Bukan Kisah Cinta – Bab 9

MAZDA 3 Hatchback warna perak diparkir molek, berada di tengah-tengah petak. Suatu kemestian buat Dian memastikan keretanya diparkir dengan betul. Ahhh Dian, segala-galanya dia mahu lakukan dengan betul, itu sifatnya yang dilihat kadang-kala agak cerewet bagi orang lain. Dian tidak mudah berasa puas hati dan dia lebih yakin bekerja sendiri daripada membiarkan orang lain melakukannya.

“Pagi Dian.” Ucap Sofia, teman akrab Dian di pejabat. Dia juga baru sampai seperti Dian. Sofia buka pintu kereta Dian supaya lebih cepat Dian keluar dari keretanya.

“Selamat pagi Kak Sofia.” Balas Dian. Suaranya malas. Semalam dia mendapat tugasan baharu, sesuatu yang jauh daripada kebiasaannya sebagai seorang setiausaha. Segalanya berubah apabila carta organisasi syarikat berubah.

“Biasa bersemangat, pagi ni macam layu aje kenapa?” soal Jihannur Sofia.

“Tak ada moodlah Kak Sofia.”

“Akak dengar yang Dian kena jaga DC.”

Nyata berita itu telah sampai ke pengetahuan staf lain dalam kilang ini. Ramai yang terkejut lihat Dian tidak mengikut Syed Ali berpindah ke HQ yang terletak di Taman Teknologi Johor dan lebih memeranjatkan apabila Dian dilantik menjadi DC Officer dan pada masa yang sama, Dian masih diperlukan menjalankan tugasnya sebagai setiausaha.

“Gaji double tak Dian?” usik Sofia.

“Kalau bagi gaji tiga kali ganda pun saya tak mahu kak tapi buat masa ni kita tengok ajelah dulu, larat ke tak larat. Selagi mampu saya pikul, saya teruskan tapi kalau saya tak mampu saya cabut lari.” Kata Dian terus-terang.

“Belajar perlahan-lahan Dian, insya-ALLAH Dian mampu lakukan. Orang beri kita tanggungjawab lebih sebab dia nak uji sejauh mana kemampuan kita. Akak yakin Dian pasti boleh.”

“Entahlah kak, saya rasa teruk sungguh sekarang ni. Saya mana tahu apa-apa fasal DC kak. Satu benda kat QA tu pun saya tak tahu Kak Sofia, dia pergi campak saya kat sana tanpa bincang dengan HR dulu. Dia macam nak bunuh karier saya kat sini, macam nak tengok saya gagal kemudian dia boleh tendang saya.” Serius! Dian sedang menuduh GM syarikat ini sedang merancang kejatuhannya.

“Tapi Dian dah dapat approval daripada Paul kan untuk join HR? Haji Lokman ada cerita dengan akak kelmarin yang Dian tak ikut Syed Ali pindah dan corporate office pun dah approved Dian untuk terus kerja kat sini.”

“Paul dan Syed Ali tak ada kat sini jadi sekarang dialah bos, mungkin dia fikir sesuka hati dia agaknya boleh campak saya ke sana ke sini, ke mana-mana aje yang dia suka.” Sebut Dian panjang lebar sambil menyarung kasut. Sofia tercegat berdiri, memerhati Dian memakai kasut. Sofia geleng kepala, Dian memandu dengan berkaki ayam walhal dalam kereta Dian ada lebih banyak kasut daripada jumlah penumpang.

“Agaknya sebab dia fikir MD tak ada, PA macam awak mungkin tak ada kerja kut.” Balas Sofia pula sambil geleng kepala melihat kasut Dian, tingginya tumit kasut perempuan ini!

“Dian, pakai kasut tinggi macam ni tak sakit kakikah?”

“Dah biasa tak sakitlah tapi tengok kasut juga Kak Sofia, kena beli yang selesa sikit.” Sebut Dian. Sofia geleng kepala lagi. Dia memang tak pandai pakai kasut yang tumitnya lebih daripada dua inci, kasut Sofia semua bertapak rata dan hampir tidak bertumit, payah nak jalan tapi Sofia lihat Dian selamba aje jalan macam atas pentas peragaan dengan kasut tumitnya yang tinggi itu. Satu kilang Dian tawaf, senyum aje.

“Kak Sofia pun tahu kerja apa yang saya buat selama ini kan?”

“Akak tahu Dian, awak bukan jadi Executive Assitant to MD aje tapi awaklah admin dalam kilang ni, kadang-kadang awak jadi HR, awak juga jaga welfare, sports and recreation, training, tu belum bab awak kena entertain customer lagi.”

“Tapi orang ingat saya ni tak ada kerja sebab saya memang tak ada rutin harian yang sama macam orang lain.” Sebut Dian. Sofia mengangguk setuju. Dia tahu kerja Dian tidak seperti orang lain dalam kilang besar ini, pada mata kasar memanglah orang nampak Dian seperti tidak sibuk, macam tak banyak kerja tapi Sofia tahu apa yang Dian buat selama ini.

Mereka berpisah di tangga. Dian perlu mendaki ke tingkat tiga dan Sofia pula akan ke pejabatnya di Jabatan Kejuruteraan di aras bawah.

“Nak breakfast nanti saing tau Dian!” sebut Sofia, bergema ruang tangga itu dengan suaranya.

“Aye-aye ma’am.”

Dian mendaki tangga sendirian, hanya bunyi ketukan tumit kasut dengan tangga mengiringi Dian sehingga sampai ke tingkat tiga. Langkahnya lesu, dia tidak bersemangat mahu bekerja pagi ini. Semalaman dia menunggu tetapi tiada sebaris ayat yang dikirim buah hatinya. Dia bukan menuntut perhatian dua puluh empat jam, Dian bimbangkan keselamatan Danny. Hantarlah satu SMS pun cukuplah Dan supaya I tidak perlu bimbangkan you.

Sambil Dian memandu tadi, telefon bimbit tidak lepas daripada pandangannya. Dia mengharap sangat telefonnya akan berbunyi, namun sepanjang dia menempuh perjalanan sejauh 21 kilometer dari rumahnya ke pejabat telefon bimbitnya tetap senyap.

Where are you Dan? Please call or text me at least…

 

Dian bimbang. Kali terakhir dia berbual dengan Danny pada dua hari lepas, Danny beritahu yang dia agak sibuk sedikit kerana terlibat dengan satu kes berprofil tinggi. Kebiasaannya Danny tidak akan bercerita tentang tugasnya sebagai pegawai polis, semua tentang tugasnya adalah rahsia kerajaan, rahsia besar anggota keselamatan yang tidak boleh dikongsi dengan orang luar termasuklah Dian. Sesuatu yang tidak pernah Danny lakukan, mengeluh tentang kes yang dikendalikannya dan kerana itulah terbit rasa bimbang dalam hati Dian.

Jari jemarinya mengetik butang-butang kecil pada telefon bimbit. Hatinya menyusun kata. Bibirnya diam bagai dikunci. Kalau tidak kerana debar dan risau yang telah melebihi kebiasaan, Dian terpaksa juga menggunakan talian hayatnya yang pertama!

Morning Auntie. How are you today?

Hello Dian. Good morning. Auntie sihat.

Alhamdulillah.

At work?

Yeah…just arrived.

Anything dear?

 

Auntie Delia seperti tahu sahaja apa hajat di hati Dian. Gadis itu tersenyum, malu sebenarnya. Anak dara sibuk menyiasat ke mana pergi anak teruna orang, kalaulah mama tahu masak kau Dian!

He doesn’t reply my messages. I am a bit worry about him

Same here but trust Him, Dan is in safe hands

Insya-ALLAH

 

Debar dalam dada semakin menjadi-jadi. Dian jadi semakin tidak keruan. Bukan dia tidak percaya pada TUHAN tetapi rahsia TUHAN itu tidak ada sesiapa pun yang tahu dan itu menjadikan Dian bertambah susah hati. Dian tidak tahu apa rencana DIA untuk Danny. Hati yang sedang gundah menganggu kewarasan Dian berfikir.

Doa Dian, doa. Berdoalah, itukan kekuatan dirimu. Berdoa pada DIA semoga DIA lindungi Danny yang sedang berjuang menjaga keharmonian dan keselamatan negara. Doa Dian setiap hari semoga TUHAN akan berikan Danny hidayah-Nya. Dian bermohon pada TUHAN semoga terbuka hati Danny untuk menerima Islam sebagai agamanya, menjadi pegangan dan panduan hidupnya. Mereka kenal sudah sangat lama, sejak masing-masing di sekolah menengah lagi. Apabila Danny menyambung pengajiannya di sebuah universiti di Kuala Lumpur, Dian masih lagi menuntut di tingkatan empat. Sehingga tamat pengajian dan menyertai pasukan keselamatan, Danny masih lagi tinggal di Kuala Lumpur dan pulang ke Johor Bahru sekali sekala. Biar berjauhan namun hubungan mereka berdua tidak pernah terjejas.

Jarak dan waktu yang terbatas mematangkan hubungan ini. Rasa saling hormat memelihara perilaku mereka berdua. Danny lelaki yang sangat baik dan Dian tidak sanggup kehilangan ‘sahabat’ baiknya ini. Tidak ada rajuk dalam hati Dian. Cemburu juga sejak awal lagi sudah dihalang daripada menjadi penghasut akal fikirannya. Dian yakin, suatu hari nanti NUR akan sampai pada Danny dan Dian sanggup tunggu sampai hari bahagia itu hadir.

“Mana Danny menghilang ni, mesej pun tak balas. WhatsApp jangan ceritalah, macam tak delivered aje.” Kata Dian sendiri.

Dian mengadap komputer tapi otaknya tidak dapat berfikir dengan betul. Matanya asyik memandang telefon bimbitnya yang diletakkan bersebelahan dengan papan kekunci komputernya. Kenapalah ada rasa resah gelisah dalam hati ini sedangkan ini bukan kali pertama Danny terpaksa pulang ke Kuala Lumpur.

Kalau boleh Dian tidak mahu menelefon ke pejabat. Orang-orang di atas bukit di sana itu ada banyak tugas lain yang lebih penting daripada melayan seorang girlfriend anggota keselamatan yang tidak semena-mena risau tidak tentu-hala.

Telefon bimbit dijeling lagi.

Argh! Tak boleh jadi. Rasa resah ini tentu bersebab.

“Inspektor Danny Richardson ada?”

“Tuan Danny tiada di pejabat. Siapa yang bercakap ni?”

“Saya Dian. Danny outstation kah?”

“Ya cik, Tuan Danny ada tugasan di luar.”

Dian pekup mukanya. Maluuuuu. Kalau Danny tahu Dian tidak sabar begini tentu dia kecewa. Bagaimanalah dia layak jadi isteri anggota polis kalau buah hati baru hilang dua hari dia sudah tidak tentu hala?

Chup! Dua hari tau bukan dua jam. Dian selayaknya rasa resah dan risau tapi mungkin betul tak ada apa-apa yang berlaku kut sebab orang di pejabat Danny tadi kata Danny ada tugasan di luar. Seperti biasa aje kut?

Dian melepaskan nafasnya, bahunya turut jatuh. Kenapa hati risau sangat ni? Kes apa yang berprofil tinggi yang sedang Danny siasat sekarang ini?

Masih ada waktu untuk Dian meneroka internet mencari maklumat, bos tidak ada dan waktu pejabat secara rasmi akan bermula kurang sepuluh minit lagi. Sempat! Sempat! Cepat!

Kes belum meletup agaknya sebab itu tidak ada tertulis di mana-mana. Satu demi satu tajuk-tajuk benang dalam forum yang selalu dilayarinya dibaca. Tiada yang kedengaran seperti rahsia besar atau kes penting. Polis tembak penjenayah. Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kereta mewah. Polis memberkas semula banduan yang melarikan diri daripada tahanan. Anggota polis digantung tugas kerana disyaki menerima suapan. Itu semua kes biasa.

“Kes apa ekk?”

Laaa Dian, kau pun nak jadi inspektor polis jugakah? Inspektor Dian. Errr…perempuan tak tahan lasak seperti Dian mana layak jadi anggota polis. Berdiri sewaktu perhimpunan pagi di sekolah pun dia boleh pengsan, ini pula hendak dikerah berkawad tengah tengah hari buta, matahari bagai tertenggek atas kepala mencairkan tempurung kepala dan otak dia.

Telefon atas meja berbunyi. Dian terkejut. Itulah asyik sangat meneroka alam maya sampai tidak sedar sudah terlebih masa.

“Cik Dian ada polis nak jumpa.” Sebut pengawal keselamatan yang menelefon dari pos kawalan.

“Hah! Polis?”

Jantung Dian berdegup kencang. Polis nak apa cari aku? Ada benda tak baik dah berlaku pada Dannykah?

“Ya, polis. Satu kereta ni.” Jawab pengawal keselamatan.

Bertambah cemas Dian dibuatnya. Jenuh dia mengimbas semula apa yang telah berlaku hari ini, manalah tahu kalau-kalau tanpa dia sedar, Dian sudah melanggar undang-undang.

Biar betul ada polis datang satu kereta nak jumpa aku? Cool Dian, janganlah kelam-kabut sangat. Manalah tahu polis yang datang tu sebenarnya Danny jadi tak usahlah nak panik sangat. Dian tarik nafas perlahan-lahan.

Sambil menuruni anak tangga, sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Kursi. Sesampai di pos pengawal, Dian lihat tiada sesiapa yang sedang menunggunya di situ. Jangan kata Danny, bayang Danny pun tiada.

Tetapi memang benar ada sebuah kereta polis. Seorang anggota berpakaian biasa keluar dari kereta. Dian kenal sangat dengan pegawai lelaki yang berpangkat inspektor itu.

Beberapa pasang mata mengintai dari tingkap memerhati Dian berbual dengan tiga orang anggota polis yang menaiki kereta Pegawai Penyiasat, bukanlah kereta polis yang ada revolving lights itu. Kecohlah pak cik jaga ni, bagi maklumat biarlah tepat jangan sembarangan buat orang terkejut. Boleh gugur tau jantung!

“Danny pesan jangan risaukan dia, dua tiga hari ni memang tak dapat nak hubungi dia.” Kata Inspektor Nurul, kawan baik Danny sejak di PULAPOL lagi. Dian mengangguk, matanya memandang pada beg kertas yang diserahkan Nurul padanya sebentar tadi.

“Sebenarnya semalam saya nak jumpa awak tapi sampai JB dah lewat, baru ni la ada masa nak singgah sekejap sebelum ke pejabat.”

Dian sudah mengganggu tugas polis! Dek kerana seorang Dian, tiga anggota polis terheret sama, semata-mata mahu serahkan bungkusan hadiah harijadinya (semalam) bagi pihak Danny yang tergesa-gesa meninggalkan pejabat atas tuntutan tugas.

“Terima kasih Nurul. Susahkan awak aje untuk hantar hadiah ni pada saya.”

“Amanah Danny tu Dian, saya kena uruskan juga. Kerja amanah, yang ini pun amanah, itu pun sudah terlewat sehari. Itu pun kebetulan kami memang lalu jalan ini, itu yang saya singgah sebentar.” Terang Inspektor Nurul. Dia turut nyatakan yang mereka dalam perjalanan pulang ke IPK dan tidak menjadi salah baginya untuk singgah sebentar ke sini.

“Sebenarnya Danny minta saya poskan sahaja tapi saya pun tak sempat nak singgah ke pejabat pos jadi saya bawa bersama hadiah untuk awak ini ke JB.” Sebut Inspektor Nurul lagi kerana Dian tidak putus-putus mengatakan betapa dia sudah menyusahkan Inspektor Nurul dan rakannya.

“Thanks Nurul. Kirim salam saya pada Danny kalau awak ada bercakap dengan dia nanti. Saya tunggu dia balik.” Dian sebak, seolah-olah Danny sedang bertempur dengan musuh di perbatasan.

“Insya-ALLAH. Alah tak ada apa yang perlu dirisaukanlah, tugas biasa aje. Danny tu anggota terbaik kami, nampak kan macam-macam sijil digantung dalam bilik dia?” Inspektor Nurul cuba menyenangkan hati Dian.

“Saya gerak dulu Dian. Jumpa lagi nanti.”

“Terima kasih Nurul.”

Dian tercegat di situ sehingga kereta Pegawai Penyiasat hilang daripada pandangannya. Fikiran Dian masih sibuk mahu merungkaikan misteri kes yang menyebabkan buah hatinya hilang dari radar. Danny sedang dalam penyamarankah? Dia siasat siapa sampai perlu putuskan hubungan dengan orang? Tak bawa telefon bimbit, tak bawa komputer riba, habis tu apa saja yang dibekalkan kepada Danny? Pistol?

Dian tidak perlu risau, PDRM tak akan biarkan Danny keluar bertugas tanpa ada anggota lain yang memantau keselamatannya. Ahh Dian ni, tak kan tidak pernah tonton drama Gerak Khas atau Roda-roda Kotaraya? Kesian Datuk Yusof Haslam menerbit dan mengarahkan drama-drama itu di saluran perdana kalau Dian tidak kutip info-info berguna berkaitan dengan tugas polis.

Kata-kata Ilyana tiba-tiba singgah difikirannya, kalau tonton Covert Affairs, tentu kita dapat lihat bagaimana CIA memastikan keselamatan agen-agen mereka. Agen-agen itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi yang canggih dan sentiasa ada seseorang yang akan membantu mereka di mana-mana sahaja tanpa mengira situasi. Lantas Dian berharap Danny juga akan dilindungi begitu. Jenayah tetap sama di mana-mana tidak kiralah di Amerika atau di Malaysia atau di mana-mana sahaja negara di dunia ini. Jenayah perlu dihapuskan dan agen risikan yang bijak pandai ini akan membantu pasukan keselamatan untuk menjaga kemakmuran negara.

“I doakan you selamat walau di mana you berada Dan.” Ucap Dian dalam hati.

Tidak rela berpisah. Tidak sanggup berjauhan. Dian berharap agar Danny cepat pencen dan mereka akan berkahwin dan hidup aman-aman sahaja tanpa perlu rasa ragu suaminya di luar sedang mengintai bandit!

Ada waktunya Dian takut hendak menonton drama-drama kepolisian, dia sudah cukup dihujani rasa bimbang setiap hari fikirkan keselamatan Danny, bila dia menonton drama sebegitu, tahap kebimbangannya bertambah dan Dian jadi kalut. Kisah cintanya dengan seorang anggota polis ini kisah benar, agaknya apa pula tanggapan orang pada Dian sekiranya Yusof Haslam mengadaptasi kisah ini jadi drama atau filem ya?

Masaklah kau Dian, kena hencap nanti. Silap hari bulan, Yusof Haslam turut menerima tempias hencapan berjemaah oleh warga gosip. Elok sahaja cerita ini dirakam dan disimpan dalam ingatan Dian seorang (kerana yang kalut Dian seorang) dan yang paling utama, kisah cinta dia dan Danny telah disusun dan diarahkan oleh Yang Esa di atas sana. Dian tidak perlu ragu dimanakah pengakhiran cinta mereka akan berlabuh.


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6  BAB 7  BAB 8  BAB 9  BAB 10


BELI NOVEL BUKAN KISAH CINTA (PENULIS: ILLI NAZURAH)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *