Dosa Yang Bernama Rafeah – Bab 4

PAGI. Pukul 9:00. Maliki di dalam bilik. Duduk berkurung seperti anak dara. Perutnya sudah lapar tetapi digagahkan juga untuk tidak keluar dari bilik. Di luar ada Rafeah. Dan dia meluat melihat wajah perempuan itu.

Jujur bila difikirkan, Maliki rasa Su Timah terlalu baik kerana masih mahu menumpangkan perempuan itu di rumah mereka. Maliki tidak suka. Sehingga kini, meskipun peristiwa itu sudah berlalu selama tujuh tahun, Maliki belum mampu lupakan sebaris nama itu.

Rafeah. Setiap kali mendengar nama itu, hatta nama itu bukan milik perempuan itu seorang, Maliki bagaikan mahu mencarut. Menyumpah seranah sekalian ibu bapa yang memberikan nama itu kepada anak mereka. Padahal apalah salahnya dengan nama Rafeah? Bahkan salah seorang penyanyi tersohor negara pada era 70-an bernama Rafeah.

Bencinya dia pada nama Rafeah kalau hendak diceritakan. Gara-gara seketul Rafeah, dia jadi benci seluruh makhluk bernama Rafeah.

Sekarang dia terpaksa mendengar dan menghadap pemilik kepada nama Rafeah, punca dia membenci ketulan Rafeah yang lain. Bencinya semakin menjadi-jadi. Dia menjadi letih melihat air muka polos tetapi tidak tulus itu.

Kenapa perempuan itu kembali semula?

Sudahlah kembali semula, berani pula buat muka tidak bersalah. Dasar perempuan celaka yang turut mencelakakan kehidupan manusia lain.
Celakalah perempuan yang bernama Rafeah itu!

“Maliki.” Su Timah memanggil namanya di luar bilik.

Maliki mendengus kasar. Menyesal dia balik ke rumah Su Timah. Sepatutnya dia terima saja tawaran kawan-kawannya yang ajak keliling Pantai Timur. Tak adalah dia kena hadap perempuan itu. Maliki susah hendak tahan mulutnya daripada memaki. Hilang segala kesopanan dan kesusilaannya. Dia sudah tak nampak cool.

“Maliki.” Su Timah terus memanggil.

“Ya, tok.” Pintu bilik dibuka. Muka Su Timah tersembul di luar bilik.

“Keluar makan. Hang buat apa memerap dalam bilik macam anak dara?”

“Tak lapar lagi, Tok.”

“Hang toksah duk buat cerita. Muka hang ni tak lapar? Bukan hang ka yang selalu pagi-pagi buta dah cari nasi? Hang bukannya boleh kalau makan lambat!”

Amboi, tu dia! Bombastik serangan Su Timah.

“Betui, tok!”

“Hang ingat tok percaya?”

Su Timah tak percaya cucunya yang kuat makan, bangun tidur terus cari makan, pagi ini memerap dalam bilik, enggan keluar makan. Tak lapar, katanya? Pembohong besar!

“Sat lagilah.”

“Tak dak sat lagi. Sekarang!”

Adeh! Su Timah tinggalkan Maliki yang tergaru-garu kepala yang tidak gatal. Kena masuk dapur jugalah ni? Duduk semeja dengan perempuan itu?

“Tolong, TUHAN. Bagi aku lebih kesabaran pagi ni,” doa Maliki perlahan.

“JEMPUT MAKAN, Feya.” Su Timah meletakkan sepinggan karipap yang baru lepas digoreng di hadapan Rafeah. Berkembut asap di udara.

Rafeah hanya menanggapi Su Timah dengan sebuah anggukan. Mulutnya berat untuk bersuara. Mana tidaknya, saat ini dia sedang tertekan kerana dipaksa bersarapan satu meja dengan seorang lelaki yang terus-menerus menatap Rafeah dengan tatapan meremehkan.

Lelaki kurang ajar malam tadi. Tatapannya persis semalam, menikam!

Siapa lelaki gila ini? Minta dicucuk mata dengan garpu ke? Dari malam tadi sikapnya seperti mencari gaduh. Apa yang dia tak puas hati sangat dengan Rafeah? Rafeah hutang apa dengannya?

Mereka berdua beradu pandang. Rafeah tidak pasti betul atau tidak pandangan matanya, hujung bibir lelaki itu seperti menyeringai sinis padanya.

“Feya.” Cepat-cepat Rafeah alihkan pandangan pada Su Timah.

“Feya ingat tak ni siapa?” Bibir Su Timah memuncung.

Rafeah pandang Maliki sekejap. Kemudian dia geleng kepala. Senang jawab tak ingat. Malas dia nak perah otak sebab lelaki sombong ini.

“Tak ingat?”

Alahai, Su Timah ni! Tak faham bahasa ke? Orang dah geleng, apa lagi maksudnya? Saja ajelah nak mengulang soalan banyak kali. Rabun agaknya. Tak pun pekak.

“Kalau Feya tak ingat Maliki, Feya mesti ingat Chacha kan?”

Chacha? Nafas Rafeah tiba-tiba rasa tersangkut. Dia menelan liur.

Tanpa peduli riak wajah Rafeah yang berubah aneh, Su Timah menyambung, “Hah, kalau Feya nak tahu ni abang Chacha. Macam mana Feya rapat dengan Chacha dulu, macam tu lah Maliki rapat dengan arwah Amsyar.”

Air liur Rafeah terasa kesat. Panjangnya celoteh Su Timah.

“Chacha tak ada ni. Dia konvo minggu ni. Kalau dia tahu Feya dah balik mesti dia gembira. Su tak sempat lagi nak WhatsApp Long Siah. Semalam terkejut sangat bila tengok Feya balik. Su rasa macam ada bulan jatuh ke ribu Su.”

Amboi, peribahasa Su Timah!

Boleh tahan orang tua ni. WhatsApp pun tahu. Batin Rafeah bersuara.

“Maliki ada mesej mak?”

Maliki tak dengar. Dia khusyuk mencucuk mi dalam pinggan.

“Maliki!”

“Hah? Ya tok?” Terpinga-pinga Maliki. Su Timah tepuk lengannya.

“Hang pikiaq apa? Ada mesej mak hang dak?”

Cepat Maliki menggeleng. Tak inginlah dia hubungi Shamsiah semata-mata nak ceritakan perihal Rafeah. Rafeah bukan orang penting. Tak perlu pun Shamsiah dan Chacha tahu.

“Dah, apa kena hangpa dua orang ni! Makan cepat.”

Tiada yang menyahut suaranya. Baik Rafeah mahupun Maliki, keduanya sama-sama diam. Maliki memakan mi gorengnya dengan pandangan datar sementara Rafeah pula antara gigit tak gigit karipap di tangan.

Karipap Su Timah dah rasa batu. Susah Rafeah nak hadam. Dia benci dengan pandangan Maliki. Tak dapat nak salahkan Maliki secara terangan, karipap Su Timah menjadi mangsa. Dia semakin terseksa selepas Su Timah menyebut nama Amsyar dan Chacha.

“Tak makan mi, Feya?”

Rafeah yang terlihat resah, ditegur. Dari tadi asyik pegang karipap, nampak macam tak luak langsung. Su Timah ambil pinggan kosong untuk meletakkan mi goreng buat Rafeah.

“Eh, tak apa Su. Saya makan ni saja.” Tolak Rafeah halus.

Lagikan karipap tak mampu dihabiskan, apatah lagi mahu menghabiskan sepinggan mi goreng. Nak mampus? Rafeah enggan berpura-pura lahap semata-mata untuk mengambil hati Su Timah.

“Kenapa? Tak sedap ka karipap Su buat? Tak kena dengan selera Feya?”

Pantas Rafeah menggeleng. “Sedap, Su!”

“Kalau sedap makanlah banyak sikit. Mana cukup makan karipap saja. Su ingat dulu Feya orangnya kuat makan. Ya tak, Feya? Pantang orang tawar makan, Feya pasti tak menolak,” ujar Su Timah mengingatkan Rafeah akan dirinya sewaktu masih bergelar remaja naif.

Rafeah meringis mengenangkan selera makannya yang sangat besar namun tak gemuk-gemuk. Makan berpinggan-pinggan, begitu juga badannya. Cekeding seperti papan lapis. Namun pada bahagian tertentu, montok seperti dipam-pam. Tak padan dengan badan kurus Rafeah.

“Perempuan ni siapa, tok?”

“Eh, hang ni! Dari tadi tok duk sebut nama Feya ni, hang boleh duk tanya nama dia lagi? Hang dengar ke tak tok sembang tadi? Fikiran hang merayap ke mana?” Su Timah tergeleng.

Maliki tak menjawab. Direnung muka Rafeah. Diam-diam hujung bibirnya menyenget, sinis.

“Siapa tok?”

“Feya ni anak Pak Bulat. Takkan hang dah lupa. Rafeah, adik Orked. Adik arwah Amsyar.” Sekali lagi nama Amsyar disebut.

Ketika itu Rafeah rasa seperti ada seseorang sedang menumbuk dadanya. Jantungnya bagai disepit supaya tidak dapat bernafas. Maliki kerutkan dahi. Dia mengangkat alisnya sebelah.

“Anak Pak Bulat yang lari dari rumah dulu tu?” Dia sengaja, berharap Rafeah akan tersedak. Bolehlah Maliki padankan muka Rafeah.

Kalau Rafeah sedang minum atau makan, nescaya Rafeah akan tersedak parah. Tetapi tidak. Rafeah hanya memegang karipapnya. Tahankan rasa yang makin menyesakkan dadanya.

Kalau Maliki boleh, dia lagilah boleh berlakon.

Wajahnya yang tertunduk diangkat lalu Maliki dipandang. Nampak sangat pandangan Maliki adalah pandangan menghina.

Kau tak suka aku? Kau ingat aku suka kau ke, jantan!

Kalaulah dia boleh hamburkan kata-kata kesat ke muka Maliki. Celakakan Maliki dengan segenap kekuatan suara yang dia miliki. Kalaulah dia boleh terkam dan cakar-cakar muka Maliki sampai dah tak rupa orang. Kalaulah!

Susah Rafeah hendak kawal amarahnya. Sudah lama dia tak amalkan adab dan susila dalam kehidupannya. Hanya kerana tak mahu goreskan hati Su Timah, dia terpaksa menahan diri. Su Timah masih dihormati. Bagaimanapun orang tua itu suatu ketika dahulu pernah menyayanginya seperti cucu sendiri.

Maliki membalas tatapan Rafeah dengan pandangan tidak bersahabat. Pandangan itu ditunjukkan dengan jelas, langsung tak diselindungkan. Dah kenyataan dia tak suka Rafeah, buat apa hendak berlagak suka?

“Maliki.” Su Timah menegur Maliki.

Kenapa dengan Maliki pagi ini? Apakah kerana kewujudan Rafeah?

“Maaf, tok. Maliki dah kenyang!”

Maliki pantas bangun. Meninggalkan Su Timah yang hanya mampu menggelengkan kepala.

Rafeah ketapkan gigi dalam diam menahan amarah. Lalu Rafeah pasang muka selenga. Celaka! Maliki celaka!

“Maafkan Maliki ya Feya? Mulutnya memang celopar. Selalu tak bertapis,” ucap Su Timah tidak enak hati.

Su Timah sedapkan hati Rafeah dengan mengata cucu sendiri. Hakikatnya Maliki bukan seperti itu.

Hati tuanya seakan mampu menebak. Biar apa pun alasan Maliki, tidak sepatutnya Maliki mengungkit tentang hal itu. Tidak setelah sekian tahun hal itu menjadi sejarah.

Sejarah yang telah berlalu itu jika diungkit hanya menambahkan luka. Tujuh tahun yang tak mungkin kembali itu, mencoretkan banyak tragedi. Su Timah sendiri tak mahu ingat. Apatah lagi Rafeah yang menjadi penyebab.

Rafeah memaksakan sebuah senyum di bibir. “Tak apa, Su. Tak ada yang salah dengan kenyataan itu. Ini memang Rafeah anak Pak Bulat yang lari dari rumah dulu.”

Rafeah menggigit karipap di tangan. Dia cuba menyerap rasa karipap berinti kentang dan daging di dalam mulut.

Tidak ada yang salah dengan rasa karipap itu. Rafeah mengakui dalam keadaan tekaknya tidak berupaya menelan, karipap itu tetap terasa sedap. Su Timah masih juara memasak di hatinya. Emak pun kalah kalau bertanding dengan Su Timah.

“Feya.”

Senyum segaris terbit di bibir. Rafeah suka apabila Su Timah memanggilnya seperti itu. Kebanyakan ahli keluarganya suka memanggilnya dengan nama Peah kerana bagi mereka nama itu lebih
sesuai dengan Rafeah yang comot.

Rafeah selalu berharap namanya bukan Rafeah. Nama itu tidak ada nilai komersial langsung. Kalaulah dia jadi artis pada era ini, pasti dia akan diketawakan orang. Dia berharap jika masa boleh diundurkan, emak dan bapaknya memilih nama yang lebih glamor bukannya nama Rafeah lantaran ibunya terlalu meminati penyanyi Rafeah Buang. Minatkan artis, anak yang menjadi mangsa.

Disebabkan tidak sukakan namanya sendiri, Rafeah sering protes setiap kali ada yang memanggil nama penuhnya. Tidak memanggil nama penuh, mereka wujudkan pula nama timangan iaitu Peah. Huh, nama itu lebih buruk lagi!

“Feya okey tak?”

“Feya okey, Su.”

Su Timah menarik nafas. Tidak boleh dikatakan sebagai nafas lega kerana keruh wajah Rafeah memberitahu hatinya tidak sekata dengan luahan bibirnya. Rafeah pasti tersinggung walaupun tidak diberitahu.

“Kalau betul Feya okey…” Su Timah ambil pinggan kosong, sesenduk mi goreng diletakkan ke dalam pinggan.

“Habiskan mi ni. Kalau habis baru Su percaya Feya okey.” Su Timah memaksa Rafeah makan. Dia meletakkan pinggan tersebut betul-betul di hadapan Rafeah.

Rafeah merenung mi di dalam pinggan. Bukan dia tidak lapar. Sungguh dia lapar. Dia sejenis manusia yang suka makan banyak. Dia juga tidak akan menolak rezeki. Dia selalu mengamalkan pepatah, ‘rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.’ Namun, untuk pagi ini Rafeah benar-benar tidak berselera makan. Kehadirannya yang tidak dialu-alukan dan keceloparan mulut Maliki membantutkan seleranya.

Berapa orang Maliki lagi yang akan Rafeah jumpa selepas ini?

Betahkah Rafeah terus di sini? Baru satu hari, hati Rafeah sudah meronta-ronta ingin pulang ke bandar. Sekurang-kurangnya di sana dia dilayan seperti puteri. Tidak ada makhluk yang berani menghakiminya. Mereka semua memujanya.

“Su tak makan sekali?” Rafeah bertanya setelah melihat Su Timah hanya menatapnya. Su Timah senyum lembut.

“Sekejap lagi. Su biasa makan pukul 10:00. Waktu pagi macam ni Su minum kopi dulu,” terang Su Timah.

Rafeah melihat cawan Su Timah yang sudah kosong. Kemudian Rafeah perhatikan perbuatan Su Timah selanjutnya. Su Timah mengambil sebuah beg kecil serupa pouch lalu mengeluarkan seberkas kecil rokok daun.

Dia menahan senyum melihat Su Timah ralit menggulung rokok daun yang disumbat tembakau. Rafeah baru teringat sekarang, Su Timah memang seorang perokok. Samar-samar Rafeah teringatkan Su Timah yang sering dimarahi oleh arwah Pak Cik Hamid, menantunya kerana menghabiskan rokok mahalnya.

Su Timah mencucuh rokok daun yang siap digulung. Dia tersengih kepada Rafeah. “Tua-tua ni hisap rokok daun aje. Anak cucu marah Su hisap Dunhill. Cepat mati kata demo. Banyak bahan kimia.” Su Timah tertawa kecil selepas itu. Rafeah hanya balas dengan senyuman.

Setelah itu tiada lagi perbualan. Su Timah ralit dengan rokok daun dan asap. Sementara Rafeah pula berusaha menghabiskan mi gorengnya.

Tak siapa tahu pelbagai persoalan bermain di fikiran dua orang wanita berlainan generasi itu. Mereka tahu ada hutang yang perlu dilangsaikan. Ada tagihan yang perlu dijelaskan. Mereka memilih diam. Bersoal jawab di hadapan rezeki bukanlah sesuatu yang benar. Selera yang terbantut akan terus mati.

Setidaknya Rafeah tidak akan memuntahkan kembali mi gorengnya setelah mendengar hikayat dongeng yang yang bakal didendangkan Su Timah.


PROLOG 1 • PROLOG 2 • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5


BELI NOVEL DOSA YANG BERNAMA RAFEAH (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *