Dosa Yang Bernama Rafeah – Prolog 2

JUBAH mandi diikat kemas ke tubuh. Rafeah merapat ke tingkap yang tertutup rapat. Langsir diselak.

Malam kelam.

Dia menjenguk ke bawah. Kelihatan beberapa buah kereta di jalanan. Berada di tingkat 13 sebuah hotel bertaraf 4 bintang membuatkan banyak pemandangan kota mampu tersaji dek mata hitamnya.

Di mana Kuala Lumpur Convention Centre, KLCC? Bangunan yang begitu sinonim dengan bandar raya Kuala Lumpur. Tidak terlihat dari tingkap hotel yang dihuninya saat ini.

Dia memeluk tubuh. Dingin menyentuh sehingga ke tulang hitam. Dia menggigil kerana di sebalik jubah mandi yang dikenakan tidak ada pakaian lain yang boleh melindungi tubuhnya daripada kesejukan, hatta pakaian dalam sekalipun.

Bola matanya bergerak memerhatikan lampu neon yang berwarna-warni. Suatu ketika dahulu dia cukup kagum apabila dapat menyaksikan keindahan malam dengan ketinggian seperti ini. Bibirnya hanya mampu berdecak kagum. Perkataan wow tidak terlepas daripada bibir. Namun sekarang dia sudah muak. Sudah selalu sangat dia menyaksikan pemandangan seperti ini. Sudah tidak ada indahnya.

Kalaulah tingkap boleh dibuka, sudah pasti dia akan membukanya. Dia mahu angin membelai wajah mulusnya. Malangnya tingkap hotel selalunya tidak boleh dibuka. Mungkin untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, sebagai contoh kejadian bunuh diri yang semakin kerap berlaku dalam masyarakat hari ini.

Makin moden dunia, makin ramai manusia memilih mati dalam cara yang paling bodoh. Tak rugi ke mati begitu saja?Hiduplah di dunia ni, nescaya banyak nikmat yang boleh diteguk!

Seperti yang dilaluinya saat ini.

Nikmat duniawi yang sering membuatnya terleka. Duit dan lelaki. Rafeah bongkokkan sedikit badan. Terkial-kial dia mencapai kotak rokok di atas meja kecil di tepi dinding. Sebatang rokok dikeluarkan kemudian dicucuh api dari pemetik api yang turut berada di situ.

Sedut. Hembus. Otaknya yang beku terasa segar.

Bijak orang tua ni. Pandai pilih bilik untuk perokok seperti mereka. Nak digelar dia sebagai perokok tegar, tak adalah tegar sangat. Boleh aje dia hidup kalau tak hisap rokok. Memang takkan mati. Tapi sajalah. Nak tambahkan senarai nikmat yang boleh diteguk, jadi dia merokok.

Lagipun takkanlah orang tua tu tak tahu dia suka merokok. Dah selalu sangat melanggan, memang banganglah kalau benda sekecil ini pun masih tak tahu lagi.

Bunyi pergerakan di atas katil mengalihkan pandangannya dari tingkap. Seketika dia menatap lelaki yang sedang tidur nyenyak itu. Bunyi dengkuran lelaki itu tidak mengganggu jiwanya. Dia dah biasa. Bukan lelaki itu seorang yang tidur berdengkur, malahan ada ramai lagi lelaki lain. Yang lebih teruk dari ini pun ada.

Malas memandang lagi, lantas dikalihkan mata untuk menatap ke luar tingkap semula.

Tik tok. Tik tok. Bunyi jarum jam tangan mahal pemberian seorang VIP sedikit masa dahulu turut dapat didengar oleh telinganya.

Sunyi.

Satu kata terlintas di fikirannya.

Sejak akhir-akhir ini dia sering berasa seperti itu, terutama sewaktu dia terjaga di tengah malam seperti ini. Entah kenapa dia boleh berasa seperti ini walhal harinya jarang tidak berteman. Dia sentiasa laku. Ramai yang sudi melanggannya. Bahkan jarang yang melanggan sekadar sehari. Selalunya ganjaran yang diperoleh selepas urusan melanggan itu selesai pasti boleh membuat dia mengilai hebat.

Itu hanya perumpamaan. Seorang Rafeah tidak akan mengilai. Meskipun suka menyumpah tapi dia tetap menjaga standard. Biar oran tetap pandang dia wanita mahal, semahal harga yang perlu dibayar untuk setiap layanan yang diberikan.

“Ssss…” Dia mendesis. Sejuk! Puntung rokok yang sudah habis dihisap ditonyoh ke bekas yang disediakan. Setelah itu jubah mandi kian diketatkan.

“Feya…”

Dia menoleh ke katil. Lelaki itu sebut namanya. Sedang mimpikan dirinya ke? Lantak… Dia tak mahu tahu.

Bicara terakhir mereka sebelum dia menyerahkan diri entah untuk ke berapa kali ke dalam lubuk serakah nafsu lelaki itu berlegar semula di fikiran.

“Kita kahwin?”

“Maksud tuan?”

“Feya tak nak ke hidup tenang macam orang lain?”

“Maksud tuan selama ni hidup saya tak tenang?”

Pinggang Rafeah ditarik dengan sebelah tangan. Wajah cantik Rafeah ditatap. Ada getar perasaan yang mengalir di dada. Dia sukakan Rafeah! Entah pada pertemuan mereka yang ke berapa perasaan itu mula hadir dia tidak tahu. Lama-kelamaan nafsu bejatnya bertukar rindu jika tidak menatap wajah Rafeah. Menggebu-gebu rasanya. Lain macam, seperti orang yang sedang jatuh cinta.

Dia ingat perasaan seperti ini turut dirasakan sewaktu perkenalan pertama dengan isterinya. Bibit-bibit rindu mula tercipta. Gurindam jiwa membisikkan cinta. Cintakah ini? Tapi, benarkah cinta boleh wujud kepada perempuan seperti Rafeah?

“Feya tak nak hidup bahagia macam orang lain?”

Dahi Rafeah berkerut. Lelaki ini salah bertanya soalan.

Kenapa dia kena hidup seperti orang lain? Dia mahu hidup mengikut caranya sendiri, bahagia memilih apa saja yang mahu
dilakukannya. Bahagia dari sudut seorang Rafeah berbeza dengan orang lain.

“Saya bahagia.” Jawab Rafeah jujur.

“Saya nak Feya jadi isteri saya. Isteri saya sudah izinkan.”

Cincin dalam poket dikeluarkan. Laju! Yakin saja dia Rafeah akan menerima.

Rafeah tak berikan balasan. Cincin tak bersambut.

Mereka berbeza. Begitu juga hati mereka, tidak bertemu di titik yang sama.

Tidak seperti lelaki yang sudah tidak terhitung berapa kali melanggannya itu, dalam dada Rafeah tidak berasakan apa-apa.
Perasaannya terhadap lelaki matang berumur 35 tahun itu kosong. Tidak ada beza dengan pelanggan-pelanggannya yang lain.

Dia melayan kerana bayaran. Bukan demi perasaan.

“Saya dan isteri tuan boleh dapat hak yang sama rata?”

“Ya, sama. Cuma…” Bicara lelaki itu terhenti.

“Cuma?”

“Saya ada reputasi yang perlu dijaga.”

Fahamlah Rafeah! Lelaki itu mahu mengahwininya, namun pernikahan mereka perlu dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Yang boleh tahu tentang pernikahan mereka, itu pun jika Rafeah setuju, hanyalah dia, lelaki itu dan isteri lelaki itu.

Ya, isteri lelaki itu yang sedang terlantar cacat selepas kemalangan jalan raya. Disebabkan keadaan isterinya yang tidak berdaya itulah lelaki itu mencari wanita lain di luar. Lalu dia berjumpa Rafeah dan dia jatuh cinta.

Huh, macam dah tak ada wanita lain!

“Sudi tak Feya jadi isteri saya?”

Oh, lelaki itu melutut. Rafeah terharu.

Namun Rafeah tetap diam.

Lantas lelaki itu dipeluk sebagai tanda penghargaan kepada lamaran yang diberikan. Sekilas kecupan pada bibir lelaki itu diberikan sebelum lelaki itu kemudian membalas dengan rakus. Kemudian bergomollah mereka mengulang maksiat.


PROLOG 1 PROLOG 2 • BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL DOSA YANG BERNAMA RAFEAH (PENULIS: AK RAFFHAN)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *