Cinta Yang Dilupa – Bab 5

Aku terpegun melihat persekitaran Kafe Azli. Terlalu banyak yang berubah. Konsepnya lebih hipster kata orang.

Mata aku meliar memandang sana sini. Sungguh aku bagai tidak percaya. Dulu kafe ini hanya kafe kecil ala kopitiam. Tapi tengoklah sekarang. Berbangga pula aku punya sahabat macam Azli. Yang mampu membangunkan kafe yang dulu kecil menjadi sebegini hebat.

Aku melangkah ke tempat kegemaran aku dan Zarul satu ketika dulu. Di tingkat atas. Ada satu beranda di situ.

Air mataku hampir gugur. Pokok besar itu masih ada. Beranda itu juga kekal seperti dulu. Malah meja tempat kami suka melepak masih terletak elok.

Aku menapak ke kerusi di mana tempat menjadi saksinya janji antara kami. Meja dan kerusi itu aku usap perlahan dengan jemariku. Mataku pejam seketika. Mengimbas kenangan hampir 4 tahun dahulu.

Bayang-bayang ketika Zarul melamar aku terlayar bagai wayang gambar.

Zarul pimpin tanganku setelah mataku diikat olehnya. Entah apa agendanya kali ini.

“Kita nak ke mana ni Zarul?” Aku berhati-hati melangkah. Ya aku tahu ini kafe kegemaran kami. Tapi atas tujuan apa Zarul menutup mataku? Fikiranku mula menerawang. Kejutan apa yang Zarul ingin lakukan?

“Ke syurga kita berdua. Jaga-jaga sayang.” Zarul tergelak kecil. Tanganku digenggam erat olehnya. Aku mengikut langkahnya hingga ke langkah terakhirnya.

Dia membuka kain yang terikat di mataku. Aku mengerdip mataku beberapa kali. Mataku meluas bila melihat sekelilingku.

Ruang atas kafe Azli dihiasi dengan kelopak bunga mawar yang bertaburan. Lampu kelip yang berwarna-warni menerangi suasana malam itu. Terasa indah sekali.

Zarul menarik tangan aku ke meja yang sudah terhidang makanan. Kerusi ditarik olehnya buatku. Senyuman tak lekang dibibirnya. Aku masih lagi terpinga-pinga.

Alunan muzik mula menghiasi ruang itu.

Zarul melutut di tepi kerusiku.

“Nisreena binti Zainal. Sudikah awak menjadi isteri saya? Saya tak menjanjikan bulan dan bintang. Tapi saya berjanji akan menjadi suami yang setia. Yang akan menjaga awak hingga nafas terakhir saya.” Lantas sebentuk cincin dikeluarkan dari poket seluarnya.

Aku tergamam. Tanganku tekup ke mulut. Sungguh aku tidak menjangka dia akan melamar aku dengan cara begini. Oh bagaimana lagi cara yang aku harapkan. Kami tidak punya ibu bapa. Selama ini kami hanya berpaut antara satu sama lain. Ini sudah terlalu indah buatku. Terlalu indah.

“Saya setuju jadi isteri awak. Saya pegang janji awak, Zarul” balasku mengangguk dengan tersenyum lebar.

Ah. Janji yang tinggal janji. Zarul sudah pun memungkiri janjinya.

Aku terduduk lemah di kerusi itu. Air mataku mula bergenang. Aku toleh pada Zarul. Dia sedang rancak berborak dengan Azli sebelum anak matanya menyabung anak mataku. Dia melangkah menghampiri aku.

Tiba-tiba bahuku di tepuk dari belakang. Aku sedikit tersentak. Pantas kepalaku tertoleh kebelakang.

“Shima?”

“Kau buat apa kat sini?” Soal Shima dingin. Shima juga sahabat kami. Aku kenal dia sebagai pelanggan di sini pada mulanya. Lama-lama kami makin rapat. Dan aku berkongsi segala keluh kesahku dengan Shima.

Tapi sekarang kenapa Shima dingin? Wajahnya kelihatan tegang sekali. Seolah tidak rela menegurku.

“Sayang… tegur Azli yang datang menghampiri kepada kami bersama Zarul dibelakangnya.

Eh sekejap! Azli panggil Shima sayang? Wow! Bukankah Shima dan Azli dulu bagaikan Palestin dan Israel? Asyik nak berperang je. Ada apa-apa yang aku dah terlepaskah?

Aku mengerutkan dahi. Wajah Azli dan Shima aku pandang bersilih ganti. Aku alihkan pandangan pada Zarul pula. Dia hanya senyum simpul sambil pandangannya menghala ke arah lain. Bahu di jongket sedikit. Dengan selamba dia mengambil tempat duduk di hadapan aku dan tersengih-sengih memandang Azli.

“Korang…” Aku pandang Azli. Azli memeluk bahu Shima yang masih berpeluk tubuh itu.

“Ya. Kami dah kahwin setahun yang lepas,” akui Azli sambil tersengih.

Aku spontan bangun. Membulat mataku bagaikan tidak percaya.

“Oh mai… Shima. Kau tak pernah bagitau pun. I’m so happy for you.” Tubuh Shima aku raih dan peluk. Shima terkaku bila aku memeluknya. Lama-lama dia balas juga pelukan aku.

“Jadi kau tak ingat apa-apa yang berlaku sepanjang tiga tahun ni?” Soal Shima bersungguh setelah kami kembali baik.

Aku mengangguk. Aku toleh sekilas pada Zarul dan Azli yang sudah meninggalkan kami berdua.

“Langsung tak?”

“Ya. Aku tak ingat langsung. Kepala aku sakit bila nak ingat balik. Berdesing kepala aku tiap kali aku cuba nak ingat.” Keluh aku kembali memandang Shima. Bukan aku tak cuba. Tapi setiap kali aku cuba sakit kepala tu pasti menyerang sehinggakan aku rasa putus asa saja. Biarlah memori itu terus berlalu.

Shima menggeleng kepala. Masih lagi seolah tak percaya.

“Mungkin kau tak patut ingat memori tu. Lagipun aku suka sahabat aku yang dulu dah kembali,” ujar Shima sambil tersenyum. Dia menyentuh kekura tanganku.

Aku merenung wajah Shima. Keliru dengan kata-katanya.

“Apa maksud kau dengan aku yang dulu dah kembali? Aku tak faham.”

Shima berdeham. Dia menoleh ke arah Zarul dan Azli yang sedang berborak di meja bar.

Agak jauh dari kami. Bebola mataku ikut mengarah pada pandangan matanya.

“Azli tak bagi aku ungkit kisah yang berlaku dalam masa tiga tahun ni. Tapi aku rasa tak adil untuk kau. Kau patut tahu juga kisah hidup kau kan?” Shima kembali memandang aku. Jelas riak serba salah di wajahnya.

Jantung aku berdegup kencang apabila mendengar kata-kata Shima. Apa yang terjadi sebenarnya selama tiga tahun ini?

“Shima, bagitahu aku. Aku nak tahu. Please… Aku rungsing, aku sedih. Zarul dah tak seperti Zarul yang dulu. Dia dingin Shima. Dia dah berubah.” Keluh ku pilu. Mataku terkebil-kebil memandang Shima dengan harapan dia akan menceritakan apa yang berlaku. Pedih. Air mata hampir saja menitis. Kalaulah Shima tahu apa yang bergolak dijiwaku. Keliru, sakit dengan apa yang aku lalui.

“Zarul berubah bersebab Reen. Kau yang berubah dulu. Kalau kau nak tahu. Kita berdua dah lama tak bertegur sapa. Ikutkan aku menyampah nak layan kau lagi. Tapi Azli yang pujuk aku. Lagipun kalau bukan sebab kau gaduh dengan aku. Aku dan Azli mungkin tak rapat dan jatuh cinta. So, aku maafkan kau.”

Aku terlopong mendengar bicara Shima yang panjang lebar itu.

Aku berubah? Liur ku telan kesat.

Jadi Zarul berubah kerana aku yang berubah? Perubahan bagaimanakah sikap aku dulu?

Aku pandang Zarul. Jadi kerana aku yang berubah. Zarul ambil peluang mencari wanita lain? Begitu?

“Shima… Aku berubah macam mana? Bagaimana sikap aku sepanjang tiga tahun ni Shima?”

Aku semakin penasaran. Lengan Shima aku goncang meminta penjelasan. Kenapa Shima sampai menyampah dengan aku? Teruk sangatkah perbalahan kami?

Shima mengeluh.

“Banyak Reen. Sampai aku lupa aku pernah ada sahabat bernama Nisreena. Kau buang kami dulu Reen. Kau jadi angkuh dan sombong dengan apa yang kau ada. Kami ini kau pandang hina. Tiap kali kita bertembung hati aku ni sakit. Sakit sangat Reen. Kita pernah rapat dan berkongsi segalanya. Namun, kerana kau sudah mencapai bintang di langit. Kau pandang hina kami yang masih di rumput.” Shima menepuk dadanya. Di matanya penuh kekecewaan akan sikap aku yang dulu.

Aku menekur memandang meja. Kepala ku ampuh dengan kedua tanganku. Cuba lagi mengingati apa yang berlaku. Namun tetap gagal. Kosong. Apakah benar kata-kata Shima? Mustahil aku berubah hingga sebegitu.

Aku mengangkat muka memandang Shima yang menahan tangis. Namun, Shima sahabatku. Dia tidak pernah mungkin berbohong pada aku. Melihat bias kecewa di matanya aku tahu kata-katanya benar belaka.

Aku angkat tangan ke atas meja. Menyentuh tangan Shima yang terletak di atas meja itu.

“Shima. Aku tak tahu apa yang berlaku. Tapi apapun yang berlaku aku minta maaf sekiranya aku pernah menyakiti kau dengan sengaja atau tanpa sengaja. Aku minta maaf sangat-sangat.” Tangannya ku genggam erat. Air mata aku juga bergenang. Menitis perlahan jatuh menuruni pipi. Apa yang telah berlaku? Teganya aku melukai hati insan-insan yang pernah memberi sokongan padaku dulu.

It’s okay. Aku gembira kau yang dulu dah kembali. Aku rindu kau sangat-sangat,” ujar Shima dengan suara serak. Shima mengusap air mataku. Dia tersenyum manis. Senyuman yang kini terukir dengan keikhlasan.

“Shima… Apa patut aku buat? Aku rindukan Zarul yang dulu. Dia dingin dengan aku,” keluh aku kemudiannya.

Aku tarik tanganku. Aku pandang Zarul yang masih rancak berborak dengan Azli. Saat Zarul menoleh padaku cepat-cepat aku berpaling semula pada Shima. Aku tak mampu berdepan dengannya. Aku rasa bersalah. Entah atas sebab apa.

Wajah Shima berubah.

“Hurmm Reen. Fasal kau dan Zarul aku tak masuk campur. Tapi daripada kau fikir fasal tu. Apa kata kau bekerja semula. Sekurangnya kau tak stres duk di rumah kan. Aku kenal kau Reen. Kau jenis yang tak boleh duduk saja macam tu. Tapi bila dah bekerja. Aku harap kau tak kembali pada sikap kau yang menjengkelkan itu.” cadang Shima dengan sedikit peringatan dihujung ayatnya. Dia picingkan matanya pada aku seolah ianya amaran yang tegas.

Tiba-tiba saja cerah mataku. Ya. Aku nak kerja semula. Mana tahu aku boleh ingat apa yang telah terjadi.

Senyuman ku melebar. Namun seketika cuma, apakah Zarul akan memberi keizinan kalau aku ingin bekerja semula?

“Tapi… Zarul bagi ke?” Keluh ku perlahan. Bahuku jatuh ke bawah semula.

“Hey! Kau dulu hebat bab memujuk Zarul tau. Pujuk lah dia. Mesti dia bagi punya. Dia tu mudah cair kalau dengan kau.” Shima memberi semangat lagi.

Itu dulu Shima. Sebelum ada perempuan lain dalam hidupnya. Aku tak pasti andai Shima tahu tentang itu. Tapi aku tak mahu membuka aib suamiku. Biarlah rahsia rumah tangga kami hanya aku dan Zarul sahaja yang tahu.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6


BELI NOVEL CINTA YANG DILUPA (PENULIS: MELL AURORA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *