Cahaya Untuk Dia – Bab 5

HARI KE – 33


RUTIN harian Cahaya sedikit berubah setelah jadi isteri Deen. Kalau duluCahaya bukan main liat dia bangun pagi, namun sejak kahwin dengan Deen, Cahaya paksa dirinya bangun awal. Dia mahu melihat Deen pergi kerja. Setelah itu baru dia sambung tidur semula. Mesti semua orang pelik kenapa Cahaya sanggup ubah kebiasaan Cahaya disebabkan Deen.

Dalam hidup ini ada tiga orang lelaki yang paling Cahaya kagumi. Mereka adalah Tan Sri Hamid, Ziyad dan lelaki yang sedang Cahaya perhatikan saat ini.

Kenapa papa tak masuk dalam senarai? Sebabnya Cahaya sentiasa rasa papa seorang lelaki yang gagal, baik sebagai suami mahupun sebagai ayah.

Papa terlalu mengikut telunjuk mama. Papa lebih mementingkan mama daripada anak-anak membuatkan Ziyad dan Cahaya selalu berasa terpinggir. Mungkin rasa terabai yang Ziyad rasakan tak setebal rasa yang dipendam Cahaya. Sementelah Ziyad sentiasa tahu apa yang Ziyad inginkan. Bahkan Ziyad tegas dalam membuat keputusan. Ziyad tak pernah takut pada apa jua ugutan mama. Jika A kata Ziyad, maka A lah yang akan Ziyad lakukan.

Sejak kecil mama memandang tinggi pada Ziyad kerana Ziyad anak lelaki, pewaris papa yang paling kuat. Ziyad lahir saja, mama terus simpan cita-cita nak jadikan Ziyad CEO, gantikan tempat papa. Sebelum itu papa kenalah ganti tempat datuk dulu.

Cita-cita mama untuk melihat papa menjadi CEO tidak menjadi kenyataan. Papa meninggal dunia pada usia 54 tahun kerana mengalami sesak nafas sewaktu bermain golf dengan kawan-kawan papa. Kemudian mama alihkan cita-cita besar itu di pundak Ziyad. Kali ini cita-cita mama tercapai ke?

Jawapannya mestilah tak. Sejak dulu lagi Ziyad jarang sebulu dengan mama. Ziyad jarang ikut apa yang mama suruh. Dan mama selalu gagal mengawal Ziyad. Baguslah begitu. Cahaya suka Ziyad yang membangkang. Dengan itu barulah Cahaya boleh bangga dengan Ziyad. Kalau Ziyad pun ikut telunjuk mama seperti papa, jangan mimpi Cahaya akan bangga dengan Ziyad.

Cahaya bersandar tenang di muka pintu. Tangannya di belakang, memerhatikan Deen yang terkial-kial memakai tali leher.

Entah Deen sedar atau tidak diperhatikan. Cahaya tidak tahu.

Urusan permintaan Cahaya yang mahu jadikan Deen teman tidurnya belum selesai. Cahaya malas ke hospital untuk buat pemeriksaan doktor. Bukan sebab Cahaya takut dia mengidap penyakit kelamin, cuma Cahaya sedang malas. Nantilah. Urusan itu belum masuk kategori urusan penting. Tiba waktu bila Cahaya dah berasa cemas, baru Cahaya akan usahakan untuk puaskan hati Deen.

10 minit memerhati Deen, Cahaya lihat urusan Deen dengan tali lehernya masih belum selesai. Cahaya menghampiri Deen. Bahu Deen ditepuk.

“Dah tua macam ni pun tak pandai-pandai lagi ikat tali leher?”

Cahaya betulkan semula ikatan tali leher Deen. Dah sebulan jadi isteri Deen baru Cahaya tahu Deen tak pandai ikat tali leher. Sebelum ini Cahaya tak pernah masuk bilik melihat Deen bersiap. Cahaya tunggu Deen di ruang tamu saja.

Terasa menyesal pula tak ambil tahu awal-awal. Kalau Cahaya tahu sudah semestinya Cahaya tak akan lepaskan peluang untuk berada serapat ini dengan Deen. Sambil itu boleh Cahaya menghirup wangian segar dari tubuh Deen pada pagi hari.

“Selama ni siapa yang ikatkan tali leher you?”

“Orang.”

Cahaya menceber.

“I tak tahu pula you ada kenal binatang yang tahu ikat tali leher.”

Cahaya memutar bola matanya malas.

“Orang tu siapa?” Dia tetap nak tahu. Banyak yang dia tidak tahu tentang Deen kecuali Deen adalah kawan baik Ziyad yang menjadi yatim piatu sewaktu tahun kedua belajar di universiti yang sama dengan Ziyad.

Deen tidak menjawab. Kadang-kadang Ziyad tolong ikatkan masa dia jadi pembantu Ziyad. Bila Ziyad tarik diri dari Maju Holdings dia minta tolong Atira, setiausaha Tan Sri Hamid. Dia buat muka tak malu waktu minta tolong Atira. Atira jarang menolak kecuali jika gadis manis itu sibuk dengan pekerjaan yang menghalang dia membantu Deen.

Kenapa dia tak pandai-pandai juga ikat tali leher? Entahlah, dia malas belajar sampai pandai. Lagi pula dia bukan suka sangat pakai tali leher. Dia hanya pakai jika ada mesyuarat dengan Tan Sri Hamid. Dan pagi ini dia ada mesyuarat dengan Tan Sri Hamid.

“Deen.” Cahaya paut lengan Deen. Setakat paut lengan Deen tak pernah menolak. Jangan sampai bibir Cahaya menggatal saja, baru Deen akan tunjal dahi Cahaya.

“Siapa orang tu? Beritahulah.” Desak Cahaya ingin tahu.

“Tak penting pun. Perlu ke you tahu?”

Cahaya tarik muka.

“Atira.”

“Setiausaha datuk?”

Deen angguk.

Cahaya yang mahu hantar Deen sampai ke pintu tak jadi keluar dari bilik Deen. Mukanya masam. Cemburu. Tahu dia tak patut cemburu, tapi dia cemburu.

Deen yang sampai di muka pintu menoleh kepada Cahaya. Wanita itu sedang tunduk dengan muka masam.

“Cahaya?”

Cahaya buat-buat tak dengar.

“Cahaya. Tak nak hantar I ke?”

Barulah Cahaya angkat muka.

“Perlu ke? Hantar ke tak hantar sama aje. You dengan I takkan jadi suami isteri betul-betul.”

Deen tahu kalau Cahaya ucapkan ayat itu petanda Cahaya sedang merajuk. Pagi-pagi lagi dah merajuk, kena sampuk dengan angin apa?

“You marah I?”

“Tak? Tak ada sebab nak marah.”

“Habis tu tak nak hantar I lah ni?”

“Hurm. I nak sambung tidur.”

“Okey. Tapi pastikan you tak tidur dalam bilik I. Tidur dalam bilik you. You tahu kan I tak suka privasi I diganggu.”

Ah, Deen celaka! Cahaya menyumpah dalam hati.

Cahaya bangun, lalu keluar dari bilik Deen. Tahu Deen masih di ruang tamu sedang memakai stoking, pintu bilik Deen dihempas sekuat hati. Deen di ruang tamu tergeleng-geleng.

Tak faham kenapa Cahaya marah. Dia buat salah apa?

 

BARU separuh perjalanan ke pejabat, hati Deen berasa tidak tenang. Nombor telefon Cahaya didail, namun Cahaya tak kunjung jawab.

Dia tak pernah bencikan Cahaya. Walaupun perkahwinan mereka bersyarat, namun Deen tidak meletakkan syarat-syarat itu atas alasan dia membenci Cahaya.

Cahaya dianggap sebagai teman, sahabat pun boleh. Tidak lebih dari itu. Kalau Cahaya sakit, Deen akan risau. Kalau Cahaya buat perangai bukan-bukan, Deen akan rasa bersalah. Setahun ini Deen masih ada tanggungjawab pada Cahaya walaupun tidak sepenuhnya akan dijalankan. Setahun yang tinggal 11 bulan saja lagi.

Seharusnya jika mengikut perjanjian yang telah mereka tandatangan, Deen tak perlu berbuat apa-apa. Namun, Deen seorang lelaki yang mempunyai sifat yang baik hati, sedikit sebanyak akan menjalankan tanggungjawab sebagai suami Cahaya dalam batasan wajar yang mampu Deen lakukan.

Panggilan ke-9 baru Cahaya jawab panggilan Deen. Gigih usaha Deen nak pastikan emosi Cahaya terjaga. Padahal Deen sendiri beritahu Cahaya dia tak peduli apa yang hati Cahaya rasakan. Bukan urusannya. Dan sekarang dia pula beria pastikan Cahaya menjawab panggilannya.

“Cahaya?”

“Hurm.”

“Buat apa?”

“Berenang.”

“Berenang?”

“Hurm.”

“You pergi kolam?”

“Tak.”

“Habis tu?”

Dekat mana lagi ada kolam selain di tingkat bawah bangunan apartmen Deen?

“Dalam mimpi.”

Deen larikan telefon dari telinga. Layar telefon dipandang.

“You tengah mabuk ke?”

Cahaya mendengus.

“Dalam rumah you ada simpan alkohol ke?”

“Mana tahu you curi-curi beli kat belakang I.”

“Buat apa nak curi-curi? Kalau I nak buat, I buat terus depan you aje. I bukan pengecut.”

Cahaya masih marah padanya. Deen pasti. Yang Deen tak pasti punca Cahaya marah. Rumitnya memahami fikiran seorang perempuan. Serasa diri ini tak melakukan kesalahan, namun tetap menjadi mangsa amarah.

“You nak apa telefon I?”

“I tanya you buat apa?”

“Tadi kan I dah beritahu I nak sambung tidur.”

Oh, Deen lupa! Kan dah kena marah lagi.

“You tidur mana?”

“I tidur dalam bilik I, Deen! Bilik I! You ingat I kemaruk sangat ke nak tidur dalam bilik you tu?” Lontaran suara Cahaya begitu kuat. Cahaya marahkan Deen yang mengganggu moodnya yang sedang tidak baik.

“You nak apa telefon I? Saja nak sakitkan hati I ke?”

“You marahkan I?”

“Tak!” Cahaya putuskan panggilan mereka begitu saja tanpa sempat Deen bertanya lagi.

“Tak marah. Tapi…” Deen angkat bahu.

Perempuan memang sukar difahami. Jarang mengakui perasaan mereka yang sebenar. Bersikap seperti ini, namun mengaku yang sebaliknya.


PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4  • BAB 5


BELI KOMBO JALINAN KASIH (PENULIS: NUEEN & AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *