Cinta Yang Dilupa – Bab 2

Pagi-pagi aku sudah bangun ingin menunaikan solat subuh. Tapi dimana pulak aku letak telekung aku ni?

Hurm nak cari di mana ya? Puas sudah aku selongkar tak juga jumpa. Kepala aku garu. Janggal betul aku dengan keadaan rumah ini.

Terpaksalah aku ketuk pintu bilik Zarul.

Belum sempat aku ketuk. Pintu biliknya terkuak dari dalam. Dia kelihatan terkejut.

Zarul mungkin baru selesai solat bila melihat dia memakai kopiah dan berkain pelekat. Aku tenung dadanya yang bidang dibaluti pagoda putih itu. Liurku telan perlahan. Sungguh. Aku ingin sekali berada dalam pelukannya seperti dahulu.

“Ya Reen? Nak apa-apa ke?” Soalannya mengembalikan aku ke dunia nyata.

“Er. Ya. Saya nak telekung. Cari-cari tak jumpa pula,” kataku sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

Dia merenung pandang aku. Kemudian dia masuk ke biliknya dan muncul semula dengan telekung di tangan berserta sejadah.

Aik? Macam mana telekung aku boleh ada padanya pula?

“Kenapa telekung saya ada pada awak pula?” Tanyaku lurus.

Dia menggaru kening.

“Saya basuh dan baru keringkan. Saya lupa letak dalam bilik awak,” beritahu dia dengan senyum nipis.

“Ooo.. Okey lah. Terima kasih. Saya nak solat sekejap,” kataku lalu masuk kebilik menunaikan solat subuh yang sudah hampir ke penghujung waktu.

Zarul sudah bersiap dengan pakaian pejabat ketika aku masuk ke dapur ingin mencari sarapan. Hajatku cukuplah sekadar roti buat alas perut. Namun Zarul lebih dulu menyediakan sarapan untuk kami. Sandwic telur kegemaran ku dulu. Kalau di bandingkan aku dan Zarul. Zarul lebih pandai masak dari aku. Dari dulu dia memang suka memanjai aku.

“Makanlah… Nanti tengah hari I balik bawa you pergi lunch.” Dia meletakkan sekeping sandwic ke dalam pinggan untukku.

Sekali lagi aku mencuri pandang riaknya. Masih jua biasa-biasa.

Sandwich aku kunyah perlahan. Sedap. Masih macam dulu. Ah… Lagi-lagi hal dulu. Yang aku ingin tahu apa yang berlaku tiga tahun ini.

“Erm Zarul. Awak kerja tempat lama lagi ke?” Soalku memecah kesunyian yang selalu saja jadi perantara kami.

Dia tersentak.

“Tak,” jawabnya sepatah.

“Jadi, awak kerja di mana sekarang?” Soalku lagi. Sengaja aku mengorek perihal dia.

“Syarikat kita.” Dia kerling kepada aku sekilas.

“Syarikat kita?” Terkejut aku. Jadi kami benar-benar berjaya mempunyai syarikat sendiri seperti yang aku inginkan. Patutlah kami punya kesenangan ini sekarang.

“Ya. Hurm. I dah lambat ni. I pergi dulu. You jangan kemana-mana tanpa I pula. Duduk rumah sahaja,” arahnya.

Dia langsung bangun membasuh pinggan dan cawan. Kemudian dia bergerak ke pintu. Aku mengekori dari belakang. Memerhati dia yang memakai kasut.

Dia bangun berdiri. Aku hulurkan tangan bersalam dengannya seperti rutin yang aku lakukan dahulu.

Dia kaget. Namun di sambut juga huluran tanganku.

Lalu dia hadiahkan satu kucupan di ubun-ubunku.

Take care,” pamitnya sebelum menghilang dari sebalik pintu.

Aku kembali ke dapur menghabiskan sarapanku.

Sesudah makan dan basuh pinggan. Aku memerhati sekeliling dapur. Serupa seperti dapur idamanku dulu. Nampaknya dalam masa tiga tahun ini semua impian aku sudah tercapai. Ruginya aku tak dapat mengingati semua itu.

Aku buka langkah ke anjung balkoni pula. Tersergah indah panorama Kuala Lumpur. Sibuk dan pesat. Sayup-sayup bunyi hon dan kesibukan kota menghiasi halwa telinga. Aneh… Kenapa hatiku terasa sunyi.

Baik aku selongkar lagi bilik aku. Mana tahu aku mengingati sesuatu. Kalau tak ingat juga. Aku selongkar bilik Zarul.

Arghh.. Sakit kepala aku. Kepala aku picit perlahan. Langsung aku tak ingat apa-apa. Yang ada hanya pakaian, bag tangan dan kasut-kasut yang berjenama menghiasi almari di bilikku. Suram. Bagaimana kehidupan aku tiga tahun ini sebenarnya? Aku rindu kehidupan kami ketika di flat murah tempat kami menyewa dulu. Ceria dan bahagia.

Aku masuk ke bilik Zarul pula. Mujurlah dia tidak mengunci bilik. Rapi. Zarul memang rapi orangnya. Tiada apa yang patut di hairankan.

Mataku singgah pada bingkai gambar di meja sisi katil. Gambar pernikahan kami.

Aku senyum sendiri. Nampaknya Zarul masih sayangkan aku. Kalau tak kenapa gambar ini menghiasi ruang di situ.

Aku peluk gambar itu seperti memeluk dirinya. Rindu. Aku rindu padanya.

 

 

“Reen?” Suara Zarul menerpa. Aku kaget. Langsung aku mengangkat muka memandang ke arahnya di muka pintu. Jelas riak terkejut di mukanya.

“You buat apa di bilik I?” Zarul menapak ke arah aku. Dia mengambil iPhonenya yang terletak di meja sisi.

Patutlah dia berpatah balik. Aku dongak memandangnya. Serta merta aku merasa sebak.

“Saya cuba nak ingat semula memori saya yang hilang,” ujarku perlahan. Bibir bawah ku ketap menahan rasa.

Zarul mengeluh. Dia turun melutut di hadapanku.

“Reen. Please jangan paksa diri you. I risau you sakit,” pintanya. Tangannya di letak ke lututku. Matanya sayu merenung ke dasar mataku.

“Tapi saya nak tahu, ” balasku perlahan. Air mataku mula bergenang.

Dia mengeluh berat.

Aku capai tangannya.

“Please Zarul. Ceritakan pada saya. Saya keliru bila awak dingin dengan saya. Awak layan saya seperti orang asing. Saya seperti tidak mengenali awak lagi.

Air mataku mula merembes keluar.

Dia terpempam.

“Reen.. Please dont cry. Bukan sekarang. Nanti bila you dah betul-betul sihat kita bincang ya.” Ibu jarinya hinggap di pipiku. Menyeka air mataku yang mengalir.

Matanya turut berkaca-kaca.

“Sayang! Sayang! You kat mana?” Suara perempuan bergema di ruang tamu.

Mata Zarul membulat. Pantas dia bingkas bangun dan keluar dari bilik.

Aku menghendap dari muka pintu bilik.

“You buat apa kat sini Linda? Kan I kata tunggu di kereta!” Suara Zarul meninggi memarahi perempuan tadi.

Why? Rumah ni bakal jadi rumah I juga kan?”

Perempuan itu membalas. Terbuntang mataku mendengarnya. Apa maksudnya? Dadaku bagai dipukul sesuatu. Kuat dan sakit.

Pantas aku menapak lebih dekat. Ingin mengenali siapa gerangan perempuan itu. Siapa tahu mungkin aku mengenalinya.

Shut up your mouth Linda! I tak pernah janjikan you apa-apa. Please hormat Reen. She’s sick!  Itu pun susah ke?” Zarul meninggikan suara sambil bercekak pinggang.

Aku hanya terkaku. Kedudukan Zarul membelakangi aku. Bebola mataku menghala kearah perempuan yang dimarahi Zarul. Aku mengerutkan dahi cuba untuk mengingati. Tak… Aku tak ingat langsung.

Perempuan itu tersenyum sinis bila perasan aku berdiri kaku di situ mendengar perbualan mereka.

Why Zarul? You takut dia dapat tahu kita nak kahwin? Takut dia dapat tahu you ada skandal dengan I?” Perempuan yang cukup seksi itu aku kira sedang memprovok Zarul.

Zarul mengenggam penumbuk.

Enough Linda! Jangan cabar kesabaran I. Baik you keluar sekarang,” arah Zarul tegas. Jari telunjuknya menghala ke arah pintu.

Perempuan bernama Linda itu langsung tak mempeduli amarah Zarul. Dia mendekat ke arah Zarul. Leher Zarul di paut. Lantas dia mengucup bibir Zarul tanpa segan silu. Terbuntang mataku. Entah kenapa aku masih kaku.

What the heck you’re doing Linda!” Tempik Zarul. Tangannya menolak kasar tubuh Linda.

What? You suka sebenarnya kan?” Linda ketawa suka.

Prang!!

Bingkai gambar yang masih aku peluk tadi terlepas.

Zarul terkejut. Dia pantas menoleh ke arahku. Wajahnya pucat memandang aku.

“Reen…”

“YouYou get lost Linda!” Pekiknya ke arah Linda.

Aku pantas berlari masuk ke bilik.

Pintu kuhempas kuat. Aku menyandar di pintu bilik menghambur tangisan.

Sekarang aku tahu kenapa dia bersikap dingin dengan ku. Kenapa kami tidak sebilik. Kenapa hubungan kami hambar.

Dia curang denganku. Dia khianati janji kami yang akan kekal setia selamanya.

Aku melorot ke bawah.

Sakit. Perit. Pedih aku rasa.

Kepala aku sakit memikirkan semua ini.

“Reen! Buka pintu ni. Please dengar penjelasan I. Reen!”

Rayu Zarul sambil mengetuk pintu bilikku bertalu-talu.

Aku langsung tidak pedulikannya. Aku hanya mengongoi kesedihan di sebalik pintu.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6


BELI NOVEL CINTA YANG DILUPA (PENULIS: MELL AURORA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *