Dosa Yang Bernama Rafeah – Bab 5

MOTOSIKAL EX5 dimatikan enjin lalu ditongkat. Kemudian dia tergesa-gesa ke tebing sungai. Alhamdulillah dia sendirian, disambut bunyi unggas yang terkadang terdengar, terkadang tidak.

Muka diraup. Penuh kesal. Mengeluh tak sudah-sudah.

Dia terbongkok-bongkok mengutip batu. Adakala tangan meramas rumput. Perlu dicari cara untuk melepaskan kemarahan. Tebing sungai itulah yang dipilih menjadi saksi.

Batu dilempar ke dalam sungai.

Air berkocak.

Ikan sepat dan keli di dalam sungai bertempiaran lari. Mungkin ketakutan kerana ada seorang lelaki sedang dilanda ribut kemarahan. Marahkan seorang Rafeah, tempat ikan berenang dijadikan sasaran melepaskan kemarahannya.

Belum hilang sakit di hati Maliki. Setiap kali teringatkan wajah cantik yang berpura-pura polos itu, hati Maliki bagai direjam batu sakitnya.

Apakah perempuan itu langsung tidak punya harga diri? Tidak tahu malu, sekurang-kurangnya perasaan malu pada Su Timah yang sudah tua?

Tujuh tahun Rafeah menghilang, tiba-tiba pulang bagaikan tiada kesalahan yang pernah Rafeah lakukan. Wajah selamba tak terselindung duka. Walhal dia pergi tinggalkan rumah, emak dan bapaknya bukan setakat tinggalkan rumah, tinggalkan dunia juga! Entah apa mahunya Rafeah pulang semula ke kampung.

Maliki percaya saat ini bukan Rafeah yang sesungguhnya yang ditunjukkan kepada Su Timah. Perempuan itu hanya berpura-pura ayu dan baik.

Bertudung dan berbaju kurung? Haktuih!

Rambut karat, kuku berwarna merah hasil pewarna kuku, Maliki tak sudi gelarkan Rafeah sebagai ayu dan baik. Rafeah tak layak mendapat pujian daripada seorang Maliki.

“Tok pun satu. Kenapalah baik sangat?”

Maliki tidak berpuas hati melihat layanan neneknya terhadap Rafeah. Su Timah terlalu baik. Langsung tidak mengungkit kesalaha nyang telah dilakukan Rafeah. Perempuan itu pantas ditampar bertalu- talu selepas apa yang dilakukannya bertahun yang sudah.

Meskipun secara dasarnya Maliki tidak ada kena mengena dalam semua kejadian itu, tetapi Maliki dapat merasakan bahana kehancuran yang telah Rafeah perbuat. Perlahan-lahan Rafeah bukan sahaja berjaya merobek luka di hati orang-orang yang menyayanginya, tetapi telah menghancur lumatkan hati emak dan bapaknya.

Rafeah kejam! Rafeah tidak ada hati perut!

Emak dan bapak Rafeah…

Mata Maliki terpejam. Sampai mati pun Maliki takkan lupa kedua-dua wajah itu. Wajah terluka yang tidak pernah lagi meraih bahagia.

Mula-mula Amsyar, selepas itu Rafeah. Sesungguhnya kehilangan Amsyar adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Amsyar pergi dijemput ILAHI. Sedangkan Rafeah?

“Perempuan bodoh! Kenapa kebanyakan perempuan tak ada akal? Otak letak dekat lutut! Begitulah jadinya. Bodoh. Dungu. Badigol. Tolol. Ah, semualah!”

Perempuan kurang akal itu lari meninggalkan rumah! Bolehkah Maliki gelarkan Rafeah bangang? Baiklah, rasanya semenjak malam tadi tak terkira Maliki cerca Rafeah dengan perkataan tak elok. Sudah banyak agaknya Atid mencatat dosa mencarut dan memaki di dalam buku amalan dosanya.

Sakit hati punya fasal. Tak pernah dia mencerca orang sebanyak dia mencerca Rafeah. Namun, kali ini dia kalah dengan nafsu amarah.

Rafeah baru berusia 16 tahun ketika dia membuat gempar satu kampung. Malu muka Pak Bulat dan Siti Salamah menghadap orang kampung. Anak gadis yang degil dan keras hati itu tega meninggalkan rumah entah untuk mengejar apa.

16 tahun. Apa yang gadis seumuran Rafeah tahu pada waktu itu?

Mengapa Rafeah membuat keputusan melarikan diri tak seorang pun tahu. Banyak spekulasi muncul selepas pelarian Rafeah. Ketika itu muncullah pelbagai tohmahan yang semakin membuat kedua suami isteri itu bertambah malu.

Sampai sekarang Maliki masih ingat halus tulisan Rafeah pada sekeping surat yang ditinggalkan di atas meja solek Orked, kak ngahnya.

Mak, pak.

Feya pergi. Jangan cari Feya.

PENDEK dan ringkas tulisan Rafeah. Berjurai air mata Siti Salamah membaca tulisan anak gadisnya. Terketar-ketar tangan Pak Bulat membuka pintu almari baju Rafeah yang telah kosong.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran mereka. Ke mana hala tuju Rafeah selepas melarikan diri? Rafeah bukannya ada duit. Jika begitu, pasti ada dalang yang membantu Rafeah. Pak Bulat tak habis fikir. Tidak tergamak hendak menuduh sesiapa.

Lepas satu, satu bala lain menimpa keluarganya. Sedih ditinggalkan anak sulung masih belum hilang. Dan kini Rafeah pula yang buat perangai.

Pernah juga Pak Bulat terfikir mungkin dia terlalu mengabaikan Rafeah yang masih muda. Terlalu sibuk mengubat kecewa kerana kehilangan satu-satunya anak lelaki harapan keluarga. Pak Bulat lupa dia mempunyai anak gadis yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Maliki tolong Pak Bulat. Tolong carikan Rafeah. Budak bertuah tu… Umur baru setahun jagung. Ada hati nak tengok dunia luar. Dia tak tahu bahaya apa yang ada kat luar tu.”

Pak Bulat berkeluh-kesah. Rokok daun di mulut berkepul-kepul menghembuskan asap rokok. Maliki di sebelah jadi terbatuk-batuk.

Petang itu, sewaktu Maliki Petang itu, sewaktu Maliki terdengar raungan Siti Salamah, Maliki baru pulang bercuti. Kerana menyangka ada pencuri yang cuba buat angkara, Maliki meluru masuk ke dalam rumah Pak Bulat.

Di ruang tamu dia melihat Siti Salamah terjelepok tidak sedarkan diri. Orked, kakak Rafeah sedang menangis tersedu-sedu. Lencun wajahnya dibasahi air mata.

Ketika Pak Bulat serahkan sekeping kertas kajang berwarna merah jambu, Maliki teragak-agak mengambilnya. Setelah membaca kertas itu barulah dia sedar apa yang telah berlaku.

“Budak bebal tu! Macam mana aku tak kata dia bebal? Perangai lagu ni dia buat!”

Muka Pak Bulat merah padam. Perasaannya berbelah bahagi, antara risau dan marahkan anak gadisnya.

“Kita buat repot polislah, Pak Bulat,” saran Maliki.

“Hang gila ka? Malu aku! Mana aku nak letak muka aku? Elok- elok duduk rumah, orang bagi makan pakai, dia nak juga pi jadi betina garik!” Pak Bulat menyumpah.

Terkejut Maliki mendengar kata-kata Pak Bulat. Sungguhpun marah, kenapa dikata anak sebegitu sekali. Rafeah selalu saja dianggap bebal dan hodoh. Kan tak molek menyumpah seranah anak begitu sekali.

Kesian, Rafeah… Agaknya gara-gara Pak Bulat Rafeah larikan diri. Mulut Pak Bulat tajam kalahkan mata pedang. Telinga Maliki yang dengar pun jadi berdesing.

“Kalau aku dapat budak ni aku penyet-penyet bagi mampuih. Dasar anak derhaka!” “Bawak mengucap Pak Bulat.” Maliki cuba tenangkan Pak
Bulat.

Siti Salamah sudah sedarkan diri namun masih berpaut pada Orked.

Maliki pandang semula kertas kajang di tangan. Sebaris tulisan bertandatangan Rafeah direnung.

Rafeah. Dia kenal nama itu. Namun, jarang sekali dia melihat orangnya. Gadis itu sebaya dengan salah seorang adik perempuannya. Setahu Maliki, mereka berkawan baik.

Rafeah yang Maliki ingat berkulit sawo matang dengan ketinggian sederhana. Badannya sedang-sedang elok untuk ukuran seorang anak gadis.

Sesekali mereka terjumpa sewaktu Rafeah datang ke rumahnya, gadis itu akan tersipu-sipu malu. Menunduk tanpa berani memandangnya. Ah, lama sudah rasanya terakhir kali dia berjumpa Rafeah.

Tidak disangka gadis yang dulu tampak naif itu, tergamak menancap belati di hati keluarga yang sedia terluka. Di mana silap Pak Bulat? Di mana kurangnya kasih sayang Siti Salamah?

Maliki terdiam mendengar keluhan Pak Bulat. Dalam hati menanam janji, dia akan cuba cari Rafeah. Kesian Pak Bulat, derita Siti Salamah. Tak sanggup Maliki melihatnya.

“MANA adik tahu!” Chacha menjeling abangnya yang masam mencuka. Balik-balik terus nak marah orang. Selepas itu bertanyakan Rafeah yang sudah berminggu-minggu tidak bercakap dengannya.

“Adik jangan nak bohong abang!”

“Buat apa adik bohong? Tak dak pekdah pun!”

Ada urusan apa Maliki dengan Rafeah? Tanya pula soalan bukan-bukan. Ingat Chacha hadap sangat ke cerita fasal Rafeah? They are not best friend anymore, okay! Sekarang mereka sudah jadi stranger terulung. Tak kuasalah dia nak ambik tahu fasal Rafeah lagi.

Beberapa ketika yang lalu Rafeah memang kawan baiknya. Rafeah mudah diatur. Selalu sopan dan berbicara lembut. Semua tentang Rafeah baik-baik. Namun, sejak Rafeah berkawan dengan anak ketua kampung, Rafeah jadi berubah. Jarang-jarang Rafeah mahu bermain dengannya.

Setiap petang Chacha melihat Rafeah mengayuh basikal menuju sungai di hujung kampung. Tak tahulah apa yang seronoknya pergi ke situ. Pernah Chacha bertanyakan hal itu, cepat saja Rafeah menengkingnya. Chacha nak ikut pun tak dibagi. Hairan Chacha! Selama ini mereka selalu berdua, tiba-tiba Rafeah mahu buat segalanya bersendirian, tanpa Chacha. Hati siapa yang tak terasa?

Kata kawan baik till Jannah. Tapi sekarang apa sudah jadi?

Semenjak itu mereka jarang bertegur sapa. Rafeah berubah. Tidak tahu disebabkan anak ketua kampung, ataupun kerana Rafeah semakin gatal merenyam. Agaknya penangan perubahan hormon budak perempuan awal-awal baligh. Gatalnya lain macam. Tak boleh digaru. Kena ubat lagu lain, lagu yang tak difahami Chacha.

“Cakap betul-betullah, adik!” Maliki menarik majalah di tangan Chacha. Tak habis-habis baca majalah. Bila nak menghadap buku sekolah pulak?

Chacha bangun bercekak pinggang. Marah dengan kelakuan abang sulungnya. Namun menikus ketika melihat muka Maliki yang merah padam. Kalau dia marah, Maliki lebih marah lagi. Gerun dia!

“Yang abang sibuk dengan Rafeah ni kenapa? Takkan abang pun suka dia? Jumpa pun sekali-sekala. Entah-entah muka Rafeah pun abang tak ingat!”

Chacha menatap belakang Maliki yang beredar masuk ke biliknya. Eh, biliknya?

Chacha berlari mengejar Maliki. Terjerit ketika melihat Maliki memporak-perandakan bilik yang baru dikemas. Maliki cari apa? Habis almari baju Chacha diselongkar. Meja belajar Chacha juga menjadi mangsa. Tak lupa meja solek Chacha yang bersusun peralatan bersolek.

Huh, tak padan dengan umur! Baru 16 tahun dah gatal hendak bersolek. Semakin sakit hati Maliki.

“Apa abang ni! Abang cari apa?! Abang, tu diari Cha lah! Abang!” Terlompat-lompat Chacha cuba mengambil diari yang baru dijumpai abangnya.

Matilah dia. Macam-macam rahsia dia tulis dalam diari itu.

“Abang, janganlah!”

Maliki tidak mempedulikan Chacha yang gigih berusaha merampas kembali diari di tangannya. Pasti ada sesuatu yang cuba disorokkan Chacha. Helaian pertama diselak. Tidak ada apa-apa yang menarik di situ.

Maliki beralih ke helaian kedua, ketiga dan seterusnya.

15 Disember 2009. Rafeah…

“Abang! Adik! Apa yang bising-bising ni?”

Shamsiah bergegas masuk ke dalam bilik Chacha. Tak tenang dia hendak memasak. Apa saja yang dikecohkan anak-anaknya? Bising mengalahkan suara sepuluh orang manusia, riuh satu rumah.

Maliki memandang ibunya di tengah pintu bilik. Sebelah tangan Shamsiah mencekak pinggang, sebelah lagi memegang sudip. Chacha yang melihat Maliki terleka segera merampas diarinya. Fuh, nasib baik!

“Abang ni, mak! Masuk bilik orang. Lepas tu buat sepah-sepah. Penat adik kemas bilik, suka-suka dia aje,” adu Chacha. Mulutnya memuncung. Berharap ibu mereka akan menyebelahi dirinya.

“Maliki? Awat hang buat lagu tu?”

Maliki menggaru kepalanya yang tidak gatal. Muka ibu yang tegas menatapnya, dipandang dengan wajah bermacam riak.

“Itu… err.” Maliki tergagap-gagap.

“Itu apa?”

“Rafeah.”

“Kenapa dengan Rafeah? Kamu apakan anak dara Pak Bulat tu?”

Aduh, merepek apa pula mak ni? Tengok Rafeah pun jarang-jarang, inikan pula nak buat bukan-bukan. Mak ingat taste Maliki budak sekolah ke? Hingus pun tak habis lagi. Entah-entah baru akil baligh. Siapa tahu?

“Abang, kenapa dengan Rafeah? Cakap dengan mak!” Shamsiah menghampiri anak-anaknya. Muka Maliki sedikit pucat. Ada apa ni?

“Rafeah, mak.” Maliki terdiam sebentar.

“Rafeah lari dari rumah,” beritahu Maliki perlahan.

Sudip di tangan Shamsiah terjatuh. Dia terkejut bukan kepalang. Baru pagi tadi dia melihat Rafeah berlari-lari anak di belakang rumahnya. Gadis itu elok bersalam dengannya. Meminta izin mahu berjumpa Chacha. Disebabkan Chacha tidak ada di rumah ketika itu, Rafeah pulang dengan perasaan hampa.

Tidak ada perubahan yang terlihat pada Rafeah. Anak dara Pak Bulat yang sedang membesar dengan baik itu terlihat seperti biasa. Tidak disangka rupa-rupanya Rafeah telah merancang sesuatu. Kalaulah Shamsiah tahu rancangan Rafeah…

Semua orang terdiam. Maliki dengan fikiran yang kusut kerana teringatkan janji diam-diam yang dibuatnya. Shamsiah terkenangkan wajah indah Rafeah sewaktu memeluknya buat terakhir kali.

Sementara Chacha memeluk erat diari di dada. Pelupuk matanya basah.

Bodohnya Rafeah. Kenapa sampai begitu sekali Rafeah berubah?


PROLOG 1 • PROLOG 2 • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5


BELI NOVEL DOSA YANG BERNAMA RAFEAH (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *