0

Hanin Lufya – Bab 2

Hati-hati serahkan hati, tersalah serah hatimu berkecai 

MAK tak payahlah pergi kerja esok. Biar Hanin aje kerja. Mak tu bukan sihat sangat.”

“Mak kuat lagi, Hanin.”

“Mak jangan cakap macam orang tak sedar diri. Jangan nak perasan mak masih muda. Mak tu dah tua. Kalau pengsan dekat tempat kerja siapa susah? Kita ni bukan ada duit sangat. Kalau dapat sakit kronik nanti kita juga yang susah. Mak takkan tak tahu bil perubatan sekarang mahal mengalahkan harga beli kain kapan!”

Salmah terjegil. Hanin kalau dah buat perumpamaan yang pelik-pelik saja disebut. Tak pernah nak cakap elok-elok. Kain kafan tu untuk orang mati, dia kan hidup lagi!

“Mak takut Hanin tak mampu kerja sorang-sorang.” 

Memang itulah yang sesungguhnya. Dia tidak mahu menjejaskan kehidupan remaja Hanin. Siang malam bekerja bertungkus lumus demi sesuap nasi. Ketika ini Hanin masih muda, masih mampu bekerja dua tiga kerja sekali gus. Kelak apabila Hanin sudah tua, apa akan jadi pada tubuh Hanin? Dia tidak mahu Hanin jadi sepertinya. Kerja bagai nak mati demi keluarga, langsung tak punya masa untuk diri sendiri. Bila sudah tua badan sendiri yang terpaksa menanggung. Sakit kat sana, sakit kat sini, seperti yang ditanggungnya sekarang.

“Mak tak usah risaukan Hanin. Kalau bukan Hanin yang jaga mak dengan Faliq, siapa lagi? Takkan nak harapkan jiran sebelah rumah pula?”

Ada ke jiran di sebelah rumah mereka?

“Mak ni dah tua, Hanin.”

“Sedar diri pun mak dah tua. Yang nak berlagak badan mak masih muda tu dah kenapa? Sebab mak dah tualah Hanin suruh mak berhenti kerja. Hanin nak mak rehat kat rumah. Pasal duit mak tak perlu risau. Serahkan semuanya pada Hanin. Tahulah Hanin apa nak buat nanti.”

“Mak kasihankan Hanin…”

“Ya ALLAH, mak!” Hanin tiba-tiba bertempik. Tangannya menepuk lantai. Bergegar lantai papan rumah sewa mereka.

Terkejut Salmah dibuat Hanin. Mujur tak gugur jantung. Melihatkan mata Hanin yang mencerlung tajam, setajam bilah pisau pemotong daging di kedai makan Puan Nik, tahu sangat dia yang Hanin dah naik minyak. Kalau dia membangkang lagi alamat memang tunjuk berontaklah anak daranya itu. Silap-silap periuk belanga pun boleh terbang bila Hanin dah marah.

Salmah menggosok belakang Hanin. Cuba ditenangkan Hanin yang diserang amarah akibat kedegilannya. Hanin mengelak daripada terus disentuh Salmah. Dah buat Hanin marah, tahu pula nak memujuk. Dia ingat Hanin senang dipujuk ke? Tambah geram lagi adalah!

“Tak payahlah marah-marah. Malu orang tengok. Hanin tu anak dara.”

Hanin mendengus keras. Buat apa nak malu? Ramai orang suka mengumpat di sana-sini, bisik dari satu telinga ke satu telinga tetapi mereka tak malu pula? Dia yang cuba memberitahu kebenaran disuruh malu. Lagi pula di sini hanya ada mereka berdua. Dengan siapa mereka nak malu?

“Hanin nak kerja apa, nak?” 

“Kerja lah apa pun.”

“Hanin jangan buat kerja tak elok pula.”

Hanin pejam mata. Dia nak mula menjerkah lagi. 

Ditarik nafas lalu dihembus perlahan. Dilakukan secara berulang-ulang. Disabarkan hati. Sudah lupakah Salmah kesabaran Hanin boleh diibaratkan senipis kulit bawang? Tak boleh ke Salmah jangan mencabar kesabaran Hanin? Hanin kalau dah marah, status seorang ibu dan anak pun dia boleh terlupa.

“Mak ingat Hanin ni bodoh sangat ke? Tak ada otak? Semua kerja pun sanggup sapu sebab duit? Islam Hanin hanya pada nama aje? Tudung kat kepala ni Hanin pakai sebab fesyen?”

Perlahan saja suaranya. Kalau ikut perasaan memang nadanya akan dipenuhi amarah. Nasihat Salmah walaupun betul, tetapi dia tetap tak suka. Dia tahu jaga diri. Dia takkan buat kerja tak elok. Kalau dia nak jadi pelacur misalannya, tak perlu dia tunggu umur dia dah 24 tahun baru nak buat kerja terkutuk tu. Sewaktu dia lari dari rumah, mengemis dan duduk di bawah jambatan, dia dah buat kerja itu. Tak perlu dia berpenat bekerja di kedai makan seperti sekarang.

“Mak nasihat aje, Hanin. Mak tak pernah fikir Hanin akan buat macam tu. Hanin anak mak. Dah jadi tanggungjawab mak untuk sentiasa ingatkan Hanin. Salah ke bila mak cuba jalankan tanggungjawab mak?”

Hanin getap gigi. Memanglah tidak salah. Tetapi nasihat Salmah menyakitkan hati Hanin. Seolah-olah dia tidak tahu membezakan mana yang baik dan buruk. Tangkap muat saja rezeki yang terbentang di hadapan mata, tak fikir halal dan haram lagi. Dah bertahun Hanin jadi anak Salmah, takkan Salmah masih tidak mengerti perangai Hanin?

“Mak lapar.”

Huh, dan-dan lapar! Nak selamatkan dirilah tu!

“Dah tu?” 

“Belikan mak burger.”

Hai, orang tua ini! Minta burger pula.

“Mak tak nak burger tempat lain. Belikan dekat tempat Huzir. Spesial. Banjir.”

Hanin nak protes. Salmah sengih-sengih. 

“Kata tak nak mak kerja dah. Kalau Hanin sayang mak, tolonglah belikan mak burger. Mak janji esok mak duduk rumah diam-diam. Mak akan jadi mak solehah.” 

“Eleh, macam betul aje!”

“Kali ni mak janji. Bulan ini bulan terakhir mak kerja dengan Puan Nik. Hanin tak percayakan mak ke? Pernah ke mak tipu Hanin?”

Hanin mencebik. 

“Tapi mak nak burger!”

Nak juga tu! Hesy! 

Nasib baik malam masih muda. Gerai burger Huzir pun tak jauh sangat dari rumahnya. Hanin masuk ke dalam bilik kemudian keluar dengan tudung di kepala. 

“Nak pergi mana?” 

“Tadi kata nak burger!” 

Kus semangat Salmah. Hanin menjerit lagi. Kut ya pun beritahulah elok-elok. Jerit-jerit buat apa? Mahunya Salmah meninggal awal lantaran terlalu kerap dijerkah Hanin. Tak sayang mak ke, Hanin oi!

“Untuk Faliq tak payah beli. Faliq dah tidur.”

Macam Hanin tak tahu. Dia yang tidurkan Faliq tadi. 

“Hati-hati bawak basikal.”

“Hurm…”

Hanin, Hanin. Salmah tergeleng-geleng. Bab membebel nombor satu. Cuba kalau orang lain ajak bersembang, sampai ke sudah dia tak jawab. Buat tak tahu saja. Entah sampai bila Hanin akan bersikap tertutup begitu. 

Keluhan dalam dilepaskan. Merenung kelibat anak gadisnya yang semakin samar terlihat di pandangan mata. Kalaulah Hanin mahu membuka pintu hatinya sedikit saja, Salmah yakin hidup Hanin pasti akan lebih bahagia.

——————————————————————

GERAI burger Huzir penuh dengan orang yang sedang menunggu sewaktu Hanin sampai di situ. Beberapa orang perempuan dilihat tergedik-gedik sesama mereka sambil menjeling-jeling Huzir dengan dua orang kawannya yang turut membantu di gerai itu. 

“Gatal,” gumam Hanin halus. 

Hanin tidak terus ke gerai Huzir, dia duduk menunggu di basikalnya. Orang ramai, penuh keliling gerai. Malas dia nak pergi ke situ. Asap dari gerai berhampiran yang membakar sate semakin membuatkan Hanin tidak mahu menunggu berdekatan gerai. Agak-agak orang sudah berkurangan nanti baru dia akan ke situ untuk belikan burger seperti yang dipesan Salmah. 

Mak dia pun mengada-ada. Nak makan burger di gerai Huzir saja. Macam dah tak ada gerai burger lain. Punya banyak gerai burger yang terdapat di sekitar kampung dan pekan. Sengaja Salmah nak susahkan Hanin malam-malam macam ni. Nak makan burger banjir lah, spesial lah! Waktu macam ni baru nak makan burger. Awal-awal tadi tak teringin pula. Ingat mereka banyak duit sangat ke? Hanin merungut-rungut di dalam hati. 

Lama lagi ke dia orang ni? Semakin ditunggu semakin ramai pelanggan yang datang. Alamatnya kalau Hanin tetap menunggu macam tunggul kayu, kena balik dengan tangan kosonglah jawabnya. Bising pula Salmah nanti. Jangan-jangan diugut Hanin tidak mahu berhenti kerja. Nak pujuk suruh berhenti kerja bukan main susah. Dah berbulan Hanin usaha, siap dah beritahu Puan Nik, majikan mereka supaya berhentikan saja Salmah yang degil. 

“Mana boleh mek berhentikan mak Hanin tanpa sebab.” 

“Mak tu dah tua.” 

“Pekerja mek yang lain ada yang lagi tua daripada Salmah.” 

“Mak selalu tak sihat.” 

“Tapi mak Hanin tak pernah mintak MC. Buat masalah kat tempat kerja pun tak pernah. Semenjak Salmah kerja dengan mek, sebiji pinggan mek pun tak pecah lagi.”

Nak tunggu pinggan pecah baru nak berhentikan ke? Sakit pula hati Hanin dengan Puan Nik. Puan Nik tidak mahu memberikan kerjasama. Salmah dipuji-puji yang mana terpaksa Hanin akui Salmah memang cekap membuat kerja. 

“Kalau Hanin tak nak Salmah kerja lagi, cakap dengan Salmah sendiri. Mek takkan halang kalau Salmah nak berhenti, tapi mek takkan pecat Salmah. Salmah pekerja yang bagus. Tak ada sebab mek nak pecat dia.” 

Betul apa kata Puan Nik. Dia sendiri yang kena pujuk Salmah. Lagipun seorang majikan yang baik tak mungkin sewenangnya berhentikan pekerja yang tak pernah bawa masalah. 

Namun, beberapa ketika kemudian bila pinggan betul-betul pecah, Puan Nik tetap tidak mahu berhentikan Salmah. Bagi Puan Nik, itu hanya kesalahan kecil yang tak sebanding dengan perkhidmatan Salmah yang sudah bertahun-tahun. Geram sungguh Hanin dibuat Puan Nik dan Salmah.

Hanin heret basikal bawa ke tempat yang mudah untuk diparkirkan berdekatan dengan gerai Huzir. Disandarkan basikal itu ke sebuah motosikal yang paling hujung. Kalau tidak silap motosikal itu kepunyaan Huzir. 

“Burger spesial dua.”  

“Eh, Hanin!” 

Huzir datang menegur. Kerja membalik daging burger diserahkan kepada kawannya. Pantang nampak Hanin, anak dara si cantik molek Salmah wajib dia tegur.

“Lama dah sampai?”

Hanin tak jawab walaupun Huzir tengah tersengih sambil pandang-pandang dirinya. Dia bukan datang nak berbual. 

“Mak sihat, Hanin?” 

Huzir dijeling. “Petang tadi bukan dah tengok mak ke? Buat-buat tanya pula. Muka dia aje yang datang makan kat kedai, lepas tu nak buat macam dah lama sangat tak jumpa.”

Semakin lebar sengih Huzir. Digaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Depan Hanin, macho Huzir selalu melayang. Dia teruja bila melihat si manis ini. Jantungnya berdegup kencang macam tarian disko. Mungkin ini penangan hati yang sudah terjatuh. Bila agaknya Hanin nak tolong kutipkan hati Huzir? Lama lagi ke Huzir perlu menunggu?

“Itu siang tadi. Malam ni kena tanya khabar lain.” 

Hanin memutar bola matanya sehingga juling. 

“Hanin sihat ke?”

Soalan bodoh ke soalan tolol yang Huzir tanyakan? Kalau tak sihat buat apa dia terpacak kat sini beli burger? Dah lama dia terjah bahagian kecemasan di hospital. Nak pergi klinik memang taklah. Buat habis duit. Malam-malam macam ni bahagian pesakit luar dah tutup, jadi boleh ke bahagian kecemasan. Hanya perlu bayar seringgit. Kan dah jimat tu!

“Sombongnya Hanin ni. Abang tanya tak pernah jawab.” 

“Buat apa jawab? Kenal pun tak. I don’t talk to strangers.” 

“Amboi, speaking!”

“Eh, suka hati saya nak speaking ke tak. Nak cakap bahasa Uganda ke. Awak dengki dah kenapa?”

Tawa Huzir terburai. Tahu sangat Hanin tak boleh diprovokasi, cepat saja melenting. Hanin hanya banyak bicara apabila sedang marah. Sebab itu dia suka usik Hanin walaupun dia tahu hanya kemarahan Hanin yang akan diterima. Tak mengapa asalkan dia dapat mendengar suara Hanin. Di telinga orang lain mungkin suara kemarahan Hanin kedengaran bak halilintar tetapi yang menerjah cuping telinga Huzir pasti lah suara yang begitu lemak merdu. Orang dah angaulah katakan. Yang buruk terselindung daripada pandangan, maka yang baik-baik saja Huzir nampak. 

“Jangan marah-marah nanti lekas tua.” 

“Ah, sibuklah! Burger saya mana?”

Bro, letak sos lebih sikit untuk cik kak ni. Dia suka banjir.” Dijeling Hanin yang menceber.

Hanin menunggu sambil bersilang tangan di dada. Banyak-banyak tempat dekat sini juga Huzir berdiri. Kenapa tak pergi sambung buat kerja? Ada faedah ke tengok-tengok dia macam tu? Pelanggan lain dah mula berbisik-bisik melihat Huzir yang merenyam. Panas hati Hanin nak tunjal muka Huzir ke tempat memasak burger.

Ingat sengih macam tu handsome sangat ke? Macam beruk dekat hutan adalah. Beruk pun elok lagi. Hanin mengutuk Huzir, namun di dalam hati saja. Nak kutuk depan-depan dia lebih daripada berani. Disebabkan dia tidak mahu melayan bualan Huzir, maka didiamkan saja. 

“Burger, Hanin.” 

Kawan Huzir yang bernama Mat Pie serahkan plastik berwarna merah kepada Hanin.

“Berapa, bang?”

“Tak payah bayar. Tauke belanja.” 

“Eh, apa hal pula? Saya bukan bini tauke. Awek pun bukan. Dah, tak payah nak drama sangat. Kira cepat. Saya nak bayar ni.” 

Hanin dah mula nak marah. Ada juga dia luku mamat-mamat yang jual burger ni karang. Dengan Huzir sekali dia rasa nak terajang. Dia datang nak beli burger, bukan dengan niat mengemis.

“Cepatlah kira!” Hanin jegil biji matanya. Melingas matanya mencari harga burger yang tertulis pada sebuah papan yang tergantung pada bumbung gerai. Dia mencongak dalam kepala.

“Nah, duit! Kira harga burger pun susah. Macam baru malam ni meniaga!” Hanin letakkan duit di atas meja tempat Huzir sediakan bahan-bahan untuk membuat burger. Dia mendengus kasar. Dia buat tak endah pada Huzir dan kawan-kawan lelaki itu yang tercengang melihat kelakuannya.

Ada dia kisah? Pergi jahanam dengan pandangan orang lain terhadapnya! Siapa suruh berlagak baik dengan dia? Dia pantang terhutang budi. Lebih baik tak berbudi, tak ada bodynya tergadai nanti. Huh!


BAB 1  BAB 2  BAB 3  BAB 4   BAB 5


BELI NOVEL HANIN LUFYA (PENULIS: AK RAFFHAN)

  • Share post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *