30 HARI SEBELUM PERNIKAHAN
PASTIKAN Deen jatuh cinta pada Yaya dalam masa setahun,” ujarTan Sri Hamid selepas Cahaya ceritakan Deen berikan kontrak pernikahan pada Cahaya.
Cahaya sudah berjanji pada dirinya sendiri, dia mahu jadi Cahaya yang lebih baik daripada semalam. Untuk jadi Cahaya yang lebih baik dia perlukan pembimbing yang baik. Pilihan Cahaya jatuh pada Deen, lelaki yang sangat baik. Setanding dengan Ziyad dan Tan Sri Hamid.
Dia juga berjanji tak akan rahsiakan apa-apa daripada pengetahuan datuk. Datuk akan jadi orang yang selalu tahu perkembangan dirinya dalam usaha menjadi orang yang baik.
“Datuk tak marah?”
Tan Sri Hamid menatap wajah Cahaya, satu-satunya cucu perempuan keturunannya.
“Perkahwinan bukan sebuah permainan Yaya. Tidak boleh ada kontrak. Jika adapun, seharusnya kontrak buat seumur hidup. Tapi Deen…”
Deen hanya mahukan pernikahan mereka berlangsung selama setahun. Cahaya terpaksa setuju walaupun Cahaya harap Deen lelaki terakhir yang hadir dalam hidupnya. Dia setuju dengan harapan dalam masa setahun ini dia mampu mengubah keputusan Deen.
“Apa perasaan Yaya masa Deen suruh Yaya sign kontrak setahun itu?”
“Marah.” Cahaya ketap bibirnya.
“Tapi Yaya sign juga.”
“I have no choice, datuk. Deen takkan kahwin dengan Yaya kalau Yaya tak setuju dengan kontrak Deen.”
“Ada Yaya tanyakan alasan Deen kenapa dia buat kontrak pernikahan kamu berdua?”
Kepala Cahaya berdenyut nyaring. Menarik semula memori pertemuannya dengan Deen beberapa hari yang lalu.
“I ingat kita kawan.”
Cahaya serahkan pen kepada Deen.
“Kita memang kawan.”
“Jadi kenapa perlu ada kontrak ni?”
Deen menatap wajah Cahaya yang mulus. Wajah cantik yang sering disalahgunakan Cahaya untuk kepentingan peribadi. Andai kata Cahaya menjaga dirinya, Cahaya pasti akan menjadi calon isteri idaman semua lelaki. Mungkin calon isteri idaman Deen juga.
Cahaya turut menatap wajah Deen. Wajah yang dahulunya tak pernah menarik hati Cahaya. Namun kini bila sering melihat Deen sejak akhir-akhir ini, pandangan Cahaya terhadap Deen menjadi berbeza. Deen dilihat sebagai calon suami idaman yang sangat didambakan Cahaya.
“I tak cintakan you.”
Cahaya genggam tangan yang tak terlihat oleh pandangan Deen.
“You sangat jauh daripada ciri-ciri isteri idaman I.”
Cahaya lemparkan senyum walaupun hatinya sedang berdarah.
“Kenapa? Sebab I perempuan murahan? You jijik dengan I?”
Deen angkat bahu.
“Kenapa you setuju kahwin dengan I?”
“I tak setuju. Perlu I ingatkan you, I tak pernah setuju. I terdesak disebabkan kesihatan Tan Sri. I banyak terhutang budi pada Tan Sri dan Ziyad. Kalau bukan sebab rayuan Tan Sri pada I masa Tan Sri jatuh sakit tempoh hari, kita memang tak perlu menikah Yaya. Dan kontrak ni tak perlu wujud.”
Cahaya sudah tahu alasan Deen tapi kenapa dia tetap sibuk nak bertanya?
Tentang Tan Sri Hamid yang jatuh sakit, Cahaya fikir itu hanya ulah Tan Sri Hamid yang mahu menyatukan dia dan Deen. Tapi sangkaannya meleset, Tan Sri Hamid betul-betul jatuh sakit. Dan dialah pemicu kepada segala kesakitan yang terpaksa ditanggung datuk kesayangannya.
Dia, Cahaya Fitiya yang selama ini terlalu mementingkan diri sendiri. Cahaya yang tak pernah fikirkan tentang orang lain. Yang Cahaya tahu Cahaya perlu dapatkan apa yang dia mahu.
Dan dia mahukan Deen! Deen harus jadi miliknya.
“Dan perlu I ingatkan you Cahaya. Walaupun I anggap you kawan, I tak pernah cintakan you. You terlalu jauh dari apa yang I bayangkan terhadap wanita yang akan jadi isteri I. Dan I tak pernah terfikir untuk berkahwin sebelum Tan Sri minta I kahwini you. Kalaupun I ada hati nak kahwin, I harap perempuan yang jadi isteri I lebih baik daripada you.”
Oh, Cahaya rasa dia ingin mencakar muka Deen yang kacak. Ingin dirobek mulut Deen yang telah merendahkan Cahaya.
Cahaya seharusnya tarik diri. Koyakkan saja surat perjanjian yang telah termeterai di antara mereka. Tapi…
“Yaya tak penat ke hidup macam ni? Sampai bila Yaya nak hidup terumbang-ambing macam ni?” Datuk tarik tangan Cahaya. Tangan Cahaya datuk genggam erat.
“Datuk takkan hidup sampai bila-bila. Satu hari nanti datuk akan mati. Datuk akan tinggalkan Yaya. Yang datuk tinggalkan untuk Yaya masa tu mungkin hanya harta. Harta itukah yang akan membuat Yaya gembira? Harta itukah yang akan membuatkan hidup Yaya jadi bercahaya?”
Tan Sri Hamid tahu selama ini semua orang sering abaikan Cahaya termasuk dia. Dia terlupa pada Cahaya yang telah kehilangan cahaya. Bila dia tersedar, segala-galanya sudah terlewat. Cahaya semakin jauh daripada kepungan cahaya. Cahaya di sekitar hidup Cahaya telah pun kelam.
Tan Sri Hamid hantarkan Munsyi, dengan harapan Munsyi mampu membimbing Cahaya. Namun, Cahaya yang sudah biasa mendominasi orang di sekeliling tidak mampu dikawal Munsyi. Belum apa-apa, Cahaya telah memaksa Munsyi mengalah.
“Datuk beri Yaya pilihan terakhir.”
“Apa dia?”
“Deen atau Munsyi. It’s your choice, Yaya.”
“Kenapa Munsyi, datuk? Yaya bencikan dia.”
Tan Sri Hamid mencetak senyum agak sinis di hujung bibir.
“Kalau Yaya jumpa Munsyi semula, tak mustahil kali ni Yaya akan jatuh cinta pada Munsyi.”
Cahaya memutar bola matanya malas. Cahaya jatuh cinta pada Munsyi? In your dream, Tan Sri! Macamlah Cahaya tak kenal Munsyi. Cahaya dah pernah tidur sebantal dengan Munsyi. Cahaya kenal luar dan dalam seorang lelaki bernama Munsyi.
Lelaki itu terlalu lemah untuk mengawal Cahaya. Lantaran itu Cahaya tak sukakan Munsyi. Cahaya mahukan karakter lelaki yang lebih kuat. Supaya dia boleh kembali menjadi Cahaya yang benar-benar bercahaya.
“Yaya tak sukakan Munsyi.”
“Munsyi cintakan Yaya.”
Bunyi seperti ayat penyata. Datuk sedang memberitahu isi hati Munsyi ke?
“Cinta?” Cahaya gelakkan Tan Sri Hamid.
“Munsyi beritahu datuk dia cintakan Yaya?”
“Munsyi tak perlu beritahu. Datuk boleh tahu dengan melihat cara Munsyi layan Yaya.”
“Agaknya sebab tu Yaya boleh tengok kebodohan Munsyi sepanjang jadi suami Yaya dulu.”
Cahaya mendengus. Munsyi tak pernah ucapkan kata cinta pada Cahaya. Mereka berkahwin atas aturan Tan Sri Hamid. Cahaya tidak tahu kenapa Munsyi berkahwin dengannya walhal Munsyi tahu betapa liarnya kehidupan Cahaya.
Cahaya agak Munsyi berkahwin dengannya disebabkan harta Tan Sri Hamid. Sesiapa pun yang berkahwin dengan Cahaya akan hidup senang. Yang kaya akan menjadi semakin kaya.
“I don’t believe in love, datuk.”
“Kalau Yaya tak percayakan cinta, kenapa Yaya paksa Deen kahwin dengan Yaya? Apa yang Yaya panggil untuk semua kegilaan Yaya kalau bukan cinta?”
Cahaya larikan pandangan ke tempat lain. Dia tidak dapat menjawab soalan Tan Sri Hamid.
“Jangan buat keputusan atas dorongan ego, Yaya. Jangan sebab Deen pernah tolak Yaya sekali, Yaya buat keputusan terburu-buru macam ni. Datuk boleh buat Deen kahwin dengan Yaya. Tapi yang nak hidup dengan Deen adalah Yaya. Yang nak capai bahagia tu Yaya. Takkan Yaya kahwin dengan Deen semata-mata untuk hidup dengan Deen selama setahun?”
“Yaya akan buat Deen jatuh cinta dengan Yaya.” Tekad Yaya.
Tan Sri Hamid melepas keluhan berat. Cahaya terlalu degil.
“Yaya tak percaya cinta. Macam mana Yaya nak buat Deen jatuh cinta pada Yaya?”
Kenapa soalan datuk hari ini semuanya susah-susah? Tak boleh ke datuk doakan yang baik-baik untuk Cahaya dan Deen?
“Datuk beri Yaya masa setahun. Kalau Yaya tak dapat buat Deen terus bersama Yaya selepas setahun, datuk nak Yaya kembali semula kepada Munsyi.”
“Nope! Yaya tak mahu.”
“Ini perjanjian kita. Kalau Yaya boleh ikut perjanjian Deen, kenapa Yaya tak boleh ikut kemahuan datuk? Datuk dah ikut apa yang Yaya mahukan. Kali ini kalau Yaya gagal, Yaya kena ikut kemahuan datuk pula.”
Tan Sri Hamid dan Deen sama saja! Dua-dua cuba nak mengawal Cahaya. Mereka tak berikan Cahaya pilihan yang lebih baik.
Cahaya kemam bibir. Nak menyumpah datuk di hadapannya. Namun, dia tahu apa yang Tan Sri Hamid inginkan adalah yang terbaik untuk dirinya. Seperti yang Tan Sri Hamid katakan, sampai bila dia nak hidup dalam identiti Cahaya yang hilang cahaya? Tak inginkah dia hidup seperti manusia normal yang lain?
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI KOMBO JALINAN KASIH (PENULIS: NUEEN & AK RAFFHAN)