“Jika diberikan mesin masa, dia mahu kembali ke masa lalu, ketika dia masih belum mengenali Thaqif” – Ijah
DIA sedang menaip draf Perjanjian Jual Beli apabila dia terdengar ketukan di pintu biliknya yang sentiasa terbuka itu. Senyuman manis Durrah, pembantunya menyapa pandangannya.
“Dah boleh turun ke, Durrah?” Dia tahu tujuan Durrah mengetuk pintu biliknya. Dua jam yang lalu semasa dia lalu di depan meja Durrah, dia ada katakan pada Durrah, dua puluh minit sebelum mesyuarat bulanan bermula, beritahu pada dia supaya dia boleh lari turun ke bawah sebelum ketibaan para tetamu yang lain.
Dia sebenarnya malas nak menyertai mesyuarat bosan macam mesyuarat bulanan ni. Bukannya dia buat apa pun selain memerhati atau menyampuk jika ada antara mereka yang meminta pendapatnya. Lebih baik dia duduk di dalam biliknya, menaip draf Perjanjian Jual Beli atau membaca kontrak yang walaupun dia baru baca baris pertama, dah mampu buat dia mengantuk.
Nampak tak betapa dia memang tak mahu menyertai mesyuarat bulanan ini sampai sanggup memilih untuk membaca kontrak yang sungguh membosankan itu?
Tetapi dia lagi malas sebenarnya nak memberikan alasan pada daddy kenapa dia tak menyertai mesyuarat bulanan (walhal banyak kali juga Ijah ‘ponteng’ menghadiri mesyuarat bulanan dengan alasan dia ada hal lain yang lebih penting dan memerlukan perhatiannya, antaranya bertemu dengan kliennya).
Daripada perlu menghadap daddy dan menggunakan default excuse dia tu, lebih baiklah dia tunjuk muka di mesyuarat bulanan tersebut. Kan? Kan?
“Sudah. Cik Iza nak turun sekarang ke?”
Dia bangun dari duduknya. Telefon bimbit rasmi dan peribadi dia masukkan ke dalam seluar slek, kemudian dia capai pula planner warna merah di sebelah kiri komputer ribanya.
“Turun sekaranglah, Durrah. I malas nak masuk kalau dah ramai sangat orang.”
Ijah memang begitu. Kalau nampak macam bilik mesyuarat tu dah penuh, dia dah malas nak masuk dan berjalan ke tempatnya (yang selalunya berdekatan daddy di bahagian kepala meja).
Dia tak suka orang lain memberikan sepenuh tumpuan kepadanya semasa dia berjalan masuk ke bilik mesyuarat itu. Sebab itulah dia lebih suka menjadi orang yang pertama tiba, bukan yang terakhir.
Durrah pun dah faham dengan caranya, malah kalau dia tak pesan kepada Durrah pun, sudah menjadi kemestian bagi Durrah untuk memberitahunya 20 minit sebelum masa mesyuarat atau janji temu tiba.
Sejak hari pertama dia di sini, dia memang mempraktikkan 20 minutes rule ini. Pernah sekali tu Durrah dijangkiti demam denggi, jadi dua minggu Durrah bercuti. Tempat Durrah digantikan dengan orang lain. Mengamuk Ijah kerana pembantu sementaranya itu terlupa memberitahu Ijah 20 minit sebelum masa mesyuarat tiba.
Habis sahaja mesyuarat, Ijah terus pergi ke Jabatan Sumber Manusia dan ‘beritahu’ bahawa dia tak mahu sesiapa pun sebagai pembantu sementaranya. Iyalah, kalau sekali pembantu sementara itu buat silap, dia masih boleh maafkan lagi.
Tapi dah seminggu kerja sebagai pembantu sementara Ijah, tetapi masih lagi tak dapat nak sesuaikan dengan gaya Ijah, tak apalah Ijah rela tak ada pembantu untuk lagi seminggu sementara menanti kepulangan Durrah ke pejabat.
“Okey.” Durrah membalas okey dan kemudian keluar menuju ke mejanya.
Setelah memastikan barang-barang yang dia perlukan untuk dibawa ke bawah sudah mencukupi, Ijah melangkah keluar dari bilik.
“Any message for me, macam biasa okey, Durrah.” Dia memesan begitu sebaik sahaja melintasi meja Durrah. Pesanan yang sama sahaja setiap kali dia tak ada di dalam biliknya.
Boleh sahaja dia tak pesan, tetapi sebab dah terbiasa begitu, jadi kadang-kadang tak sedar pun dia dah berpesan macam tu kepada Durrah.
“Noted, Cik Iza.”
Mendengarkan balasan Durrah, Ijah melajukan langkahnya menuju ke arah lif. Dia menekan butang turun.
Lama juga dia menunggu lif itu tiba. Sempat lagi dia membelek telefon bimbit peribadinya itu. Sekadar menyemak Whatsapp yang masuk.
Oh, ada beberapa mesej Whatsapp tidak berbaca di dalam grup Pretty Ladies.
Widad
Apa perasaan kau kalau tiba-tiba kau terserempak dengan orang yang kau nak buang jauh-jauh?
Dona
Weiii adakah kau terserempak dengan he-who-must-not-be-named?
Ijah ketawa kecil membaca balasan Dania. Kata Dania, jangan sebut-sebut nama orang yang kita tak nak jumpa, sebab kalau kita sebut, peluang untuk kita terjumpa orang tu adalah sangat besar! Merepek! Padahal Ijah beranggapan bahawa Dania tu dah banyak kali sangat ulang tengok Harry Potter!
Widad
Haaa. Apalah dosa aku terserempak dengan dia tadi. Somehow rasa sedih bila teringat the one and only reason we broke up: dia dah bosan dengan aku. After all these years, through thick and thin, dia dah bosan dengan aku.
Mimi
Damn. Dia orang terakhir yang kau nak jumpa atau terserempak di muka bumi ni!
Widad
Tau pun
DG
Macam mana kau boleh terserempak dengan dia?
Widad
Hari ni kan aku ada kes kat KL Court. Aku tengah duduk kat luar sementara tunggu kes aku kena panggil, tiba-tiba aku dengar suara yang familiar panggil aku. Turns out it was him. Aku macam, the hell? Rasa macam nak lari masuk kereta hahaha.
Banie
Kalau aku jadi dia, aku tak tegur kau dah. Kau mesti awkward gila dengan dia.
Widad
Awkward level = 11 out of 10.
Dia mahu membaca mesej seterusnya tetapi suara Johan, pembantu peribadi dan setiausaha daddy memanggil namanya buat dia angkat kepala.
“You nak masuk tak, Iza?” Johan bertanya dalam pada sedang menekan butang pintu lif agar pintu lif sentiasa terbuka.
Ijah tersengih bagi menutup malunya.
“Nak. Nak. Sorry and thanks, Joe.”
Johan hanya senyum membalas. Johan ni (selain daddy semestinya) merupakan satu-satunya manusia di dalam syarikat ini yang memanggilnya dengan nama Iza sahaja.
Mula-mula dulu Johan bahasakan Ijah sebagai Puan Iza tetapi Ijah hanya menggeleng tanda dia tidak layak dengan panggilan hormat itu. Johan yang memahami mengubah panggilannya daripada Puan Iza kepada Cik Iza.
Memandangkan Johan ni dah lama bekerja dengan daddy dan Johan pun sebaya dengan Ijah, jadi Ijah hanya meminta Johan memanggilnya dengan nama sahaja. Johan pada mulanya tak mahu, tetapi selepas Ijah ‘mengugut’ mahu laporkan kepada daddy, Johan terpaksa menurut.
Padahalnya laju sangatlah Ijah nak laporkan kepada daddy hal kecil macam tu!
“Datuk tak turun sekali?” Ijah bertanya tentang daddy apabila dia lihat Johan hanya seorang diri sahaja. Selalunya di mana ada daddy, di situ ada Johan. Sampai kadangkala Ijah rasa Johan ni setia betul dengan daddy!
“Datuk got an important phone call from an acquaintance of his, so he asked me to go downstairs first.” Johan telan liur yang terasa kelat.
Dia tahu dia telah menipu anak bosnya ini. Okey, betul yang menelefon itu ialah kawan Datuk Alias bapa Iza, tetapi kawan itu juga merupakan ayah mentua Iza. Tetapi dia tak mahu anak bosnya ini kelam-kabut maka dia hanya berkata yang menelefon Datuk itu kawan Datuk sahaja.
“Oh….” Panjang oh Ijah dengan mulutnya membentuk huruf ‘O’.
DIA sedang berjalan memasuki satu demi satu premis di dalam KLCC itu apabila dia ternampak belakang lelaki yang seakan-akan dia kenal. Langkah kakinya terus terhenti di hadapan premis Cortina Watch. Ijah terasa nafasnya terhenti buat seketika. Dia berdiri tegak di situ memerhati lelaki yang sedang membelek-belek jam tangan itu.
Dia tahu kegemaran lelaki itu ialah jam tangan dan lelaki itu boleh bercakap berjam-jam tentang koleksi jam tangannya dan seperti biasa (pada waktu itu) Ijah akan menjadi pendengar setia.
Mata Ijah masih tunak pada belakang lelaki itu. Sudah beberapa tahun dia tidak melihat lelaki itu dan kini lelaki itu ada di depan matanya walaupun Ijah tahu lelaki itu pasti tidak mengingatinya. Matanya masih ralit memerhati lelaki itu.
Lelaki yang sentiasa bertakhta di hatinya.
Lelaki yang bergelar suaminya.
Lelaki yang….
Eh tapikan, dia dah balik ke sini ke? Back for good? Kenapa Ijah tak tahu apa-apa? Ijah rasa nak gelak pula sekarang ni.
Yalah Ijah, bukankah sejak ‘hari istimewa’ itu kau dah berjanji dengan diri sendiri untuk tak mahu ambil tahu apa-apa tentang lelaki itu? Seperti dia ‘buang’ kau selepas ‘hari istimewa’ itu, seperti itu jugalah kau ‘buang’ dia. Kau dengan hidup kau, dia pula dengan hidup dia.
Ijah nampak lelaki itu menoleh ke belakang sekilas. Buru-buru Ijah berlari menuju ke tepi kedai. Tangannya diletakkan di dada. Nafasnya ditarik dan dilepaskan perlahan bagi mengembalikan kadar kelajuan degupan jantungnya kepada tahap normal.
Selepas sistem pernafasannya kembali normal, Ijah meneruskan langkahnya menuju ke premis yang lain pula. Ijah jadi teringat kepada mesej Whatsapp daripada Widad.
Apa perasaan kau kalau tiba-tiba kau terserempak dengan orang yang kau nak buang jauh-jauh?
Dia tak tahu apa perasaannya ketika melihat lelaki itu walaupun hanya belakangnya sahaja.
Gembirakah dia? Tidak.
Sedihkah dia? Pun tidak.
Tetapi apa, Ijah?
Dia berjauh hati sebenarnya. Dia masih berjauh hati dengan lelaki itu. Lelaki itu tidak pernah melemparkan kata-kata nista kepadanya, tetapi layanan dingin lelaki itu sudah cukup menghantar mesej kepada Ijah bahawa lelaki itu tidak mahu ada kaitan dengannya lagi. Sungguh selama dia mengenali lelaki itu sejak menjadi mentornya, malam itu pertama kali dia nampak lelaki itu dingin begitu kepadanya.
Sedang dia berkira-kira mahu masuk atau pun tidak ke dalam premis Calvin Klein berdekatan dengan premis Cortina Watch ini, dia nampak lelaki itu sudah keluar dari premis Cortina Watch. Ijah tak tahu mahu berbuat apa. Sudahnya dia hanya berdiri tegak sahaja di tengah-tengah laluan itu sambil menahan nafasnya.
Ijah ni lawaklah! Ingat lelaki tu tak boleh kesan kau ke kalau kau tahan nafas sekali pun?
Lelaki itu hanya berpapasan di sebelahnya seperti angin lalu tanpa menoleh langsung ke arahnya.
Dan ya Ijah, lelaki itu tak boleh kesan kau langsung!
Ijah menoleh ke belakang, ke arah figura yang masih berjalan santai itu. Nafas ditarik dan dihelanya perlahan. Melihatkan lelaki itu yang masih lagi berjalan tanpa menoleh ke belakang sedikit pun menunjukkan bahawa lelaki itu memang sudah melupakannya, tak semena-mena pelupuk matanya basah.
Tiga tahun, Ijah. Pastilah dia sudah lupakan kau!
Jika diberikan mesin masa, dia mahu kembali ke masa lalu, ketika dia masih belum mengenali lelaki itu.
SUDAH lima bulan dia pulang ke Malaysia. Dan selama lima bulan itu jugalah rutinnya hanya pergi kerja kemudian balik terperap di rumah. Dia hanya akan keluar kalau empat orang manusia tu (kawan-kawan baiknya iaitu Ahnaf, Isyraf, Faris dan Adam) mengajaknya keluar, atau apabila Mel pulang sementara ke Malaysia, jadi dia akan keluar dengan Mel, wanita yang berjaya menambat hatinya sejak lima tahun lepas.
Kali ini dia pulang sebetul-betulnya pulang selepas berjaya menggenggam segulung sarjana dan PhD. Kalaulah ada lagi peringkat pengajian selepas PhD, memang dia akan sambung lagi pengajiannya itu.
Dia sebenarnya tak mahu pulang ke sini sebab dia tahu kebarangkalian untuk dia bertemu atau terserempak dengan Ijah di Malaysia teramatlah tinggi walaupun dia tak tahu pun di mana wanita itu menetap. Tetapi dia terpaksa juga apabila ayahanda beritahu walaupun ayahanda sudah agak sihat, tetapi ayahanda dah buat keputusan untuk tidak mahu menguruskan syarikat mereka lagi.
Jadi, ayahanda perlukan bantuannya untuk menggembleng tenaga menguruskan syarikat bersama adik-beradiknya yang lain.
Sehari selepas pernikahannya dan Ijah, dia pergi dengan alasan dia perlu pulang ke London demi pengajian PhD-nya. Sebaik sahaja kakinya melangkah pergi, dia sudah berjanji kepada dirinya dia tak mahu ambil tahu lagi tentang wanita itu. Walaupun itu isterinya, tetapi dia masih belum mampu untuk menerima kenyataan itu.
Masa itu dia rasa bersyukur kerana Ijah bersetuju dengan cadangannya supaya majlis pernikahan antara mereka hanya dihadiri ahli keluarga mereka berdua sahaja, dan majlis perkahwinan akan dibuat setelah Thaqif tamat belajar.
Dia tak mahu sesiapa pun tahu dia dan Ijah sudah bernikah kecuali ahli keluarga mereka. Hari dia pergi meninggalkan Ijah, dia katakan pada Ijah, “This is a business-marriage, like I told you before. You can do whatever you want, but don’t ever involve me in it.” Dan dia terus pergi tanpa menoleh ke belakang.
Bonda ada juga memberitahu perkembangan Ijah, apa yang Ijah buat, hari ini Ijah datang ke rumah dan macam-macam lagi tentang Ijah, tetapi kata-kata bonda itu hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.
Sungguh dia masih tak boleh terima Ijah bekas mentee-nya itu lebih daripada seorang mentee dan pendengar yang setia.
Dia akui dia senang dengan Ijah sebab Ijah jenis yang mendengar. Dia boleh ceritakan apa sahaja kepada Ijah. Tentang keluarganya, tentang empat orang sahabat baiknya, tentang kegemarannya dan macam-macam lagi. Malah ketika dia bukan lagi mentor Ijah, dia masih lagi bercerita kepada Ijah walaupun mereka tak adalah selalu berhubung, tetapi dia tetap ingat kepada Ijah, segala-galanya tentang Ijah.
Selepas dia berjaya menjadikan Mel teman wanitanya, dia terus telefon Ijah untuk menyampaikan berita itu kepada Ijah. Dia sungguh gembira ketika itu.
Masa tu dia rasa dia ada seorang adik perempuan. Dia amat rapat dengan Ijah yang sampai dia beri mandat pada dirinya sendiri untuk memanggil wanita itu menggunakan gelaran Ijah; gelaran yang hanya digunakan teman-teman rapat Ijah.
Tetapi perasaannya kepada Ijah hanya setakat itu sahaja. Dia tak pernah terfikir satu hari nanti Ijah akan jadi isterinya. Sungguh dia tidak menyangka, keputusan dia untuk pulang ke Malaysia sempena cuti musim sejuk telah merubah hidupnya 360 darjah.
Sungguh dia rasa terkilan apabila tiada sesiapa pun yang beritahu kepadanya akan rancangan bonda! Malah bonda tak beritahu apa-apa maklumat tentang bakal tunangnya itu!
Bonda beritahu bonda ada menghantar gambar bakal tunangnya itu, tetapi dia yang memang tak berminat nak tahu, langsung tak melihat gambar bakal tunangnya itu. Nak dijadikan cerita, satu hari dia terbuka juga gambar tersebut. Masa itu dia rasa matanya hampir terkeluar daripada soket dek terkejut melihatkan gambar yang dia kenal sangat-sangat. Terus dia beritahu bonda dia nak pulang ke Malaysia.
Dan dia tidak menyangka, keputusannya itu membuatkan dia berada dalam keadaan yang mati hidup balik pun tak pernah akan dapat dia bayangkan! Sesuatu yang tidak pernah terlintas hatta sekali pun dalam fikirannya!
Tiga tahun dia tinggalkan Ijah tanpa kata. Dan sehingga kini dia masih belum mahu mencari Ijah. Sejujurnya, dia dah lupakan Ijah dan segala-galanya tentang wanita itu. Tiga tahun yang panjang dan tak pernah sedikit pun dia teringat kepada wanita itu. Malah dia pun tahu wanita itu tak pernah ingat akannya. Dia pasti tentang itu.
Dia tidak bencikan Ijah. Sedikit pun dia tak pernah membenci wanita itu. Dia tahu Ijah pun mangsa keadaan sepertinya. Dia cuma tak boleh terima kenyataan, sebab itulah dia tinggalkan Ijah. Dia perlukan masa untuk ‘membetulkan kembali’ hidupnya yang tiba-tiba berubah sejak tiga tahun lepas.
Walaupun dia sudah lupakan Ijah, satu dia tak pernah lupa, mengirimkan duit kepada isterinya itu setiap bulan sejak tiga tahun lepas. Dia masih ingat akan kata-kata ayahanda, “kalau pun Qif tak sukakan Iza, tetapi jangan dilupa nafkah buat Iza. Jauh tak bermaksud Qif boleh lepas tangan.”
Dia mahu membantah tetapi ayahanda dah smash dia dulu, “perkara macam ni tak perlu nak tunggu belajar tinggi-tinggi sampai PhD baru nak ambil tahu, Qif.”
Kerana nasihat itulah, sehingga kini dia masih lagi memberikan nafkah buat Ijah. Dia rasa itu sahajalah yang ‘menghubungkan’ dia dan Ijah.
Thaqif meraup mukanya. Dia bangun dari baringan. Langkahnya dibawa menuju ke dalam bilik pakaian. Dia menukar daripada t-shirt dan seluar Bermuda kepada seluar jeans dan t-shirt lain. Jam tangan yang berderet tersusun di dalam laci jam dia teliti satu per satu. Dia ambil salah satu jam tangan itu dan memakainya.
Dia dah penat terperap di dalam rumah sahaja. Jadi, hari ini dia bercadang mahu berjalan-jalan di KLCC. Mungkin dia boleh tambah koleksi jam tangannya. Hari itu dia terbaca yang Cortina Watch ada koleksi jam tangan terbaharu. Haruslah dia cepat ke sana!
Sampai di KLCC, dia terus masuk ke dalam lif dan menekan butang 1. Dia mahu ke premis Cortina Watch. Masuk ke dalam premis, dia disambut oleh pekerja di kedai tersebut. Terus dia bertanyakan koleksi terbaharu mereka.
Sedang dia membelek-belek jam tangan koleksi terbaharu itu, dia terasa seperti ada orang yang memerhatikannya. Lalu dia pun menoleh, tetapi tiada sesiapa di situ. Dia hanya jongket bahu. Mungkin itu perasaannya sahaja.
Berpuas hati dengan koleksi terbaharu itu, dia melangkah keluar. Kakinya melangkah tanpa arah tuju. Dia berpapasan dengan seorang wanita yang berdiri tegak di tengah laluan itu. Dia pelik dengan kelakuan wanita itu, tetapi dia tak ambil tahu dan terus melangkah.
Dalam sepuluh langkah begitu, sekali lagi dia merasakan bahawa ada seseorang memerhatikannya. Dia berhenti melangkah dan menoleh. Dia rasa dia ada berpapasan dengan seseorang yang dia kenal tadi, tetapi apabila dia menoleh, dia sudah tak nampak wajah itu. Perasaan apakah ini, Thaqif?
Malas mahu bermain kata dengan perasaannya, Thaqif meneruskan langkahnya.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL EDELWEISS (PENULIS: AMANY)