Cinta Yang Dilupa – Bab 4

Tanganku meraba-raba tilam di sebelah. Pantas ku buka mata. Aku pandang sekeliling bilik itu. Kosong. Zarul tiada.

Aku bangun duduk di birai katil. Nafas ku hela berat.

Sakit. Hati aku masih sakit dengan perkhianatan Zarul bersama perempuan seksi itu. Masih terbayang ciuman rakus gadis yang tidak tahu malu itu.

Tapi, mengapa sukar untuk aku hapuskan rasa cinta yang ada untuk Zarul? Biar apapun yang pernah terjadi. Aku masih berharap ada lagi cinta untuk ku di hatinya.

Aku lihat jam dinding. Pukul 6 pagi.

“Dah bangun? Jom solat sama-sama.” Suara Zarul tiba-tiba menyapa. Dia muncul dari pintu bilik air dengan hanya bertuala. Aku tergamam. Hanya memerhati dia. Badan sasanya masih bersisa air yang menitis.

Rambutnya dikirai dengan tuala kecil. Kemudian dia melangkah pula ke almari. Susuk itu aku tatap penuh asyik. Zarul memang seorang yang mementingkan kesihatan. Maksud aku, dia tidaklah terlalu menjaga makan. Bukan juga kaki gim. Tapi dia suka bersenam. Dulu, asal ada cuti terluang dihujung minggu. Dia akan memaksa aku menemaninya bersenam.

Atau mungkin juga dia yang bekerja keras.

Maklumlah dia dulu buat pelbagai kerja sambilan yang memerlukan dia mengguna kudratnya.

Zarul menoleh padaku saat dia mencapai baju. Serta merta darah merah menyerbu ke mukaku.

Hish! Malu betul. Yang dok tayang badan tu kenapa? Ingat aku tergoda? Err.. Okey. Memang aku tergoda sikit… Tentulah. Bukankah tubuh itu yang aku ulit dulu. Mana aku tidak tergoda dan rindu.

“Reen? You tak sihat lagi ke?” soalnya. Dia menghampiri pada aku sambil menyarung pagoda putihnya.

Aku yang sedari tadi termangu spontan bangun berdiri. Jantung aku sekarang bagai ingin meloncat keluar.

“I… I’m okay. Saya pergi mandi dulu. Tunggu saya.” Aku melangkah laju ke bilikku. Dadaku yang berdebar aku tekap dengan tangan. Terasa jantungku berdetak laju.

Takkan aku jatuh cinta lagi? Dah berapa kali aku nak jatuh cinta? Dengan orang yang sama pula. Dengan suami sendiri. Dengan lelaki yang mengkhianati aku.

Arghh.. Sakit kepala aku memikirkannya. Baik aku pergi mandi cepat-cepat.

Usai bersiap. Zarul menanti aku di sejadah sambil berzikir. Kalau tengok dia yang nampak alim dan suci itu.

Siapa sangka dia tega melukai aku. Dan membiarkan dirinya digoda perempuan seperti Linda. Tak tercapai akalku sebenarnya.

Zarul dari dulu bukanlah kaki perempuan. Biarpun ramai yang terkejar-kejar akan dirinya. Kalau dulu, hanya aku dimatanya hingga aku yakin dia takkan pernah khianati aku walau apapun yang berlaku.

Tapi aku lupa. Hati manusia itu berubah-ubah. Masa dan keadaan mungkin akan merubah sekeping hati manusia yang sentiasa tergoda dek hawa nafsu dan hasutan syaitan.

Aku melangkah dan berdiri di belakangnya sebagai makmum.

Buat sekian lama aku terasa tenang. Suara Zarul yang mengalunkan doa terasa mendamaikan. Doa yang buat hatiku terharu dan pilu. Dia tak pernah lupa mendoakan kesejahteraanku sejak dulu.

Zarul menghulurkan tangan kepadaku dan aku menunduk mencium belakang tangannya. Zarul mengusap kepalaku yang masih bertelekung.

“Reen.. I minta maaf. I gagal jadi suami yang terbaik untuk you. I tahu you masih bingung. Dan you terluka dengan apa yang you lihat. I’m just…

Zarul mengeluh berat.

Jeda.

I’m sorry Reen,” ujar nya. Langsung dia cepat – cepat berlalu pergi.

Aku termangu tanpa kata. Hanya air mata yang mengalir lesu di pipi.

Ya ALLAH… Aku rindukan Zarul Afwan. Aku rindukan suamiku yang dulu.

Kalau harga kemaafan itu boleh mengembalikan kemesraan kami yang dulu. Aku rela. Aku rela memaafkan kesalahannya.

Aku pasti Zarul hanya tersasar langkah. Aku sebagai isteri sepatutnya teguh setia di sisinya. Zarul tidak pernah mengasariku.

Dia melayan aku dengan baik. Dia langsung tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Susah senang kami bersama.

Ya. Zarul hanya di duga.

 

 

Aku keluar dari bilik menuju ke dapur. Zarul sedang menyediakan sarapan. Tengok. Bagaimana aku boleh membenci dia. Sepatutnya aku yang lakukan semua itu. Bukan dia.

“Duduk lah. I buat garlic bread je.” Lincah Zarul menghidang ke pinggan.

Aku melabuh duduk di kerusi meja makan.

Thanks,” balasku pendek.

Zarul masuk ke bilik dan keluar semula dengan pakaian pejabatnya.

Aku yang baru selesai membasuh cawan menoleh ke arahnya.

“Err… Zarul. Boleh tak saya pergi kafe Azli?” Pintaku. Jari aku pintal sesama sendiri.

Tapi sekejap. Kafe Azli tu wujud lagi ke?

Zarul yang sedang minum tersedak. Terbatuk-batuk dia jadinya. Aku cepat-cepat berlari mengusap belakangnya.

“Nak buat apa ke sana?” Dia mendongak memandang aku dengan dahi yang berkerut.

“Yalah. Mana tau saya boleh ingat nanti. Kafe dia ada lagi kan? Lama saya tak jumpa dia,” ujarku ceria.

Dulu tika kafe Azli baru-baru buka setelah dia mengubahsuainya. Kami lah pengunjung pertamanya. Hingga kami terus bersahabat dengan dia. Azli yang banyak cakap. Kadang-kadang berbisa. Tapi dia baik hati.

Dan di kafe itu jugalah Zarul melamar aku untuk jadi isterinya. Banyak kenangan kami di sana.

“Bila nak pergi? Tunggu I balik kerja lah.” Zarul meneruskan suapan.

Aku menarik kerusi lalu duduk di sebelah nya.

“Ala. Saya pergi sendiri eh. Saya bosanlah. Awak kerja. Saya duduk rumah tak buat apa-apa pun,” rengekku manja. Lengannya aku goncang perlahan. Perlakuan yang tidak aku sengajakan.

Zarul memberhentikan suapan. Dia menggaru kening dengan siku di tongkat di meja. Langsung dia berdeham.

“Nanti I fikir kan.” Lantas dia bangun dan berlalu ke bilik.

Aku mencebik. Menyampah aku dengan dia yang kayu sekarang ni. Bosan tahu tak duduk rumah. Sudah lah tak ada jiran-jiran.

Aku melangkah ke ruang menonton. Tonton TV. Tapi entah apa-apa siaran pagi-pagi begini. Bosan.

Aku menyandar ke sofa sambil memejamkan mata. Sebelum aku terasa ada punggung yang menghenyak duduk di sebelahku.

Aku buka mata. Zarul selamba duduk dengan tangan sebelahnya di letakkan di belakang aku. Sebelah lagi menekan alat kawalan jauh.

Wajah Zarul aku pandang pelik. Dia sudah bertukar pakaian. T-shirt dan jogger pant. Kasual saja rupanya.

“Awak tak kerja ke?” Soalku pelik. Tadi bukan main elok berpakaian kerja. Tahu-tahu sekarang sudah macam nak melepak kat rumah pulak.

Dia menoleh ke arah ku. Merenung aku dengan pandangan redup.

“Kata bosan. Harini I teman kan you,” balas nya selamba.

Mataku membulat. Aku palingkan tubuhku padanya yang memang dekat denganku.

Serious?”

Dia mengangguk.

Spontan aku memeluk dia.

Thank you.

Dia terkedu.

 

 

“Awak. Janganlah laju sangat. Saya penat lah.” Aku mengelap peluh di dahi dengan belakang tangan. Kemudian aku membongkok sambil tangan menekan lutut.

Nafas aku sudah tidak teratur. Termengah-mengah jadinya. Nampak sangat stamina aku dah kurang. Ke aku dah tua? Haih!

Zarul la ni. Di ajaknya aku berjoging pula. Aku melangkah longlai ke tepi padang rumput. Langsung punggungku labuh duduk di situ. Zarul berlari anak mendapatkan aku.

“Penat ke?” Soalnya ikut duduk disebelah aku.

“A’ah… Penatlah…” Aku mengibas muka. Merah padam agaknya muka aku saat ini.

“Kejap eh.” Zarul bangun berlalu pergi. Aku memerhati sekeliling. Tasik yang tenang. Cuaca yang indah hari ini. Zarul bawa aku ke Taman Tasik Titiwangsa hari ini.

“Nah.” Zarul muncul semula dengan air mineral di tangan. Aku sambut air mineral yang dihulurnya. Terus aku meneguknya rakus.

“Zarul…” panggil aku meleret. Dia yang merenung jauh ke tasik aku pandang dari sisi.

“Hurm?” Jawabnya sepatah tanpa memandang aku.

“Awak betul-betul serius dengan Linda?” soalku perlahan. Aku menunduk bimbang Zarul marah biarpun aku tahu Zarul bukanlah seorang yang perengus.

Zarul mengeluh . Dia menoleh ke arahku.

“Reen, boleh tak kita lupakan hal Linda mahupun sesiapa? I tak mahu you tertekan. Tak elok untuk kesihatan you. Boleh kan?”  Badannya dipaling ke arahku pula.

Matanya menyusup ke dasar anak mataku. Seolah mengharap pengertian.

Tangannya diangkat sebelah lalu dedaun yang berguguran diatas rambutku dibuang satu persatu. Rambutku yang beralun ditiup angin pagi itu dirapikan dan di selit belakang telinga.

Aku hanya diam tanpa bicara. Sentuhannya yang lembut seolah dia Zarulku yang dulu. Matanya redup memandang aku. Aku pejamkan mata. Menikmati belaiannya itu. Namun tiba-tiba belaiannya terhenti.

“Jom balik,” ajaknya.

Aku buka mata. Dia sudah tegak berdiri sambil menepuk belakang seluar.

Aku mendongak memandangnya. Tangannya di hulur padaku. Tanpa banyak soal. Hulurannya aku sambut.

Zup!

Dia menarik aku hingga rapat ke dakapannya. Membulat mataku dibuatnya. Dia terkaku. Mata kami saling bertingkah.

Keadaan seolah sunyi sepi. Kami tenggelam dalam perasaan. Zarul mengeratkan pegangan tangannya.

Pinggangku di tarik dengan tangannya yang sebelah lagi. Rapat. Hingga aku mendengar detak jantungnya yang kencang.

Kencang seperti jantungku juga. Dagunya direhatkan di atas kepalaku. Bau badannya yang maskulin bercampur peluh tak pernah gagal mendebarkan aku.

“Kalaulah masa dapat di putar…”

Aku dengar bisikannya yang perlahan.

“Awak cakap apa?” Soalku. Aku mendongak memandangnya.

“Ehem. Jom balik,” ajaknya lagi. Lantas dia meleraikan pelukan. Langkah di atur laju meninggalkan aku.

Aku terpinga-pinga.

Arghh… Kenapa dia suka dera perasaan aku macam ni? Kata tak mahu aku tertekan. Tapi sikapnya yang macam entah apa-apa tu buat aku lagi tertekan tahu tak? Sekejap layan aku romantis. Sekejap dingin macam ais.

Nak saja aku jerit . Kau sayang aku lagi tak? Arghh! Geramnya.

Aku menghentak kaki mengekorinya tanda protes. Nak saja aku cekik-cekik lehernya itu. Sakit betul hati aku.

Dalam kereta aku hanya mendiamkan diri. Aku masih sebal dengan sikapnya. Dia? Macam itulah beku tanpa perasaan. Nak mengharap dia pujuk? Hurmm… Beranganlah aku.

Suasana beku dan dingin itu berlarutan hingga ke dalam rumah. Selesai membersihkan diri. Aku hanya berkurung dalam bilik. Keterujaan aku pagi tadi sudah lenyap sama sekali.

Aku masih bingung dengan sikap Zarul pada aku. Nak kata dia dah tak sayang aku. Nampak macam sayang. Tapi nak kata dia sayang. Dia macam tak sayang. Zarul dulu ramah dan ceria. Bukan dingin seperti itu.

Arghh!! Geramnya. Badan aku baring ke tilam. Bantal ku tekup ke muka. Menjerit sekuat hati.

Bunyi ketukan di pintu hampir saja buat aku melompat.

Dengan malas aku buka pintu bilikku. Zarul berdiri di muka pintu.

“Kata nak ke kafe Azli. Siaplah,” ujarnya dengan tangan di masuk ke dalam poket jeansnya. Dia sudah bersiap.

“Okey,” balasku sepatah.

Aku hanya mengenakan jeans dan t-shirt. Di luarnya ku sarung kardigan. Rambut aku lepas dan di cekak.

Usai bersiap. Aku lihat dia sedang bersantai menonton televisyen.

Aku berdeham. Dia berpaling ke arah aku seakan terpegun.

“Dah siap?” Soalnya.

“Ya.” Aku angkat kening. Kenapa? Ada yang tak kena ke dengan penampilan aku?

“Err. Okey. Jom,” ajaknya.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6


BELI NOVEL CINTA YANG DILUPA (PENULIS: MELL AURORA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *