Dear Dahlia…
Dia dah tak ada! Selepas segala-galanya yang kita harungi, dia pergi juga akhirnya.
Berbaloi ke semua ini, Dahlia? Berbaloi ke?
D.
“JANGAN lupa pada janji kamu.” Mendatar sahaja wanita di depannya bersuara. Namun gadis berambut ikal itu tahu, walaupun riak wajah wanita itu beku seperti tidak berperasaan, namun kata-kata yang diucapkan itu bukannya kata-kata biasa yang wajar dipandang rendah. Ia penuh dengan amaran sebenarnya.
“Jangan risau. Saya tak akan langgar janji saya.” Itu janjinya pada wanita itu. Selepas semua yang terjadi, mana mungkin dia akan memungkiri janjinya. Apa yang jadi sekalipun, dia akan pastikan, janji yang dimeterai akan ditepati hingga akhir hayat.
“For your sake, young lady , I hope you’ll keep your promise.” Usai berkata-kata, wanita anggun itu terus mengenakan kaca mata hitamnya sebelum langkahnya dibawa menghala ke arah sebuah kereta yang diparkir di bawah pokok tidak jauh daripada mereka.
Gadis itu hanya mampu diam. Apa lagi yang patut dicakapkan? Semua yang berlaku adalah atas kehendaknya. Yang mampu dilakukan sekarang, hanyalah meneruskan hidupnya. Walaupun kini ia bukan lagi seperti biasa, namun sekurang-kurangnya kini dia mampu bernafas dengan lega.
Dia mendongak, memandang langit yang membiru. Senyuman kecil tersungging di bibir. Di fikirannya kini hanya terbayang wajah seseorang. Di hatinya kini, sedang mendoakan seseorang.
Di mana sahaja awak berada, semoga bahagia akan sentiasa bersama awak…
PROLOG 1 • PROLOG 2 • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL DEAR DAHLIA (PENULIS: CALLA LILY)