Cinta Yang Dilupa – Bab 6

Aku pandang wajahku di cermin. Rambutku rapi cantik-cantik. Wangian jenama Dior itu aku ambil dan sembur sedikit di pergelangan tangan. Dulu, lalu butik Dior hanya boleh pandang sebelah mata. Bukan sebab tak suka. Sebab tak mampu. Liur sahajalah yang mampu aku telan. Dan kini wangian itu yang mengharumi aku.

Aku kenakan gaun  malam separas paha yang agak seksi. Okey. Tidaklah seksi sangat pun. Cuma setelah sekian lama. Segan juga aku mahu berpakaian seperti ini di hadapan Zarul. Aku bukan nak goda dia. Aku cuma nak pujuk dia supaya izinkan aku bekerja semula. Itu sahaja kut. Mana tahu dia tergoda dengan pujukan aku. Tapi betul ke Reen? Perlukah aku berpakaian begini? Come on. Dia suami aku kan? Tak salah kut aku goda dia sedikit.

Aku menjengah kepala keluar sedikit dari pintu bilik. Perlahan-lahan aku berjengket-jengket mencari dia. Mataku meliar melihat keliling rumah.

Bingo! Zarul sedang menonton televisyen.

Fuh! Nafasku hembus perlahan membuang debar.

Perlahan aku menghampiri Zarul. Selamba aku melabuhkan punggung di sisinya. Rentak di dada cuba aku kawal. Janganlah dia perasan kegugupan aku ini.

Zarul tersentak. Pantas dia menoleh ke arahku. Dan dia terpegun tidak berkedip memandangku.

Aduhai malunya. Aku rasa wajahku ini bagai di bakar. Bahang. Panas. Malu! Namun demi misiku aku selambakan diri. Aku kibas wajahku seketika sebelum aku kalih pandang padanya dan memberi senyuman kekok.

“Kenapa pandang saya macam tu?” soalku dengan nada bergetar. Seram betul. Pandangan Zarul bagai menelanjangi aku.

Zarul berdeham. Dia pantas mengalihkan pandangan ke arah siaran TV yang memaparkan berita. Namun dapat aku lihat dia kelihatan serba tak kena. Satu siaran ke siaran yang lain dia menekan alat kawalan jauh itu.

Keadaan kembali sunyi antara kami. Hanya suara dari televisyen yang melatari ruang itu.

“Erm… awak… Saya nak minta sesuatu boleh?” soalku dengan suara yang di lunak manja. Sebolehnya aku membuang malu yang bertandang sekaligus memecah kesunyian tadi.

“Ya?” Zarul menoleh ke arah aku. Dan dia kelihatan sedikit terkejut melihat aku yang semakin dekat dengannya. Aku merenung matanya dalam-dalam. Ahh… Betapa aku rindu sinar cinta dari mata itu. Masihkah ada walaupun sepercik kasih untukku lagi?

Zarul seolah terkesima. Aku lihat halkumnya yang bergerak menelan liur. Bibirnya sedikit terbuka.

Aduh! Tak boleh jadi ni. Mahu terbabas juga aku.

Aku memejamkan mata seketika. Lengannya ku capai dan genggam.

“Saya nak kerja semula boleh tak?” Soalku sekali nafas. Mataku buka perlahan-lahan.

Zarul menarik nafas lega. Sedikit senyuman tersungging di bibirnya. Namun cepat-cepat dia mematikannya bila perasan aku memerhatikannya.

“Fasal tu saja ke?” Soalnya semula.

“Ya. Bolehlah ya? Saya tak boleh lah duduk rumah tanpa buat apa-apa. This is not me,” rengekku dengan mulut memuncung. Tanpa aku sedari tangan Zarul sudah memeluk bahuku. Menarik aku rapat kepadanya hingga aku mendengar jelas detak jantungnya.

“I tahu..,” bisiknya perlahan. Tangannya dari bahu sudah naik ke kepalaku pula. Galak membelai rambutku.

Jantungku sudah berdetak kencang. Rasa asyik diperlakukan begitu membuat aku terdiam dan membiarkan sahaja perlakuannya.

So? Boleh ke?” Soalku gugup. Dan sekarang leherku mula meremang bila Zarul menyembam muka di kepalaku. Menghidu haruman rambutku. Sama seperti dulu. Bila dia berhajat dalam hubungan suami isteri.

Aku menelan liur. Ya TUHAN. Aku belum bersedia. Macam mana ni?

Are you sure you dah ready Reen?” Bisiknya garau.

Gulp! Spontan aku duduk dengan tegak.

No! Err. I mean yes for a work. Erm…Ya. Saya dah sedia nak kerja semula.” Arghh… Apasal aku ni??

Zarul tersentak. Dia membetulkan duduk. Wajahnya kelihatan merona merah.

“Ermm. Okey,” balasnya sambil menggesel hidung.

Spontan aku menoleh kearahnya lalu membulatkan mata. Seriously? Semudah tu sahaja?

Thanks.” Teriakku teruja. Tanpa sedar aku memeluknya erat. Zarul terkedu.

“Ops sorry. Esok saya ikut tau. Saya masuk tidur dulu.” Laju aku bangun lalu berlalu ke bilik.

Malu!!

 

 

Pagi-pagi aku sudah bersiap dengan pakaian pejabat. Semangat gitu.

Zarul agak terpegun dengan penampilanku. Dia baru sahaja keluar dari bilik dan kami bertembung di depan muka pintu bilik.

Why?” Aku menjongket bahu. Keningku angkat kehairanan. Aku lihat ke tubuhku. Ada yang tidak kenakah? Aku kira ini pakaian yang ‘Reen’ selalu pakai. Sebab semua pakaian pejabat yang ada seperti ini.

Nothing. You look er… Like You.” Zarul tersenyum nipis sambil dia membetulkan tali lehernya.

Let me.” Tanpa di suruh aku membetulkan tali lehernya. Dia hanya memandang aku tanpa berkerdip.

“Erm… Hari ni I tak buat breakfast. Kita sarapan di luar okey,” ujarnya usai aku mengemaskan pakaiannya.

“Okey,” balasku ceria. Aku mengekori langkahnya ke muka pintu.

Bahagianya… Biarlah aku kelihatan syok sendiri. Tapi pergi bekerja dengan suami bersama-sama begini memang impianku dari dulu.

Aku pandang bangunan lima tingkat yang tersergam indah itu.

Wow! Wow! Betulkah aku dan Zarul yang usahakan semua ini dalam masa tiga tahun sahaja.

Aku mengekori langkah Zarul. Hatiku berdebar-debar. Bagaimanalah reaksi para pekerja bila melihatku?

Kata Zarul pekerja di situ ada 150 orang semuanya. Kami usahakan syarikat penerbitan Majalah fesyen dan juga penjenamaan fesyen sendiri. Aku juga kini pereka fesyen yang terkenal. Ya ALLAH. Cita-citaku menjadi nyata. Doaku saban hari dulu dimakbulkan TUHAN.

Saat kaki melangkah ke ruang tempat aku bekerja itu. Aku lihat semua pekerja seolah terkejut dan takut-takut melihat aku. Namun aku tetap memberi senyuman paling manis.

“Ya ALLAH Reen. Rindunya aku kat kau.” Tiba- tiba muncul seorang gadis seksi menerpa ke arahku. Pipi kiri dan kananku di cium olehnya. Menyapa cara barat.

Tangannya memegang kedua belah bahuku.

Aku mengerutkan dahi. Siapa pula ni? Aku kenal ke? Rapat semacam pula. Yang lain semuanya menikus. Hanya dia yang tanpa segan silu memeluk aku.

Sorry… Sorry.. Lupa pula kau tak ingat. Aku Fatin. PA cum sahabat baik kau kat sini.” Gadis di depanku itu memperkenalkan diri.

Okey. Aku ada sahabat baik. Syukurlah. Walaupun aku tidak menyangka sahabat baik aku secantik dan seseksi ini.

“Fatin. Biar aku bawa Reen masuk bilik aku dulu. Kau kemas bilik dia apa yang patut dulu. Jom Reen,” ajak Zarul ke bilik pejabatnya.

“Okey. Pergilah. Nanti cerita kat aku tau apa yang berlaku. Zarul tu secretive sangat. Urgh! ” Fatin membuat muka. Tergelak kecil aku di buatnya. Aku hanya mengangguk sambil berlari anak mengejar langkah Zarul.

Aku hanya memerhati Zarul yang leka dengan kerjanya. Asyik sungguh.

“Sayang. Kan seronok kalau kita kerja sama-sama. Saya dan awak buka empayar kita dan terbang tinggi mencapai kejayaan.”

“Insya-ALLAH, honey. Saya akan sentiasa mendoakan kejayaan awak. Akan di sisi awak selalu. Bukankah cita-cita awak cita-cita saya juga?”

“Reen” suara Zarul menyentak aku dari kenangan dulu. Cepat-cepat aku meraup muka.

“Ya?” Soalku sambil memandang dia yang sudah bangun dan menghampiri padaku.

“I ada meeting sekejap lagi ni. Kalau you bosan boleh ke bilik you. Nanti I panggil Fatin,” beritahu Zarul.

“Boleh juga. Mana tahu saya boleh ingat kalau di bilik sendiri.”

Aku bangun berdiri dari sofa. Zarul pantas menekan interkom memanggil Fatin. Tidak lama kemudian Fatin muncul di muka pintu.

“Pergilah. I pun nak ke bilik meeting ni,” ujar Zarul sambil mengemaskan fail yang berselerak dia atas meja.

“Ermm, Zarul?” panggilku. Zarul menoleh padaku sambil mengangkat kening.

Good luck.” Aku lemparkan senyuman manis buatnya. Zarul terkesima.

Thanks,” jawapnya dengan senyuman nipis.

 

 

Aku mengekori langkah Fatin ke bilik pejabatku. Sekali lagi para pekerja hanya menunduk bila aku melintasi mereka. Pelik. Kenapa mereka seolah takutkan aku?

Masuk sahaja ke dalam bilikku. Terus aku menyoal Fatin.

“Kenapa ya semua staf macam takut je dengan saya?”

Fatin mengerutkan dahi dan kemudiannya dia menepuk dahi sendiri.

“Reen…Reen. Ni memang bukan kau,” Fatin tergelak kecil.

“Kenapa awak cakap macam tu?” Sungguh aku sekarang betul-betul kehairanan.

“Okey.. Okey.. Jom duduk,” ajak Fatin. Kami duduk di sofa.

“Minum?” soalnya. Fatin menghulurkan setin Nescafe dari dalam ice box kecil yang terdapat dalam bilik itu.

Aku menyambut tanpa membukanya.

“Hurmm… Kau langsung tak ingat apa-apa?” soal Fatin seraya melabuhkan duduk berhadapan dengan ku. Dia kini menumpukan perhatian padaku.

“Okey. Aku cuma ingat peristiwa hingga tiga tahun lepas sahaja. Tentang syarikat ini. Aku langsung tak ingat apa-apa. Maksud aku tiga tahun kebelakangan ini,” ujarku. Aku mula selesa berborak dengan Fatin.

“Oo… Patutlah kau tak ingat aku. Kita kenal masa syarikat ni mula buka.” Dia membuka air tin Nescafe itu dan meneguknya.

“Boleh kau bagitau aku macam mana sikap aku dulu dan semuanya? Fasal Zarul,” soalku perlahan. Wajah Fatin sedikit berubah. Dia kemudiannya tersenyum nipis. Tin ditangan diletakkan ke meja kopi.

Fatin menghela nafas. Menatap aku lama.

“Masa mula-mula kau dan Zarul baru buka syarikat ni korang okey je. Tapi bila Puan Sri Nelly mula jatuh cinta dengan design baju kau. Then tiba-tiba nama kau boom! meletup. Syarikat semakin sibuk. Business terus maju hingga menjana keuntungan berganda-ganda. Masa tu lah kau mula berubah Reen. Kau jadi perengus. Riak. Sombong. Garang. Semua staf jadi takut dengan kau kecuali aku. Sebab aku hati sado. Hehehe…” Fatin menceritakan segalanya.

Aku menelan liur. Seteruk itukah perangaiku ?

“Zarul? Dia tak tegur akukah?” soalku seakan tidak percaya cerita Fatin tadi.

“Zarul? Dia paling terluka Reen. Kau hilang hormat pada dia. Sebab bagi kau. Kau yang majukan syarikat ni. Bukan dia. Kau buat dia macam musuh. Aku bukan nak sakitkan hati kau ni. Aku rasa kau patut tahu semua ni. Mungkin semua ini ada hikmahnya.” Fatin menyentuh tanganku.

Air mataku mula mengalir. Patutlah Zarul dingin denganku. Hatinya telah tercalar dengan sikapku. Disokong dengan cerita Shima. Segalanya makin jelas mengapa Zarul dingin denganku. Dia terluka. Pastinya terlalu terluka hingga dia sanggup menduakan aku.

“Ta….tapi dia curang dengan Linda,” ujarku meluah rasa. Terbayang ciuman Linda di bibir Zarul biarpun aku nampak Zarul memarahi Linda hari itu.

Fatin sekali lagi berubah air mukanya.

“Mana kau tahu? Kau ingat Linda?” Soal Fatin agak terkejut.

Aku menggeleng.

“Linda ke rumah kami. Dia mengaku mereka ada hubungan dan bakal berkahwin,” ujarku dalam sendu.

Fatin merengus.

“Linda tu psiko, Reen. Jangan percaya dia. Percayakan aku. Zarul tak pernah curang dengan kau. Dia cuma gunakan Linda untuk buat kau sakit hati,” balas Fatin bersungguh sebelum telefon pintarnya berbunyi tanda ada pesanan masuk.

“Reen. Aku kena ke bilik meeting ni. Kau tunggu sekejap ye.” Fatin bangun lalu menghilang di sebalik pintu tanpa sempat aku berkata apa-apa.

Aku menekan kepala. Kenapa aku tetap tak ingat apa-apa? Aku nak tahu kenapa aku berubah begitu. Kenapa aku tega lukai Zarul sebegitu sekali? Zarul… Lelaki tercintaku. Arghh. Aku tak percaya sikapku sebegitu.

Aku mundar-mandir. Aku menghampiri meja tempat aku bekerja. Mencari sesuatu yang boleh mengingatkan aku tentang apa yang berlaku.

Tanganku lincah menyelongkar setiap laci di meja.

Akhirnya mataku ternampak sebuah planner. Aku buka satu persatu. Ada beberapa nota dan lakaran.

I’m stress out. I need medicine!

Aku selak lagi.

I’m tired to live like this anymore…-

Selak lagi.

Dan selak lagi.

Can’t wait for next session 🙂 wait for me.

Membulat mataku. Sesi apa? Dan tarikh ini sehari sebelum aku kemalangan.

Aku membuka buku planner itu. Satu kertas kecil jatuh dari buku tersebut.

Dr.Alfiy Raqib

Pakar psikiatri

Klinik pakar Dr. Alfiy & Dr.Laila

Mental health specialist

Sesi? Mataku membulat lagi. Maknanya aku mungkin mengambil khidmat Psikiatri. Dan Dr. Alfiy mungkin mengetahui banyak tentang diri ku. Apa yang aku rasa selama ini. Pasti sahaja dia mengetahuinya.

Bag tangan aku capai. Buru-buru aku ingin menemui Dr.Alfiy.

Aku terserempak Fatin di muka pintu.

“Kau nak kemana?” soal Fatin cemas.

“Aku nak pergi jumpa Dr. Alfiy sekejap,” balasku langsung meninggalkan Fatin yang kebingungan.


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5  BAB 6


BELI NOVEL CINTA YANG DILUPA (PENULIS: MELL AURORA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *