Dosa Yang Bernama Rafeah – Bab 3

JENDELA dikuakkan. Rafeah yakin sekarang sudah tengah malam. Dia di dalam sebuah bilik, mungkin bilik tetamu. Bilik ini kedudukannya sebelum pintu hadapan di ruang tamu. Selang sebuah dengan bilik Su Timah.

Rafeah jengulkan kepala, dia mengintai ke luar jendela. Suram suasana di luar rumah, hanya ditemani cahaya temaram berasal dari beranda. Seperti cerita dalam TV yang selalu ditonton, kabus di tengah kepekatan malam, begitulah keadaan halaman rumah Su Timah sekarang. Rafeah tidak takut. Baginya hidup yang pernah dia lalui lebih seram dan menakutkan. Penuh dengan pancaroba, onak dan juga duri.

Rafeah menggosok lengannya kala angin menerobos pekat malam lalu memeluk tubuhnya. Malam ini dingin! Meskipun begitu dia tidak bersusah payah menukar baju yang lebih layak semata-mata untuk menjenguk ke luar jendela kerana dia yakin penghuni di dalam rumah ini sudah tidur.

Rafeah merenung halaman yang suram. Di halaman itulah dahulu dia selalu bermain berkejaran dengan seorang gadis. Kenangan sewaktu kecil yang cuma sedikit mampu diingati.

Ketika itu hidupnya bahagia sekali. Tiada beban dan juga keluhan. Dia hanya tinggal menikmati hidup. Tidak seperti sekarang. Terlalu banyak keluhan yang ingin diluahkan. Dia tidak tahu pada siapa dia mahu mengeluh.

Pada diri sendiri? Dia sudah muak.

Pada sahabat? Adakah dia mempunyai sahabat?

Rafeah teringatkan Hairi dan Syakila. Layakkah kedua makhluk itu digelar sahabat? Rafeah mencebik. Sahabat tahi kucing! Namun setahi kucing kedua makhluk tersebut, mereka yang paling banyak membantu Rafeah.

Rafeah teringin juga ucapkan terima kasih pada mereka. Malangnya Rafeah tidak berjiwa melankolis, tersimpan perasaan terima dan kasih itu di lubuk hatinya sendiri.

Jika tidak ada lagi makhluk lain yang boleh Rafeah hamburkan keluhan lalu pada siapa lagi Rafeah boleh harapkan? Pada TUHAN kah?

TUHAN yang sibuk itu, mahu ke mendengar keluhan manusia durjana seperti Rafeah? Huh, Rafeah sudah lama hilang percaya!

Nafas dihela panjang.

Sedetik kemudian mata dipejamkan. Rafeah harap, walaupun sekelumit, rasa menyesal itu akan singgah masuk ke dalam relung hatinya. Puas Rafeah geledah ceruk rasa, Rafeah tetap tak jumpa rasa yang diharapkan muncul.

Kenapa dia tak rindu? Dia rasa kehilangan tapi dia tak rindu. Wajah emak dan bapaknya tak muncul. Dia bahkan tak yakin dia masih ingat wajah orang tuanya. Bagaimana rupa emak dan
bapaknya?

Tangannya tergenggam, kuat sehingga memutih.

“Emak tahu ka kenapa Feya jadi macam ni? Hati Feya keras lebih daripada batu. Emak yang lahirkan Feya. Bapak yang besarkan Feya. Tapi kenapa Feya tak rindu emak dan bapak?” 

Sudah lama Rafeah tidak menyebut nama emak dan bapak. Dia kekok. Sekian lama dia enggan mengingat.

“Bapak, bapak tahu ka kenapa Feya jadi lagu ni? Hati Feya dah hitam. Feya tak tahu Feya ni sebenarnya Islam lagi ka dak. Feya dah lama tak solat. Feya tak pernah puasa. Feya… Haih, malaslah Feya nak sebut! Banyak sangat yang Feya tak buat. TUHAN mesti dah bencikan Feya.”

Tujuh tahun Rafeah cuba menghapus kenangan. Melupuskan jejak rindu yang pada awalnya begitu kukuh memahat sanubari. Penuh tekad dia berlari. Berhempas pulas demi sebuah
kehidupan baru. Sehingga tujuh tahun melalui, dia lelah. Dia mahu berhenti. Dan dia memilih untuk kembali.

Benarkah itu penyebab dia kembali ke sini?Kerana dia lelah dan bosan?

“Tapi kat sini dah tak dak apa yang tinggal. Semua dah tak dak.”

Rafeah tepuk dadanya. Tepuk, tepuk dan tepuk lagi sampai sakit. Mungkin dengan cara ini dia mampu menimbulkan rasa sesal yang tidak mahu mampir di jiwa.

Hina sangat ke dia sampaikan TUHAN tidak mahu rasa sesal itu muncul di permukaan hati? Tempat dia memang sungguh sudah ditetapkan di neraka? Dia dah tak ada peluang ke masuk ke dalam syurga seperti orang mukmin lain yang telah dijanjikan syurga?

“Dosa hang pun bertepek! Ada hati nak fikir pasai syurga?” Sinis soalan itu ditanya.

Dosanya banyak! Menggunung, tak tahu nak disamakan dengan gunung yang mana satu. Semenjak usianya 16 tahun, perlahan-lahan
dia belajar mengenal dosa. Satu demi satu dosanya dicatat malaikat Atid.

Mula-mula dia rasa berdosa. Lama kelamaan bila tak buat dosa dia rasa gelisah. Ini agaknya petanda jiwanya tak ada lagi tanda-tanda
hendak kembali suci. Perkataan taubat tak pernah terlintas di fikiran.

Tapi dia tak pula rasa bangga bila hidup bergelumang maksiat. Tak pernah dia rasa hendak ajak betina-betina lain supaya ikut menyundal seperti dirinya. Entahlah. Dia sendiri tak tahu dia sebenarnya manusia yang masuk dalam golongan mana.

Apakah Islam masih agamanya?

Tapi dia tak rasa dia kafir. Dia tak pernah ikut sembahyang cara agama lain. Dia juga tidak pernah buat pengumuman keluar daripada
agama Islam. Dia cuma tidak mengamalkan ajaran agama Islam. 

Adakah itu bermaksud dia sudah kafir?

“Haih, pening kepala aku! Awat jadi lagu ni?”
Rafeah gelisah.

Kenapa dia buat keputusan terburu-buru pulang ke kampung? Kenapa dia tak ke Bali, ke Bangkok bahkan ke serata alam lain sekalipun, kecuali alam barzakh. Macam Rafeah kata tadi dia belum nak mati. Tak kiralah hidup dia bahagia ke derita, dia tetap nak teruskan hidup.

“Kau dah insaf ke?” Hairi pernah tanyakan soalan itu padanya.

Insaf? Insaf tang mana?

“Habis tu kau nak kahwin dengan pelanggan kau tu?” Rafeah ketawa terbahak-bahak. Kadang-kadang nyaring tawa Rafeah seperti bunyi mengilai. Meremang bulu roma Hairi. Rafeah ada bakat jadi hantu lepas mati nanti!

“Aku tak nak kahwin.”

“Dah tu takkan kau nak hidup macam ni sampai mati? Kalau kau mati tak sempat bertaubat neraka tahu tempat kau!”

Bola mata diputar. “Kau ingat aku bodoh sangat ke sampai tak tahu kalau aku buat jahat aku masuk neraka?”

“Kenapa ni Feya? Kau lainlah. Pelik tahu tak bila kau tiba-tiba nak balik kampung tanpa sebab macam ni. Aku lagi pelik bila kau kata kau langsung tak rindu mak ayah kau.”

“Kau tak suka ke aku berhenti? Kau lagi suka tengok aku jual body layan jantan?”

Hairi menggeleng. Sejak bila pula dia suka dengan kegiatan gila Rafeah yang digelar wanita itu sebagai pelayan profesional? Namun siapa dia nak menghalang? Lagi dihalang lagi menjadi-jadi gila Rafeah.

Lagipun Hairi takut Rafeah lari ikut jantan tak semenggah. Jantan yang bukan setakat mahukan badan Rafeah, tapi mahukan benda lain juga. Hairi sayang Rafeah. Dia harap Rafeah akan sentiasa bahagia walaupun bahagia wanita itu mungkin dengan cara yang salah.

“Kau memang niat nak berhenti terus ke?”

Rafeah masih ragu. Lantas kedua belah bahu diangkat. Buat masa ini dia bosan. Dia malas melayan jantan-jantan yang terlalu dahagakan belaian. Semuanya jejaka tanpa teruna bernafsu gersang. Celaka sungguh mereka itu. Tidak kira masa mahu mengganggu Rafeah. Rafeah juga butuh istirahat.
Rafeah ingat beberapa minggu kebelakangan ini Rafeah tidak mempunyai mood mahu melayan jantan miang. Setiap kali melihat mereka Rafeah jadi menyampah. Seperti mahu dicakar-cakar muka mereka.

Kerap kali Rafeah menolak apabila diajak melakukan hubungan badan kerana Rafeah malas melayan. Mereka marah-marah namun Rafeah peduli apa. Dia melakukan pekerjaan itu bukan secara percuma. Kalau dia tak nak buat, mana boleh paksa? Bodoh punya jantan. Ingat Rafeah gundik mereka ke nak paksa Rafeah sesuka hati?

Selain itu Rafeah juga muak mendengar suami perempuan lumpuh itu asyik tagih jawapannya. Dia tak kemaruk langsung nak jadi bini orang. Jadi meluat adalah. Tak tahu beza ke nafsu dengan cinta macam mana? Bodoh!

Bila rasa tertekan begitu Rafeah ambil keputusan jauhkan diri buat sementara waktu. Tapi ke mana Rafeah nak pergi? Entah bagaimana Rafeah terfikirkan kampung. Pulanglah Rafeah ke kampung dengan menaiki bas. Di dalam bas Rafeah hampir muntah kerana mencium pelbagai bau, mujur Rafeah ada bawa minyak wangi tiga botol. Rafeah buat muka toya lalu semburkan minyak wangi ke udara.

Rafeah sebenarnya sudah bersedia. Biar saja kalau bapak nak balun, emak nak libas. Nak maki hamun ke, nak sepak terajang ke. Rafeah tak peduli. Rafeah akan hadap bila benda tu betul-betul akan jadi. Bila sudah jadi begini, Rafeah rasa dia bodoh sangat. Dia bukan tak ada duit. Kenapa dia tak bercuti di tempat lain yang lebih menarik di Malaysia, tetapi memilih pulang ke kampung?

“Sebab aku bodoh, tolol dan bahlul!” Cerca Rafeah pada diri sendiri.

Tok. Tok. Tok.

Rafeah tatap pintu bilik yang tertutup rapat. Siapa yang kacau dia tengah malam buta? Takkanlah Su Timah? Habis tu siapa? Hantu? Dajal? Iblis? Syaitan? Jam yang tersangkut di dinding papan dipandang. Pukul 12:30
tengah malam. Waktu paling sesuai hantu syaitan berkeliaran.

Tok. Tok. Tok.

“Hesy, kacau jelah!” Dengusnya. Malas mahu membuka pintu. Bunyi ketukan semakin keras. Mahu tak mahu Rafeah capai kardigan untuk balut tubuhnya dan sehelai pashmina lalu membelit ala kadar sekadar ambil syarat menutup rambutnya. Konon nak jaga aurat. Jagalah sangat, Peah!

“Siapa pula ni?” Hanya sebuah gumaman.

Seorang lelaki muda berdiri di hadapan pintu. Tangan kanannya memegang kotak berwarna oren.

“Ya?” Soal Rafeah sepatah. Rafeah maniskan muka.

Baru kali ini Rafeah nampak lelaki ini. Anak Su Timah ke? Cucu? Tatapan menusuk yang sedang menatapnya remeh dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki membuatkan Rafeah sedikit merinding. Manusia ke apa ni? Pandangan menusuk begitu menggerunkan.

“Ya?” Rafeah tanya lagi. Niatnya, dia mahu menghentikan tatapan kurang ajar yang seolah-olah menanggalkan satu persatu pakaian di tubuhnya. Huh, dasar lelaki keparat! Semua lelaki sama saja. Pantang nampak perempuan cantik terus lembik tidak berdaya.

“Ni!” Kotak oren diserah kasar. Rafeah tak sempat memegang dengan baik sehingga kotak itu akhirnya terjatuh.

Buk! Bunyi kotak yang terjatuh. Kurang ajar! Biadab! Rafeah mencemuh.
Rafeah tunduk mengutip kotak tersebut. Tanpa sedar menampakkan lurahnya yang berisi dan montok. Ruginya Rafeah kerana hanya selempangkan tudung, untungnya lelaki itu dapat mencuci mata. Namun bukan berasa beruntung, lelaki itu malah berasa jijik. Melihat pakaian Rafeah sewaktu membuka pintu, serasa mahu dimaki Rafeah. Apa yang difikirkan Rafeah ketika memakai pakaian seperti itu?

Walaupun memakai kardigan namun baju Rafeah sangat jarang. Dia boleh melihat Rafeah tidak memakai baju dalam. Sialan Rafeah! Suka sungguh mengundang kontroversi dan berahi. Rafeah selesai mengutip kotak ubat nyamuk. Lelaki itu masih tercegat di hadapannya.

“Te…”

“Tak payah! Bukan aku yang nak bagi. Tok yang suruh.”

Kemudian lelaki itu meninggalkan Rafeah terpaku di tengah pintu bilik yang baru dihuninya malam ini.

“Celaka…” Mulutnya dikemam.

Rafeah mendengus jengkel. Kalau tidak ingat ini bukan rumahnya sudah pasti pintu bilik dibanting sekuat hati. Bahkan dia tidak akan segan silu mengeluarkan sumpah seranah memaki lelaki kurang ajar tersebut.

“Kau ingat aku hadap sangat ubat nyamuk ni?” Soal Rafeah kesal. Dia membuka kotak ubat nyamuk itu. Separuh daripada isinya telah patah. Pasti disebabkan terjatuh tadi. Lalu untuk melepaskan rasa kesalnya, Rafeah melemparkan kotak itu ke dinding. Isinya berhamburan keluar. Semakin memporak-perandakan ubat nyamuk yang sudah sedia patah.

“Benci!” Rafeah memekik tertahan di bawah bantal.

Jejari runcing yang sudah tergenggam menumbuk bantal. Ah, patah kukunya! Kuku? Patah? Perlahan Rafeah tepuk dahinya. Dia mengangkat jejarinya tinggi di hadapan muka. Memerhatikan satu persatu jari-jarinya.
Bagaimana dia boleh lupa? Dia mengernyit apabila melihat kuku jari tengahnya yang patah.

“Kasihan kamu nak.” Dia berucap perlahan.


PROLOG 1 • PROLOG 2 • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5


BELI NOVEL DOSA YANG BERNAMA RAFEAH (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *