RAFEAH asalnya dari kampung, bukanlah dari bandar raya yang bernama Kuala Lumpur. Kuala Lumpur hanya sebuah tempat pelarian yang mengajarnya hidup jangan sesekali disia-siakan. Selagi tak mati, teruslah hidup mengikut kemahuan sendiri. Sama ada hidup bergelumang dosa ataupun berterusan membuat pahala. Jadi orang baik mahupun orang jahat.
Pilihan kita. Hidup kita. Yang penting tetap hidup.
Jangan mati bunuh diri. Jangan ambil nyawa sendiri.
Bagaimana cara kita mati biar TUHAN yang tentukan. Kerja kita adalah teruskan hidup.
Macam hari ini.
Dari hidup senang lenang di Kuala Lumpur, Rafeah tiba-tiba buat keputusan untuk balik ke kampung. Buang tabiat? Ya, agaknya! Buang tabiat macam orang yang dah nak mati. Tapi Rafeah harap umurnya masih panjang walaupun dia tak tahu kenapa dia nak terus hidup.
Terkedek-kedek jalan Rafeah. Dia nak menyumpah! Kampung tua ini panasnya nauzubillah, macam neraka! Macam manalah orang kampung ni hidup selama ni? Pakai kipas aje ke? Kebanyakan rumah yang dia lalu nampak biasa-biasa, mampu ke nak pasang pendingin hawa? Pakai kipas ajelah kut. Dia mencebik. Macam mana dia nak duduk di kampung kalau
macam ni?
“Ah, lepak kejap kat sini. Tak tahan aku blahlah!” Dia tanya, dia sendiri yang jawab.
Meskipun ada juga perubahan dengan kampung ini, namun dia masih ingat jalan ke rumah emak dan bapaknya. Dan ke situlah tujuannya pada saat ini. Pulang ke tempat asal usulnya. Tak pasti buat sementara atau sampai dia mati. Dia tak peduli risiko. Dia main redah saja. Dia dah besar. Dia dah tahu pertahankan diri. Kalau bapak pukul, dia akan pukul bapak balik.
Kalau emak carut dia, dia akan carut emak semula sampailah kedua orang tua itu terkedu dan sedar dia tak mudah dibuli lagi. Rafeah yang kini bukanlah Rafeah yang dulu.
Vroom!
Cilakak! Dalam hati dia menyumpah. Motosikal hitam itu terus berlalu pergi. Tak peduli pada Rafeah yang hampir tersembam.
“Hoi!” Dia menjerit. Bengang punya fasal.
Tak payah nak jaga ayu sangat walaupun saat ini dia pakai baju kurung. Yang penting sakit di hati boleh dilampiaskan.
“Kurang ajar! Bodoh! Bangsat!” Mulut mencerca.
Geram! Mujur dalam bengangnya dia tak sampai mencarut, hanya setakat mencerca. Dan mujur juga dia tak tersembam ke jalan tar. Jika tidak pasti ada anggota tubuhnya yang terluka. Pada siapa dia hendak mintak ganti rugi? Bukannya dia nampak muka si penunggang motosikal berkuasa besar yang hampir melanggarnya.
“Tak guna punya malaun!”
Dia memakai semula sandal yang tercabut gara-gara terpeleset kerana terkejut disergah motosikal besar gedabak berwarna hitam. Nasib baik sandal dia tak putus!
“Orang kampung pun kurang ajar!” Tak habis lagi marahnya.
“Yang kampung ni pun apa hal kolot sangat? Teksi pun susah nak masuk dalam ni. Sakit kaki aku!”
Dia terus berjalan sambil mengheret beg. Sudahlah panas, kaki pula dah naik sakit. Bila nak sampai ni? Agak lama berjalan, akhirnya dia nampak sebuah rumah separa batu dan kayu, gah berdiri dipagari dengan pagar kawat berwarna hijau. Berlapis-lapis dahinya. Betul ke apa yang dia sedang lihat? Kenapa nampak lain benar? Cepat-cepat dia meneruskan langkah.
Setelah sampai…
Eh, betullah! Ini rumah emak dan bapaknya! Kenapa nampak seperti rumah tinggal? Pelik!
Bagasi ditarik lalu diletakkan di atas anak tangga. Tangga pun berhabuk! Tak mungkin setelah tujuh tahun berlalu emaknya berubah menjadi seorang yang pengotor. Dia ingat emaknya setiap hari akan menyapu halaman rumah. Kalau bukan emaknya, dialah yang akan selalu menjadi mangsa yang dikerah tenaga. Sehelai daun kering pun tak boleh tertinggal, semuanya wajib disapu dan dibakar selepas itu.
“Mana mak dengan pak ni? Takkan dah pindah kut.”
Dia melihat sekeliling rumah. Rumahnya masih tegap, namun kawasan sekitar kelihatan agak tidak terurus. Dia duduk di pinggir tangga, langsung tak kisah kalau bajunya kotor. Baju kurung kain kapas ini harganya bukan beribu. Setakat kena habuk apalah sangat?
Sandal dibuka. Kaki digoyang-goyangkan. Badannya lengket, kakinya pegal. Lurus matanya menatap pintu rumah yang bermangga.
“Dah mati ke mak dengan pak ni? Orked pi mana? Mampus juga ke?” Tanpa sesal soalan itu terluncur dari bibir. Apa lagi yang boleh difikirkan?
Tak mungkin emak dan bapaknya berpindah. Bapaknya nak tinggal lembu sekejap pun sayang, inikan pula nak pindah ke tempat lain. Lagipun rumah ini harta milik emak dan bapak. Dikumpulkan susah payah selama bertahun-tahun. Tak semudah itu ditinggalkan begitu saja, apatah lagi dibiarkan terbiar tanpa dijaga.
“Hesy, apa hal jadi macam ni pula!”
Beg tangan dibuka. Dia mencari telefon pintar. Setelah mendapat apa yang dicari, layar digeser.
“Haih, mana boleh tengok apa-apa!”
Lupa pula dia sengaja mematikan telefon lantaran tidak mahu diganggu sesiapa. Dia mendengus. Telefon dicampak semula ke dalam beg.
“Menyusahkan betullah!”
Kalau tahu tak ada sesiapa di rumah tua ini, dia takkan jejakkan kaki ke kampung. Yang dia pun, banyak-banyak tempat kenapa nak balik ke sini juga?
“Suka hati akulah nak balik mana pun!” Dia cemberut sambil bercakap sorang-sorang. Kakinya menguis tanah. Hujung jarinya kotor terkena tanah.
Kriuk. Bunyi perutnya yang kelaparan. Mana nak cari makan? Dia dah lapar sangat, dari pagi sampai sekarang belum menjamah makanan.
“Laparnya…” Perut dipegang. Stresnya bukan main. Semakin tertekan apabila melihat keadaan rumah.
Dia nampak ada pokok bunga yang masih hidup. Tidak semuanya mati. Cuma pokok bunga tersebut hidup ceria berkawan dengan lalang. Pokok mangga di tepi pangkin juga masih hidup. Gagah berdiri seakan semakin besar. Buahnya lebat, berguguran jatuh di atas pangkin. Tinggal biji yang sudah kering.
Jika dilihat dari kawasan rumah, dia dapat membuat kesimpulan sudah sekian lama rumah ini tidak berpenghuni. Jika tidak, mana mungkin kawasan rumah menjadi sedaif ini. Nak menyesal ke tidak ni? Kalau menyesal dia tak ubah seperti menjilat semula ludah yang sudah diluahkan. Haih, Hairi mesti suka kalau tahu nasib dia jadi begini. Grrr… Bibirnya diketap.
“KAU serius ke nak blah ni?”
Hairi duduk di atas katil Rafeah.
“Seriuslah!”
“Baru kena lamar dengan tuan kau, takkan kau dah nak lari? Kau takut atau kau dah jatuh cinta pada laki orang tu?” Rafeah mencebik. Dia ambil sebiji bantal kecil kemudian baling ke muka Hairi. Dia mendengus apabila Hairi dengan tangkas mampu menyambut bantal itu.
“Sorry sikit eh. Aku tak bertuan.” Dia duduk di sebelah Hairi.
“Lagipun aku boringlah kat sini. Teringin nak ubah angin.”
Dua makhluk TUHAN berlainan jantina itu saling memaut pinggang. Rafeah lentokkan kepalanya ke bahu Hairi.
“Tapi kenapa kau nak balik kampung?”
Tangan kiri Rafeah diambil lalu dia melurut jemari runcing Rafeah yang kukunya berwarna merah. Rafeah diam. Terdetik persoalan sama di fikirannya. Kenapa dia nak balik kampung?
“Kau rindukan mak ayah kau ke?”
Rindu? Dia tak yakin ada rindu tersimpan di dadanya.
Tahun pertama dia masih mengenang keluarga dan kampung halaman. Seiring dengan masa yang begitu cepat berlalu, dia kian melupakan kenangan. Bukan saja kenangan, malahan nama emak dan bapaknya tak lagi meniti di bibir. Dia tak pernah mimpikan mereka. Hanya sekali-sekala Amsyar muncul dalam mimpinya. Amsyar hanya diam dan sedih. Tiada suara, namun pandangannya tajam. Selalu mampu menusuk sehingga ke jantung Rafeah.
Kenapa dia masih mimpikan Amsyar? Mungkin secebis rindunya pada Amsyar masih ada, tetapi tidak untuk yang lain. Untuk apa dia rindu pada mereka yang tidak pernah menginginkan dirinya? Dia tidak mahu jadi bodoh lagi. Cukup dia sayangkan dirinya seorang. Dia tidak ingin peduli pada orang lain lagi.
“Aku tak rindu siapa-siapa pun.”
“Kalau kau tak rindu, kenapa kau nak balik kampung?” Dia menjongketkan bahunya.
“Feya.”
“Hurm.”
“Nanti… err, kau balik sini lagi tak?”
Jemari Rafeah dilepaskan. Dia membelai rambut Rafeah. Kerana belaian itu mata Rafeah menjadi kuyu. Dia mengantuk.
Soalan Hairi gagal ditangkap benaknya. Dia bukannya boleh kalau ada orang membelai rambutnya begitu. Cepat saja kantuknya datang. Sudah lama mereka tinggal serumah, takkan Hairi tak tahu lagi.
“Feya…”
“Hurm.”
“Kau dengar tak apa aku cakap ni?”
“Hurm, tak…” Rafeah mengaku dia memang tak jelas langsung dengan pertanyaan Hairi. Apa yang Hairi tanya tadi?
“Mengantuk…” Rafeah merengek. Suaranya semakin kecil.
“Esok kau dah nak balik kampung. Sembanglah dengan aku lagi.”
Rafeah menggeleng. Tak semena-mena riba Hairi dipanjat, tubuh Hairi dipeluk erat. “Mengantuk.” Dia merengek hal yang sama. Hairi mengeluh. Tubuh Rafeah diangkat kemudian dibaringkan di atas katil.
“Teman…” Dia mendengar bibir Rafeah menggumam. Tanpa ragu-ragu badannya turut direbahkan di sebelah Rafeah. Pinggang Rafeah dipeluk erat.
“Orang nak sembang dengan dia, dia tidur pula.”
Anak rambut Rafeah dibetulkan. Sekujur wajah bujur sirih milik Rafeah diteliti. Rafeah tak terlalu cerah, namun tidak gelap juga. Warna kulit Rafeah adalah warna normal bagi kulit wanita Malaysia. Dan dia suka warna kulit Rafeah. Bagi Hairi, kulit Rafeah kena dengan bentuk wajahnya. Eksotik dan menarik. Berkali-kali pandang tetap tak jemu. Semenjak Rafeah ada duit sendiri, Rafeah semakin pandai menjaga kecantikannya. Dalam keadaan tidak mengenakan secalit solekan seperti saat ini pun, Rafeah tetap cantik. Pipi Rafeah dielus.
“Kau memang tak rindu sesiapa pun. Hati kau yang kejung, keras macam batu tu memang susah orang nak tembus.” Keluhan terlepas lagi.
Dia tahu dia bakal rindu pada seraut wajah ini. Itulah yang ingin dikatakan pada Rafeah sebentar tadi.
“Kalau aku rindukan kau macam mana?”
Rafeah menggeliat setelah mendengar soalannya. Dia tahu Rafeah tak dengar. Rafeah selalu saja seperti itu. Terlepas setiap kali ada topik penting yang mahu dibicarakan.
PROLOG 1 • PROLOG 2 • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL DOSA YANG BERNAMA RAFEAH (PENULIS: AK RAFFHAN)