CUACA mendung pagi itu membuatkan Dahlia mempercepatkan langkahnya ke stesen komuter. Dia mendongak memandang ke arah langit yang semakin gelap. Melihatkan awan hitam sudah mula berkumpul di kawasan itu, Dahlia memanjangkan lagi langkahnya. Nasib baik hari ini dia memakai cargo pants. Jika dia memakai baju kurung atau skirt, pasti dia tidak dapat bergerak sepantas ini.
Tiba-tiba dia merasakan ada titis-titis air menimpa kulit mukanya. Serentak itu beberapa orang yang juga menuju ke stesen komuter sepertinya mula berlari-lari anak ke stesen itu. Titisan air tadi mula menjadi kasar, menandakan hujan sudah mula turun. Dahlia turut berlari ke stesen komuter. Sebaik sahaja dia menjejakkan kaki di tangga stesen, hujan mula turun dengan lebatnya.
“Alhamdulillah, nasib baik sempat sampai,” bisik hati kecil Dahlia.
Dia mengeluarkan sehelai tisu daripada beg silangnya lalu mengelap wajah yang ditimpa titisan air hujan tadi. Tisu basah di tangan dibuang ke dalam tong sampah berhampiran. Kemudian dikeluarkan kad Touch n Go yang awal-awal lagi sudah disimpan di poket kecil beg silangnya. Sambil itu matanya memandang ke arah orang ramai yang beratur menanti giliran hendak menggunakan mesin Touch n Go di depannya.
“Apa hal pula yang perlahan sangat bergeraknya barisan ni?” ngomel Dahlia seorang diri. Mesin yang sepatutnya melajukan kerja orang, dah makin melambatkan pula jadinya!
Dia membuat kira-kira di dalam kepalanya. Ada tujuh orang yang sedang beratur menunggu giliran di mesin itu. Dia berkalih memandang ke arah kaunter. Ada beberapa orang turut beratur di situ. Dahlia mengeluh sendiri. Kenapalah semuanya serba lembap pagi ni?
Sesekali dia membalas senyuman mereka yang tersenyum ke arahnya. Walaupun jarang bertegur sapa, tapi Dahlia kenal wajah-wajah itu. Masakan tidak, dia sudah menjadi pengguna setia perkhidmatan komuter di situ sejak beberapa tahun yang lalu. Setiap pagi jam 7.30 pagi dia akan ke sini, menunggu tren yang akan membawanya ke tempat kerjanya, Megah Travel and Tours. Dan wajah-wajah itulah yang sering dilihatnya.
Dahlia memanjangkan lehernya melihat ke depan. Rasanya macam tak bergerak-gerak sahaja barisan daripada tadi.
“Lembap betullah perempuan ni!” rungut seorang lelaki di depannya. Dahlia kerling si empunya suara.
“Kenapa encik?” tanya Dahlia.
“Entah! Tak tahu apa masalahnya perempuan tu dok terkial-kial depan mesin tu.” Jawab lelaki itu bengang.
“Hoi perempuan, kalau tak jumpa kad tu ke tepi ajelah! Orang lain nak cepat ni! Menyusahkan betullah” jerit lelaki tu lagi.
Sakit juga hati Dahlia mendengar kata-kata itu. Kalau ya pun, janganlah nak di hoi-hoi- perempuan kan orang di depan tu. Tak beradab langsung! Dia pun nak cepat juga tapi tak perlu agaknya nak kurang ajar begitu.
Dahlia baru sahaja nak buka mulut membahasakan lelaki botak di depannya itu namun terbantut niatnya bila barisan dah kembali bergerak lancar.
Selesai transaksi, Dahlia segera menolak palang yang memisahkan tempat menunggu tren dengan laluan keluar. Sambil membawa langkah bergerak ke lorong kecil untuk ke tempat menunggu tren, sempat matanya sempat memandang ke arah kirinya. Matanya menangkap tubuh seorang gadis yang memakai sepasang baju kurung berwarna hijau muda. Kepala gadis itu sedang menunduk sambil tangannya meraba-raba mencari sesuatu di dalam beg tangan yang
disandang di bahunya.
Hati Dahlia menjadi belas. Terbayang di kotak fikirannya kelibat seorang gadis berbaju kurung dengan sebuah beg sandang lusuh di tempat yang sama beberapa tahun dahulu.
Cuma bezanya, ketika itu nasib gadis itu agak baik kerana ada insan yang sudi menghulurkan bantuan ketika gadis itu kekurangan syiling untuk membeli tiket. Simpati dengan nasib gadis berbaju kurung hijau muda itu membuatkan Dahlia melangkah ke arahnya. Melalui pagar pemisah antara dua ruang itu, Dahlia bertanya kepada si gadis.
“Boleh saya tolong?” Gadis itu mendongak memandang ke arah Dahlia. Riak kelegaan jelas terpancar di wajah putih melepak itu.
“Saya tertinggal dompet kat dalam kereta. Kad Touch n Go, duit saya semua tak ada…” Jawab gadis itu perlahan. Matanya sudah berkaca-kaca.
“La… ya ke?”
Si gadis mengangguk perlahan. “Handphone pun tertinggal sama…” keluh gadis itu perlahan.
Makin berganda simpati Dahlia pada si gadis.
“Cik nak ke mana?”
“Saya nak ke KL Sentral…”
Tanpa berfikir panjang, laju sahaja Dahlia seluk tangan ke dalam beg. Dompetnya dikeluarkan lalu dibelek ruang letak kad. Lebar senyuman bila benda yang dicari ditemui.
“Nah. Pakai kad saya ni dulu…” Dihulurkan sekeping kad Touch n Go kepada gadis itu. Memang dia ada ekstra kad yang sentiasa disimpan dalam dompetnya. Bukan apa. Dia pun jenis cepat lupa. Kadang-kadang dia tersalah letak kad yang selalu dipakai. Sebab itulah sengaja dia simpan satu ekstra, untuk kegunaan masa kecemasan.
“Eh… tak apa ke?” Teragak-agak gadis itu hendak menyambut hulurannya.
“Tak apa. Tengah kecemasan kan? Rasanya baki dalam ni cukup kalau setakat cik nak ke KL Sentral tu. Ambillah…” Kad bertukar tangan. Belum sempat si gadis hendak mengucapkan terima kasih, tiba-tiba…
“Hurmm… hati-hati cik. Jangan mudah sangat nak percaya orang zaman sekarang ni…” Tiba-tiba ada suara asing yang mencelah.
Cepat Dahlia menoleh ke belakangnya. Kecil-besar kecil-besar sahaja dia lihat lelaki botak yang tak beradab tadi sedang tersenyum sinis memandang mereka.
“Zaman sekarang ni, macam-macam cara orang guna nak menipu. Jangan ingat pakai elok-elok macam tu, perangainya baik…” sambung lelaki botak itu lagi.
Dahlia yang sejak tadi memang sakit hati dengan sikap si lelaki itu segera berpaling menghadapnya. Dia mencekak pinggang sambil mendongakkan kepalanya kerana lelaki itu jauh lebih tinggi darinya.
“Encik…daripada encik bising-bising kat sini, kan ke lagi baik encik tolong cik ni tadi? Cepat sikit urusan tu selesai kan? Ini tidak, semua orang tau nak bising aje. Apa encik ingat, encik bising-bising, boleh selesaikan masalah ke? Dah tak nak menolong, sudahlah. Ini nak bersangka buruk sangat pulak dengan orang kenapa? Sekarang ni, duit encik ke luak tolong cik ni, atau duit saya? Saya tak bising, yang encik pulak sibuk-sibuk kenapa? Nak kata kita ni laki bini, memang mintak dijauhkan TUHAN lah saya dapat suami perangai macam encik ni. Kita tak ada kena mengena pun kan, so yang nak ambil tahu hal orang ni kenapa?” sindir Dahlia. Merah padam muka lelaki di depannya menahan malu bila disindir begitu.
“Aku mengingatkan aje. Berlagak pulak! Kena tipu nanti padan dengan muka kau!” kata lelaki itu lagi, tak mahu mengalah. Dahlia mendengus geram mendengar ayat itu.
“Yang kena tipu aku, kau yang susah hati kenapa?” tanya Dahlia lagi. Sungguhlah! Memang geram ya amat hati dia saat ini.
“Eh, dia ni kan!” Si lelaki botak itu mula mara ke arah Dahlia. Namun belum sempat dia nak buat apa-apa, tiba-tiba tangan Dahlia ditarik seseorang. Dahlia memandang ke arah gadis berbaju kurung hijau muda yang dibantunya tadi.
“Maafkan saya, encik. Maafkan saya…” Kata gadis itu sambil menundukkan kepala kepada lelaki botak itu. Sambil sebelah lagi tangannya menarik lengan Dahlia agar bergerak menjauhi lelaki itu. Dia takut kalau berlamaan di situ mereka akan mula bergaduh.
Dahlia yang masih belum berpuas hati cuba untuk berpatah balik tapi gadis itu memegang kejap lengannya.
“Err…dah lah tu awak. Saya tak nak nanti bergaduh pula.”
Melihat wajah gadis itu yang agak ketakutan Dahlia mematikan niatnya untuk berpatah balik. Dia hanya menurut bila gadis itu menariknya ke ruang yang jauh sedikit daripada tempat lelaki tadi.
“Terima kasih sebab tolong saya tadi. Nanti saya ganti semula amaun yang saya dah pakai tadi, ya?” ujar gadis itu ketika mereka duduk di bangku sambil menunggu ketibaan tren.
“Eh, tak payahlah. Berapa ringgit aje pun. Bukan banyak mana,” jawab Dahlia.
Sememangnya dia ikhlas membantu gadis itu. Dia tidak mengharapkan apa-apa balasan atas pertolongannya itu.
“Eh, mana boleh macam tu. Saya dah pakai, mestilah kena ganti.” Si gadis rasa tak sedap hati. Jarang dia bertemu dengan orang yang benar-benar ikhlas mahu membantu orang lain lebih-lebih lagi di tengah-tengah bandar ini. Selalunya orang yang membantunya pasti mengharapkan balasan walaupun bantuan yang dihulurkan tidak sebesar mana.
“Isyy…betul. Saya tak kisahlah. Bukannya saya boleh jatuh miskin bila saya tolong awak. Lagipun saya faham perasaan awak. Saya pun pernah alami perkara yang sama dulu masa baru datang dari kampung. Cuma nasib saya baiklah sebab tak ada lelaki botak macam tu tadi…” balas Dahlia sambil ketawa.
Gadis itu turut ketawa perlahan mendengar kata-kata Dahlia. Tiba-tiba dia menekup mulutnya, cuba menahan tawa. Matanya mengisyaratkan Dahlia pada sesuatu di belakangnya.
Dahlia menoleh. Serentak itu dia juga menekup mulutnya bila ternampak lelaki botak tadi berdiri berhampiran mereka. Lelaki itu menjeling tajam ke arah Dahlia.
“Nampak gaya macam dia tak puas hati dengan awak tu,” ujar gadis itu. Dia agak risau jika lelaki itu akan mengapa-apakan mereka. Dahlia hanya menjongketkan bahunya tanda tidak kisah dengan sikap lelaki itu.
“Biarlah. Orang ramai kat sini. Apa yang dia berani nak buat pun.” Dahlia cuba berlagak berani walaupun jauh di sudut hatinya ada sedikit kerisauan.
Dia tidak begitu risaukan dirinya kerana dia sudah biasa berhadapan dengan perkara-perkara begini. Dia cuma risaukan gadis di sebelahnya itu. Melihatkan gaya gadis itu yang bersopan santun dan sedikit penakut itu Dahlia yakin dia tidak akan dapat melawan jika lelaki itu bertindak gila.
Dahlia memandang dengan ekor matanya. Dia menarik nafas lega bila lelaki itu akhirnya duduk di bangku yang agak jauh daripada mereka.
“Cik jangan risau, dia takkan ganggu kita.” Dahlia cuba menenangkan gadis itu yang nampak sedikit gelisah. Tak mahu gadis itu berterusan takut-takut, cepat Dahlia cuba alihkan perhatiannya.
“Saya Dahlia. Nama cik?” tanya Dahlia, ramah.
Gadis itu kelihatan terkejut buat beberapa ketika. Kemudian dia ketawa kecil. Dahlia hairan melihat tingkah laku gadis itu. Dia memandang gadis itu dengan pandangan pelik. Apa yang kelakarnya?
“Sorry. Sebenarnya saya terkejut dengar nama awak tu,” jelas gadis itu. Melihat Dahlia terpinga-pinga, gadis itu cepat-cepat menyambut salam Dahlia dan menerangkan hal sebenarnya.
“Saya terkejut sebab kebetulan nama saya pun Dahlia juga,” terang gadis itu dalam tawanya.
Dahlia turut ketawa sama. Dia tidak sangka akan menemui orang yang punya nama yang sama sepertinya.
“Hmm… macam mana nak buat ni ya? Nama kita berdua sama. Nampak pelik pula bila kena panggil nama sendiri. Nama penuh awak apa?” soal gadis itu bila tawanya reda.
“Dhia Dahlia. Tapi ramai orang panggil saya Dahlia aje. Nama penuh cik?” soal Dahlia pula.
Sekali lagi gadis itu ketawa. Berkerut lagi dahi Dahlia.
“Sorry…sorry…” Si gadis mengangkat kedua-dua belah tangan lagak orang meminta maaf ke arah Dahlia.
“Banyak sangat kebetulannya hari ni. Nama penuh saya pun Diya Dahlia juga. Puteri Diya Dahlia.”
Kali ini Dahlia ikut sama ketawa.
“Orang panggil cik apa?” Dahlia bertanya saat tawanya reda.
“Parents saya panggil saya Dahlia. Tapi most of my friends panggil saya DD,” beritahu gadis itu.
Dahlia mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Dalam pada itu dia turut perasan sesuatu. Susuk tubuh DD dipandangnya teliti. Bila mendengar cara DD bertutur baru dia perasan baju kurung yang dipakai DD bukan dari kain yang biasa dipakainya. Baju itu dibuat dari kain yang hanya mampu disentuh oleh Dahlia di kedai tapi tidak mampu untuk dibelinya.
Dia mencuri pandang ke arah beg tangan DD. Jelas terpampang jenama LV atas permukaan beg itu. Berbeza sungguh dengan sling bag jenama tak terkenal miliknya. Tiba-tiba Dahlia rasa rendah diri pula.
“Errr…maaf tanya. Macam mana cik boleh tertinggal semua barang hari ni?” tanya Dahlia.
“Dahlia janganlah ber ‘cik-cik’ dengan saya. Panggil saya DD aje,” tegur DD.
Dia tidak begitu selesa bila Dahlia menggunakan perkataan cik itu. Cukuplah dia mendengar panggilan itu di pejabat.
“Tadi sebenarnya saya dah separuh jalan dari rumah dengan kereta. Tiba-tiba tengah jalan kereta buat hal. Agaknya masa kalut call tow truck dalam kereta tadi, saya tak perasan saya tertinggal semua tu dalam kereta lepas tow truck sampai tadi…” cerita DD.
“Habis DD ke sini tadi?”
“Tumpang tow truck tu…” DD sengih.
“Ini baru first time saya naik public transport dekat Malaysia. Selama ni kalau bergerak memang drive sendiri. Tak pun tunang atau family saya yang drive. Saya pun tak tahu sebenarnya kena pakai kad ni nak masuk tadi. Saya tengok orang beratur, saya pun beratur lah. Bila tengok orang depan touch kad tu dekat mesin tu baru kelam kabut nak cari kad sendiri. Itu yang encik botak tu marah sangat sebab saya melambatkan orang lain…” sambung DD lagi.
“Maaflah tadi saya cakap DD asal dari kampung…” ujar Dahlia perlahan. Dia malu bila mengenangkan keterlanjurannya menganggap DD datang dari kampung.
“Eh, janganlah macam tu. Kalau nak ikutkan, apa yang awak cakap tu ada betulnya juga. Saya ni kiranya baru datang dari kampung juga. Cuma kampung saya bukanlah yang macam Dahlia sangkakan tu..”
“Habis tu, kampung DD di mana?”
“Err…kampung saya di London,” jawab DD perlahan.
Melopong mulut Dahlia mendengar jawapan DD. Bertambah lagi rasa segannya pada gadis itu. Rupanya orang berada! Jauh beza dengan aku! Tapi kenapa orang kaya macam dia nak naik komuter pula?
“Yang kaya papa dan mama saya Dahlia. Saya ni menumpang kemewahan mereka aje. Jadi tak ada bezanya kita berdua,” sambung DD lagi.
Sebenarnya tanpa Dahlia sedari soalan yang bermain di fikirannya tadi telah keluar dari bibir mulusnya. Merah mukanya menahan malu. Memang perangainya yang satu itu susah nak diubah. Dari dulu dia begitu. Tanpa dia sedari dia akan mengatakan apa yang terlintas di fikirannya.
Melihat muka Dahlia merah merona, DD memegang tangan gadis manis itu. Entah kenapa dia senang sekali dengan Dahlia. Dia ingin sekali menjalinkan persahabatan dengan Dahlia.
“Saya harap Dahlia sudi berkawan dengan saya ya? Tolak ke tepi pasal latar belakang saya. Lagipun zaman sekarang ni, hal-hal macam ni dah tak penting lagi, kan?” Dia benar-benar berharap statusnya sebagai anak orang kaya tidak akan menghalang mereka menjalinkan persahabatan.
Dahlia hanya mampu tersenyum. Dia serba salah untuk menjawab. Bukan dia tidak sudi berkawan dengan DD tapi pengalaman lalu mengajarnya bahawa status dan latar belakang seseorang itu akan tetap dipandang orang walau semaju mana pun zaman beredar.
Helang dengan pipit takkan dapat terbang sama.
Masih terngiang-ngiang lagi ayat itu di telinga Dahlia. Kerana ayat itulah Dahlia sedar bahawa orang sepertinya tidak punya ruang dalam hidup orang seperti Puteri Diya Dahlia.
PROLOG 1 • PROLOG 2 • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL DEAR DAHLIA (PENULIS: CALLA LILY)