Dear Dahlia – Bab 2

DAHLIA meletakkan begnya di atas meja. Hujan lebat pada pagi itu menyebabkan pejabat Dahlia lenggang walaupun jarum jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Memang semua sedia maklum jika keadaan cuaca hujan begini jalan raya di sekitar Kuala Lumpur pasti sesak dan memandangkan hampir kelima-lima orang rakan sekerjanya membawa kenderaan sendiri, memang kelewatan begini sudah dijangka. Malah majikan Dahlia, Tuan Haji Syukur juga faham dengan situasi itu dan memberi kelonggaran pada pekerja-pekerjanya untuk datang lewat sedikit.

Dahlia mengemas mejanya sebelum dia memulakan tugas. Puas hati dengan keadaan mejanya yang tampak kemas, dia kemudian melangkah ke ruang membuat air yang dipisahkan dengan partition biru di hujung bilik.

Megah Travel & Tours hanya sebuah syarikat kecil yang diusahakan sendiri oleh Tuan Haji Syukur, bekas kakitangan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia bersama isterinya Hajah Maimunah. Sudah hampir enam tahun Dahlia bekerja sebagai pemandu pelancong di tempat itu.

Syarikat itu hanya punya enam orang kakitangan termasuk Dahlia tapi walaupun tenaga kerjanya kurang, syarikat itu masih kukuh sehingga ke hari ini. Sikap tekun bekerja mereka semualah yang membuatkan syarikat itu menjadi kukuh seperti hari ini.

Dahlia mengeluarkan dua biji muk dari dalam kabinet kecil di ruang itu. Botol berisi kopi dan gula dibukanya. Dia membancuh dua muk air kopi. Aroma kopi yang harum itu membuatkan dia terasa lapar.

Biasanya dia akan singgah di gerai berhampiran tempat kerjanya untuk membeli sarapan pagi.

Setiap pagi dia akan menaiki bas selepas turun dari komuter di Stesen KL Sentral untuk ke pejabatnya. Perhentian bas itu terletak bersebelahan dengan Gerai Nasi Lemak Abang Din. Tapi dek kerana dia mahu segera melepaskan diri dari DD, dia memilih untuk menaiki teksi sahaja ke pejabatnya hari ni.

“Tak fasal-fasal hangus duit aku lapan ringgit pagi ni!” Keluh Dahlia.

Dia memeriksa kabinet di depannya. Suka hatinya bila ternampak bungkusan biskut Krim Cracker Jacobs yang tersimpan di dalam kabinet itu. Tekaknya sudah mula terasa keenakan biskut itu bila dicelup ke dalam air kopi panas di depannya.

Tanpa berlengah lagi dia mengoyakkan bungkusan biskut lemak itu dan segera mencelupnya ke dalam muk. Kepuasan yang tidak terhingga dirasakan saat biskut itu berada dalam mulutnya. Dia ketawa kecil. Kalau dah lapar, apa pun sedap dekat tekak ni. Sedang dia menikmati keenakan sarapan paginya, peristiwa sebentar tadi berlegar-legar di kotak fikiran Dahlia. Dia terkenangkan soalan DD tadi.

“Saya harap Dahlia sudi berkawan dengan saya ya? Tolak ke tepi pasal latar belakang  saya. Lagipun zaman sekarang ni, hal-hal macam ni dah tak penting lagi,kan?” 

Dahlia melepaskan keluhan berat. Dia fikirkan DD akan melupakan soalan itu bila mereka menaiki tren tapi gadis itu menanyakan soalan itu sekali lagi ketika mereka di dalam tren.

Hendak tak hendak Dahlia terpaksa menjawab ya walaupun jauh di sudut hatinya dia keberatan menjalinkan persahabatan dengan DD. Melihatkan wajah DD yang gembira tadi membuatkan dia menjadi bersalah pula. Dahlia agak hairan kenapa DD beria sangat ingin berkawan dengannya.

“Takkan sebab kad TnG tu?” tanya Dahlia di dalam hati.

Bayangan gadis cantik itu berlegar diruang mata Dahlia. Kalau sekali pandang memang ternampak persamaan antara mereka.

Sebab itulah bila terpandangkan DD di stesen itu tadi dia terkenangkan dirinya enam tahun dahulu. Cuma bila diperhatikan betul-betul baru ternampak perbezaan mereka.

DD memang jelita orangnya. Kulitnya putih mulus. Wajahnya walaupun hanya disapu dengan mekap nipis tapi kejelitaannya tetap terserlah. Jauh berbeza dengan dirinya.

Walaupun teman-teman Dahlia sering mengatakan dia cantik tapi jika dibandingkan dengan DD, wajahnya sebenarnya hanya biasa-biasa sahaja.

Jika diletakkan bersebelahan, pasti tiada siapa yang ingin memandangnya. Ketinggian mereka berdua agak sama. Seperti Dahlia, DD juga mempunyai sepasang lesung pipit yang menambahkan lagi seri wajahnya bila dia tersenyum.

Cuma yang berbeza antara mereka adalah rambut mereka. Rambut DD yang tersisir rapi itu hanya separas bahu tetapi rambut Dahlia yang sering diikat gaya ekor kuda itu panjang melepasi bahunya.

Bila terkenangkan semua itu, soalan mengapa DD ingin sekali berkawan dengannya bermain semula di fikiran Dahlia. Dia melepaskan keluhan lagi.

“Anak dara tak baik mengeluh pagi-pagi. Nanti rezeki tak masuk,” tegur satu suara di belakang Dahlia membuatkan Dahlia tersedar dari lamunannya.

Dia berpusing ke belakang. Sebuah senyuman terukir di wajahnya bila ternampak Tuan Haji Syukur berdiri di depannya. Dahlia segera mencapai muk kopi yang satu lagi dan dihulurkan pada majikannya itu.

“Terima kasih,” ucap Tuan Haji Syukur sebelum dia meneguk air kopi yang sudah sedikit suam itu.

Memang itu cara dia meminum kopinya. Tidak terlalu panas, dan tidak terlalu sejuk. Dalam keenam-enam stafnya, hanya Dahlia yang pandai membancuh air kopi seperti yang dikehendakinya.

“Apa yang Dahlia keluhkan tadi tu?” tanya Tuan Haji Syukur lembut. Dia memandang wajah anak gadis berusia 23 tahun di depanya itu. Gadis itu hanya tersipu-sipu di depannya.

“Tak ada apa-apalah Tuan Haji. Saya cuma teringatkan keluarga di kampung,” jawab Dahlia.

Dalam hati ada sedikit rasa bersalah kerana membohongi majikannya yang baik hati itu. Bukan dia berniat untuk berbohong tapi dia tak mahu menyusahkan lelaki itu dengan hal-hal remeh seperti itu.

“Dahlia ni, bukan ada orang pun kat sini. Tak payah lah nak formal sangat dengan abah,” ujar Tuan Haji Syukur. Dia lebih gemar bila gadis itu memanggilnya abah, sesuai dengan statusnya sebagai ayah angkat gadis itu.

“Isyy…mana boleh. Ini pejabat. Dekat pejabat, ada orang atau tidak saya tetap kena hormatkan Tuan Haji sebagai majikan saya,” jawab Dahlia sedikit tegas.

Sejak Tuan Haji Syukur dan Hajah Maimunah mengambilnya menjadi anak angkat mereka, Tuan Haji Syukur beria-ia menyuruh Dahlia memanggilnya abah.

Walaupun pada mulanya agak janggal untuk Dahlia memanggil lelaki lain abah, tapi mengenangkan kesungguhan dan keikhlasan pasangan itu menerimanya, Dahlia berusaha memanggilnya abah.

Tapi syarat Dahlia pada mereka, hanya di luar waktu pejabat sahaja dia akan memanggilnya abah. Selagi dia masih di dalam pejabat, Tuan Haji Syukur adalah majikannya. Bukan apa, Dahlia tidak mahu teman-temannya yang lain mempunyai anggapan yang bukan-bukan.

Tuan Haji Syukur menganggukkan kepala tanda faham dengan kata-kata Dahlia. Dia tidak mahu memaksa Dahlia sedangkan dia sendiri telah bersetuju dengan syarat Dahlia sejak awal lagi.

Mereka berdua berbual-bual kosong selepas itu. Sekali-sekala kedengaran tawa mesra dari kedua-dua mereka. Kedua-duanya nampak gembira. Bersama Tuan Haji Syukur membuatkan rindu Dahlia pada arwah ayah dan mamanya terubat.

Bagi Tuan Haji Syukur pula kehadiran Dahlia dalam hidup dia dan isterinya mengisi kekosongan dalam hidup mereka yang tidak dikurniakan zuriat sejak mereka berkahwin.

“Oh ya, Dahlia. Macam mana dengan rombongan dari Korea tu?” tanya Tuan Haji Syukur.

Tiba-tiba dia teringatkan pelancong-pelancong dari Korea yang menggunakan khidmat Megah Travel & Tours.

“Saya dah uruskan semuanya. Saya dah fakskan itinerari kita pada wakil kita di Seoul. Tiket balik mereka pun dah okey. Kalau tak hari ni, mungkin esok Dino akan ke KLIA untuk collect tiket-tiket tu,” terang Dahlia.

“Tempat penginapan?” tanya Tuan Haji Syukur lagi.

“Saya dah booked mereka menginap di Hotel Prestige.”

“Hotel lima bintang?” soal Tuan Haji Syukur terperanjat.

Jarang sekali pelancong-pelancong yang datang dari luar ingin menginap di hotel yang mahal. Sudah memadai bagi mereka untuk tinggal di hotel bertaraf tiga bintang sahaja.

“Haah. Seoung Hun beritahu ahli rombongan kali ni golongan orang berada di Korea. Mereka yang demand untuk hotel lima bintang tu. Soal bayaran, memang mereka tak kisah.” Dahlia menjelaskan pada majikannya.

“Jadi Dahlia dah uruskan booking tu? Kita tak pernah deal dengan Hotel Prestige. Takut ada masalah pula nanti.” Tuan Haji Syukur sedikit risau.

Hotel Prestige merupakan hotel baru di KL. Tapi walaupun baru setahun beroperasi, nama hotel itu sudah cukup gah di kalangan mereka yang bekerja dalam sektor pelancongan dan perhotelan.

Tetapi memandangkan mereka tidak pernah berurusan dengan hotel itu, Tuan Haji Syukur agak khuatir kalau-kalau akan timbul masalah kelak.

“Kenapa Dahlia tak booking dengan hotel yang biasa aja?” tanyanya lagi.

“Saya dah buat booking awal-awal lagi. Tengah hari nanti saya akan ke sana jumpa dengan manager mereka untuk buat final payment. Insya-ALLAH, semuanya akan okey. Hotel yang biasa kita gunakan tu hampir semuanya dah penuh. Tak cukup nak accommodate lima belas orang ahli rombongan kita tu. Lagipun saya nak cuba hotel baru ni. Mana tahu kalau serasi, kita boleh banyakkan lagi option kita,” ujar Dahlia yakin.

Tuan Haji Syukur tersenyum mendengar nada keyakinan dalam suara Dahlia. Dia memang yakin anak-anak buahnya itu mampu menjalankan tugas mereka.

Perbualan mereka berdua terhenti bila terdengar pintu pejabat dibuka. Teman-temannya yang lain sudah sampai.

“Aisyhh!!! Aku memang cukup tak gemar kalau hujan pagi-pagi macam ni!” rungut Neesa, eksekutif jualan Megah Travel & Tours.

“Jalan tu tak pernahlah kalau tak sesak masa hujan macam ni!” kata Azlan pula yang turut sampai bersama Neesa. Kedua-duanya sibuk merungut tentang kesesakan jalan raya pagi itu.

“Kalau tak nak tempuh jammed tu, jadi macam Dahlia. Naik public transport! Cepat dan selamat!” Kata Nashikah yang tiba-tiba muncul di muka pintu.

“Kau ni kan Shikah, macam hantu tau tak! Tiba-tiba aje muncul! Terkejut aku tau tak!” marah Neesa sambil mengurut dadanya.

Nashikah ketawa berdekah-dekah. Bahunya menjadi mangsa pukulan Neesa pula yang ternyata terkejut dengan kehadirannya.

“Eh, kot ye pun jangan lah pukul-pukul macam ni. Sakitlah!” jerit Nashikah. Dia menepis tangan Neesa ke tepi. Khuatir kalau-kalau kedua-duanya akan mula bergaduh, Dahlia cepat-cepat meluru ke arah mereka.

“Ala, dah lah tu. Kak Neesa tu pukul-pukul sayang tu kan, kak?” kata Dahlia sambil memeluk mesra bahu Neesa.

“Kak Neesa kan sayang kat kita semua, kan kak?” pujuk Dahlia lagi.

Hati Neesa menjadi sejuk sedikit mendengar pujukan Dahlia. Memang Dahlia pandai mengambil hatinya. Dia akhirnya tersenyum. Pipi Dahlia dicubit lembut.

“Kau, kalau nak ambil hati akak memang pandai kan?”

Dahlia tersengih. Lega melihat Neesa mula tersenyum.

Dari depan pintu biliknya, Tuan Haji Syukur tersenyum bahagia melihat keletah mereka semua. Matanya jatuh ke wajah Dahlia. Mujur kau ada menceriakan keadaan Dahlia!


PROLOG 1 PROLOG 2 • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL DEAR DAHLIA (PENULIS: CALLA LILY)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *