0

Dosa Yang Bernama Rafeah – Bab 2

VROOM! VROOM! Bunyi enjin  motosikal yang sangat kuat itu mengejutkan Su Timah yang santai-santai saja berjalan.

“Nate beruk ni!” Hujung selendangnya melibas pemuda yang sedang bertenggek di atas motosikal berkuasa tinggi.

“Bukan beruk ni tok. Aisy!”

“Mu ingat aku tak nampak?”

Pemuda itu tergelak. Bengkengnya Su Timah.

Su Timah berang! Bertambah berang apabila melihat kaca mata Aisy yang bersinar diterpa matahari, silau mata dia! Boleh sengih-sengih pula si Aisy selepas dah kacau orang tua macam dia. Nasib baiklah dia tak ada penyakit lemah jantung. Kalau tak, mati tak sempat mengucap dibuat budak bertuah ini.

“Buka gak spec mu tu. Sakit mato aku tengok.”

Aisy lekas-lekas membuka cermin matanya. Dia tersengih seperti kerang busuk. Lupa dia sedang mengenakan kaca mata hitam. Bukan niatnya hendak berlagak di kampung, tujuannya semata-mata untuk menghalang silau matahari.

Hari ini cuaca panas sungguh. Dia yang naik motosikal pun sudah mula mengalirkan keringat. Su Timah yang berjalan kaki tak panas ke?

“Tok nak pi mana?”

“Nak pergi kedai muloh Abe Daud.” Jari Su Timah menuding ke hadapan.

Su Timah nampak beberapa orang anak muda berkumpul di tepi jalan berdekatan dengan kedai runcit tersebut. Huh, budak-budak zaman sekarang suka sungguh buang masa! Berpelesiran tanpa faedah saja yang mereka tahu. Merungut hati Su Timah.

“Alah, tok ni. Apa muloh pula? Kesian Su Lijah. Dia yang jaga kedai tu tapi arwah Tok Aki yang dapat nama. Ibarat kata orang lembu punya susu tapi sapi yang dapat nama.”

“Jauhnya perumpamaan mu. Kalau dengar macam dah bijak sangat. Tapi aku nok bagi tahu kalau tak sebab Tok Aki, Su Lijah tu tak dapat nak merasa ada kedai runcit. Kedai runcit tu kalau mu nak tahu harta pusaka. Warisan dari Tok Aki!” Aisy tergelak.

Berkobar-kobar semangat Su Timah mempertahankan nama Tok Aki. Dia cuma bergurau. Bukan dia tak tahu kenyataan itu. Tak sangka pula Su Timah ambil serius kata-katanya.

Sudah lama Tok Aki meninggal dunia. Kalau tak silap sudah hampir tiga tahun namun namanya masih disebut-sebut orang. Nama pemilik sudah bertukar, tetap juga orang menggelar kedai runcit Tok Aki. Kesian anaknya yang penat lelah menjaga, sedikit pun orang tak nampak.

“Aisy gurau jelah tok.”

“Malaslah layan mu. Buat sakit hati.”

“Ala tok ni. Merajuk comel pula. Marilah naik. Aisy hantar tok naik motor. Cepat pun cepat. Penat pun tak penat.” Aisy mempelawa.

“Biarlah. Tok nak ambil angin. Lama tak rasa angin panas lagu ni. Sekali-sekala keno, sero tubik peluh sikit.”

Bukan Su Timah tak sudi menumpang motosikal si Aisy tapi melihat pada belakang motosikal yang terconget, seram pula Su Timah mahu mendaki. Bimbang kalau-kalau pinggangnya patah membonceng motosikal Aisy. Tak ada penyakit, baiklah tak usah cari penyakit.

“Betul tak nak naik tok? Rugi tahu. Bila lagi nak merasa naik motor besar?” Aisy masih memujuk. Kasihan melihat Su Timah berjalan kaki. 

Ke mana pergi kesemua anak-anak dan cucu-cucu Su Timah? Kenapa dibiarkan Su Timah sendirian ke kedai? Berjalan kaki pula. Haih!

Tak boleh ke mereka saja yang membeli barang yang Su Timah mahukan? Tergamak sungguh mereka biarkan Su Timah berpanas di bawah terik matahari. 

Beberapa minggu ini cuaca begitu lokek dengan kampung mereka. Awan enggan menumpahkan tangis menyebabkan siang dan malam mereka begitu panas. Bahkan lombong yang berhampiran dengan kampung mereka yang selalu dalam airnya semakin cetek. Jika kebiasaannya orang kampung hanya memancing di situ tetapi sekarang sudah ramai yang berani berkubang di dalamnya terutama pada petang hari buat menghilangkan panas. 

“Tok seylah.”

Su Timah menggeleng. Bukan dia melengahkan masa tapi si Aisy yang ajak bersembang. Yang membuatkan dia penat bukan kerana berjalan tapi kerana lama terpacak di tepi jalan diadang motor besar Aisy.

“Macam ni, apa kata Aisy aje yang pergi beli barang tok? Tok pergi pusing balik rumah. Nanti Aisy hantar barang yang tok nak tu.” Aisy bagi  cadangan bernas.

“Tok nak beli apa?”

Su Timah berdecak sebal. “Hok aloh. Aku ni sihat lagi. Tak dok sakit gapo-gapo. Sekali-sekala jale bakpo ko diyonyo? Tok matinyo, heh.” Keluar terus loghat Kelantan Su Timah.

Su Timah yang sudah berumur 65 tahun itu memang berasal dari Kelantan. Sekali-sekala ikut suka hati Su Timah, dia akan berbicara menggunakan loghat Kelantan. Biar tidak lupa asal-usul kata Su. Timah.

Su Timah bercekak pinggang. Panas hati dengan gelagat Aisy. Aisy tersengih. Kekwat sungguh nenek saudara dia yang seorang ini. Orang nak tolong pun tak sudi terima.

“Sungguh ni tok tak nak Aisy tolong? Panas ni…” Aisy belum. putus asa. Mana tahu Su Timah makan pujuk lalu menerima. pelawaannya. Dapat juga dia pahala di samping membantu yang lebih tua.

“Panas-panas dekat dunio ni. Panas lagi neraka!” Sahut Su Timah tegas.

Aduh, kena setepek ke muka! 

Aisy tergeleng. Sudah faham Su Timah tidak akan berganjak dengan keputusannya.

“Tak apalah kalau tok cakap macam tu. Aisy baliklah.” Aisy menghidupkan enjin motosikal yang sempat dimatikan.

“Patut tadi lagi mu balik. Motor mu ni besar sangat. Nak lalu pun payoh. Kaloh ghima besarnya.” Su Timah menggoyangkan jari, isyarat menghalau Aisy.

“Nanti apa-apa, kalau jatuh ke, tak larat nak balik jalan kaki ke, calling-calling Aisy ya. Aisy sudi aje jadi drebar tak bergaji tok.”

“Aku tak bawak handphone. Malas heh, nok gi dekat jah pun.” 

“Hok aloh ada telefon canggih, kenapa tinggal? Payah tok ni,” usik Aisy lagi.

Su Timah menjegilkan mata. “Bertuah punya budak. Dohlah. Mu gi kelik. Letih doh dok cace lagu ni. Kalau dok ni takdi lagi sampai rumah doh. Duk laye mu la ni,” bebel Su Timah meninggalkan Aisy. Tawa Aisy masih terdengar setelah empat lima langkah dia berjalan. Setelah itu barulah dia mendengar deru enjin motosikal berlalu pergi.

Su Timah menoleh pada sebuah rumah tua yang masih tegap. Catnya saja tetap utuh sedangkan kawasan rumah terlihat sedikit kusam kerana telah lama terbiar.

Tiada orang yang mahu menguruskan rumah tersebut. Sepasang suami isteri yang diupah Orked baru saja berpindah beberapa bulan yang lalu. Kadang-kadang dia pergi menjenguk rumah itu, namun tak larat hendak pergi selalu. Dari sehari ke sehari halaman rumah dibiarkan tak terurus sehingga lalang dan semak samun mula menghiasi halaman rumah tersebut.

Sayang, rumah cantik tapi tidak berpenghuni. Jika dibiarkan bersewa bagus juga. Tetapi amanat pemilik yang meminta rumah itu jangan disewakan. Jangan disentuh. Tunggu saja pewarisnya pulang. Kemudian terpulanglah pada pewarisnya mahu melakukan apa pada rumah itu.

Langkah Su Timah tiba-tiba terhenti. Eh? Matanya menyepet. Dia salah pandang ke? Mata digosok sehingga perih. Tidak diduga kakinya mula melangkah menghampiri.

“RAFEAH?” Betul ke itu Rafeah?

“Feya?”

Mendengar suara seseorang, wanita itu pantas mengangkat muka.

Dia seperti mendengar namanya disebut. Cahaya silau segera menyambut penglihatan. Samar-samar seorang wanita tua terlihat sedang berdiri di tengah pintu pagar yang terbuka. Teragak-agak wanita tua itu menghampirinya. 

Kini jelas sudah wajah wanita tua itu. Kedut seribu menghiasi seraut wajahnya. Macam pernah tengok. Jiran sekampung ke? Hai, Peah! Sudah semestinya jiran sekampung. Kalau bukan jiran, takkan perempuan tua tu ada depan dia sekarang! Pakai pun kain batik dengan baju kurung Kedah saja. Nampak sangat kampungnya orang tua ni. Hati Rafeah tak boleh lari daripada mengumpat.

“Rafeah kan?” Soalan diulang.

Meskipun tak yakin dengan tekaannya, namun Su Timah ingin memastikan. Sisa wajah seorang Rafeah yang polos masih melekat pada wajah itu. Su Timah tak pernah lupa. Rafeah mengerjapkan matanya lantas mengangguk. Ringan mulutnya mahu bertanya siapa gerangan perempuan tua ini. Entah mengapa hujung lidahnya terasa kaku hendak mengeluarkan suara.

“Ya ALLAH! Balik juga kamu akhirnya.” Tangannya ditarik.

Sepantas kilat dia sudah berada dalam pelukan seseorang yang seakan dia kenal tetapi sudah dilupakan. Banyak yang telah dilupakan. Terlalu banyak. Tidak terhitung semua yang telah dia tinggalkan dan lupakan.

Dadanya tiba-tiba berasa sesak. Dia terlalu ingin menolak tubuh tua Su Timah. Tidak sampai hati setelah telinganya mendengar esakan kecil. Kenapa perempuan tua ni menangis? Drama sebabak apakah ini? Hesy, dia laparlah! Jamulah dia makan. Menangis depan dia, dia boleh buat apa? Lagipun dia benci drama!

Menangis seperti anak kecil. Sudah tua berbulu pun belum mampu mengawal emosi. Memalukan kaum perempuan yang gagah. perkasa sepertinya.

“Ke mana ajalah kamu pergi selama ini? Sampai ke sudah tak kesampaian hajat mak dengan pak kamu nak jumpa kamu,” ujar perempuan tua itu dengan nada sebak sebaik saja melepaskan pelukan.

“Kenal ke mak dengan pak saya?” Tanpa dapat ditahan, mulut Rafeah lancar bertanya.

Su Timah menyebut tentang emak dan bapaknya. Mungkin dia boleh mengorek informasi tentang orang tuanya melalui Su Timah.

“Mari, mari.” Su Timah menarik tangan Rafeah.

“Nak pergi mana? Beg saya…” Rafeah tergesa-gesa menarik bagasi.

“Rumah Su,” jelas perempuan tua itu setelah sampai di hadapan sebuah rumah persis rumah emak dan bapak. Cuma warna cat saja yang berbeza.

Halamannya juga bersih dan terjaga rapi. Kedudukan rumah itu tidak jauh dari rumah orang tuanya. Hanya selang beberapa buah rumah saja. Kawasan rumah yang besar. Halaman dipenuhi rumput karpet yang tertata rapi. Di hujung halaman terdapat dua pohon manggis. Juga pokok mangga yang sedang berbunga lebat. Musim buah mangga agaknya. Bagai ternampak di matanya buaian yang sedang berayun, terikat pada dua batang pohon manggis yang tegap. Rafeah berlari berkejaran bersama seorang gadis bertocang dua.

“Hoi, tak padan dengan anak dara lari-lari macam tu!” Sergah suara garau seorang lelaki. Rafeah dan gadis bertocang dua tidak mengendahkan ejekan itu. Mereka terus berkejaran sambil tertawa.

“Rafeah, balik! Dah nak maghrib!” Rafeah dan temannya mendadak berhenti berlari. Mereka berpandangan kemudian menguntumkan senyum di bibir.

“Mak kita panggil balik.” Rafeah mengatakan seakan temannya itu tidak mendengar teriakan emaknya sebentar tadi. Padahal jangankan mereka, jiran-jiran yang tinggal selang beberapa buah rumah dengan mereka juga pasti mendengar suara emak Rafeah yang kuat mengalahkan pembesar suara.

“Esok pagi awak tunggu kita tau. Kita pergi sekolah sama-sama.”

Rafeah tersengih sampai ke telinga.

“Ya. Tapi awak jangan lambat nanti kita tinggal awak!” Laung Rafeah sambil berlari pulang ke rumah.

Rafeah remaja sangat lincah. Rafeah remaja juga masih polos. Rafeah yang…

“Rafeah.”

Rafeah pejamkan mata. Dia yakin dia sudah hampir kepada gambaran wajah yang terukir di benaknya.

“Su Timah?”

“Hah, iyalah. Su Timahlah ni! Su mana lagi? Takkan Su Lijah anak bongsu arwah Tok Aki tu pula,” tempelak Su Timah. Lagi-lagi dia menarik tangan Rafeah supaya masuk ke dalam rumahnya.

“Tok Aki dah meninggal?” Rafeah terkejut.

“Dah tua, matilah. Lagipun dah sampai masa.” Mudah jawapan Su Timah.

“Bila?”

“Tiga tahun dah…”

Tiga tahun? Sudah selama itu? Kalau Tok Aki sudah meninggal, jangan-jangan… Dada Rafeah tak semena-mena berdebar.

Tak mungkinlah! Tok Aki dengan Su Timah lebih kurang saja umur, mungkin Su Timah muda beberapa tahun. Kalau Su Timah masih sihat, mustahil mak dengan paknya sudah meninggal. Rafeah cuba sedapkan hatinya.

Tadi dia seperti tak hairan kalau emak dan bapaknya telah meninggal. Tapi kenapa sekarang perasaannya seakan sukar hendak menerima?

“Mak dengan pak saya mana Su? Dah pindah ke?” Su Timah yang sedang membuka jendela, terhenti pergerakan tangannya. Dia berpaling pada Rafeah yang tercegat.

“Pergilah masuk berehat dulu. Nak mandi ka, nak tidur ka. Nanti Su siap masak, Su panggil.” Su Timah membuka tingkap lebar-lebar, menjemput angin bertiup sehingga ke dalam rumah. Tak jadi dia ke kedai. Nantilah dia suruh Maliki yang belikan barang.

“Tapi…” Rafeah mahu menegah.

Dia ingin tahu ke mana orang tuanya menghilang. Setelah itu dia mahu mencari mereka. Tak mahu dia berlama di rumah Su Timah.

“Malam nanti baru kita bercerita.” Tegas ucapan di bibir Su Timah tidak terbantahkan lagi.

Rafeah mengangguk lesu. Dia menuju ke bilik yang ditunjukkan Su Timah. Dia panasaran mahu tahu secepat mungkin. Tetapi dia juga tahu Su Timah orang yang tegas. Jika Su Timah mengatakan malam, maka malamlah jawabnya. Mahu tak mahu dia kena tunggu.


PROLOG 1 • PROLOG 2 • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5


BELI NOVEL DOSA YANG BERNAMA RAFEAH (PENULIS: AK RAFFHAN)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *