DARREN HANAFI membaca laporan di atas mejanya sambil telinganya tekun mendengar jadual kerja yang diterangkan oleh pembantu peribadinya, Maisarah. Dahinya berkerut bila membaca perenggan-perenggan yang tidak memuaskan hatinya. Fail laporan bulanan daripada wakil cawangan hotelnya di Sabah itu ditutup kasar. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan prestasi cawangan hotel mereka di Sabah itu.
“Batalkan appointment saya dengan Tan Sri Kamarul petang nanti. Tell him if he doesn’t agree with our condition, then there’s no point of having a meeting.”
Maisarah hanya menurut walaupun dalam hatinya sedikit ralat memikirkan reaksi Tan Sri Kamarul apabila diberitahu majikannya tidak mahu bertemu dengan pemilik rangkaian Hotel Inn Villa itu.
“You telefon Encik Pairin di Sabah. Saya nak adakan meeting dengan dia lusa.” Darren memberikan arahan seterusnya.
“Errr..tapi tuan, lusa jadual tuan dah penuh. Sebelah pagi tuan kena ke mesyuarat MAHO. Lepas itu tuan ada dialog dengan pihak TNB. Sebelah petang ibu tuan minta tuan temankan dia ke perasmian Butik Datin Afinie di Pavillion,” jelas Maisarah.
Dia cuba menahan senyum bila wajah kacak bosnya itu mencuka tatkala mendengar tentang permintaan ibunya, Datuk Sofea.
“Jadi? Bila saya free?” soal Darren.
Maisarah menyapu skrin tablet di tangannya. Dia mencari-cari masa yang sesuai untuk mengaturkan pertemuan antara bosnya dengan pengurus Hotel Prestige di Sabah itu.
“Hari Jumaat pada sebelah pagi tuan tak ada apa-apa rancangan. Saya boleh set kan waktu tu untuk meeting dengan Encik Pairin.”
“Okey. You hantar e-mel pada Pairin dan suruh dia ke KL Jumaat ni. Beritahu Encik Halim saya nak dia turut sama dalam meeting tu.”
Maisarah terus memasukkan arahan bosnya itu ke dalam tablet di tangannya. Usai segala urusannya pagi itu dengan Darren, Maisarah meminta diri untuk keluar. Dalam perjalanan keluar dia terserempak dengan pengurus baru bahagian perhubungan awam hotel mereka di depan pintu bilik Darren.
“Selamat pagi, Cik DD,” tegur Maisarah.
“Selamat pagi, Mai.” Balas DD mesra.
“Okey ke kalau I nak jumpa bos you sekejap?” tanya DD.
“Okay, Cik DD. Tuan Darren tak ada apa-apa appointment pagi ni. Saya minta diri dulu ya,” ujar Maisarah lalu keluar meninggalkan bilik Darren.
Darren memandang DD yang melangkah perlahan ke arah mejanya. Di bibir terukir senyuman nipis bila terpandangkan pakaian DD pagi itu.
Jarang sekali gadis itu mengenakan baju kurung. Seingat Darren, sejak dia berkenalan dengan DD hanya sekali dua dia pernah melihat gadis itu berbaju kurung. Itu pun ketika hari raya.
“Mimpi apa you pakai macam ni hari ni?” usik Darren.
“I mimpi semalam hari raya, itu lah sebab I pakai baju kurung hari ni.” Selamba DD menjawab sebelum dia melabuhkan punggungnya di kerusi di depan Darren.
Darren ketawa mendengar jawapan DD. Macam tahu-tahu aje aku fikir macam tu!
“So, what brings you here Cik DD?” tanya Darren bila tawanya reda. DD menjegilkan matanya mendengar soalan Darren.
“Eh, nak jumpa my own fiancée pun kena ada sebab ke,Tuan Darren?” soal DD pula.
Dalam hatinya ada sedikit rasa kecewa bila mendengar Darren bertanya begitu padanya. Takkan nak jumpa tunang sendiri pun nak kena ada sebab?
“I ingat you ada apa-apa hal penting ke nak jumpa I,” ujar Darren mendatar.
Dia kemudian mencapai sebuah lagi fail di atas mejanya dan terus membaca isi kandungannya.
DD melepaskan keluhan kesal. Seperti biasa Darren tidak pernah mahu memujuknya walaupun dia tahu DD terasa hati.
Sejak berkenalan dengan Darren sehinggalah mereka mengikat tali pertunangan bulan lepas, sikap dingin lelaki itu tidak pernah berubah.
Kadang-kadang DD tertanya-tanya adakah lelaki ini benar-benar rela bersamanya. Cintakah dia pada DD? Pernah dia bertanya pada Darren soalan itu tapi jawapan lelaki itu bukan seperti yang dia harapkan.
“Cinta itu permainan budak-budak. Dan kita bukan budak-budak lagi. Cukup kalau I cakap yang I hormatkan you dan sayangkan you. Perasaan itu lebih bermakna dari segalanya.”
Sayang dan hormatkan dia. Itulah perasaan Darren padanya. Tapi perasaan itu boleh muncul dalam hidup sesiapa sahaja.
Ia boleh wujud dalam hubungan dia dan Maisarah, mama dan papanya malah dengan bell boy di hotel itu pun boleh wujud perasaan hormat dan sayang itu. Ia bukan sesuatu yang istimewa. DD mahukan sesuatu yang lebih bermakna dalam hubungan mereka berdua. Bukan setakat rasa sayang dan hormat sahaja. Dia mahukan cinta daripada Darren!
Hatinya pilu bila melihat Darren tidak mengendahkan dirinya. Cepat-cepat dia menolak rasa itu ke tepi. Tiada gunanya dia merajuk atau berjauh hati kerana dia pasti Darren tidak akan memujuknya.
“Sebenarnya I nak minta tolong you nanti.” DD memecahkan kesunyian di bilik itu.
“Apa dia?” tanya Darren tanpa memandang ke arah DD. Dia tetap meneruskan bacaannya.
“Petang nanti hantarkan I balik?” pinta DD. Mendengar permintaan itu barulah Darren memandang ke arah DD.
“Kereta you mana?” tanya Darren pelik. Setahunya DD memandu sendiri ke pejabat.
“Kereta I meragam buat hal pagi tadi. I datang ni pun naik komuter,” jelas DD.
“Naik komuter? Kenapa you tak call I? You tu kan baru balik dari London, mana you biasa dengan public transport di sini,” ujar Darren kesal.
Walaupun di London DD biasa menaiki kenderaan awam tapi situasi di Malaysia berbeza. Sikap orang di sini agak kurang bertimbang rasa.
Terubat sikit hati DD bila mendengar nada suara Darren. Sekurang-kurangnya dia tahu Darren masih mengambil berat tentang dirinya.
“I malas nak susahkan you. Lagipun kalau I tak belajar dari sekarang, bila lagi I nak biasakan dirikan?” DD tersenyum manis.
Malas hendak beritahu hal sebenar. Bimbang panjang pula bebelan Darren nanti atas kecuaiannya.
“Lain kali call I kalau hal macam ni jadi. Kalau jadi apa-apa pada you apa I nak jawab pada Uncle Safuan?” tegas Darren.
“You ni bercakap macamlah I ni ada di Madagascar. This is Malaysia lah, sayang. Orang-orang yang I jumpa tu orang kita juga. Apa yang nak dirisaukan. Lagipun, untung juga I naik komuter tu hari ni. I dapat seorang kawan baru,” balas DD teruja.
“Kawan baru?” soal Darren.
DD terus menceritakan peristiwa yang menemukan dia dengan Dahlia awal pagi tadi. Dengan nada ceria dia menceritakan apa yang dialaminya di stesen komuter hinggalah ke saat Dahlia menerima salam persahabatannya.
“Baik betul Dahlia tu. Jarang nak jumpa orang macam tu sekarang. Berani pula tu.” DD terkenangkan saat Dahlia menegur lelaki botak di belakangnya tadi.
“You terlalu mudah percayakan orang, DD.” Kata Darren dingin.
Dia mengambil semula fail yang diletakkannya di atas meja sewaktu dia mendengar cerita DD tadi. Tapi tidak satu pun perkataan yang tertulis di atas kertas putih itu dapat dibacanya. Fikirannya tiba-tiba bercelaru bila mendengar tentang gadis yang membantu tunangnya tadi. Ada sesuatu yang wujud di hatinya tatkala mendengar nama Dahlia yang
disebut DD tadi.
DD hanya mampu mengeluh. Ini satu lagi sikap Darren Hanafi yang kurang digemarinya. Suka berprasangka buruk pada orang lain. Sukar sekali lelaki itu mempercayai orang lain. Hanya kerana satu pengalaman buruk, terus lelaki itu mengecap orang di sekelilingnya tidak patut dipercayai.
“Dahlia tu bukan orang tak baik, Darren. I percaya dia ikhlas tolong I. Sebenarnya dia sendiri keberatan nak kawan dengan I pada mulanya. Dia rasa sebab latar belakang kami yang berbeza, kami tak boleh jadi kawan. Sikap dia yang itu dah cukup buat I tahu yang dia orang yang boleh dipercayai,” ujar DD perlahan.
“Berhati-hati bila you nak berikan kepercayaan pada orang, DD. Sekali you berikan rasa percaya you tu, sebenarnya you dah dedahkan kelemahan you pada mereka. Jangan sampai mereka gunakan kepercayaan yang you beri tu untuk ambil kesempatan atas you.” Darren berpesan pada DD sebelum dia kembali menatap dokumen di depannya.
DD mengeluh perlahan. Tak terkejut langsung dengan tingkah Darren sebenarnya. Tunangnya ini memang ada trust issues. Bukan setakat dengan orang asing, dengan orang terdekat pun sukar untuk dia letakkan kepercayaan sepenuhnya.
Malas mahu berlamaan dengan Darren yang dia pasti akan mencetuskan pertelingkahan, DD bangkit menapak ke arah pintu bilik pejabat Darren. Namun, sebelum pintu dibuka, dia berpaling ke arah Darren.
“Darren, you tahu tak sejak kita berkenalan apa keinginan utama I?” soal DD.
Darren angkat kepala, sekadar memandang ke arahnya, menantikan jawapan muncul dari mulut DD.
“Dia,” ujar DD ringkas.
“Dia?” tanya Darren dengan dahi berkerut. Pelik dengan kata-kata gadis itu.
DD mengangguk.
“Dia. I teringin sangat jumpa dengan orang yang membuat seorang Darren Hanafi menjadi manusia yang paling dingin dalam dunia ni. Orang yang bunuh hati you sampai ia jadi mati tak berperasaan macam hari ini. Orang yang buat I tak mampu nak merasakan cinta yang sebenarnya daripada you. I really want to meet her. To see what so special about her sampai dia berjaya buat you jadi sampai macam ni.”
DD tersenyum tawar sebelum menarik tombol pintu lalu melangkah keluar. Meninggalkan Darren yang sudah mengetap gigi menahan rasa.
Tangannya dikepal kuat. Serentak itu, wajah si dia yang disebut DD tadi muncul di benaknya.
Darren bersandar ke kerusinya, sambil memejamkan mata. Erat. Kata-kata DD tadi kembali terngiang di telinganya.
“I really want to meet her. To see what so special about her sampai dia berjaya buat you jadi sampai macam ni.”
Darren tersenyum sinis. Ya… dia terlalu istimewa. Terlalu istimewa sampai aku sanggup jadi bodoh untuk dia.
Tangan menghentak meja, kasar. Kepala digelengkan, cuba menghalang kenangan-kenangan lama yang sedang cuba mencuri ruang muncul di fikirannya.
“Dahlia… for your sake! Jangan pernah muncul depan aku lagi!”
PROLOG 1 • PROLOG 2 • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL DEAR DAHLIA (PENULIS: CALLA LILY)