Hati tak suka banyak curiganya
PUKUL 6:00 petang. Restoran Puan Nik baru saja ditutup. Keluar dari restoran, Hanin menuju ke basikal yang diletakkan di belakang restoran. Dirantai pada sebatang tiang. Sebuah basikal buruk yang dibeli dengan seorang jiran sekampung yang duitnya bergepuk-gepuk sehingga basikal yang dimiliki orang itu saja ada empat lima buah. Macam-macam jenis dan cantik-cantik belaka. Jauh beza kalau dibandingkan dengan basikal yang dibeli Hanin, basikal paling buruk dan murah.
Basikal buruk Hanin kalau dilihat pencuri pasti akan digelakkan pencuri. Tak teringin langsung nak curi. Setakat basikal yang boleh dijual di kedai besi buruk, berapa sen sangatlah yang dapat. Tak berbaloi langsung untuk dicuri. Meskipun begitu Hanin tetap bersiap siaga. Buruk-buruk pun basikal itu yang banyak berjasa. Tiada pilihan dan sentiasa waspada, basikal buruk itu jika tidak digunakan pasti akan dikunci. Manalah tahu kalau-kalau ada sejenis pencuri bodoh yang tiba-tiba berkenan dengan basikal buruk Hanin.
Sampai di tepi basikal dahi Hanin terus berkerut memandang sebuah beg kertas di dalam raga basikalnya.
“Beg apa pula ni?”
Dia tak pernah cuai tinggalkan barangnya di dalam raga basikal. Setiap kali selepas basikalnya dirantai, dia akan memeriksa kalau-kalau dia tertinggal barang di dalam raga. Dia ingat betul raga itu kosong semenjak pagi. Malaun mana pula yang tinggalkan barang di sini?
“Mak punya ke ni?” tanya Hanin kepada Salmah yang baru sampai di situ.
“Amende tu?”
“Manalah Hanin tahu. Mak punya ke?”
Beg kertas itu bertukar tangan. Salmah melihat isi di dalam beg kertas.
“Coklat.” Dikeluarkan coklat Cadbury bersaiz besar yang bertampal sebuah nota.
“Hanin punya.” Beritahu Salmah setelah membaca nota tersebut.
“Hanin tak ada beli coklat pun.”
“Memanglah Hanin tak beli. Ada orang bagi Hanin coklat ni.”
“Siapa?”
“Siapa lagi?”
“Hesy, mak ni! Manalah Hanin tahu. Sebut ajelah nama orang tu!”
Hanin tak peduli pada coklat itu. Entah siapa yang gila berikan dia coklat. Ingat dia budak-budak ke suka makan coklat? Tak tahu ke orang itu makan coklat terlalu banyak boleh merosakkan gigi.
“Ambillah. Kan Hanin punya ni.”
“Tak naklah. Kalau mak nak mak aje yang makan. Entah-entah dia dah santaukan coklat tu. Letak ubat guna-guna ke! Tak kuasa Hanin nak menyerah pada jantan tak guna.”
Hanin mendengus. Basikal disorong setelah rantai dibuka.
“Mana Hanin tahu jantan tak guna yang hantar?”
Salmah turut menyorong basikalnya sehingga ke tepi jalan besar.
Hanya kenderaan roda dua itu yang mampu mereka beli. Itu pun basikal jenis lama yang mempunyai sebuah raga di hadapannya. Nak beli motosikal mereka tak mampu. Hidup pun cukup-cukup makan. Apatah lagi sejak akhir-akhir ini Salmah sering saja tak sihat. Mungkin kerana pertambahan usia menyebabkan badan Salmah tidak sekuat dulu.
“Hanin tengok sengih mak tu pun Hanin dah tahu. Mesti mamat burger tiga suku tu yang bagi.”
Memang sewaktu itu Salmah sedang tersengih. Dia tengah bayangkan muka Huzir yang berkulit sawo matang. Muka Melayu yang segak dan tak kontrol macho. Kalau dapat buat menantu bagus juga. Itu pun jika Hanin sudi. Ada anak perempuan seorang susah bukan main nak dipujuk hatinya. Kasihan dia dengan Huzir yang sering makan hati dengan tingkah Hanin.
Hanin menjeling Salmah. Tidak suka melihat Salmah yang gembira. Dapat coklat macam dapat jongkong emas. Tahulah pembalut bahagian dalam berwarna emas, tak payahlah nak gembira sangat muka tu! Tak sama kut nilai coklat dengan emas.
“Tak baik cakap Huzir macam tu.”
“Tak baik apanya? Dah memang dia tu tak faham bahasa.”
“Dia suka Hanin.”
“Hanin tak suka dia.”
“Dia baik.”
“Baik ada makna,” gumam Hanin perlahan, tak dapat didengar Salmah.
“Kalau dah mak rasa dia baik sangat, mak ajelah yang suka dia. Pantang orang ampu sikit terus kata baik. Coklat aje pun! Coklat tu mak aje yang makan. Kalau betul dia calit minyak pengasih biar mak aje yang tergila-gilakan dia. Padan muka dia biar dapat orang tua macam mak. Gatal sangat nak bagi macam-macam. Dia ingat Hanin hadap dengan barang-barang dia bagi tu? Kirim salam maut!”
Salmah tergeleng-geleng. Mulut anak dara dia seorang ni kalau bercakap bukan main lagi lepas. Depan-depan dikutuk Salmah. Mujurlah Salmah sudah cukup faham perangai Hanin. Hanin cakap banyak setakat dengan dia. Kalau dengan orang lain gadis itu mukanya masam. Sebab itu Hanin jarang-jarang jadi pelayan. Tugas Hanin lebih banyak di dapur. Cuci pinggan mangkuk!
“Jangan menyesal pula bila coklat ni dah habis.”
“Sudahlah, mak. Coklat tu selagi kilang yang buat tak bankrap bila-bila pun Hanin boleh makan. Lainlah kalau lepas makan coklat tiba-tiba Hanin terus jadi kaya. Ada juga faedah.”
Hanin menjuih. Tak terliur dia dengan coklat yang di mana-mana pun ada dijual. Nak beli jiwa dia dengan coklat? Maaf cakap, dia tak layan! Jiwa dia tak semurah harga sebungkus coklat.
“Hanin nak balik dah ni. Mak tak nak balik ke? Dari tadi asyik tersengih-sengih aje. Macam dia pula yang dapat barang.”
Hanin labuhkan punggung di tempat duduk basikal.
“Mestilah mak gembira. Bakal menantu bagi coklat.”
Lebar senyuman Salmah tambah menyakitkan hati Hanin.
“Mak nak kahwinkan Faliq dengan Huzir ke?”
“Eh, apa pula dengan Faliq? Dengan Haninlah!”
“Ya ALLAH mak aku ni! Angan-angannya tinggi bukan main! Siapa entah yang nakkan mamat tiga suku tu. Susah-susah sangat mak aje yang kahwin dengan Huzir. Mak pun tak ada laki kan?”
Mata Salmah terjegil. Geram dia nak tarik-tarik mulut Hanin. Kalau didengar dek orang lain apa yang dikata Hanin, mahu diumpatnya Salmah perempuan tua gatal. Dah tua bangka, ada hati nakkan si Huzir yang muda dan tampan.
“Dah tu mak tak nak balik ke? Nak tidur sini?”
“Nak baliklah ni.”
“Hanin jalan dululah. Mak terus balik rumah. Hanin nak pergi ambil Faliq dulu.”
“Hah, yalah.”
Tanpa pedulikan Salmah lagi, Hanin terus mengayuh basikal untuk mengambil Faliq di sekolah.
Mata Salmah mengekor pemergian Hanin. Setelah Hanin tak nampak di pandangan barulah dia mengayuh basikalnya perlahan-lahan.
——————————————————————
“FALIQ nakal tak kat sekolah hari ni?”
Hanin senyum. Dituju hanya untuk Faliq. Tangannya mengelus kepala Faliq.
“Alhamdulillah. Faliq baik sangat hari ni. Tak nakal langsung.” Seorang guru perempuan yang masih muda menjawab bagi pihak Faliq.
Walaupun tahu Hanin tak berniat mengajaknya berbual, dia tetap tersenyum kepada Hanin. Sudah diketahui Hanin memang kurang bercakap. Sewaktu sesi pendaftaran pun tak banyak yang ditanyakan Hanin. Hanin berikan apa yang dimahukan pihak sekolah tanpa banyak soal.
“Esok datang sekolah lagi ya, Faliq.”
Faliq tidak menjawab. Kanak-kanak istimewa itu menggenggam erat tangan Hanin.
“Terima kasih, cikgu.”
Seperti biasa wajah Hanin serius.
Guru pendidikan khas yang bernama Najwa itu mengangguk.
“Sama-sama. Cik Hanin jangan risau. Setakat ini prestasi Faliq sangat memberangsangkan. Alhamdulillah, Faliq tak pernah bawa masalah kepada kami. Walaupun dia diam saja tapi dia tak tantrum macam sesetengah pelajar yang sekelas dengan dia. Dia juga tak ganggu pelajar lain.”
Diberitahu kepada Hanin keadaan Faliq sehari-hari di dalam kelas. Laporan sama setiap hari sejak Faliq bersekolah di situ. Faliq budak baik. Tak pernah beri guru-guru atau kawan-kawan sekolah sebarang masalah. Dia dengan dunianya yang tersendiri. Disuruh mewarna dia akan mewarna. Disuruh menulis dia akan menulis. Begitulah Faliq setiap hari. Sunyi tanpa suara, namun tetap dengan aktivitinya sendiri tanpa mengganggu orang lain.
“Baiklah. Terima kasih sekali lagi.”
Hanin kekok. Nak senyum terasa payah. Dengan muka ketat dia tundukkan sedikit badannya. Dia dah cuba senyum tapi tak boleh. Mahal sangat harga senyuman Hanin sehingga tak boleh disedekahkan kepada orang lain.
Entahlah. Susah sungguh dia nak berkomunikasi dengan orang sekelilingnya. Bukan kerana dia takut, lebih kepada dia tak percayakan orang asing. Kalau boleh dia mahu di dunia ini hanya ada dia, Faliq dan Salmah. Namun mustahil hal seperti itu akan berlaku.
Mungkin dia kena tunggu dunia ini kiamat dahulu. Perjalanannya berakhir di syurga. Mungkin, jika memang pengakhirannya di situ. Ketika itu barulah segala impiannya akan tercapai. Hidup bertiga, hanya ditemani Salmah dan Faliq.
“Jom kita balik, Faliq.”
Hanin pimpin tangan Faliq bawa ke basikal yang tersandar di tepi sebatang pohon yang agak rendang.
Bagi sesetengah orang mungkin mereka malu menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama. Apatah lagi jika mereka masih muda seperti Hanin. Namun lain halnya dengan Hanin. Dia tak peduli asalkan hal itu dapat memberikan penjimatan kepada perbelanjaan keluarganya. Naik basikal aje pun, buat apa nak malu? Bukannya Hanin naik basikal tak pakai baju. Kalau begitu barulah Hanin kena malu.
Diangkut basikal itu ke mana sahaja dia pergi. Melainkan mahu ke bandar baru Hanin gunakan perkhidmatan bas. Sekadar ke tempat kerja atau kawasan sekitar kampung, Hanin akan mengayuh basikal saja.
Tiada apa yang hendak dimalukan. Hanin akan lebih malu jika dia berlagak kaya tapi sebenarnya satu sen duit pun tak ada di dalam poket. Nak makan kena meminta-minta. Nak hidup pun kena mengemis.
Dia tak pernah lupa kenangan pahit sewaktu dia terpaksa mengemis. Sungguh dia malu lantaran terpaksa melakukan hal itu. Tetapi kenangan mengemis itu telah menjadi salah satu pengalaman hidup yang tak mungkin Hanin lupakan. Dengan adanya pengalaman itu Hanin rasa dia semakin dewasa. Dia semakin berhati-hati dalam mempercayai orang sekeliling. Dan disebabkan pengalaman itu jugalah membentuk Hanin seperti sekarang. Tangguh dalam menghadapi setiap dugaan yang menjadi racun dalam kehidupannya.
Faliq didudukkan di tempat duduk belakang. Setelah dia turut duduk, tangan Faliq ditarik lalu diletakkan di pinggangnya.
“Pegang kuat-kuat tahu. Nanti Faliq jatuh. Hanin tak boleh sambut.”
Tidak ada jawapan daripada Faliq. Tetapi Hanin tahu Faliq faham. Pegangan Faliq di pinggangnya erat. Itu tanda Faliq mengerti arahan Hanin.
BAB 1 • BAB 2 • BAB 3 • BAB 4 • BAB 5
BELI NOVEL HANIN LUFYA (PENULIS: AK RAFFHAN)