Dear Dahlia – Bab 4

“ADUH!” Dahlia mengaduh kecil. Disebabkan nak mengelakkan lecak di depannya tadi, Dahlia terus saja melompat tapi dia mendarat tak kena tempat. Tak semena-mena kakinya terlanggar sebiji batu yang dia terlepas pandang. Tiba-tiba dia teringat kata orang tua-tua. Kalau ada kemalangan yang terjadi tanpa diduga, maknanya ada orang sedang menyumpah kita! Meremang bulu roma Dahlia bila terbayangkan ada orang sedang menyumpah dirinya ketika ini.

Siapalah yang marah sangat kat aku ni? Dia memeriksa kakinya. Mujur dia memakai Converse sahaja pagi ini, jadi kakinya selamat daripada sebarang luka. Tapi rasa sengal tetap terasa di hujung tapak kakinya.

Dahlia meneruskan perjalanan ke destinasinya sambil cuba melawan rasa sakit di kakinya itu. Sampai di pintu masuk Hotel Prestige dia menarik nafas lega. Dia menghadiahkan senyuman pada petugas di depan pintu hotel seraya melangkah masuk ke dalam hotel mewah tersebut. Dia terpegun seketika melihat dekorasi di ruang legar hotel itu.

Wah, cantiknya! Katanya dalam hati. Ternganga mulut Dahlia bila melihat hiasan eksklusif itu. Hiasan dalaman memang 100 peratus berkonsepkan moden. Lobi hotel itu dihiasi perabot-perabot moden yang nampak mewah. Beberapa buah lukisan yang Dahlia kira hasil pelukis hebat tergantung megah di dinding hotel.

Dinding hotel dicat warna putih mutiara menyerlahkan lagi keindahannya. Bunga-bunga segar menghuni beberapa sudut di lobi itu. Dahlia sering berurusan dengan pihak hotel malah sudah beberapa kali dia berurusan dengan hotel-hotel bertaraf lima bintang tetapi Hotel Prestige adalah yang tercantik yang pernah dilihatnya.

Tiba-tiba Dahlia mendengar orang berdeham di belakangnya. Dia menoleh perlahan. Berdiri di hadapannya kini seorang lelaki yang agak berusia. Dia memakai sepasang suit berwarna hitam lengkap bertali leher. Di dada sebelah kirinya tersemat tag nama Halim Zainudin. Manager.

Dahlia segera menghadiahkan sebuah senyuman kepada lelaki itu Dia membuka zip begnya dan mengeluarkan sekeping kad lalu disuakan pada lelaki itu.

Lelaki bernama Halim itu mengambil kad dari tangan Dahlia lalu dibacanya kuat.

“Dhia Dahlia Arifin, Sales Representative, Megah Travel and Tours.”

“Saya ada appointment nak jumpa dengan Encik Halim hari ni,” beritahu Dahlia.

“Oh ya, inilah Dahlia ya? Selama ni kita berurusan atas talian saja kan? Maaflah, saya betul-betul terlupa kita ada appointment hari ni…” ujar Encik Halim.

Riak terkejut jelas kelihatan di wajah lelaki itu. Selama ini ketika berbual di telefon dia bayangkan Dahlia berusia sekitar 30-an kerana gaya gadis itu berurus niaga dengannya macam orang yang punya banyak pengalaman. Dia sama sekali tidak menyangka Dahlia semuda ini.

“Maaf saya bertanya. Umur awak ni berapa?” Encik Halim mahukan kepastian.

Dahlia tersipu malu mendengar soalan itu. Sebenarnya sudah acap kali dia disoal dengan soalan itu. Masakan tidak, dengan ketinggiannya dan penampilan yang sederhana, tiada siapa akan percaya umurnya kini dua puluh enam tahu. Malah ada yang menyangka dia baru budak sekolah!

“Umur saya 23 tahun, Encik Halim. Tak apa. Semua orang yang saya jumpa memang takkan percaya bila saya beritahu saya dah 23 tahun. Encik Halim ni dah orang yang ketiga puluh,” jawab Dahlia dalam nada bergurau.

Encik Halim turut ketawa mendengar gurauan gadis itu.

“Baiklah, kalau macam tu mari kita ke discussion room dan teruskan urusan kita. Lagipun saya ada appointment lain lepas ni.”

Mereka berjalan beriringan ke sebuah bilik yang terletak di bahagian belakang lobi hotel tersebut.

“JADI semuanya confirm lah ya?” tanya Halim, mengakhiri perbincangan antara dia dan Dahlia.

“Confirm, Encik Halim. Rombongan saya tu akan sampai 15 hari bulan nanti dalam pukul 12.00. Kami akan terus ke sini dari airport nanti untuk check-in. Makan tengah hari pun di sini nanti.” Dahlia mengesahkan butir perbincangan mereka sekali lagi.

Dalam hati dia berasa lega kerana urusannya berjalan lancar. Dia senang sekali berurusan dengan Encik Halim yang mesra. Dia dapat merasakan kerjasama Megah Travel & Tours dan Hotel Prestige akan berjalan lancar.

“Saya kena akui, saya agak kagum dengan Dahlia. Muda-muda begini tapi mahir juga kendalikan urusan macam ni. Kecil-kecil cili padi rupanya Dahlia ni ya?” Encik Halim memuji gadis di hadapannya.

Dia memang kagum dengan kepetahan dan keyakinan gadis itu. Jarang dia menemui gadis seusia Dahlia yang mampu mengendalikan urus niaga seperti tadi. Hanya dalam beberapa minit perbincangan mereka, Dahlia berjaya mendapatkan harga yang berpatutan untuk syarikatnya.

Encik Halim sendiri tidak teragak-agak memberi diskaun kepada syarikat gadis itu kerana yakin dan percaya dengan Dahlia.

“Tak adalah, Encik Halim. Saya ni budak baru lagi. Banyak lagi yang perlu saya belajar untuk mahirkan diri.” Dahlia merendah diri.

Masih banyak lagi yang perlu dipelajari Dahlia walaupun dia sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak usianya 18 tahun lagi.

“Kalau macam ni lah sikap Dahlia, saya yakin sikit masa lagi, Dahlia mampu bergerak sendiri.”

“Insya-ALLAH,” jawab Dahlia, sekadar berbasa-basi. Tapi dalam hati dia menidakkan kata-kata itu.

Tak mungkin Encik Halim. Masih jauh lagi langkah aku untuk bergerak sendiri. Masih banyak hutang yang perlu dijelaskan sebelum sayap aku mampu terbuka.

Ketika Dahlia sibuk memasukkan buku notanya ke dalam beg, telefon bimbit Encik Halim berbunyi. Dia memandang nama yang tertera di skrin.

“Maaf Dahlia, saya terpaksa jawab panggilan ni. Saya tak dapat nak hantar awak keluar. Kita jumpa lagi ya?” Encik Halim menghulurkan tangannya. Dahlia yang faham tentang kesibukan Halim segera menyambut salam pengurus Hotel Prestige itu lalu berjalan menuju ke pintu.

Dahlia menutup pintu discussion room itu perlahan. Dia berpusing ke kanan, menuju ke arah pintu besar hotel itu. Lobi hotel yang agak lengang ketika dia sampai tadi kini dipenuhi orang.

Jam di tangan dikerlingnya. Sudah hampir pukul 4.30 petang. Patutlah hotel ni ramai orang. Tea time rupanya. Dahlia memerhatikan orang ramai yang berada di lobi hotel itu. Ada yang sedang duduk di set sofa yang terletak di tengah-tengah lobi hotel itu.

Ada yang berada di kaunter, mungkin sedang menguruskan urusan daftar masuk atau keluar dari hotel itu. Beberapa orang kanak-kanak turut bermain kejar-kejar di lobi itu. Susun atur perabot di lobi itu yang kemas dan teratur memberi ruang kepada kanak-kanak itu berlari- lari di situ.

“Adik, kakak… be carefull. Nanti jatuh.” Suara seorang wanita yang sedang berdiri di berdekatan kaunter membuatkan Dahlia menoleh ke arah itu kembali.

Wanita itu dilihat sedang memerhatikan tingkah sepasang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang sedang leka berkejaran.

Dahlia hanya tersenyum melihat sepasang kanak-kanak lelaki dan perempuan itu terus berlari, tidak mengendahkan kata-kata wanita tadi. Di tangan salah seorang darinya ada sebiji anak patung beruang yang mengingatkan Dahlia pada anak patung beruang pemberian arwah ayahnya yang menjadi teman tidurnya setiap malam satu masa dulu.

Dahlia terus melangkah ke pintu. Ketika pintu automatik itu baru hendak terbuka, tiba- tiba dia mendengar suara kanak-kanak menangis. Dia menoleh ke belakang.

Kanak-kanak lelaki yang memegang patung beruang tadi sudah terjatuh dan patung beruangnya sudah tercampak ke kaki tangga yang terletak di kanan Dahlia. Dahlia baru hendak melangkah menuju ke arah tangga yang hanya beberapa kaki sahaja darinya bila ada sepasang tangan sudah mencapai anak patung itu.

Lelaki yang baru turun dari tangga itu mengutip anak patung itu dan berjalan ke arah kanak-kanak yang sedang menangis itu.

Ibu dan kakak kanak-kanak itu kini sudah berada di samping si kecil yang sedang menangis itu. Lelaki itu kelihatan melutut di depan kanak-kanak itu, agar kedudukannya dan  si kecil itu sama tinggi.

Dahlia cuba untuk melihat wajah lelaki tinggi yang segak memakai sut berwarna hitam itu Dia ingin sekali melihat wajah lelaki yang pandai memujuk si kecil itu sehingga kanak-kanak itu berhenti menangis.

Entah kenapa susuk tubuh lelaki itu membuatkan dadanya berdebar. Sayangnya wajah itu terlindung di sebalik tubuh si kecil. Dahlia menghela nafas kesal. Siapalah lelaki itu agaknya? Tanyanya dalam hati.

Dia berusaha lagi mencuri pandang ke arah lelaki itu tapi tidak berjaya. Melihatkan keadaan sudah tenang, Dahlia mematikan saja niatnya untuk melihat wajah lelaki itu. Dia berpaling untuk keluar.

“Next time, listen to your mom, young man.”

Langkah Dahlia terhenti. Tidak semena-mena dadanya berdebar kencang mendengarkan suara garau itu. Jantung yang selama ini teguh letaknya, terasa bagai hendak luruh ke bumi. Semangatnya terasa bagai ditarik keluar daripada tubuh. Darah seolah-olah sudah kering disedut membuatkan tubuhnya terasa kaku dan sejuk.

“Promise me you’ll listened to your mom, okay?” ujar suara itu lagi.

Dahlia memejamkan matanya rapat-rapat. Cuba meyakinkan diri sendiri apa yang didengar cuba fragmen imaginasinya sahaja. Tidak mungkin suara itu milik dia!

“Remember, sometimes we might not realize our action could caused trouble to someone else…”

Buk! Dahlia tersentak. Rasa bagai dirinya baru sahaja dilayangkan penumbuk saat telinganya mendengar kata-kata yang baru diucapkan lelaki itu. Tubuh yang terasa seram sejuk tadi mula menggigil kecil.

“Sometimes we might not realize our action could caused trouble to someone else…” Bagaikan radio rosak, ungkapan itu berputar berulang-ulang kali dalam mindanya.

Bezanya, nada suara yang bermain di fikirannya bukan seperti yang didengari tadi. Sebaliknya, ayat yang bermain di fikirannya kini diucapkan dalam nada yang lebih kasar.

Serentak itu, bayangan si dia yang sudah ditanam jauh-jauh di sudut hatinya sejak bertahun-tahun yang lalu mulai menjelma.

Dahlia menggeleng, cuba mengusir bayangan itu pergi. Namun sekuat mana pun dia mencuba, tetap wajah lelaki itu muncul. Dia pejamkan mata sekali lagi. Namun usahanya nyata sia-sia.

Nafas ditarik dan dihela laju. Tidak mahu terus berlamaan di situ, Dahlia kembali melangkah. Bimbang jika apa yang berada hanya dalam bayangannya tadi bakal menjadi nyata.

Namun, sebaik sahaja mata dibuka dan kaki baru melangkah setapak, pergerakannya terhenti kembali. Kakinya bagai dipasak ke lantai marmar lobi tersebut.

Seperti ada tangan halimunan yang sedang memegang erat tubuhnya hingga dia terasa tidak mampu bergerak.

Pandangannya melurus ke hadapan. Ke arah pemilik suara garau yang berjaya melumpuhkan segala pergerakan sejak tadi. Pelupuk matanya tiba-tiba terasa panas.

Di depan sana… hanya dipisahkan dengan jarak beberapa kaki sahaja, lelaki yang pernah hadir membawa sedetik bahagia dalam hidupnya dulu kini sedang berdiri, mendukung si kecil yang sudah reda tangisannya.

Walaupun pandangannya mulai kabur dek air mata, namun Dahlia tetap mampu mengecam wajah itu. Dia masih ingat lekuk yang akan muncul di wajah itu jika lelaki itu tersenyum. Dia masih ingat mana letaknya parut kecil budak nakal di pelipis kanan lelaki itu.

Dia masih ingat lagi bagaimana sepasang mata helang itu akan kelihatan redup bila dia mencuri merenung Dahlia, bagaimana sepasang mata itu akan mencerlang memandangnya jika dia sedang marah. Dia ingat segala-galanya!

Masakan tidak, wajah itu sudah terukir bagaikan tattoo dalam hatinya. Sampai mati pun dia tidak akan dapat memadamkan jauh sekali melupakan wajah itu. Wajah yang dimiliki seorang…

“Darren Hanafi…” Akhirnya terluncur juga nama itu di bibirnya setelah sekian lama dia ajar diri sendiri agar tidak lagi menyebut nama itu.

Tanpa disedari air hangat yang bergenang tadi kini sudah membasahi pipinya. Dahlia mengetap bibir cuba menahan tangis.

Apabila melihat Darren menyerahkan kanak-kanak itu kepada ibunya, secepat kilat Dahlia berlari menyorok di sebalik pasu besar yang berada berhampirannya. Di sebalik rimbunan bunga segar itu, Dahlia mencuri pandang ke arah Darren.

Nama yang sudah bertahun tidak disebut atau diingatnya. Walaupun lelaki itu terpahat dalam hatinya tapi Dahlia tidak pernah mengendahkannya. Mengingati lelaki itu akan membawa duka dalam hatinya. Mengingati lelaki itu akan mengingatkan Dahlia betapa hinanya dirinya.

Dahlia menyeka air mata yang masih mengalir. Stop it, Dahlia! Kau dah berjanji pada diri kau takkan menangis lagi sebab dia! Marah Dahlia dalam hati.

“Dahlia? Dhia Dahlia?” Tiba-tiba satu suara wanita menegurnya.

Dahlia tersentak lalu menoleh ke belakang. Bulat matanya tatkala melihat DD sedang berjalan menghampirinya.

“Dahlia, kan? Dahlia buat apa di sini?” Dengan senyum lebar, DD bergerak laju ke arahnya.

Bimbang jika Darren mendengar namanya disebut-sebut DD, Dahlia segera menarik tangan gadis itu lalu dibawa lari keluar dari hotel tersebut. DD yang nyata terkejut dengan tindakan Dahlia hanya mampu mengikut.

“Dahlia, berhenti!” jerit DD.

Jeritan DD bagai mengejutkan Dahlia dari mimpinya. Dia segera berhenti dan melepaskan tangan DD. Dia tercungap-cungap menahan keletihan. Tanpa Dahlia sedari dia sudah membawa DD lari jauh sehingga ke hujung jalan.

“Kenapa dengan awak ni? Muka awak pucat sangat. Awak sakit ke? Apa yang awak buat dekat Prestige? Awak nak lari dari siapa tadi?”

Soalan bertubi-tubi DD melemaskan Dahlia. Dia tidak mampu menjawabnya tapi dia tahu perlu memberitahu DD sesuatu kerana perbuatannya itu memang menimbulkan seribu persoalan pada siapa sahaja yang mengalaminya.

“Dahlia buat apa dekat sana tadi?” Sekali lagi DD menyoal bila dilihat Dahlia hanya mendiamkan diri.

“Err… saya ada urusan kerja sikit tadi di sana,” jawab Dahlia dengan senyuman kecil di bibir.

Dada yang berombak kencang tadi sedikit demi sedikit mulai tenang.

DD sekadar mengangguk walaupun jelas kelihatan riak di wajahnya nampak tidak puas hati dengan jawapan Dahlia.

“Kenapa awak berlari macam tak cukup tanah tadi?”

Dahlia telan liur. Takkan nak cakap sebab terserempak dengan bekas kekasih kot! Nanti lagi panjang soalan DD.

“Err… tak ada apa-apa. Sebenarnya terkejut tadi kena sergah dengan DD. Tindak refleks, terus aje saya tarik tangan DD bawak lari…” Dahlia bagi jawapan tak berapa masuk dek akal sambil buat-buat ketawa.

Tak mahu DD terus bertanyakan topik yang sama, cepat dia menyoal.

“Err… DD pun ada urusan kerja juga ke dekat hotel tu?” Kecil betul dunia dia hari ini. Dalam masa tak sampai beberapa jam, sudah dua kali dia bertemu dengan ‘teman barunya’ ini.

DD ketawa kecil.

“Ya dan tidak.”

“Huh?”

“Saya memang ada urusan. Tapi bukan urusan kerja.”

“Oh…”

“Saya datang nak jumpa tunang saya.”

“Oh… ya ke?” Dah menjadi tunang orang rupanya wanita jelita ni.

DD mengangguk. “Dia ada di lobi tadi. Kalau awak tak beria tarik saya tadi, boleh juga saya kenalkan.”

Dada Dahlia kembali berombak tatkala mendengar kata-kata DD tadi. Entah kenapa, wajah Darren Hanafi terus muncul di fikirannya.

“Di…dia ada di lobi tu?”

DD mengangguk lagi. “Yup. Actually, he works there. Or to be more exact, his family own the hotel…”

Dahlia terkedu. Berderau darahnya mendengar bicara DD.

“Err… if you don’t mind me asking. Who actually owns the hotel?” Takut-takut Dahlia bertanya. Detak jantung makin menggila menanti jawapan DD.

DD memandang Dahlia pelik. Bimbang kalau-kalau DD akan menaruh syak yang bukan- bukan, cepat-cepat dia ketawa.

“Bukan apa, saya saja nak tahu. Saya ada urusan tadi dengan Prestige. Lepas tu saya dapat tahu kawan baru saya pun kerja di situ. Itu yang saya nak tahu siapa tuan punya hotel itu. Mana tau, kot-kot tuan punya tu saya pun kenal!”

Dahlia memberikan alasan yang paling bodoh yang dapat difikirkannya.

Dia terpaksa bergurau begitu jika mahu DD berhenti mengesyakinya. Dia berpura-pura ketawa dengan harapan DD termakan dengan gurauannya.

“Ooo…” DD ikut sama ketawa sebelum menyambung kata.

“Hotel itu sebenarnya milik Empire Holdings Group, syarikat hartanah terkemuka tu. Prestige is one of its business. Sekarang ni, Prestige dikendalikan oleh anak bekas CEO Empire, Datuk Sofea, Darren Hanafi Adam Abdullah. So, awak kenal ke mereka?” DD menerangkan panjang lebar sambil ketawa terkekeh-kekeh.

Dahlia terdiam. Ya, dia kenal. Dia cukup kenal dengan mereka! Tapi kata-kata itu hanya berlagu dalam hatinya.

Dia tidak akan sesekali memberitahu DD betapa dia mengenali keluarga itu. Ya ALLAH, kecilnya duniaMu ini!

Sungguh, Dahlia tidak tahu mahu bereaksi macam mana. Kenapa perlu nama-nama itu muncul lagi garisan takdirnya?

“Dahlia? Are you okay?”

Dahlia angkat kepala memandang wajah DD yang sedang berkerut memandangnya. Baru sahaja dia hendak membuka mulut membalas pertanyaan DD, ada suara garau muncul dari belakangnya.

“Diya Dahlia…”

Jantung Dahlia bagai hendak luruh mendengar suara itu. No! Not him! Please God, not him!

DD yang berdiri di hadapannya sudah menjengkit sedikit kaki, mahu memandang ke arah belakang Dahlia. Melihat wajah insan yang menegurnya buat dia menjerit teruja.

“Darren!”

Dahlia menggeleng. God, no! Derapan kaki yang semakin hampir membuatkan debaran

Dahlia bertambah kencang. Dia perlu pergi segera. Dia belum bersedia bertemu lelaki itu!

“Err… DD, saya pergi dulu ya. Ada hal. Bye.” Tanpa menunggu respons DD, sepantas boleh dia berlari meninggalkan kawasan itu.

“Eh…awak…tunggu! ” Namun panggilan DD tidak diendahkan Dahlia. DD mengeluh perlahan sambil menggeleng. Hairan sungguh dia dengan sikap Dahlia hari ini.

“Who is that?” tanya Darren sebaik sahaja dia tiba di sebelah DD. Hanya belakang gadis itu sahaja yang dapat dilihatnya.

“Oh, itu kawan I. Eh, you buat apa kat sini?” soal Diya Dahlia.

Sengaja dia tak mahu menerangkan lebih terperinci tentang siapa Dahlia. Mengenangkan sikap Darren pagi tadi terhadap hubungannya dengan Dahlia, lebih baik jika dia merahsiakan perkara itu.

“Tadi bell boy cakap dia nampak ada perempuan bawa you lari keluar. I risau kalau ada apa-apa, sebab tu I cari you.

Hati DD kembang mendengar nada suara Darren. Dalam dinginnya, masih juga lelaki itu mengambil berat tentang dirinya.

“Sayang juga you dekat I ya?” tanya DD separuh bergurau. Darren hanya tersenyum nipis.

“Whatever it is, you are my fiancée. Memang dah tanggungjawab I jaga you. Dahlah. Let’s go back to the hotel. I ada discussion dengan Halim.” Jawab Darren sambil meraih tangan DD.

Tetapi sebelum melangkah dia menoleh sekali lagi ke arah yang diambil gadis misteri tadi. Entah kenapa dia merasakan bagai ada mata yang memerhatikannya saat itu.


PROLOG 1 PROLOG 2 • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL DEAR DAHLIA (PENULIS: CALLA LILY)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *