Dear Dahlia – Bab 5

MALAM sudah semakin larut. Mata Dahlia tertancap ke arah jam dinding yang tergantung di dinding bercat warna biru muda itu. Jarum jam sudah beralih ke angka 3 menandakan sudah pukul tiga pagi. Selalunya waktu-waktu begini Dahlia sudah lama lena dibuai mimpi. Keletihan sehari suntuk bekerja dibayar dengan tidur yang sempurna. Tapi malam ini matanya tak mahu terpejam walaupun dipaksa Dahlia berkali-kali. Masuk jam ini  entah berapa kali badannya di kalih ke kanan dan ke kiri. Bermacam-macam petua telah dicubanya. Daripada solat tahajud hinggalah ke petua orang barat, mengira jumlah kambing melompat pagar tapi kantuknya tetap tidak datang.

Peristiwa yang berlaku petang tadi benar-benar mengganggu fikirannya. Sejak meninggalkan DD petang tadi, hatinya tidak pernah tenteram. Hajat untuk kembali semula ke pejabat selepas urusannya dengan Encik Halim selesai dimatikan saja. Dia hanya menghubungi Kak Neesa dan mengatakan badanya rasa kurang enak jadi dia mahu terus pulang ke rumah. Memandangkan waktu sudah menginjak ke pukul 5, Neesa tak banyak soal. Dia cuma berpesan agar Dahlia berehat dan berjumpa doktor jika keadaannya serius.

Dahlia mengiring semula ke kanan. Tubuhnya kini tepat menghadap sekujur tubuh Mazni, sahabat baiknya dunia akhirat yang sudah lena melayari bahtera mimpinya. Dahlia mengeluh kuat. Cemburu dia melihat Mazni yang nyenyak tidur sedangkan dirinya masih terkebil-kebil di dalam gelap.

Kenapalah aku jumpa kau lagi? Kenapa perlu sekarang? Saat semuanya dah kembali normal dalam hidup aku? Dan kenapa aku perlu mengenali DD? Kenapa aku perlu tolong dia pagi tadi? Kalau lah aku jadi macam lelaki botak yang pentingkan diri sendiri tu tadi mungkin semua ini tak akan terjadi. Ya ALLAH, apa ujian yang nak KAU turunkan padaku kali ni, Ya Rabbi? Dahlia bermonolog seorang diri.

Namun dia sedar semua soalan itu tidak akan dapat dijawabnya. Walau apa pun yang difikirkannya, hakikatnya tetap sama; Darren Hanafi sudah muncul kembali dalam hidupnya! Ini ketentuan ALLAH SWT Sudah tertulis di loh mahfuznya, hari ini Dahlia akan bertemu semula dengan kenangan lamanya, Darren Hanafi Abdullah. Apa lagi yang mampu aku lakukan kalau memang ini kehendaknya?

Dahlia bangun dari katil yang dikongsi bersama Mazni itu. Sudah enam tahun dia dan Mazni menjadi penghuni bilik utama di rumah sewa satu tingkat itu. Rumah yang mempunyai tiga bilik itu di sewa bersama dengan empat lagi rakan mereka. Walaupun asalnya rumah sewa itu hanya didiami oleh Dahlia dan Mazni tetapi kerana mahu berjimat cermat, Dahlia mencadangkan agar bilik yang lain disewakan pada orang lain. Mulanya Mazni agak keberatan kerana takut tidak ada keserasian antara mereka tetapi setelah bertemu Jua, Ani, Kak Sal dan Lela, dia akhirnya bersetuju kerana ternyata mereka berenam satu kepala.

Dahlia berjalan menuju ke tingkap yang tertutup rapat. Perlahan dia membuka tingkap itu dan merenung ke arah luar. Suasana sunyi sepi menyapa gegendang telinganya. Masakan tidak, siapalah yang mahu berjaga waktu-waktu begini? Lebih baik mereka tidur dan merehatkan diri.

“Lia? Hang ok ka?”

Dahlia terjaga dari lamunannya bila terdengar namanya yang hanya dipanggil oleh keluarga dan temannya di Pulau Langkawi, tempat dia dibesarkan. Dahlia memandang ke arah katil. Dilihatnya Mazni sudah terjaga dan sedang duduk di birai katil dengan kaki terjulur ke bawah.

“Hang sakit kepala lagi ka? Dah makan Panadol?” soal Mazni lagi.

Dia menggosok-gosok matanya untuk mendapatkan pandangan yang jelas dalam kesamaran bilik itu. Cahaya bulan yang mencuri masuk melalui tingkap yang dibuka Dahlia menjadi panduannya untuk menghampiri Dahlia.

“Maaf. Aku ganggu hang tidoq ka?” soal Dahlia dalam loghat utaranya. Sememangnya dia senang berbicara dengan Mazni menggunakan loghat utara mereka sementelah, mereka adalah sekampung. Sekurang-kurangnya terubat rindu mereka pada kampung halaman.

“Haih! Tak kacau apalah. Aku risau saja tengok hang. Awatnya? Hang tak sihat ka?”

Mazni meletakkan tapak tangan kanannya ke atas dahi Dahlia dan tangan kirinya diletakkan ke atas dahinya.

“Sama aja aku rasa…” gumam Mazni seorang diri.

Melihat sikap Mazni yang selalu mengambil berat tentang dirinya membuatkan Dahlia terharu. Sahabatnya yang satu itu memang terlalu baik dengannya. Sedari kecil dia bersahabat dengan Mazni, kawannya itu tidak pernah jemu menjaganya. Susah payah mereka berkongsi bersama.

Kadangkala Dahlia sendiri naik segan dengan kebaikan yang Mazni berikan. Matanya terasa hangat. Air mata yang ditahan sejak melarikan diri dari DD tadi akhirnya tumpah. Dahlia memeluk Mazni sekuatnya. Di bahu kawannya itu dia menghamburkan segala kesedihan yang dirasainya kini.

Mazni terkejut dengan sikap Dahlia. Apa hal pulak budak ni? Sudah lama dia tidak melihat Dahlia begini. Kali terakhir Dahlia menangis dibahunya adalah lima tahun lalu. Dia ingat lagi Dahlia tiba di rumah neneknya malam itu dalam keadaan yang tidak terurus. Seperti malam ini, waktu itu Dahlia juga menangis semahu-mahunya.

Puas dia memujuk Dahlia malam itu. Esoknya Dahlia terus menyatakan hasratnya untuk tinggal bersama Mazni beberapa hari di rumah mak dan bapaknya di Kuala Perlis. Selepas beberapa hari dipujuk baru Dahlia sudi bercerita.

Takkan ini pun aku kena tunggu tiga hari kot? Soal Mazni dalam hati.

“Lia? Hang kenapa ni? Jangan la teriak lagu ni. Nanti aku pun sedih jugak.” Pujuk Mazni. Belakang temannya itu digosok lembut, cuba menenangkan hati kawannya itu.

Dahlia terus menangis. Dia sudah tidak mampu menahan rasa lagi. Malam ini dia mahu meluahkan segalanya agar beban di hatinya hilang. Dia menangis sekuat hatinya. Dia mahu air matanya yang mengalir keluar membawa sekali luka dan kepedihan di hati.

“A..a..a..aku jumpa dia Maz. Aku jumpa dia,” luah Dahlia dalam esak tangisnya.

Mazni mula kehairanan. Siapa yang dijumpai Dahlia sampai dia menjadi begini?

“Hang jumpa siapa, Lia?” soal Mazni.

Perlahan Dahlia merungkaikan pelukannya. Matanya yang bergenang air mata merenung tepat mata Mazni yang kehairanan. Perlahan tangan kanannya dimasukkan ke dalam leher baju tidurnya. Seutas rantai yang setia tergantung di lehernya selama ini dikeluarkan dan ditunjukkan kepada Mazni.

Mazni merenung rantai yang berbuahkan tiga buah cangkerang kulit siput yang sudah diawet itu. Dia sudah dapat menangkap maksud Dahlia.

Dia kenal benar dengan rantai itu. Dia kenal siapa pemberinya. Dia tahu sangat siapa yang mengalungkan rantai itu ke leher Dahlia. Matanya kembali menyapa wajah sahabatnya yang basah dengan air mata itu.

“Hang jumpa Darren?” tanya Mazni perlahan.

Dia tidak perlu mendengar jawapan dari mulut Dahlia. Mata dan sendu gadis itu sudah cukup untuk menjawab soalannya.

“Hang jumpa dia kat mana?” tanya Mazni lagi.

Perlahan Dahlia menceritakan peristiwa yang terjadi padanya tadi bermula dari saat dia bertemu DD.

Dahlia ketawa kecil. “Kelakarkan? Aku tak sangka dunia ni kecil betul. Aku dok ingat selama ni cerita-cerita lagu ni jadi kat dalam TV saja.”

Mazni memegang tangan Dahlia. Mujur mereka kini berada semula di atas katil kalau tidak pasti dia terduduk di atas lantai selepas mendengar cerita Dahlia.

Memang benar kata Dahlia, selalunya kisah begini hanya berlaku dalam sinetron atau telenovela yang sering ditonton di kaca televisyen. Sungguh dia tak menyangka dalam alam realiti, kisah begini boleh terjadi.

Dahlia dilihatnya mula tenang. Dia tidak lagi menangis seperti tadi. Yang kedengaran kini hanya esakan kecil daripada gadis itu. Mazni jadi serba salah.

Separuh hatinya, dia mahu Dahlia menceritakan apa sebenarnya yang berlaku antara Dahlia dan Darren lima tahun lalu di Pulau Langkawi. Tapi yang separuh lagi takut kalau-kalau dengan menceritakan hal itu akan membuatkan sahabatnya itu bertambah sedih.

Mazni sebenarnya samar-samar tentang kisah antara Dahlia dan Darren. Apa yang Dahlia ceritakan cuma dia dan Darren berkenalan di Pulau Langkawi. Dan dalam masa yang singkat ketika mereka bersama, wujud satu perasaan antara mereka. Tapi atas sebab-sebab tertentu mereka terpaksa berpisah dan perpisahan itu hampir membuatkan sahabatnya itu menjadi separuh nanar!

Mazni sendiri tidak tahu apa sebabnya mereka terpisah. Walaupun Mazni tidak pernah bertemu Darren tapi daripada cara Dahlia bercerita dia yakin lelaki itu baik orangnya. Jadi kenapa mereka berpisah? Apa puncanya?

Soalan-soalan itu hanya berlegar di dalam hati Mazni sahaja. Pernah dia bertanya pada Dahlia tapi jawapan gadis itu hanya menjawab…

“Helang dan pipit mana mungkin terbang bersama, Mazni.”

Adakah kerana status keluarga mereka berbeza jadi mereka berpisah?

“Hang tau Maz, dia dah banyak berubah. Dulu rambut dia panjang, la ni dah pendek. Muka pun dah ada tumbuh misai dan jambang sikit-sikit macam hero hang Brad Pitt tu. Tapi senyuman dia tak berubah langsung Maz. Macam dulu juga. Manis…” ujar Dahlia tiba-tiba.

Seraut wajah Darren Hanafi muncul di matanya. Walaupun kini lelaki itu kemas berambut pendek, namun dia masih kacak macam dulu. Malahan kekacakannya itu makin terserlah dalam kedewasaannya itu.

Senyumannya ketika bersama si kecil yang menangis tadi masih tetap macam dulu. Manis dan menawan. Tubuhnya lebih sasa berbanding dulu.

Dahlia mencongak di dalam kepalanya. Lima tahun dulu Darren berusia 25 tahun. Bermakna kini umur lelaki itu sudah mencapai 30 tahun. Patutlah dia kelihatan lebih matang sekarang.

“Bertuah siapa yang dapat memiliki lelaki itu,” bisik Dahlia.

Tiba-tiba dia terkenangkan DD. Bibir menguntum senyum kecil. DD lah insan bertuah yang memiliki lelaki sebaik Darren. Bertahun-tahun berlalu, kini Darren sudah pun menjadi milik wanita lain.

Melihat daripada cara Darren melayan DD tadi, Dahlia dapat rasakan betapa sayangnya lelaki itu pada DD.

Tangan kanannya naik menyentuh dada sendiri. Pedih! Tipulah kalau kata hati dia tak terasa sakit apabila memikirkan yang Darren punya hubungan istimewa dengan DD. Pedihnya mula terasa saat dia ternampak Darren memegang tangan DD tadi.

Bagai ada belati tajam yang menusuk dadanya ketika itu. Entah kenapa, dia rasa seperti dikhianati walhal dia tidak punya hak untuk rasa begitu.

Sudah Dahlia! Kenapa perlu kau rasa macam tu? Kau tak layak untuk rasa begitu Dahlia. Bukan selepas apa yang kau dah buat pada Darren! Marah hatinya sendiri.

“Lia? Kalau aku tanya hang jangan marah na?” Mazni bertanya tiba-tiba. Dahlia memandang ke arah Mazni, menantikan butir bicaranya.

“Sebenarnya apa yang jadi pada hang dengan Darren dulu?” Berhati-hati Mazni bertanya, bimbang kalau hati Dahlia terusik lagi.

Dahlia diam seketika.

“Hang tak pernah cerita pun dekat aku. Kenapa hangpa berdua berpisah? Kalau ikut cerita hang, hangpa dua kan suka sama suka. Tapi kenapa tak bersama?”

Dahlia menarik nafas panjang. Dia tahu, dia perlu menceritakan kepada Mazni apa yang berlaku. Dia tidak boleh selamanya membiarkan sahabatnya itu terus berteka-teki. Tapi tegarkah dia membuka pekung di dada?

Apakah Mazni akan menganggap dia sahabat lagi selepas ini? Sudahlah boleh dikira dengan jari sahaja siapa orang kesayangan yang masih dia ada sekarang ini. Andai dia turut hilang Mazni, mampukan dia menanggung kepedihan itu lagi?

Mata Mazni direnung. Tangan Mazni dipegang, cuba mencari kekuatan di situ. Dia membuka mulut, memulakan bicara.

“Helang dan pipit mana mungkin terbang bersama, Maz…”


PROLOG 1 PROLOG 2 • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL DEAR DAHLIA (PENULIS: CALLA LILY)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *