0

Dosa Yang Bernama Rafeah – Prolog 1

“JAGA diri adik baik-baik.” Amsyar elus kepala adik bongsunya.

“Jangan suka menangis sorang-sorang.”

“Kalau tak menangis sorang-sorang, habis tu nak ajak sapa lagi menangis dengan Feya? Mak? Pak? Orked?” Amsyar senyum segaris. Dia nampak bibir adiknya yang tercebik-cebik. Nak menangislah tu!

“Maksud abang long kalau ada masalah jangan simpan sendiri. Terutamanya masalah pelajaran. Adik boleh tanya kak ngah.” Amsyar tarik nafas, kemudian
lekas-lekas menambah. “Kalau tak nak mintak tolong kak ngah, mintak tolong Chacha pun tak pa.”

Faham sangat betapa antinya si adik pada Orked.

“Kenapa tak mau baik-baik dengan kak ngah?”

“Huh, tak mau sembang pasai Orked!”

Rafeah membuang muka. Amsyar tergeleng-geleng.

“Tak palah. Kalau macam tu kita sembang pasai kita-kita ja.”

Wajah Rafeah ditatap dengan pandangan penuh kasih sayang. Berat hatinya hendak tinggalkan adik kesayangannya ini. Namun, dia masih ada tanggungjawab dan amanat lain yang perlu dilunaskan sebelum dia dapat berbakti dalam erti kata sebenar kepada keluarganya.

“Janji dengan abang long, Feya kena jaga diri sungguh-sungguh. Jangan mudah percayakan orang. Jangan percaya bila orang kata Feya tak cerdik. Adik abang long cerdik!”

Rafeah tarik muncung panjang.

“Tok sah nak ambil hati! Feya tahu Feya bodoh.”

Aduhai, adik! Sudah jauh termakan bicara sinis orang yang selalu menggelarnya bodoh. Amsyar kemam bibir, simpan saja bicara yang melantun di hujung lidah. Dia kesuntukan masa. Tidak ada gunanya bertikam lidah dengan si bongsu ini. Nampak saja naif namun degilnya boleh tahan.

“Tak apalah. Biaq pi orang nak kata apa. Jangan peduli. Yang penting Feya jaga diri. Okey?”

Rafeah angguk. Disambut tangan yang Amsyar hulurkan lalu belakang tangan Amsyar dikecup. Sedihnya! Bagaikan ada sesuatu yang sedang menekan dadanya sehingga sesak. Matanya mula menjadi panas. Kolam air matanya bagaikan dipaksa-paksa supaya mengalirkan air yang mulai melimpah.

“Abang long pergi dulu.” Dahi Rafeah dikecup. Rafeah angguk.

“Abang long sayang Feya.” Bisikan itu halus di telinga Rafeah.

Rafeah angguk juga. Kata sayang tergaris di minda namun payah pula hendak diluahkan kali ini. Hanya pandangan yang berkaca-kaca diberikan kepada Amsyar. Dia melihat Amsyar lambat-lambat melangkah ke kereta, kemudian perlahan-lahan juga masuk ke dalam kereta. Segalanya dilakukan dengan sangat perlahan. Ah, abang longnya sudah mahu pergi!

“Abang long…” Bibirnya memanggil.

Longlai tangan kedingnya melambai kereta yang membawa Amsyar pergi.

“Feya pun sayang abang long. Sayang sangat-sangat.” Setelah beberapa detik barulah perkataan sayang itu dapat diluahkan. Kenapa tidak sewaktu Amsyar mengucapkan kasih sayangnya sebentar tadi? Dasar Rafeah lembap!

“Abang long!”

Rafeah menjeritkan nama abang sulungnya yang semakin lama semakin jauh daripada pandangan.

“Abang long!”

Entah kenapa hatinya berasa sayu. Kalau boleh dia tidak mahu berpisah dengan Amsyar. Dia mahu ucapkan dia juga sayangkan Amsyar. Menyesalnya tak bagi tahu kuat-kuat tadi. Boleh pula lidahnya tak dapat bersuara.

“Abang long, Feya sayangkan abang long!” Dia melaung.

Jenuh kaki kurusnya berlari mengejar kereta yang dinaiki Amsyar, namun kereta itu tidak juga berhenti. Semakin lama kereta itu semakin jauh, semakin kecil pula pada pandangan Rafeah. Tak sekali pun Amsyar berpaling ke arahnya. Kecil sangat ke suara dia? Abang long tak dengar luahan sayangnya.

Kakinya lenguh.

“Abang long!” Akhirnya dia terjelepok di atas jalan. Dia kelelahan.

Terpejam celik matanya, dia tercebik-cebik. Sedu-sedan hanya mampu didengar oleh telinganya sendiri. Amsyar sudah pergi, tinggalkan dia kesunyian tidak berteman. Amsyar pulang ke universiti bagi menyambung semester baru.

“Abang long masuk U ja…” Gumam bibirnya dalam esakan. Tapi kenapa dia menangis seperti Amsyar akan pergi tinggalkan dia buat selama-lamanya?

Dadanya berdenyut resah. Dia tak sedap hati. Dan air matanya tidak mahu berhenti mengalir.

Mengapa?


PROLOG 1 PROLOG 2 • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL DOSA YANG BERNAMA RAFEAH (PENULIS: AK RAFFHAN)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *