Bukan Kisah Cinta – Bab 8

DIAN tinggal sendirian di rumah, nenek pula sudah dihantar ke rumah Pak Long sebelum mama dan babah terbang ke Jeddah dua minggu yang lepas. Dian berkira-kira untuk tidak terus pulang ke rumah. Perutnya lapar. Dapur pasti tidak berasap merupakan antara sebab nenek dihantar ke rumah Pak Long semasa mama dan babah Dian menunaikan umrah. Ungku Khadijah pula tidak betah duduk seorang di rumah, boleh mati kutu katanya kalau tidak ada teman berbual.

Dian tidak boleh diharap ke dapur, kata nenek. Ungku Khadijah kata, cucunya itu sibuk dua puluh empat jam, mana ada masa hendak ke dapur. Pagi di pejabat. Petang, itu pun kalau sempat Dian pulang ke rumah sekejap untuk mandi, solat dan tukar pakaian. Malam, Dian habiskan masanya untuk membantu Ilyana di kafe pula. Bila masa pula Dian ada masa untuk temankan nenek di rumah?

Enjin kereta sudah lama dihidupkan, suhu dalam keretanya juga sudah dingin seperti musim sejuk di selatan California. Dian menunggu SMS dibalas. Dia memegang janjinya pada Danny, don’t text and drive.

Memandangkan petang ini kafe tidak dapat beroperasi kerana ada gangguan bekalan elektrik, Dian ambil peluang waktu yang terluang ini untuk berjumpa dengan Auntie Delia, paling kurang sebulan Dian pastikan ada satu hari yang dia akan luangkan bersama Auntie Delia, kalau tidak berdua, mereka akan ditemani Danny dan kadangkala Auntie Delia bawa sekali bibik keluar bersama mereka. Temankan Auntie Delia beli barang basah di pasar pun sudah boleh dianggap menjalankan amanah yang dititipkan Danny padanya untuk menemani ibunya yang tinggal berdua dengan pembantu dan seminggu sekali ada tukang kebun dan pekerja yang datang untuk membersihkan rumah.

Sounds good Dian. I’ll wait for you at home.

Auntie Delia pelawa Dian untuk makan malam di rumahnya. Kata Auntie Delia, dia sudah pesan pada pemandunya untuk ke pasar dan penuhkan peti sejuk di rumah dan tidak sangka pula Danny hanya balik sekejap sahaja. Nampak gayanya ikan pari bakar Nyonya style kegemaran Danny itu terpaksalah Dian yang makan nanti.

Biarpun Auntie Delia bercakap dengan suara yang ceria di telefon tadi tapi Dian tahu pasti Auntie Delia ada menyimpan secebis rasa hiba. Dian teka sahaja kerana mana mungkin manusia ini positif sahaja, manusia bukan robot yang tak ada perasaan. Namun Dian pasti Auntie Delia sebenarnya faham dengan tugas Danny sebagai anggota polis.

Kadang-kadang Dian yang tidak faham dengan Danny, puas dia berkias namun Danny buat tak tahu sahaja. Kenapa Danny tidak menguruskan sahaja syarikat peninggalan arwah ayahnya atau membantu ahli keluarganya yang lain dalam perniagaan warisan keluarganya. Kenapa mesti Danny mahu jadi polis?

Baru saja Dian melepaskan brek tangan, telefon bimbitnya berbunyi. Dian tarik semula brek tangan dan menetapkan gear pada kedudukan neutral dan parkir semula.

Ayer Keroh. ETA KL in 45 mins.

What? You terbang ehh?

 

Dian lihat waktu pada dashboard keretanya. Dia menghitung dengan jari. Danny singgah ke pejabatnya tadi lebih kurang jam empat petang, sekarang belum pun jam enam setengah petang, Danny sudah sampai Ayer Keroh!

Superman!

You are Danny Richardson bukan Clark Kent aka Superman!

Highway clear la. Where are you up to?

Your house. Dinner. MIL will cook for me 😉

Ahhh jealous. Eat for me dear.

I will ask bibik to eat for you. Will not double up my calorie intake.

Dian is Dian.

Dian GTG.

Text me when you reach there.

XOXO for you and mom.

 

Hurmm… saat menerima khabar berita daripada si dia merupakan detik paling bermakna, ketika itu juga otak merembeskan hormon serotonin, menurut kajian Universiti Princeton hormon serotonin ini juga dikenali sebagai happiness hormone kerana ia berperanan untuk mengawal mood manusia untuk rasa suka, rasa bahagia, rasa hmmmm indahnya dunia.

Dian senyum sendiri dalam kereta. Dia turunkan cermin muka dan bercakap di cermin, TUHAN, tolong jaga dia untuk aku!

Tiba-tiba hilang rasa lapar. Rasa bahagia yang menyapa buat Dian terapung di udara. Kereta comelnya juga seolah-olah terbang sekali. Itulah tadi sebut-sebut nama Superman, sekarang Dian sudah terkena tempiasnya sekali.

Hari ini hari tanpa kenderaan di jalanrayakah? Jalan menuju ke rumah Danny juga lengang. Dian memandu perlahan sambil melayan perasaan, semakin terbuai apabila lagu Fauziah Latiff berkumandang di stereo keretanya, Dia. Dian turut melagukan lagu retro tahun 90an itu.

Memandu sambil menyanyi namun sebenarnya Dian sedang memikirkan tentang masa depannya, tentang hubungannya dengan Danny, tentang apa yang mama sampaikan padanya malam tadi. Sudah banyak kali mama bertanya, bilakah Dian akan mengakhiri zaman bujangnya, apakah ada harapan terhadap hubungan Dian dan Danny yang sudah berlanjutan terlalu lama. Nenek juga seringkali menyuarakan perkara yang sama, saudara-mara juga sudah dirisik, kalau-kalau ada kenalan yang sesuai buat Dian.

Penat Dian beritahu, letih Dian mahu fahamkan semua orang, bukannya mereka tidak tahu, tiap kali tiba aidilfitri pasti lelaki yang sama akan datang beraya bersama keluarganya dan tetamu Dian itu bukan datang dengan tangan kosong, dia datang dengan bermacam-macam buah tangan. Dodol memang tidak pernah dikacau lagi sejak Danny jadi taukeh dodol di Melaka, berbagai jenis perisa dodol Danny akan hantar ke rumah setiap kali hari raya tiba, itu belum lagi kalau dia singgah memborong kerepek pisang dan macam-macam lagi. Danny tidak pernah datang dengan tangan kosong, kalau dia menunggang motorsikal, dalam beg sandangnya pasti ada sesuatu untuk keluarga Dian malah setiap kali hari raya Danny pastikan dia dapat cuti supaya dia dapat luangkan masa untuk beraya bersama Dian dan keluarganya, dapat cuti sekejap pun jadi asalkan dia dapat makan semeja dengan Dian pada pagi raya.

Danny datang bukan Dian yang menjemputnya tetapi Danny datang atas tiket Ilham, sahabat baiknya. Ke mana-mana pun Ilham akan usung Danny bersama sehinggalah dia mendirikan rumah tangga barulah masing-masing membawa haluan sendiri. Apabila bercakap tentang hari raya Dian pasti mama dan neneknya tidak lupa Danny mula beraya bersama keluarga mereka sejak dia dan Ilham berusia 16 tahun. Ya ALLAH, sudah dekat dua puluh kali raya dan tidak ada sekali pun Danny tidak datang beraya dengan mereka, siap berbaju melayu, bersampin dan bersongkok. Takkanlah semudah itu mama dan nenek mahu mengenepikan Danny? Mama dan nenek anggap Danny itu tidak wujud dalam hidup Dian atau bagaimana?

Persoalan yang tiada jawapan kerana Dian sendiri tidak pernah secara berterus-terang bertanya bilakah Danny akan melamarnya dan sebelum perkara melamar itu terjadi, Danny haruslah terlebih dahulu menukar agamanya dan Dian tahu itu bukan perkara yang mudah dan perlu dilangsungkan tanpa paksaan. Danny akan lakukannya apabila dia benar-benar bersedia. Dian amat yakin.

Sudah berapa tahun bersama Dian? Sudah sampai masanya untuk kamu membuat keputusan, cari lelaki yang sesuai untuk dijadikan imammu, cari lelaki yang akan menjadi temanmu dikala susah dan senang.

Entah… dalam hati Dian tiada lelaki lain. Malah dalam hidupnya sehari-hari dia tidak ketemu dengan lelaki lain yang mampu membuka hatinya. Dian tidak pernah tutup hatinya untuk lelaki lain dan dia pasti, TUHAN akan jodohkan dia dengan lelaki yang dia sayang, lelaki yang akan membahagiakan hidupnya. Dalam hati Dian, lelaki itu adalah Danny. Dian yakin.

“Selamat petang Dian.”

“Petang Bik. Mem mana?”

“Mem ada di dalam, sedang masak.”

“Wah Bibik yang jadi mem hari ni ya?”

“Saya hari-hari jadi mem.” Gurau Bibik Kim Neo, pembantu keluarga Danny. Betullah apa yang Bibik cakap tu, dia memang hari-hari jadi mem besar. Dalam rumah ini tinggal Auntie Delia dan Bibik sahaja, apabila Auntie Delia ke hospital, Bibik tinggal sendirian menguruskan kerja-kerja rumah. Beruntung Bibik dapat majikan yang baik dan tidak cerewet

“Dian, cepat, cepat Auntie sudah lapar ni.” Ramah Auntie Delia menyambut Dian di dapur. Auntie Delia mengenali hampir kesemua teman rapat anaknya dan dia amat menyenangi Dian. Dia terbuka menerima sesiapa sahaja yang berkawan dengan Danny dan profesionnya sebagai seorang pegawai perubatan tidak pernah membezakan manusia walaupun mereka berlainan warna kulit dan fahaman agama.

“Dan sudah telefon Dian?”

“Belum Auntie. Agaknya dia belum sampai lagi tapi tadi dia ada mesej.”

“Anak bertuah, balik ke mari sekejap saja belum pun panas punggung sudah pulas minyak motornya itu dan vrooooom ke KL semula.”

Dian tidak mahu komen apa-apa, dia tidak layak untuk berlebihan rasa terkilan daripada Auntie Delia. Sudah begitu tugas seorang anggota polis, akan dipanggil bertugas pada bila-bila masa sahaja, Dian perlu menerimanya.

“Dua puluh minit lepas dia ada di Ayer Keroh, rasanya sebelum pukul lapan mesti dia dah sampai KL.” Beritahu Dian.

“I hope he will stop somewhere for dinner.” Kata Auntie Delia. Dian mengintai apa yang terhidang atas meja, udang masak lemak dengan nanas itu Dian yakin sedap kerana itu lauk favorite Danny, lawannya pula sambal okra (bendi celur dan sambal) dan otak-otak ikan.

“Ikan bakar ini untuk Dian.” Kata Auntie Delia ketika Bibik membuka daun pisang yang digunakan untuk membungkus ikan pari itu.

“Dian makan ikan sahaja.” Kata Bibik. Dian senyum. Apabila dijemput makan, Dian tahu bagaimana hendak menghargai tuan rumah, dia pasti akan menjamah ke semua yang dihidang apatah lagi jika hidangan itu memang dimasak cukup untuk mereka bertiga.

“Diet, diet juga Dian, bila tiba waktu makan mesti kena makan. To enjoy life, you must enjoy food.” Kata pakar bius ini.

Rugilah Dian kalau datang ke rumah ini dan tidak menikmati lauk pauk Nyonya Peranakan hasil masakan Auntie Delia.

“Makan, mesti makan.” Ulang Dian.

 

“DIAN dengan Danny bila nak kahwin?” soal Auntie Delia. Dian ketawa, menyorok debar dalam hatinya. Payah sungguh soalan ibu Danny ini. Dia tidak segera menjawab soalan itu, sehingga dia siap mengelap pinggan yang dipegang dan diletakkan di atas rak kayu, barulah Dian menjawab pertanyaan itu.

“Jodoh belum sampai auntie.” Jawapan klise.

“Jodoh bukankah sudah ada walaupun dia jauh?”

“Yang jauh itulah paling susah untuk dipastikan.” Lafaz Dian dengan tenang.

“Dan tak cakap apa-apa?”

Banyak perkara yang mereka berdua bualkan setiap kali bertemu namun soal kahwin tidak pernah menjadi tajuk utama dan kalau pun mereka membicarakan perihal kahwin, bagi Dian semua itu hanyalah impian hidup mereka berdua, secara berasingan.

“Dan pun tak cakap apa-apa. Dia busylah auntie mana ada masa nak fikir fasal kahwin.”

“Kalau Dan busy Dianlah yang kena fikir. Nanti auntie tanyakan pada Danny bila dia hendak masuk meminang Dian.”

Pipi Dian terasa membahang. Malu. Alangkah elok kalau sebelum mereka membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, Danny telah terlebih dahulu menyatakan hasrat hatinya mahu mahu mengucap dua kalimah syahadah.

“I leave it to him.”

“Sudah lama sangat, kenal sejak sekolah lagi. Danny belajar di KL, Dian tunggu dia. Danny masuk PULAPOL pun Dian masih setia dengan dia. Sekarang Danny sudah ada jawatan yang bagus, auntie fikir sudah sampai masanya untuk dia fikirkan tentang hubungannya dengan Dian pula.” Beritahu Datin Delia dengan cermat.

“I am not ready to move to KL Auntie.”

“We have hundreds of police station in Johor, Dian.”

“Tapi Danny belum…”

Ahh biarlah ayat itu tergantung di situ. Dian tidak tergamak pula hendak ‘memeras-ugut’ lelaki itu supaya menukar agamanya jika dia benar cinta.

“Auntie tidak risau soal itu, Dian pasti lebih tahu. Dan sudah lama kenal Islam, tinggal tunggu masa yang sesuai sahaja.”

Tersentuh hati Dian dengan ucapan Auntie Delia. Ternyata, dia sangat memahami. Ketika ada insan lain yang berpatah arang dan berkerat rotan malah ada yang sangguh berbunuhan semata-mata mahu menghalang anak-anak menukar agamanya tetapi Auntie Delia lebih terbuka. Anak tetap anak biar apapun agama mereka.

Kalau jalannya sudah sebegini mudah, apakah pula yang menghalang mereka daripada disatukan?

“Kahwin cepat-cepat, auntie senang hati kalau Dian dan Danny sudah kahwin.”

Besar harapan Auntie Delia, besar lagi impian Dian. Siapalah yang tidak risau, umur pun bukan semakin lama semakin muda. Kalau dalam hatinya ada orang lain, mungkin sudah lama Dian berkahwin tetapi Dian tahu, semua ini tentang jodoh. Jodoh dan ajal datang tepat pada waktunya, tidak lambat dan tidak pula terlalu cepat. TUHAN telah susun hidupnya begini, Dian hanya melayarinya perlahan-lahan, pasti akan ada satu hentian dalam pelayaran yang panjang ini dan di situ nanti dia akan ketemu dengan sang wira hatinya.

“Auntie doakanlah ya.”

“Famili Dian tak ada masalah untuk terima Danny kan?”

Dian menggerakkan kepalanya. Keluarga bukan masalah baginya, Dian tahu mama dan ayah tidak pernah berkeras, mereka hanya bimbang Dian tidak mampu memikul amanah sebesar ini – membimbing saudara baru.

“Cepat-cepat kahwin Dian, Auntie sunyi dalam rumah ini. Kalau ramai sikit tentu lebih seronok, kalau ada ramai babies lagi meriah. Anak Auntie pun cuma Danny seorang, dah cuba banyak kali pun tak ada rezeki, Dan sahajalah jadi anak tunggal.”

Dian diam. Dia tidak mahu terlalu jauh melakar mimpi. Dian takut kalau impiannya tidak tercapai, dia jatuh terhempas bersama dengan harapan yang selangit tinggi. Dia sayang Danny, sayang sangat-sangat dan Dian sanggup tunggu sehingga Danny benar-benar bersedia.

“Sudah pukul lapan Dan tak telefon lagi. Tak sampai lagikah?” Auntie Delia kedengaran risau.

“Dian telefon dia sekarang.” Sebut Dian.

Panggilan tidak bersambut. Dian dan Auntie Delia saling berpandangan. Dian tidak mahu kecewakan ibu yang baik di hadapannya ini, dia mendial sekali lagi. Masih sama, panggilan tidak dijawab.

“Mungkin Dan belum sampai ofis agaknya auntie.”

Auntie risau, auntie lebih suka Dan cari kerja lain sesuai dengan qualification dia tapi Dan mahu jadi polis juga.”

“Itu yang dia suka auntie, kita doakan yang baik-baik untuk dia.” Ucap Dian positif biarpun dia sendiri kurang setuju dengan pilihan Danny.

 

Meeting. Sorry Dian.

Okay. Sorry.

I will call you later. Still with MIL?

Yes. She ask me to call you.

Tell mom I am fine. TTYL

 

Auntie Delia memerhati Dian menekan butang-butang kecil pada telefonnya dengan pantas. Dia kagum sungguh dengan ketangkasan orang muda sekarang ini menggunakan teknologi, butang sekecil itu pun masih boleh ditekan dengan hujung kuku, laju pula seperti tidak ada langsung tersilap eja.

“Dan?”

“Ya Dan, dia kirim salam.”

“Kenapa dia tak telefon kita? Tak jawab pun kita telefon dia.”

“Dan kata dia sedang meeting. Dia akan telefon nanti.”

“Itulah kerja polis, siang malam kerja tak tentu masa. Dan tu ada sahaja alasannya, dia kata auntie juga kerja tidak tentu masa tetapi setidak-tidaknya Auntie tidak berkejaran dengan penjenayah seperti dia.” Dalam sungguh keluhan Auntie Delia. Jarang sekali ibu ini meluah perasaan sebegini, agaknya Auntie Delia terkilan kerana Danny tidak menunggunya pulang dan bergegas sahaja kembali ke Kuala Lumpur.

Ibu manalah yang tidak risau apatah lagi itulah satu-satunya anak yang dia ada, selaut resah, selangit risau bila berjauhan. Dian faham, dengan Danny sahajalah Auntie Delia mencurahkan kasih sayangnya, dengan Danny jugalah Auntie Delia tumpang bermanja dan mengadu.

Sambil mendengar luahan Auntie Delia, jari Dian melaksanakan tugas menyalurkan berita kepada buah hatinya.

Please call mommy after you are done with the meeting. I think she’s missing you very much. Lain kali nak balik jumpa mommy dulu. Kat bawah kaki dia tu syurga you tau.

Dian tidak harap Danny akan balas mesej yang dihantarnya dengan segera. Kalau Danny tidak sibuk, laju sahaja dia membalas tapi kalau dia sedang ditimbuni tugas, Dian hantar mesej pagi, petang karang baru Danny balas. Pernah dahulu dia merungut apabila Danny lambat membalas mesejnya dan itulah kali terakhir Dian kompelin. Tulis Danny pada Dian dahulu,

Syukur kerana I masih boleh balas SMS you walaupun lambat. Pernah tak you bayangkan satu hari I tak balas, rupa-rupanya I dah mati?

“Kalau semua orang mahu jadi doktor macam auntie, siapa pula yang nak jaga keselamatan kita? Someone kena rawat orang sakit, someone kena cegah jenayah and someone gotta run the show.” Dian senyum, dia peluk Auntie Delia.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *