Edelweiss – Bab 4

TOLONG beritahu sikit kenapa you tak nak pergi beli barang hantaran kat OU tapi gigih nak memandu ke sini?” OU atau One Utama tu punyalah dekat dari d’Cengkih tu haaa! Golek-golek (bak kata Dania) pun boleh sampai tahu? Ini sanggup pula si Thaqif ni memandu ke Pavilion semata nak beli barang-barang hantaran.

“You nak kita patah balik OU ke?”

Pffftttt Ijah meniup-niup hujung tudung bawalnya tanda geram. Ini dah letak starch pun boleh bengkok jugak ni dah kenapa???

“Kalau you nak patah balik, jomlah masuk balik kereta.”

Sekali lagi Ijah meniup-niup hujung tudungnya. Thaqif Azfar ni memang tak faham bahasa atau dia memang selalu gagal untuk membaca keadaan? Grrr bengangnya!

“Tak payahlah. Dah alang-alang kat sini, masuk je la.”

“Betul ni?” Thaqif bertanya mahukan kepastian.

“Iyeeeee.” Ijah malas mahu melayan, kakinya terus dibawa melangkah masuk ke dalam pusat membeli-belah itu.

Thaqif berlari-lari anak cuba menyaingi langkah Ijah yang agak laju. Mujur kakinya panjang jadi tidak susah untuk dia mengejar Ijah.

“You nak beli apa?” Thaqif menyoal dalam pada langkah Ijah semakin laju menuju ke eskalator.

Ijah berhenti tiba-tiba membuatkan Thaqif di sebelahnya juga berhenti mengejut. Ijah menoleh ke kanan ke arah Thaqif.

I have a few things in my mind. Kalau kita buat sistem barter nak tak?”

Kening Thaqif terangkat. “Sistem barter?”

“Haaa. I beli apa yang I nak, nanti I bagi pada you and vice versa.” Itu pendapat Ijah selepas menemani Dania membeli-belah untuk barang-barang hantaran kahwin Dania.

Mula-mula memang Dania pergi dengan Ahnaf tetapi kata Dania kalau baru pilih satu barang pun dah bertekak gaya tak ingat dunia, akhirnya Ahnaf beri cadangan supaya mereka membeli barang-barang hantaran mereka sendiri dan kemudian mereka akan tukar. Haa, cara tu kan lebih senang!

“Tapi I tak tahu nak beli apa?”

“You belilah apa-apa sahaja yang you rasa you nak. Duit you kan.”

Lama Thaqif berdiam diri.

Ijah menggoyangkan tangannya di depan muka Thaqif.

Hello mister, you still here?”

Tetapi lelaki itu masih lagi senyap.

Ijah tolak sedikit lengan Thaqif dengan slingbag comel yang dia pakai. Thaqif tersedar dan terus memandangnya.

“You fikir apa sampai I panggil pun you tak dengar?”

“I tengah fikir apa yang I nak beli.”

“Oh, baguslah. I naik dululah kalau macam tu. Nanti kalau you dah siap beli, telefon je la eh.” Laju kaki Ijah melangkah menuju ke eskalator.

“Ijah, wait!”

Terhenti langkah Ijah mendengarkan suara Thaqif yang agak kuat itu. Perkara pertama yang dia buat ialah menggosok dadanya dek terkejut kemudian matanya meliar ke kiri dan ke kanan melihat takut-takut ada orang lain di sekitar situ yang terkejut sama macam dia.

Tak ada. Pheww. Tetapi ada dua tiga kepala menoleh ke arah dia dan Thaqif. Woiii malu gila!

Ijah pukul Thaqif dengan slingbag menggunakan kedua tangannya. Eskalator bergerak ke tingkat atas.

“You apasal jerit macam tu? Sikit lagi jantung I nak gugur tahu?”

Tangannya yang masih memukul Thaqif dengan slingbag terhenti apabila dia terasa tangan Thaqif di atas tangannya. Errr….

“I ikut you.”

Dia masih lagi terpaku dengan apa yang terjadi. Matanya berkelip beberapa kali mahu memastikan ini bukanlah mimpi. Dia tersedar apabila terasa tangannya ditarik oleh Thaqif.

“Marah sangat sampai tak reti nak melangkah dari eskalator tu ke?”

Dia angkat muka memandang Thaqif yang dah berdiri tegak di depannya. Pandangannya kemudian jatuh pula pada tangannya yang masih di dalam pegangan tangan Thaqif.

Ijah telan liur. “Thaqif, your hand.”

Cepat sahaja Thaqif melepaskan pegangan tangannya.

“Oh, sorry.”

“I pergi dulu.” Ijah berjalan laju meninggalkan Thaqif. Tangan kanannya mengetuk-ngetuk dahinya tanda malu dengan apa yang terjadi tadi.

‘Aaaa bodohnya, Ijah! Benda macam tu pun boleh buat kau tersenyap tiba-tiba apahal? Bodohlah kau ni Ijah!’ Mindanya mula memarahinya.

“Ijah, you nak pergi mana?”

“Solat!” Sepatah dia membalas dalam pada derap kakinya semakin dilajukan. Padahal dia tengah bercuti sebenarnya. Dia jawab begitu sebab dia masih malu lagi tahu tak? Surau sahajalah pun tempat yang Thaqif tak boleh mengekornya.

Dia terasa lengannya ditarik seseorang. Langkah Ijah terus mati. Hanya ada seorang manusia sahaja yang sekarang ni hobinya ialah menarik-narik lengan Ijah ataupun tiba-tiba pegang tangan Ijah.

Ijah berpaling ke kanan. Mukanya didongakkan mahu melihat muka lelaki tinggi lampai ini.

“Apa?” Dia bertanya dengan nada tak puas hati.

“Lepas solat nanti you nak pergi mana?”

“Fossil.” Itu yang terkeluar daripada mulutnya tanpa sempat dia berfikir. Tetapi dia memang nak pergi premis Fossil pun sebenarnya. Dia nak tengok dompet baharu di Fossil dan kalau cantik dia nak letak sebagai barang hantaran.

“Okey.” Pegangan di tangan Ijah dilepaskan dan lelaki itu segera berlalu.

            What the….?

 

 

YOU nak ke? Ambillah.”

Dia berpaling pada manusia yang bersuara tiba-tiba di belakangnya. Sekali lagi tangannya mengurut-urut dada tanda dia terkejut. Abang jurujual kacak yang mengekori Ijah sedari tadi hanya tersenyum kecil.

“You memang nak bunuh I ke?” Kot iya pun tak mahu teruskan dengan resepsi nanti, tak perlulah sampai berbunuh begini, Thaqif Azfar. Hati Ijah berkata-kata. Tengok gaya you pun I dah boleh tahu you tak mahu adakan resepsi tu sebenarnya, Thaqif. Sebab I pun macam you juga. Hatinya menyambung.

Thaqif dah ketawa. “Apahal pulak I nak bunuh you?”

“Yalah, entah dari mana-mana tanpa salam tanpa apa, terus tegur I macam tu. Sikittttt je, sikitttt je lagi jantung I nak tergolek keluar sebab terkejut, tahu?” Ijah mula nak membebel sambil tangannya membelek dompet baharu di ruangan New Arrival itu.

Thaqif masih lagi dengan sisa tawanya. “I dari surau la. Tadi kan you kata nak solat dulu kemudian kita jumpa di Fossil?”

“Ohh, ada eh?” Serius dia tak ingat.

“Ada.” Tapi Thaqif jawab juga soalan bodohnya itu.

“You dah tahu ke nak beli apa?” Ijah cuba mengubah topik perbualan mereka.

So far baru satu.” Dan nampaknya Thaqif menerima baik perubahan topik tersebut.

Kening Ijah ternaik sedikit. “Okey. Fikirlah lagi.” Dan terus membelek dompet-dompet lain.

Dia sebenarnya dah berkenan dengan dompet tadi tetapi dia sengaja mahu melengahkan masa untuk ‘menghalau’ Thaqif agar pergi dari kedai Fossil ini. Manalah tahu sebab Ijah lama sangat di sini, jadi Thaqif pun naik bosan lalu blah? Kan? Kan?

Tetapi nampaknya tekaan Ijah meleset sama sekali. Sudah 30 minit Thaqif di sini (mengikut tahap kesedaran Ijah akan kehadiran Thaqif) tetapi lelaki itu masih tak ada tanda-tanda mahu berlalu. Aik? Tahan pulak dia ek berlama-lama kat sini?

Dan sekarang ni Ijah dah berkenan dengan dompet lagi satu pula. Aduh macam mana ni?? Takkan nak beli dua-dua pula? Kopaklah kalau macam ni! Sudahlah dia baru sahaja membelanjakan duit gajinya dengan membeli baju baharu, kemudian dia hantar keretanya untuk major servis, bayar bil elektrik dan air di kondo Dania, belanja dapur lagi, itu belum termasuk belanja untuk resepsi perkahwinannya. Dia tak mahu mommy dan daddy menaja majlis itu sepenuhnya. Biarlah dia menyumbang juga walaupun sedikit.

“Apa yang you menungkan?”

“Haa?” Dia menoleh ke arah Thaqif yang berdiri tegak di depannya.

“Apa yang you menungkan?” Thaqif mengulang soalan yang sama.

Ijah angkat kedua tangannya menunjukkan dua buah dompet yang dia berkenan sangat tu.

I still cannot decide which one.” Huwarghhh bencinya perasaan macam ni!

“Ambil je la dua-dua.” Thaqif memberikan jalan penyelesaian mudah.

“You ni tak membantu langsunglah.”

“Yalah, daripada you contemplating macam tu. Lebih baik you ambil je dua-dua, nanti kalau pilih salah satu, dah termimpi-mimpi pulak dompet yang you tak beli ni.”

Which one?” Dia masih lagi mengangkat kedua tangannya.

This.” Thaqif menuding jari ke arah dompet di tangan kiri Ijah.

Okay, I’ll take this one.” Ijah letak dompet di tangan kirinya kembali ke tempatnya dan berlalu ke kaunter dengan dompet di tangan kanan.

Semasa dia baru hendak mengeluarkan kad debitnya, gerakan tangannya terhenti. Dia jadi teringat kepada dompet yang tidak dipilihnya tadi. Dia pejam mata dan meniup ‘awning’ tudungnya. Nak beli ke, Ijah?

“Sekejap eh.” Dia berkata begitu kepada abang jurujual kacak yang sudah sedia membungkus dompetnya ke dalam beg kain Fossil.

Kakinya dibawa ke rak New Arrival. Lama dia memandang dompet yang tidak dipilihnya itu. Kalau ada orang yang sedang memerhati dia, pasti orang tu akan ingat dia sedang berlawan mata dengan dompet yang tidak bermata itu.

Ah, dia bukannya sedang bermain mata dengan dompet tersebut, tetapi dia sedang mengadakan sesi temu-bual bersama dompet tersebut di dalam mindanya. Tajuk temu-bual: Kenapa Ijah harus beli kau padahal Ijah tengah betul-betul kopak sekarang ni?

Thaqif yang melihat Ijah hanya menggeleng kepala. Dia tarik dompetnya keluar dari poket seluar jeans. Kad debit dia bawa keluar dan dihulurkan kepada jurujual yang masih menanti keputusan Ijah.

“Debit card. Dan bayar dua-dua sekalilah.” Itu yang dia tuturkan apabila melihat muka pelik jurujual itu sebaik sahaja dia menghulurkan kad debitnya.

 

 

HOW MUCH eh?” Ijah bertanya elok mereka keluar dari premis Fossil. Kini mereka masih lagi berdiri di tengah-tengah laluan, tanpa hala tuju mahu ke mana.

Thaqif jongket bahu. “Entah I pun dah lupa.”

Dia sebenarnya tak mahu Ijah tahu harga kedua-dua dompet itu. Dia mahu hadiahkan kedua-duanya kepada Ijah. Hadiah sebab Ijah tetap hormatkan keluarganya selama tiga tahun dia ‘pergi’, selain dia merasa bersalah meninggalkan Ijah terkontang-kanting menguruskan hidupnya yang juga berubah 360 darjah seperti hidup Thaqif, Ijah yang tak pernah merungut, serta Ijah yang masih setia.

Bukankah dia pernah beritahu yang dia tak mampu untuk membenci Ijah? Jika diingatkan kembali, banyak budi Ijah kepadanya walaupun hanya sekadar pendengar setia.

Jadi dompet-dompet itu lebih kurang sebagai tanda dia membalas budi Ijah la kiranya. Boleh kan begitu?

“Laaaa you baru je masukkan pin number you tadi, takkan boleh lupa kut? Meh sini resit.” Ijah menghulur tangannya meminta resit pembelian.

“I tak simpan resit.”

Dahi Ijah berkerut. “Kenapa you tiba-tiba belikan I dompet-dompet ni? Beli dua siap?” Diulang ya, bukan dompet tetapi dompet-dompet. Hello, satu dompet pun dah beratus, kalau dua, mahu mencecah RM1,000!

“Ijah, you contemplated a lot, okay. I’m just helping you in making decision.”

That is not helping, Thaqif.” Dingin sahaja suara Ijah membalas tandanya Ijah sudah bengang dengan Thaqif.

Thaqif hanya ketawa. “You tak payah bayar balik tapi I nak you belikan I sesuatu. Kata sistem barter, kan?”

“Apa dia?” Walaupun Ijah sangat yakin pemahaman Ijah dan Thaqif terhadap sistem barter yang Ijah terangkan tadi sangatlah berbeza!

Thaqif senyum sambil jongket-jongket kening.

“Haaa jom ikut I.” Thaqif melangkah menuruni eskalator untuk ke tingkat 3. Ijah pula yang tak tahu apa-apa hanya membuntuti lelaki itu.

Ijah berdiri terpaku di hadapan pintu masuk premis itu. Matanya terbuntang tanda dia tak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya.

            Am I seeing things? No, I’m not seeing things, right? Tulisan itu dibacanya sekali lagi. Nafasnya seakan mahu putus.

 

            IWC SCHAFFHAUSEN

 

WEIIII JAM TANGAN KAT SINI MAHAL GILA OKEYYYYYY!

 

Kecil-besar-kecil-besar dia pandang belakang Thaqif yang sudah masuk ke dalam premis itu dan kini sedang melihat satu demi satu jam tangan yang ada di situ.

Dia mahu berlalu dari situ tetapi pandangan Thaqif yang entah bila sudah berada tepat di mukanya membuatkan langkahnya mati.

Dia melangkah masuk juga ke dalam premis jam tangan itu sambil dalam hati berdoa semoga Thaqif memilih jam tangan yang paling murah walaupun dia tahu, murah di dalam konteks jam tangan di sini mampu mengorbankan entah berapa puluh tahun gaji Ijah.

Ijah dah nampak duitnya berterbangan meninggalkannya. Huwaaaa, bakal habislah simpanan dia yang tak berapa nak banyak tu!

Dia hanya berdiri senyap di sebelah Thaqif yang masih lagi teruja melihat jam-jam tangan di situ. Matanya melihat harga-harga yang tertera. Liur segera ditelan. Mangai harga satu jam tangan boleh buat beli sebuah kereta! Gila ke hape??

Ijah nampak kini Thaqif sedang membelek salah satu jam yang paling mahal di situ. Ijah sempat juga dengar jurujual tu kata, “Limited edition of 500 watches in Platinum.”

Dah kalau limited edition, kau ingat harga seribu dua ribu ke? Ijah berani kerat jari harga jam tangan edisi terhad platinum yang hanya ada 500 unit sahaja itu mencecah RM100,000!

Mengingatkan itu, sungguh Ijah mahu pulang aje sekarang ni. Dia sudah tak ada mood mahu membeli-belah lagi.

            Daddy pernah beli jam tangan di sini dan harga jam tangan itu kurang sikit je dari RM100,000 okey! Dan itu bukan yang limited edition.

Sungguh Ijah masih lagi tak boleh hadam kenapa orang nak beli jam tangan yang mahal gila kemudian pakai kat pergelangan tangan?

Yalah Ijah, dah tu takkan nak pakai kat kepala pula? Mindanya membalas.

Hesy. Bukan itu maksud Ijah. Apa yang Ijah mahu sampaikan di sini, bukankah itu lebih membuka ruang kepada peragut?

I want this.”

“Haaaa?” Dia rasa telinganya masih lagi berfungsi dengan baik.

I want this, Ijah.”

How much?” Ijah bertanya tetapi jantungnya dah berdebar tak tentu fasal. Takut ni nak tahu harga jam tangan tu. Mesti mahal gila!

“RM157,445.” Tulus si jurujual itu menjawab.

Come again?” Mohon dia hanya berhalusinasi sebentar tadi.

“RM157,445.” Sekali lagi jurujual tersebut menyebut harga jam tangan itu.

Buntang mata Ijah. APA DIA?? SERATUS LIMA PULUH TUJUH RIBU EMPAT RATUS EMPAT PULUH LIMA RINGGIT?? WEIIII MANA AKU NAK CARI DUIT BANYAK TU???


PROLOG BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4  BAB 5


BELI NOVEL EDELWEISS (PENULIS: AMANY)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *