CAHAYA mundar-mandir di ruang tamu. Dia gelisah kerana perutnya sedang kelaparan. Sudah puas dia mengetuk pintu bilik Deen, sampai merah tangannya Deen tak buka pintu juga.
Duduk serumah takkan Cahaya nak gunakan telefon sebagai komunikasi mereka. Apartmen Deen bukan besar mana. Kalau Deen tertidur sekalipun, Deen patut dengar suara Cahaya memanggil namanya.
“Argh!”
Cahaya menuju bilik Deen semula. Pintu bilik Deen diketuk sekuat hati.
“Deen! I lapar!” Jerit Cahaya di luar bilik.
“Deen!”
Mati ke Deen di dalam bilik? Tidak ada cara lain, Cahaya masuk ke biliknya mencari telefon pintar. Dia mahu menghubungi Deen. Mungkin dengan cara ini Deen akan peduli padanya.
Cahaya baru menekan beberapa nombor di layar telefon pintarnya, bunyi gril dibuka mengejutkan Cahaya. Beberapa saat kemudian pintu rumah pula dibuka, dan Deen muncul di sebalik pintu yang terbuka. Patutlah Deen tak menyahut panggilan Cahaya. Bodohnya Cahaya. Kenapa dia tak telefon saja Deen? Kenapa dia berusaha juga memanggil Deen, walhal Deen bukan ada dalam bilik pun.
“Dah bangun?”
“You pergi mana?”
“Keluar.”
“Kenapa tak beritahu I?”
“You tidur tadi kan? I dah ketuk pintu. You tak buka pun.”
“I tak kunci pintu, Deen. You boleh masuk bilik I bila-bila masa you suka.”
“Kita dah janji takkan kacau privasi masing-masing kan? I cuma berpegang pada janji I. Lagipun kalau I tak beritahu mana I pergi pun bukan satu masalah. Kita dah…”
“Cukup, Deen!” Potong Cahaya cepat.
Dia dah dapat agak apa yang Deen nak cakap. Pasti Deen mahu mengungkit isi surat perjanjian mereka.
Ternaik kening Deen. Muka Cahaya berubah warna. Cahaya tampak marah, namun wanita itu tidak mengeluarkan sebarang makian. Cahaya diam selepas itu. Duduk bersila di sofa tanpa berbuat apa-apa.
“You cari I ke?” Soal Deen sambil ke dapur untuk mengambil pinggan.
“Tak,” bohong Cahaya. Terasa malu nak mengaku dia memang mencari Deen.
Cahaya memeluk perut sendiri yang sedang berkeroncong hebat. Tiba-tiba berasa ego untuk memberitahu Deen hakikat dia mencari Deen kerana dia sedang kelaparan.
Dalam dompetnya tidak ada duit tunai. Hanya ada kad kredit. Cahaya tak rasa kedai mamak di tingkat bawah berhampiran dengan kolam renang menerima pembayaran melalui kad kredit.
“Makan.”
Deen meletakkan sepinggan nasi goreng kampung di hadapan Cahaya.
“I keluar beli makan tadi. You belum makan apa-apa lagi kan?” Sudu dan garpu turut diletakkan di tepi pinggan.
Cahaya menelan air liur. Nasi goreng kampung yang dibelikan Deen terlihat menyelerakan.
“Beli kat mana?”
Ego Cahaya turun apabila Deen duduk di sebelahnya. Deen tuangkan segelas air kosong untuknya. Cahaya menjenguk pinggan nasi Deen. Makanan mereka kelihatan sama.
“Kat bawah. Malas nak drive keluar. Nasi goreng kat sini not bad rasanya. You boleh cuba makan dulu.” Deen ambil sudu yang belum disentuh Cahaya. Dihulurkan kepada Cahaya yang kelihatan teragak-agak mengambilnya, seakan Deen sedang menghulurkan sepucuk pistol buat membunuh diri.
“Makanlah.”
Deen menunggu Cahaya menyuap nasi goreng ke mulut. Geram rasanya melihat Cahaya yang takut-takut nak makan. Makan nasi goreng kampung dari restoran mamak saja. Cahaya tak akan mati. Dia dah bertahun jadi pelanggan tetap di restoran itu. Tak pernah lagi dia keracunan makanan makan masakan mamak.
Cahaya suap sesudu nasi goreng. Lambat-lambat dia mengunyah. Jujur dia takut nasi goreng itu tidak menepati seleranya. Namun dia perlu jaga hati Deen yang susah payah belikan dia makanan.
“Not bad, kan?”
Cahaya menelan nasi goreng yang telah dikunyah. Menghayati rasa boleh tahan yang dikatakan Deen.
“Hurm.”
Kali kedua suapan Cahaya lebih laju. Cahaya tidak teragak-agak lagi. Dia mula menikmati nasi goreng itu. Deen tersenyum melihat Cahaya yang makan dengan berselera.
Mereka sampai di rumah tadi tepat pukul 11:00 pagi. Selepas berbual perkara yang tidak penting mereka masuk ke bilik masing-masing. Sewaktu dia turun ke kedai tadi jam sudah menuju ke pukul 4:00 petang. Cahaya pasti sangat lapar.
Deen selesai makan terlebih dahulu. Pinggan dan gelas yang digunakan dibawa ke singki untuk dibasuh. Azan asar dari masjid berhampiran kedengaran sebaik dia selesai membasuh pinggan mangkuk.
“Cahaya.”
Cahaya menoleh ke arahnya.
“You pandai basuh pinggan, kan?”
Terkebil-kebil mata Cahaya.
“Kalau tak pandai, tolong belajar. Mulai hari ni sampai 363 hari akan datang, tolong belajar berdikari. I takkan sediakan you maid. I andaikan sepanjang 363 hari tu you akan tinggal di sini dengan I. Tapi kalau you takut susah you boleh kembali ke…”
“I takkan ke mana-mana!” Bantah Cahaya, lagi-lagi memotong bicara Deen. Ikutkan hati Cahaya yang geram, Cahaya hendak baling pinggan di tangannya ke muka Deen. Ada saja ayat Deen yang akan menyakitkan hatinya.
“Terpulang. I cakap kalau you tak nak susah…”
Cahaya mendengus. Dia tidak lagi memandang wajah Deen yang menyakitkan hatinya.
“I nak solat asar. You buatlah apa yang patut. Jangan lupa basuh pinggan.”
Deen ingatkan Cahaya seperti Cahaya masih kanak-kanak yang perlu diarah buat sesuatu. Jika tidak diarah kerja tidak akan dilakukan.
Macamlah Cahaya bodoh sangat. Cakap sekali Cahaya dah fahamlah. Tak perlu ulang banyak kali.
DEEN duduk bersila di atas sejadah. Mengingat statusnya yang sudah menjadi suami Cahaya, seharusnya ada Cahaya di belakangnya menjadi makmum.
Surat perjanjian mereka telah termaktub dua syarat, yang mana salah satu antara syarat tersebut mereka tidak boleh masuk campur dalam kehidupan masing-masing. Mereka bebas melakukan apa saja sesuai kehendak mereka.
Deen jadi menyesal kerana membuat syarat tersebut. Tugasnya sebagai suami Cahaya begitu berat. Dia ingin menganggap Cahaya tidak wujud tetapi separuh hatinya tahu Cahaya ada di dalam rumah ini bersama-samanya.
Cahaya adalah tanggungjawab dan amanah buat Deen.
Deen melepas keluhan perlahan. Mukanya diraup.
363 hari.
Masih banyak hari-hari yang perlu dijalani bersama Cahaya. Apakah dia hanya perlu duduk diam membiarkan Cahaya melakukan apa saja yang ingin wanita itu lakukan sepanjang wanita itu menggalas status sebagai isterinya? Dalam erti kata lain membiarkan Cahaya tetap meneruskan cara hidup Cahaya yang begitu liar?
Ada rasa tak sanggup. Walau bagaimanapun Cahaya sudah menjadi isterinya.
Deen mulai bingung. Apa yang perlu Deen lakukan sebenarnya? Biar Cahaya terus liar atau kembalikan semula cahaya Cahaya yang sedang suram menuju gelap?
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI KOMBO JALINAN KASIH (PENULIS: NUEEN & AK RAFFHAN)