HARI KE-2 PERNIKAHAN
DUA hari selepas pernikahan mereka yang sangat sederhana namun bukan pernikahan rahsia, Deen membawa Cahaya pulang ke apartmen. Walhal mereka boleh terus tinggal di rumah banglo tiga tingkat milik keluarga Cahaya yang kini kosong tak berpenghuni. Hanya ada pembantu rumah di sana. Bolehlah mereka pula yang menjadi raja di sana lantaran tuan rumah tidak mahu tinggal di rumah sendiri.
Ziyad juga tidak mahu tinggal di rumah itu. Ziyad bawa Uji menetap terus di Kuala Terengganu.
Ziyad masih marahkan dia dan mama. Cahaya tahu walaupun Ziyad tak luahkan. Cahaya boleh mengerti hanya dengan melihat pandangan Ziyad padanya.
Mungkin Ziyad kasihan melihat nasib Cahaya yang sedang menuju ambang kehancuran. Lantaran itu Ziyad diamkan saja segala kemarahan di hati Ziyad.
Cahaya masuk ke dalam apartmen Deen yang tidak sebesar mana. Apartmen tiga bilik, namun boleh dikatakan kecil.
Seumur hidup Cahaya, tempat paling kecil yang Cahaya pernah diami adalah bilik hotel. Cahaya tak pernah keluar dari rumah agam keluarganya. Cahaya betah saja tinggal di situ meskipun Cahaya sangat menyampah dengan Datin Maimun.
Setelah Datin Maimun disahkan mengalami gangguan jiwa dan dimasukkan ke hospital sakit jiwa, Cahaya rasa suasana di dalam rumah agam keluarganya menjadi suram. Bagaikan seluruh kebahagiaan telah diserap oleh tenaga jahat di sekeliling mereka.
“Maaf, rumah I kecil.”
Melihat Cahaya yang masih memandang sekeliling rumahnya, Deen mula bersuara. Beg baju Cahaya diletakkan di atas lantai.
Cahaya tak menjawab bicaranya. Pandangan Cahaya masih terus mengitari ruang dapur yang kecil. Ruang tamu yang juga kecil.
Sejujurnya Deen boleh hidup lebih mewah daripada gaya hidup yang dipilih Deen saat ini, namun dia lebih suka hidup sederhana.
Sejak kematian umi dan abinya, Deen sudah tidak ada tujuan hidup yang lebih bermakna. Dia serahkan hidupnya terus kepada Yang Esa. Jalan hidupnya dituntun mengikut jalan yang diredai ALLAH.
Bukan Deen kata dia sudah hampir kepada zuhud, tidak. Jauh sekali hidupnya nak dikatakan zuhud. Cuma hidupnya tak semeriah dulu. Gurau senda orang kesayangannya sudah tak kedengaran. Dia bagaikan insan yang berada dalam dimensi kesesatan, namun tak siapa tahu bahawasanya dia sedang sesat di mana kerana selama ini dia yang paling terlihat baik-baik saja.
“You tak masak?”
Dapur Deen terlihat kosong. Di situ hanya ada sebuah peti ais kecil. Meja makan pun tak ada. Cahaya masuk ke dapur yang entahlah, layakkah digelar dapur?
“Tak. I makan kat kedai.”
Cahaya membuka peti ais Deen. Kosong. Lain benar dengan peti ais di rumahnya yang sentiasa penuh dengan barang.
“You tahu masak ke?”
“I?” Cahaya tuding jari ke mukanya. “Masuk dapur pun tak pernah. Lagikan nak memasak. Bibik ada buat semua. I tunggu dia orang buat ajelah. Buat apa nak susahkan diri?”
Cahaya berterus terang. Buat apa menipu semata-mata untuk ambil hati Deen? Deen sudah tahu segala keburukan Cahaya, Cahaya tak perlu pasang topeng agar dia terlihat baik di mata Deen.
“Kalau you nak makan, dekat bawah ada restoran. Itu pun kalau you makan masakan mamak.
Dekat area sini tak ada restoran super classy macam you selalu pergi. Kalau ada pun restoran berkelas macam tu, kebanyakannya restoran Cina. Majoriti masakan sedap yang I makan kat sini dari gerai tepi jalan,” beritahu Deen.
Makan di gerai tepi jalan? Bersih ke? Mana pernah Cahaya makan di tempat seperti itu. Cahaya dah dididik hidup mewah sejak kecil. Kawan-kawan Cahaya semuanya daripada golongan kaya. Kalau ada yang miskin pun, mungkin hanya lelaki yang menjadi teman tidur Cahaya.
Pedulikanlah mereka miskin atau tidak. Cahaya bukannya tidur dengan duit mereka. Asalkan mereka dapat berikan kepuasan pada Cahaya dan fizikal mereka tak membuat Cahaya muntah, Cahaya tak terlalu peduli pada status mereka.
“Tan Sri masih beri you duit belanja?”
“Kenapa?”
“Kalau tak ada, you kena kerja. You ingat perjanjian kita, kan? Kita tak boleh saling menuntut. Duit I tetap duit I. Duit you sah-sahlah akan tetap jadi duit you.”
“Kedekutnya! Kalau I tak ada duit maknanya I tak boleh minta pada you. Macam tu?”
Deen angguk. Bukankah itu terkandung dalam perjanjian nombor dua mereka?
“You ada bakat ke nak kerja? I musykil ada orang yang nak ambil you kerja. Seumur hidup ini you tak pernah buat apa-apa selain berfoya-foya. Jadi anak orang kaya ni susah juga kan? Terutamanya anak orang kaya macam you. Tak pernah belajar erti hidup yang sebenar.”
Tak habis-habis nak merendahkan kemampuan Cahaya. Namun Cahaya terpaksa akui dia memang tak pernah belajar erti kesulitan yang sebenar. Sehinggalah musibah video dan gambar bogelnya tersebar ke merata alam. Ketika itu dia merasakan dunia sedang runtuh di atasnya.
“You ingat I bodoh sangat ke?”
“Soalan tu you tak perlu tanyakan pada I, Cahaya. You sendiri ada jawapannya.”
Ah, Deen celaka! Baru beberapa hari menjadi isteri Deen, Cahaya dah mula rasa tindakannya berkahwin dengan Deen adalah satu kesilapan besar. Deen terlihat berbeza dari saat kali pertama Cahaya melihat lelaki itu.
“You terlalu bergantung hidup pada harta Tan Sri. I tak tahu macam mana you nak teruskan hidup andai satu hari nanti harta Tan Sri hilang tak tinggal apa.”
“You kan ada? Takkan you tak boleh tolong I?”
“I mungkin akan tolong kalau masa tu you masih isteri I. Hurm… mengenang kontrak kita hanya setahun, I tak rasa masa tu you masih isteri I.”
“Kita seharusnya masih berkawan masa tu!”
“You masih nak jadi kawan I ke lepas kita bercerai?”
“Apa maksud you?”
Deen renung Cahaya sebentar. Tanpa sebab yang jelas Deen menggeleng.
“I hanya akan tolong kawan yang sanggup berusaha. Yang ada usaha nak teruskan hidup. You tak cukup sayangkan hidup you. I rasa itulah punca kenapa segala masalah bertubi-tubi menimpa hidup you. You dan Ziyad sangat berbeza. I tak tahu macam mana Ziyad boleh survive hidup dalam keluarga yang ada you dan Datin Maimun.”
Daripada nada suara Deen, Cahaya tahu Deen masih menganggap dia, Datin Maimun dan Tan Sri Hamid sebagai orang luar. Walaupun dia telah sah menjadi isteri Deen, pada pandangan Deen dia hanya isteri di atas kertas yang tak memiliki sebarang fungsi dalam kehidupan Deen.
“I kena minta izin you ke kalau nak pergi mana-mana?”
Cahaya cuba berkompromi. Mengabaikan rasa sakit disebabkan penyataan demi penyataan yang lahir dari bibir suami barunya.
“Terpulang. Kalau you ingat perjanjian kita…”
“Tak payah ulang banyak kali boleh tak? You ingat I nyanyuk?” Cahaya berang. Deen asyik mengungkit tentang perjanjian dua syarat mereka.
“Ada apa-apa lagi you nak tanya, Cahaya?” Deen malas nak bertekak.
Mungkin setakat itu sahaja. Mereka masih ada 363 hari untuk bersama. Selagi itu Cahaya masih ada masa untuk membuat Deen jatuh cinta padanya.
Bagaimana? Mungkinkah dengan cara menggoda Deen di tempat tidur?
Cahaya pernah baca, entah di mana. Boleh jadi ini hanya rekaan penulis. Boleh jadi ini hanya teori yang diguna pakai penulis ke atas dirinya sendiri.
Semakin kerap lelaki dan perempuan melakukan hubungan seks akan membuatkan semakin tinggi peluang pasangan yang pada mulanya tidak cinta, akan saling jatuh cinta.
Benarkah begitu? Jika benar…
“By the way…”
Fikiran Cahaya yang sedang memikirkan adegan yang tidak-tidak bersama Deen tiba-tiba diganggu suara garau Deen.
“Itu bilik you.”
Cahaya terkedip-kedip menatap pintu bilik yang ditunjuk Deen. Cahaya melihat Deen menuju ke bilik yang lain. Bukan bilik yang ditunjuk Deen sebentar tadi.
“Ini bilik I.” Beritahu Deen.
Mereka berpisah ranjang?
Ah, tak guna! Bila Cahaya boleh goda Deen kalau dah macam ni? Deen macam tahu-tahu saja apa yang Cahaya fikirkan.
Cahaya ketap bibirnya. Kacau sungguh!
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI KOMBO JALINAN KASIH (PENULIS: NUEEN & AK RAFFHAN)