SEMINGGU berlalu sejak perbincangan (bukanlah perbincangan, tetapi lebih kepada perutusan) majlis perkahwinan Ijah dan Thaqif, Ijah masih lagi rasa terkejut. Mommy dah mulakan beberapa persiapan seperti melantik perancang perkahwinan, menghabiskan entah berapa puluh ribu untuk perhiasan dalaman rumah termasuklah bilik Ijah dan macam-macam lagi.
Gara-gara persiapan mommy yang terlebih teruja, pagi ini Ijah perlu ke butik pengantin milik perancang perkahwinan untuk fitting baju pengantin. Mommy ada design sendiri baju pengantin Ijah dan hari ini mommy nak Ijah cuba sendiri baju pengantin tu. Kemudian mommy kata kalau dah siap fitting baju pengantin, bolehlah pergi beli barang-barang hantaran pula.
Yang tak seronoknya, mommy nak Ijah pergi dengan Thaqif. Tiga puluh alasan Ijah berikan kepada mommy, tetapi mommy masih berkeras mahu Ijah ke sana bersama Thaqif. Ijah kalau boleh mahu meminimakan masa dia keluar bersama Thaqif.
Lagipun, apa guna ada perancang perkahwinan kalau barang-barang hantaran pun pengantin sendiri yang kena beli? Lagi satu, waktu nikah dulu dah ada barang-barang hantaran, takkanlah untuk resepsi pun kena ada jugak?
Mommy balas, “Iza, barang-barang hantaran untuk nikah tu kan dah lama, dah tiga tahun pun. Tak ada salahnya kalau resepsi kali ni ada barang-barang hantaran juga. Lagi satu Iza, mommy tak pernah dengar lagi ada perancang perkahwinan yang belikan barang-barang hantaran untuk pengantin. Yang mommy tahu, pengantin yang beli barang-barang hantaran, perancang perkahwinan yang akan gubah hantaran tu.”
Dia mahu membalas dengan nada berloyar buruk tetapi memikirkan karang mengamuk pula mommy, terus Ijah sengih sahaja.
Lepas tu bila Ijah tanya sama ada mommy ikut atau pun tidak, mommy kata mommy ada date dengan bonda di TA Hotel, hotel yang bakal digunakan untuk resepsi perkahwinan Ijah dan Thaqif jika grand ballroom hotel tersebut tidak digunakan pada hari bersejarah itu.
Ikutkan hati Ijah, dia nak buat resepsi di rumah aje tak pun sewa mana-mana dewan serbaguna. Dia nak buat majlis kecil-kecilan sahaja. Jemputan pun hanyalah saudara-mara, kawan-kawan serta jiran tetangga. Tapi percuma aje mommy menembaknya. Kata mommy, ini perkahwinan anak perempuan mommy, haruslah mommy nak buat yang besar-besaran. Dia senyum nipis dengar alasan mommy. Dia balas, “mommy boleh kalau nak buat besar-besaran, tapi ada lagi ke dewan hotel yang boleh mommy tempah?”
Dan dengan yakinnya mommy membalas, “Mesti akan ada. Tarikh resepsi Iza nanti, bukannya cuti sekolah atau musim orang berkahwin. Mommy dan bonda nak cuba tengok kat TA Hotel tu dulu. Kalau tak ada pun, mommy akan adakan. Lagipun TA Hotel tu kan milik keluarga mentua Iza. Iza ingat mommy dan bonda tak banyak pengaruh ke?”
Ternaik kening Ijah. “Mommy nak buat apa?”
Mommy ketawa. “Ish! Janganlah fikir yang bukan-bukan. Mommy Iza ni masih baik tau.”
Dia mahu membalas tetapi kata-kata mommy yang seterusnya berjaya buat dia diam sepanjang hari, “lagipun masa hari nikah Iza, mommy tak mampu buat majlis yang meriah untuk Iza. Jadi biarlah resepsi Iza kali ini, mommy mahu semuanya serba lengkap.” Dan dia terus memeluk mommy. Allahu, menggunung rasa bersalahnya kepada mommy.
Ijah turutkan sahaja kemahuan mommy itu tetapi dengan syarat, Ijah mahu gabungkan majlis menyambut menantu di sebelahnya dan sebelah Thaqif. Jadi, daripada ada empat resepsi, sekarang tinggal tiga sahaja. Mommy macam nak membantah, tetapi Ijah terus sahaja mengemukakan alasannya.
Pertama, dapat jimat duit, tenaga dan masa. Kedua, majlis di sebelah Thaqif pun nanti akan dibuat di TA Hotel juga, jadi apa salahnya kalau buat sekali je? Ketiga, Ijah dan Thaqif ni dah masuk taraf pengantin lama (Ijah dah ketawa mengekek masa ni sebab dia rasa terma pengantin lama tu sangatlah kelakar). Dan keempat, Thaqif pun bersetuju dengan cadangan Ijah.
Lama juga mommy berdiam. Ijah pun cuak juga mahu tahu jawapan mommy. Masa mommy kata mommy setuju dan akan bincang dengan bonda, Ijah terus peluk mommy. Oh my, gembiranya Ijah memang tak terkata!
Dengan hati yang senang, malam itu Ijah menelefon Thaqif, mahu berbincang tentang program fitting baju pengantin mereka.
“Datang sendiri-sendiri je tak boleh ke?” Haih dah selesai satu masalah, datang pula masalah lain apabila Thaqif tiba-tiba buang tabiat nak jemput Ijah di rumah Ijah. Geram betul Ijah sebab Ijah tetap tak mahu naik satu kereta dengan lelaki itu!
“Laaa dah mommy dan bonda suruh pergi sekali, kita pergi jelah sekali. Apa yang susahnya?” Thaqif di talian sebelah sini dah berang. Bukannya dia nak buat apa pun kepada Ijah!
“I tak selesalah.” Ijah berterus-terang sahaja. Memang betul pun dia tak selesa. Nak buat macam mana lagi, kan?
“Ikut suka hati you lah. Nanti kalau your mommy atau bonda tanya, you jawablah sendiri.” Thaqif mengalah. Malas nak berbalah. Dia pun penat sebab baru balik dari dating dengan Mel.
Lama Ijah diam. Thaqif pun tak bersuara.
“Okeylah, you pick me up.”
IJAH tiba-tiba rasa menyesal pula membuat keputusan mahu keluar bersama lelaki itu. Walaupun hubungan mereka sudah halal, tetapi Ijah masih tak boleh. Dia masih belum boleh melupakan apa yang pernah terjadi antara mereka.
Setengah jam menanti di rumah, Ijah dengar bunyi hon kereta dari luar rumah. Sampai dah mamat tu? Tapi dia masih lagi buat tak tahu aje dengan bunyi hon tu. Belum sempat dia nak biarkan lelaki kat luar rumah tu ternanti-nanti, telefon bimbitnya dah berbunyi.
“Mekap tebal sangat ke tak keluar rumah lagi ni?”
Soalan sarkastik itu buat Ijah mencebik.
“Aaaa… tak cukup tebal macam hantu lagi.” Ijah membalas sarkastik juga.
“Ijah, I dah kat luar ni.”
“Tahulah.” Ijah balas dan matikan panggilan kemudian dia duduk berteleku di situ. Ijah, sudah bersediakah untuk bertemu lagi dengan si dia? Ijah letak tangan di dada, cuba meredakan degupan jantungnya yang berdetak lebih laju dari biasa.
Dia berlari ke dapur mencari Mak Leha.
“Mak Leha, Iza pergi dulu!” Mak Leha yang sedang meletakkan kek coklat ke dalam peti ais menoleh ke belakang.
“Thaqif sampai dah, Iza?”
“Sampai dah. Mak Leha jaga diri. Apa-apa hal, call Iza.” Tangan Mak Leha dicium penuh hormat.
“Hati-hati, Iza.”
Ijah senyum seraya berjalan malas-malas ke pintu besar rumah agam itu. Mak Leha membuntuti Ijah.
“MANA pulak cik kak ni? Jadi ke tak sebenarnya? Kalau tak jadi, mestilah dia beritahu.” Thaqif masih lagi menjenguk-jenguk dari dalam kereta.
Penat je buat macam tu Thaqif weh. Bukannya kau nampak apa pun!
Dia buka pintu kereta dan keluar. Badannya disandarkan kepada pintu pemandu. Telefon bimbit dari dalam poket dia bawa keluar. Dia cari nama Iza dan didialnya. Satu deringan, tak berangkat. Sampai ke deringan keempat, barulah talian di sebelah sana berangkat.
“Mekap tebal sangat ke tak keluar rumah lagi ni?” Tanpa salam dia terus menembak.
“Aaaa… tak cukup tebal macam hantu lagi.”
Ewah cik kak ni!
“Ijah, I dah kat luar ni.” Dia sengaja memberitahu walaupun dia tahu Ijah dah tahu dia dah sampai.
“Tahulah.”
Dia pandang talian yang dah sepi. Eh, aku tak habis cakap lagi!
Thaqif kerling jam di tangan kiri. Dah dua puluh minit sejak dia sampai, tetapi cik kak kat dalam tu tak keluar-keluar lagi.
Bunyi pintu pagar kecil dibuka buat dia terus menumpukan sepenuh perhatian kepada orang yang bakal muncul dari pintu pagar kecil itu. Terjengul kepala Ijah.
“I ingat you nak bertapa lagi lama kat dalam rumah.” Thaqif senyum sinis.
Ijah menjelingnya. “I takut ada yang mati kepanasan sebab marah-marah.”
Thaqif ketawa. Dia tahu Ijah memerlinya. Amboi, Ijah! Hari ini memang hari memerli ke?
Tanpa ada rasa mahu membalas perlian itu, Thaqif berjalan di sisi Ijah menuju ke pintu di sebelah pemandu. Sebelum sempat Ijah membuka pintu, dia dah membukanya dulu. Ijah memandangnya lama.
“Nak masuk tak? Tangan I dah penat ni.”
“I boleh buka sendirilah.” Ijah memprotes.
“Okey. I tahu you boleh buka sendiri. Nak masuk ke tak nak?” Sekali lagi dia bertanya bila Ijah masih lagi mematungkan diri. Hish, nak buat keputusan pun lambat!
Ijah masuk dengan muka herot-berot.
“Hati-hati kepala.” Thaqif letak tangan kanannya di atas kepala Ijah supaya kepala Ijah tidak terhantuk ketika masuk ke dalam kereta. Dia pun terkejut dengan tindakannya itu. Dia dah terbiasa buat begitu kepada Mel (bukakan pintu dan letak tangan di atas kepala), dah menjadi habit. Tapi ini Ijah bukan Mel, Thaqif oiiii.
“So, where are we heading to?” Thaqif bertanya semasa dia tekan butang on engine.
“Butik pengantin tu la. Mana lagi?” Kalau tak sebab nak fitting baju pengantin, jangan haraplah dia nak jumpa mamat ni.
“You dah sarapan?” Thaqif bertanya semasa keretanya mula menjalar keluar dari taman perumahan.
Ijah pandang lelaki di sebelahnya ni. Muka tu ketara muka bangun tidur okey!
“Dah pukul 10 pun.”
“Okey.”
“You ingat lagi eh jalan ke rumah I?” Ijah kerling sekilas ke kiri, ke arah lelaki yang dah mengenakan cermin mata hitam di sebelahnya ini.
Dia tak mahu berharap. Kalau selama tiga tahun lelaki ini berjaya menghapuskan segalanya tentang Ijah, Ijah pasrah.
“I tanya bonda, lepas tu I cari guna GPS.”
Ijah senyum kelat. Sudahlah Ijah, tiga tahun dah pun, kan? Dia cuba memujuk hatinya.
“Why?” Soalan daripada lelaki itu buat Ijah kerling sekilas ke kanan, ke arah lelaki di sebelah ini yang kacak mengenakan Ray-Ban Aviator.
“I ingat you sesat. Setengah jam jugak I tunggu.” Ijah sengaja perli kelewatan lelaki ini.
Thaqif tak mampu menahan tawanya yang akhirnya terburai juga. I know it!
“I ada masalah sikit kat rumah, sebab tu lambat.”
“Yalah tu.” Alasan!
Dan suasana senyap menyelubungi mereka.
“Astaghfirullah! Qif, apa ni tak siap lagi? Kan dah janji nak jumpa Iza pukul 9 untuk fitting baju pengantin?” Bonda mengucap panjang melihat anak terunanya yang masih lagi berlingkar di dalam selimut dengan keadaan bilik yang masih gelap kerana langsir yang tak ditarik.
“Pukul 9 kan, bonda. Lama lagi. Sekarang baru pukul berapa.” Dia masih mahu melayan kantuknya. Telefon bimbitnya pula dah tercampak entah di mana-mana pun dia tak pasti.
Bonda tarik langsir. Keadaan bilik jadi terang-benderang.
“Sekarang dah pukul 9, Thaqif Azfar. Luar tu dah terang pun. Manalah nak sedar dengan keadaan kat luar tu kalau bilik gelap macam ni. Lepas ni bonda nak tukar langsir bilik Qif. Guna langsir warna yang terang sikit.”
Automatik dia buka mata dan keluarkan sedikit kepala daripada lingkaran selimut. Matanya mengecil dengan keadaan bilik yang terang-benderang.
“Bonda nak Qif siap sekarang. Hesy, janji pukul 9, tapi pukul 9 baru bangun. Apa nak jadi ni? Kesian Iza kena tunggu Qif.”
Dia masih lagi bangun malas-malas dari katil. Bonda pukul perlahan belakangnya agar dia cepat tetapi tak lut pun.
Mujur hari ni tak ada kesesakan lalu lintas. Jadi dalam masa setengah jam, dia siap mandi, berpakaian, dan sampai di depan rumah Ijah. Pencapaian yang membanggakan!
DIA duduk di sofa menunggu sementara Ijah di dalam fitting room bersama perancang perkahwinan mereka. Majalah-majalah di rak majalah dia tarik satu demi satu. Dia belek-belek gaya tak ada perasaan.
Dia angkat kepala apabila terdengar bunyi tirai ditarik. Matanya terpaku kepada Ijah yang berdiri kaku di depannya dan membelakangkan cermin. Di badan Ijah tersarung sepasang gaun gabungan warna krim dan ivory yang labuh sehingga ke lantai serta penuh dengan bunga-bunga kecil. Ijah yang tadi hanya bertudung bawal kini sudah memakai selendang pula. Cantik! Pada ketika ini Ijah nampak sangat cantik di mata Thaqif.
Matanya masih lagi tak berkelip melihat Ijah yang berdiri di depannya.
“Amboi, tengok tak berkelip mata haaa!” Lina dah ketawa dulu.
Ijah cubit lengan Lina perlahan sebelum buat muka marah.
Thaqif berdeham bagi menghilangkan rasa malu ditangkap melihat isteri sendiri sampai tak berkelip mata.
“Dah boleh tutup tirai ni ke?” Ijah bertanya pada Lina.
Lina yang memahami laju menjawab, “boleh. Boleh.”
Sedang Lina sibuk mengelilingi Ijah bagi melihat apa lagi yang kurang pada gaun pengantin milik Ijah, kedengaran suara Thaqif dari luar.
“Ijah, mommy is calling!”
“Tolong beritahu mommy, nanti I call balik!” Ijah membalas. Memanglah dia tak boleh nak bergerak sebab sekarang ni gaun yang dia pakai ni dah penuh dengan peniti di sana sini.
“Okey!”
Selesai fitting empat pasang baju pengantin Ijah (untuk tiga hari punya resepsi dan mommy kata yang satu lagi itu hadiah daripada mommy untuk Ijah), akhirnya Ijah boleh duduk tenang-tenang di sofa menunggu. Kali ini Lina sibuk dengan Thaqif pula.
Ijah capai telefon bimbit. Dia dial nombor mommy.
“Macam mana? Cantik tak mommy design?” Itu soalan mommy.
“Tapi banyak sangatlah mommy sampai tiga pasang.” Entah berapa puluh ribu Ijah tak nak bayangkan.
“Laaa…kan resepsi dua hari? Takkanlah Iza nak pakai baju sama pulak?”
“Kalau satu je tak boleh ke, mommy? Nanti untuk resepsi kedua tu, Iza pakai sahajalah mana-mana baju kurung moden yang cantik dalam almari Iza tu tak boleh ke, mommy?”
Dia seboleh mungkin tak mahu membazir. Sementelah baju pengantin untuk resepsi kedua telah ditetapkan iaitu baju kurung moden untuk Ijah dan baju Melayu untuk Thaqif, jadi Ijah rasa dia boleh sahaja pakai baju kurung moden yang berlambak di dalam almari bajunya itu. Semuanya masih lawa lagi kerana Ijah jenis yang pandai menjaga baju. Yalah baju mahal-mahal, takkanlah tak nak jaga elok-elok, kan?
“Sayang, mommy design khas untuk Iza. Iza boleh terima, kan?” Penuh perlahan suara mommy.
“Okey.” Sekali lagi dia kalah mati bila berdebat dengan mommy.
Sebaik sahaja letak telefon, tirai ditarik. Kelihatan Thaqif berdiri segak dengan tuxedo hitam. Jantung Ijah berdegup dengan sangat kencang.
Hari ini, sekali lagi dia jatuh cinta kepada lelaki itu. Hari ini juga, degupan di jantungnya berdegup irama yang sama seperti pertama kali dia jatuh cinta kepada lelaki itu.
“LUNCH?” Sepatah soalan daripada Thaqif untuk jadual mereka seterusnya.
Ijah tengok jam di dashboard. Pukul 12:05 tengah hari.
“Okey. I nak makan kat d’Cengkih.” Dia membuat keputusan, malas mahu ambil tahu lelaki di sebelahnya ini nak makan apa untuk tengah hari ini.
“D’Cengkih TTDI?” Thaqif bertanya untuk kepastian.
“Hurm.”
“Since we’re nearby, okey d’Cengkih.” Thaqif memutuskan. Lama juga dia tak makan di situ.
Sepanjang perjalanan ke d’Cengkih, suasana di dalam kereta itu hanya dipenuhi sepi. Ijah setia dengan telefon bimbit peribadinya, manakala Thaqif pula seluruh tumpuannya masih di atas jalan raya yang agak sesak sedikit. Mungkin ramai manusia yang keluar mahu mencari makanan tengah hari. Hari minggu kan, mestilah ramai yang malas nak memasak.
Sampai di d’Cengkih, Ijah masuk beriringan dengan Thaqif. Restoran tersebut sudah agak separuh penuh. Mujur masih ada meja yang kosong untuk mereka. Ijah melangkah ke arah sebuah meja kosong dengan diekori Thaqif. Ijah duduk, Thaqif turut melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan Ijah. Kunci keretanya diletakkan di atas meja. Ray-Ban Aviator ditanggalkan dan diletakkan bersebelahan kunci kereta.
“You ambil dululah makanan.” Thaqif menuturkan. Ijah yang masih memerhati seluruh ruang restoran itu memandang Thaqif. Tanpa banyak bicara, dia bangun untuk mengambil makanan.
Dia kembali ke meja dengan sebuah pinggan yang sarat dengan makanan. Terangkat kening Thaqif melihatkan pinggan makan Ijah.
“You bukan tak kuat makan ke?” Automatik soalan itu yang terkeluar dari mulutnya.
Dulu pertama kali Thaqif tahu Ijah selalu tak habis makan, kenalah satu dua pusingan bebelan daripada Thaqif. Yalah, sayang tau buang-buang makanan ni. Mungkin lebihan makanan itu tak ada apa-apa makna kepada kita, tetapi bagi mereka yang susah, lebihan makanan yang kadang-kadang sudah dicampak ke dalam tong sampah itulah rezeki buat mereka.
Belum sempat Ijah mahu membalas, Thaqif dah menyambung, “Kalau tak habis, you nak tapau ke? Nak makan nanti?” Selepas habis membebel barulah Thaqif tahu yang Ijah ni kalau tak habis makan, dia akan simpan makanannya itu untuk dimakan kemudian.
Ijah mencebik. “I lapar gilalah.”
Thaqif ni kalau nak down memory lane sekali pun, isu makanan merupakan isu yang lapuk, tahu tak? Ijah yang sekarang ini sangatlah kuat makan okey. Sebab itulah dia dah agak chubby dia rasa, tetapi kawan-kawannya kata dia tak adalah gemuk pun. Hurm dia kuat makan sejak zaman pupillage lagi. Setiap kali stres, dia akan makan. Kemudian hujung minggu main tenis macam orang gila. Mungkin itulah penyebab badannya naik, tetapi bukanlah naik mendadak.
“Boleh habis tak ni?”
“Hesy… bising pulak. Dah pergilah sana ambil makanan you. Lepas ni kita nak pergi beli barang-barang hantaran pulak. Apasal la pakej perancang perkahwinan tu tak ada sekali dengan pakej pembelian barang-barang hantaran? Kalau ada, tak payahlah susah-susah nak pergi beli hesy! Lepas tu, dah bagi hantaran tiga tahun lepas tu sudahlah. Tak adanya orang nak jadikan isu pun!” Dia masih lagi membebel dalam nada yang tidak puas hati dengan Thaqif yang setia memerhatikannya kemudian ketawa kecil.
“Apa gelak-gelak? Pergilah ambil makanan!” Sekali lagi dia menghalau Thaqif.
“I kenalah tunggu you habis membebel dulu baru boleh bangun. Kalau tak nanti you cakap I tak dengar you membebel pulak.”
“Cepatlah ambik makanan. I dah lapar tau tak?” Dia masih lagi menggesa Thaqif untuk bangun.
‘Aku ni jenis kalau nak makan kena makan bersama-sama.’
Sejak dulu lagi memang Ijah ada perangai begini. Thaqif pun dah faham, tetapi buat lagi perangai kerek-nak-kena-penampar-Jepun ni!
“Okey, okey I bangun.” Thaqif segera bangun dan berlalu ke arah meja yang menempatkan pinggan makan.
PROLOG • BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL EDELWEISS (PENULIS: AMANY)