian sudah ambil cuti setengah hari dan habiskan petangnya berdua dengan Danny. Dian kesal.
Beginilah kalau bertemankan anggota polis. Ada sahaja kerja biarpun diluar waktu bertugas. Tanggungjawab anggota polis tidak pernah habis dan tidak ada cuti, perlu bersiap-sedia dipanggil bertugas. Berkahwin dengan anggota keselamatan sama seperti bermadu dengan masyarakat.
Telefonnya berbunyi lagi. Dian jeling. Mesej daripada Danny lagi.
I’ll drop by your office. See you in few minutes.
Dian kembali tersenyum. Dia tidak suka berpisah tanpa ucap selamat tinggal. Dia belum puas berbual dengan Danny, keluar makan tengah hari tadi pun tidak banyak yang mereka bualkan apatah lagi banyak mata yang memandang mereka berdua. Seragam polis yang Danny pakai itu benar menarik perhatian ramai orang.
Belum pun Danny sampai, Dian sudah menunggu di lobi pejabat. Dia telah terlebih dahulu menelefon pos pengawal untuk membenarkan Danny masuk.
“Ya ALLAH, guruh tiba-tiba aje. Nak hujankah Kak Dian?”
Dian ketawa melihat muka Laila yang terkejut. Dian tahu itu bukan bunyi guruh di langit yang sedang terang benderang.
“Itu bunyi motorlah Laila.” Beritahu Dian pada penyambut tetamu. Semakin dekat semakin kuat bunyi deruman Ducati Monster 796.
“Motor apa yang bunyi macam ni, kuat sungguh bunyinya macam guruh berdentum.” Sebut Laila lagi.
“Motor itu.” Tunjuk Dian. Danny sudah berhenti di hadapan lobi pejabat Dian. Laila kata lelaki yang masih duduk di atas motorsikal itu seperti Kesatria Baja Hitam, baju hitam, seluar pun hitam tapi helmetnya sahaja yang putih.
“Siapa tu?” tanya Laila lagi pada Dian yang arif mengenali bunyi motorsikal itu tadi.
“King Danny.” Gurau Dian, meninggalkan Laila terpinga-pinga.
Tengah hari tadi Dian keluar dengan polis, tak sampai tiga jam datang pula lelaki lain tunggang motorsikal berkuasa tinggi. Laila mengintai dari kaunternya, dia lihat Dian mengetuk visor helmet lelaki itu dengan jarinya. Laila rasa comel pula Dian buat begitu. Laila khusyuk memerhatikan Dian.
Danny menanggalkan helmetnya dan diserahkan kepada Dian. Dian peluk helmet putih bercorak dengan erat, gayanya seperti orang rindu.
“Ahhh sweetnya Kak Dian dengan boyfriend dia.” Sebut Laila sambil menopang dagu, memerhatikan Dian dengan teman lelakinya menerusi pintu kaca yang besar.
“Bila balik sini lagi?” Tanya Dian.
Dia sudah rancang mahu mengajak Danny makan malam di Tepian Tebrau malam ini, sudah agak lama mereka berdua tidak ke sana. Baru sahaja buat rancangan mahu makan ikan merah masak lemak cili padi di gerai nombor 26 di Tepian Tebrau, Danny pula menghantar mesej perlu bertolak ke KL dengan segera, lalu Diam padam semula apa yang sedang taip tadi.
“Tak pasti Dian tapi kalau I tak bertugas, I akan balik sekejap, macam biasalah.”
“Sekejap aje tak best Dan, baliklah lama sikit.” Rayu Dian. Bukannya Dian tidak suka Danny ‘balik sekejap’ tetapi balik yang sekejap itu memberi peluang untuk Danny merempit laju, terbang macam Superman atas Lebuhraya Utara-Selatan. Danny suka tapi Dian risau!
“I akan cuba tapi I tak janji. Biasalah Dian, I ni polis bukannya kerja bank, bukan kerja kilang yang dah tentu masa pukul berapa nak masuk kerja, pukul berapa nak balik.” Tutur Danny dengan lembut, hati Dian macam daun semalu tidak boleh dijerkah.
Dian mahu mengeluh tetapi dia simpan sahaja. Kalaulah bukan kerana hatinya sudah lama terpaut pada Danny tentu Dian tidak mahu menyeksa perasaannya setiap kali mereka terpaksa berjauhan sekali lagi begini.
“Next week balik tak?”
“Kalau I tak balik, youlah datang tengok I. Ajak mommy sekali.”
“I think she’s will be busy, I pula kena tolong Illy kat kafe.”
“Let us not argue about who’s supposed to go up or down meeting who. Kalau you free, you take a break from your hectic schedule and I’m pretty sure that nobody gonna die if you close your cafe for a day, come to KL and stay with me. Ajak Ilyana sekali, boleh ronda-ronda KL dan intai-intai kafe yang melambak kat KL tu, pick one or two of their ideas to expand your cafe one day.” Lancar sahaja Danny membentang cadangannya pada Dian.
“Pandai aje kan bagi orang idea.”
“Sebab I pandailah I jadi polis.” Balas Danny.
“Alah last month I dengan mommy pergi KL pun bukan you ada kat rumah. Akhirnya mommy, I dengan bibik jadi candi dalam rumah you.”
“Ehh tipu. Yang pergi shopping sampai tak larat angkut beg tu siapa?”
“Itu bukan shoppinglah. I beli stok buku untuk kafe.”
“Ya lah beli buku bukan shopping kan, shopping specifically buying expensive stuff, make-up, shoes, bags kan?” tanya Danny pula.
Dian geleng kepala, tidak setuju.
“Sebenarnya I singgah ni sebab I ada belikan you something. Nak bagi tadi terlupa pula. Very small present sebagai upah you tutup mulut sebab I kena balik KL.” Kata Danny sambil menyeluk poket seluarnya. Patutlah Dian lihat gemuk semacam sahaja seluar jeans Danny.
“Kecil mana cukup untuk tutup mulut I.” Gurau Dian.
“Nah…”
Danny mengeluarkan kotak Pandora. Semakin lebar senyum Dian apabila dia membuka kotak kecil itu.
“Cantiiikkkkkk! Dan kalau daripada tadi you kasi I Pandora ring ni I terus senyap Dan.”gurau Dian. Tidak ada hadiah yang dapat menggantikan tempat Danny bila dia tiada di sini.
“I tahu you suka, I nampak you browse masa you kat rumah I.”
Dian meminjam komputer riba Danny untuk melayari internet, termasuklah mengintai laman web Pandora untuk mencari charms yang sesuai bagi bracelet yang dipakainya. Dian suka aksesori sebegini, bukan yang berwarna emas.
“Thanks Dan.”
“You’re most welcome sayang.”
Dian rasa cair dipanggil sayang. Danny amat jarang memanggilnya dengan panggilan lain selain namanya Dian.
“Okaylah I dah nak kena gerak ni…”
“Alaaaa sekejapnya.” Muka Dian monyok semula.
“I ada kerja kat ofis Dian, kalau tidak I boleh tunggu sampai esok. Ini pun tak sempat nak jumpa mommy, dia masih di hospital.” Beritahu Danny. Dian rasa bersalah pula, lelaki ini tidak sempat berjumpa dengan ibunya sebelum dia pulang ke Kuala Lumpur.
“Kenapa tak singgah sekejap jumpa mommy you?”
“Dia masih di dewan bedah. Nanti kalau you senang, datanglah ke rumah jumpa mommy ya. Dia suka sangat kalau you datang.” Pesan Danny.
Langsung Dian jadi layu. Danny, jangan tinggalkan aku dengan pesan-pesan seperti ini. Jangan tinggalkan aku dengan wasiat seolah-olah kau tidak akan kembali lagi.
“Hey jangan sedihlah. I will text you.”
“Janji?”
“Insya-ALLAH.” Sebut Danny lancar.
“Janji?” ulang Dian lagi. Dia tidak terima ucapan Insya-ALLAH Danny sebentar tadi selagi dia belum melafazkan dua kalimah syahadah.
“Ya Dian, I janji, janji, janji.” Ulang Danny sambil mengangkat ikrar. Dian turut menitip pesan pada Danny. Berhenti di Pagoh telefon. Berhenti di Seremban pun mesti telefon. Sampai Sungai Besi, WhatsApp. Sampai di rumah mesti telefon.
Danny ketawa.
“I tak balik rumahlah. Terus ke ofis ni dan mungkin tak berhenti di Seremban dan tak boleh teks you bila I sampai Sungai Besi.” Beritahu Danny awal-awal, dia tidak mahu Dian terlalu berharap.
“Kenapa?”
“Sebab I naik motor mana perlu bayar tol.”
“Tak kisahlah nak lalu mana tapi mesti telefon I bila you berhenti dan bila dah sampai ofis dan bila dah sampai rumah.” Pinta Dian dengan suaranya yang manja.
“Dian, kali ni kes I berat sikit. I mungkin tak boleh sentiasa balas mesej you, mungkin juga I tak ada telefon dua atau tiga hari…” atau mungkin lebih sambung Danny dalam hati. Dia tidak mahu Dian risau tetapi gadis ini perlu diberitahu.
“Kes apa Dan?”
“I can’t tell you. I am sorry dear.”
“Naaa tak payah minta maaf, I tahu rahsia kerajaan. I yang tak patut tanya.”
“I kena pergi sekarang Dian. You jaga diri ya, jangan lupa doakan keselamatan I.”
“Always Dan, always…” sebak dada Dian.
Doa untuk Danny sudah jadi skrip yang wajib dibacanya setiap kali selepas solat, default prayers bak kata Ilyana.
“Ahh please don’t cry. I baliklah nanti. I janji.” Pujuk Danny bila dia lihat air mata meleleh laju atas pipi Dian yang mulus itu.
Danny menyuruh Dian menyapu air matanya. Danny beritahu Dian ada dua orang di dalam sedang memerhatikan mereka berdua berbual di luar. Dian menoleh ke belakang, dia lihat Laila dan Shahida sedang berbual berdua.
“Ride safely Dan…” Ucap Dian sewaktu Danny menghidupkan semula enjin motorsikalnya. Danny mengangguk, dia faham Dian mahu dia selamat dan dia juga mengerti Dian risaukan dirinya. Danny rasa dihargai dan kerana itulah dia sentiasa meletakkan keselamatan dirinya sebagai perkara paling atas. Danny sentiasa ingat, ada dua orang wanita yang dia sayang di selatan tanahair yang sentiasa menunggu kepulangannya.
Dian menyerahkan semula helmet yang dipegang sejak tadi kepada Danny. Dian memeluk tubuh dan melihat Danny menyarung helmet. Danny berkata sesuatu tetapi Dian tidak dengar.
“Jangan cakap dari dalam helmet Dan.” Sebut Dian. Danny senyum. Dia memang sengaja bercakap tanpa membuka helmetnya semula, biar Dian tertanya-tanya apakah ayat yang dilafazkannya tadi.
Dian meletakkan jari telunjuknya pada visor helmet. Danny buat muncung itik dan senyum.
“Sweetnya Kak Diaaaaaann…” ucap Laila yang masih mengintai dari dalam lobi. Suaranya merintih macam faham sahaja apa yang dibualkan Dian dan Danny.
“Itu boyfriend Kak Dian ke Ida?”
“Haaa boyfriend dia.”
“Macam manalah Kak Dian naik motor besar tu agaknya ekk?”
“Entahlah manalah aku tahu. Macam mana boyfriend dia naik, macam itulah agaknya Dian membonceng kat belakang.” Balas Shahida, dia belasah sahaja. Shahida pun tidak pernah nampak Dian membonceng motorsikal. Dengar Dian bercerita fasal motorsikal pun tak pernah.
“Boyfriend dia Cina tau.” Beritahu Shahida.
“Ohh patutlah putih melepak tapi muka tak macam Cina sangat. Dia kerja apa ehh?”
“Polis kalau aku tak silap dengarlah. Pangkat apa tak tahu.”
“Ohhhh jadi polis yang datang tengah hari tadi tu mamat ini jugalah ya? OMG handsome tu Ida. Nak pengsan!”
Shahida melopong. Tara mana handsome Cina tu pun Shahida tidak mengerti sampaikan si Laila mahu pengsan pula.
“Handsome Ida, macam muka Josh Hartnett versi Cina serius muka dia macam Josh Hartnett. Mata kecil tapi tak sepet, kulit putih sepuh macam tu, entah kat manalah Kak Dian jumpa dia.” Sebut Laila, teruja ingin tahu. Untunglah Dian ada boyfriend handsome, selama ini Laila fikir Dian tidak ada teman lelaki sebab dia asyik bercerita fasal kafe dan abangnya Ilham.
“Aku manalah tahu Laila mana Dian kenal boyfriend dia tu, kau pergilah tanya sendiri. Yang kau excited sangat dengan boyfriend orang ni dah kenapa?” tanya Shahida.
“Ada dua paku atas bahu dia tadi Ida. Dua ke tiga ehh, ala tak ingat. Berapa paku ehh?” sebut Laila lagi. Betul kata Shahida, Laila pula yang teruja dengan pangkat buah hati orang.
“Nak paku apa Laila?” soal Dian. Dia sempat mencuping hujung ayat Laila semasa dia menolak pintu kaca tadi.
“Paku pontianaklah Dian.” Jawab Shahida. Dian mahu naik ke pejabatnya semula tetapi ditahan Laila yang sudah terawang-awang melihat dua insan bercinta di hadapan pintu besarnya tadi.
“Boyfriend akak ehh tadi tu?” soal Laila, mahu pengesahan daripada tuan punya badan.
Dian angguk. Malu sebenarnya hendak mengaku Danny Richardson itu teman lelakinya. Dian bimbang nanti orang mula menghitung umurnya, hitung bulan dan tahun bilakah dia akan mengakhiri zaman bujang. Biarpun pada hemat Dian sendiri, dia dan Danny sudah patut kahwin namun Dian agak keberatan untuk bertanya pada Danny apatah lagi perkara ini melibatkan kepercayaan masing-masing. Selalunya Dian biarkan Danny sahaja yang melukis mimpi tentang masa depan mereka berdua, Dian tidak berani bermimpi terlalu jauh, Dian bimbang dia akan jatuh dan terluka. Dian pegang yang wajib, jaga diri dan jaga kehormatan. Selagi pergaulannya terpelihara, Dian tidak perlu bimbang.
“Best tak naik motor besar tu kak?”
“Entah manalah akak tahu.”
“Kenapa?”
“Laila ingat akak pernah naik motor tu ke? Ishh tak pernahlah.”
Terjawab sudah persoalan yang bermain dibenak Shahida. Dia juga ingin tahu sama ada perempuan seperti Dian ini sanggup berpelukan di atas motor dengan lelaki yang bukan mahramnya. Kalau dah motor bunyinya seperti guruh di langit, takkanlah jalannya seperti itik pulang petang, mestilah laju dan kalau dah laju, takkanlah Dian tak peluk orang di depan?
“Iyakah tak pernah?” tanya Laila lagi.
“Tak pernah. Pertama, akak takut naik motor. Kedua, nak naik macam mana? Kena peluk dia? Kalau mak akak tahu akak naik motor dengan dia, matilah akak kena pelangkung.” Jawab Dian.
“Habis tu akak keluar dating macam mana?” Ishh Laila ni macam wartawan kolum gosip selebriti aje.
“Naik keretalah.”
“Boyfriend dia ada Range Rover.” Beritahu Shahida. Dian besarkan matanya pada Shahida.
“Evoque ke? Waaaahh orang kayalah ni. Dah lama Kak Dian kenal dia?”
“Range Rover lama la, Ida ni tengok Laila dah salah anggap.” Inilah sebabnya kenapa Dian malas hendak bercerita tentang teman lelaki dengan kawan-kawan pejabat, bimbang mereka fikir yang bukan-bukan.
“Dia biasa-biasa aje Laila, tak kaya pun.” Tidak perlulah Dian terangkan siapa Danny dan bagaimana mereka berkenalan dan sudah berapa lama mereka berkawan sehingga mampu pertahankan hubungan mereka sejauh ini.
“Tapi sweet aje tadi saya tengok akak dengan boyfriend akak especially part akak ketuk helmet dia tu.” Beritahu Laila dengan jujur.
“Itu visor Laila, kalau akak ketuk helmet dia, macam akak ketuk kepala dia pula.” Dian ketawa. Lurus sungguh Laila ni.
“Boleh ketuk visor aje Laila, tak boleh pegang. Haram.” Ucap Dian. Dia tinggalkan Laila dan Shahida di lobi. Lima setengah petang nanti lobi itu kembali sibuk, dipenuhi ratusan pekerja yang mahu pulang ke rumah. Shahida menolak pintu besar, dibiarkan kedua-duanya terbuka luas, memudahkan para pekerja keluar.
“Laila dah beritahu mak cik kantin esok tak ada orang overtime?” tanya Shahida.
“Dah tadi. Nasib baik hari ni tak ada OT juga, senang sikit kerja kita.”
Shahida, pegawai Sumber Manusia, dia sudah siap berdiri berdekatan dengan alat perakam waktu untuk memerhatikan para pekerja mengimbas kad pekerja mereka. Orang dewasa juga perlu diperhatikan seperti kanak-kanak sekolah!
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5 • BAB 6 • BAB 7 • BAB 8 • BAB 9 • BAB 10
BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)